Kerajaan Thailand telah membenarkan kenderaan milik warganegara Malaysia yang terkendas di negara itu susulan penutupan sempadan sewaktu tempoh Covid-19 untuk pulang ke tanah air tanpa sebarang caj bermula 1 hingga 30 Jun ini.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Zailah Mohd Yusoff yang menjelaskan bahawa kenderaan yang terkandas boleh dibawa pulang ke tanah air menerusi pusat pemeriksaan sempadan di Rantau Panjang.
“Perkara ini telah dipersetujui sewaktu mesyuarat bersama dengan 13 agensi berkaitan selaras dengan pembukaan sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Thailand di Kelantan pada Jun 1,” jelas Zailah.
Zailah, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat mengharapkan pengumuman ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia yang berdepan permasalahan tersebut.
“Saya menyeru rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan terkandas di Thailand untuk segera bertindak sebelum kerajaan Thailand mengenakan caj selepas 30 Jun,” tambahnya. – MM