Bikesrepublic

Rangkaian Motosikal KTM 1290 Super

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Rangkaian KTM 1290 Super adalah rangkaian utama untuk KTM.
  • Dijana oleh enjin 1301cc, DOHC, sejukan cecair V-Twin 75 darjah dengan beberapa talaan yang berbeza, motosikal-motosikal ini adalah jentera yang amat mengujakan untuk ditunggang.
  • Keluarga 1290 Super terdiri daripada motosikal lumba naked, sport-tourer, dan adventure-tourer.

Keluarga motosikal KTM 1290 Super adalah lambang kemuncak permotosikalan, bukan sahaja dari segi kejuruteraan, tetapi juga dari segi rekabentuk. Tetapi, lebih daripada itu, ianya keterujaan berada di atas jentera dua roda yang telah diberikan oleh motosikal-motosikal tersebut, tidak pernah menyimpang dari falsafah pengeluar gergasi dari Austria berkenaan, “Ready to Race”.

Tidak termasuk sebuah motosikal lumba ber-reraup penuh, siri 1290 ini terdiri daripada pelbagai jenis motosikal yang mengagumkan yang bukan sahaja memberikan keseronokan dan membuat anda melirik senyuman sewaktu di atasnya, ia juga amat praktikal dalam sebarang bentuk keadaan.

Dengan bantuan KTM Malaysia, kami telah menghimpunkan rangkaian ini untuk Krismas dan sambutan tahun baru.

1290 SUPER DUKE R

KTM 1290 Super Duke R 2014 menerajui dataran baru dalam memberikan keterujaan sebenar buat mana-mana penunggang, sama ada yang baru atau yang berpengalaman. Malah, wartawan permotoran veteran yang telah menunggangi ratusan motosikal dalam kerjaya dan sepanjang hidup mereka turut menjadi gila bayang kerananya.

Di sinilah bermulah “The Beast” dan kategori ‘motosikal lumba super naked’.

Namun, sekiranya motosikal 1290 Super Duke R itu sudah cukup sempurna pada pandangan kita, KTM membuat kejutan dan mengatasinya lagi. Bagi tahun 2017, mereka telah merombak semula motosikal 1290 Super Duke R.

Perkara pertama yang pasti akan disedari sesiapa pun mengenai model 2017 tersebut adalah lampu hadapannya yang tampak garang dan tersendiri. Saluran yang telah membahagikan kedua-dua bahagian lampu berkenaan sebenarnya berfungsi sebagai saluran penyejukan bagi mengurangkan suhu lampu hadapan LED. Selain itu, lampu utamanya akan hidup secara automatik apabila motosikal berkenaan berhenti sewaktu penunggangan di siang hari.

Enjin V-Twin, 75 darjah, DOHC, 1,301cc telah ditala semula untuk lebih kuasa, menghasilkan kuasa sehingga 177hp dan 140Nm tork. Namun, helaian spesifikasinya itu tidak menggambarkan perwatakan sebenar motosikal 1290 Super Duke R yang baru ini.

Walaupun model 2017 ini lebih pantas dari sebelumnya, ia mencapai kelajuannya secara lancar serta terkawal. Tiada lagi letusan kelajuan secara tiba-tiba seperti ada sistem suntikan NOS tersembunyi. Ini memupuk keyakinan serta penunggangan yang lebih lancar untuk keseronokan yang lebih hebat. KTM dapat melakukannya dengan merekabentuk semula kebuk penyalun (resonator chamber) pada kepala silinder bagi melancarkan lagi hasil keluaran daya kilasnya (tork).

Kerangka, casis, dan posisi menunggang bagi 1290 Super Duke R yang baru ini juga telah diubah semula. Kerangka barunya lebih teguh dan pada masa yang sama, lebih ringan, suspensi WR tercanggih dilengkapkan untuk kawalan sepenuhnya. Breknya menggunakan brek Brembo untuk bahagian hadapan dan belakang, beserta dengan angkup empat omboh M50 Monobloc di bahagian hadapan untuk keselamatan maksimum.

Palang pemegang barunya 20mm lebih lebar, 5mm lebih rendah, dan 18.5mm lebih ke hadapan. Ia juga bercirikan julat larasan 22mm bagi disuaikan dengan pelbagai jenis susuk tubuh penunggang. Kedudukan sedemikian meletakkan lebih banyak berat pada roda hadapan untuk kawalan maksimum, dan ia juga memberikan perlindungang angin yang lebih baik.

Apa gunanya motosikal berkuasa sekiranya tidak dapat dinikmati dengan selamat, bukan? Rangkaian motosikal KTM 1290 merupakan satu keajaiban teknologi dan motosikal 1290 Super Duke R ini tiada bezanya. Lengkap di atas motosikal ini adalah pelbagai ciri bantuan elektronik termasuklah Kawalan Kestabilan Motosikal (Motorcycle Stability Control – MSC), pendikit ‘Ride-by-Wire’, Mod Tunggangan, Kawalan Cengkaman Motosikal (Motorcycle Traction Control – MTC), ABS, Sistem “Race On”, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (Tyre Pressure Monitoring System – TPMS), dan Kawalan Bersiar, serta bermacam-macam lagi.

Pemilik juga boleh mempertingkatkan lagi motosikal mereka dengan kelengkapan tambahan Quick Shift +, Motor Slip Regulation (MSR), ‘My Ride connectivity suite’, selain daripada kelengkapan tambahan ‘Performance Pack’ dan ‘Track Pack’.

1290 SUPER DUKE GT

1290 Super Duke GT adalah tawaran motosikal sport-tourer bergerek besar KTM yang bukan sahaja dapat menakluk sebarang muka bumi tetapi dapat membawa anda ke destinasi jarak jauh meninggalkan motosikal-motosikal sport-tourer yang lain. Itulah hasilnya apabila ia dijana oleh sebuah enjin 1,301cc 1290 Super Duke R.

Perbezaan di antara 1290 Super Duke GT dengan 1290 Super Duke R adalah keselesaan. Motosikal GT bercirikan bahagian hadapan yang besar dengan penghadang angin boleh laras untuk perlindungan dari angin sewaktu perjalanan jauh, beserta dengan titik pautan untuk ‘pannier’ telah pun disertakan sekali.

1290 Super Duke GT menggunakan suspensi boleh laras WP Semi-Active, yang boleh menukar kadar redamannya dengan serta merta. Anda boleh pilih di antara mod redaman Sport, Road, dan Comfort, selain muatan untuk seorang penunggang, penunggang dengan kargo, penunggang bersama pembonceng, serta penunggang bersama pembonceng dan kargo. Sistem itu akan memastikan motosikal dalam imbangan casis yang optimum untuk pengendalian optimum sepanjang masa.

Pengendaliannya (selain daripada kelajuannya) adalah di mana 1290 Super Duke GT ini cukup menyerlah.

Jika adanya motosikal di dalam dunia ini yang boleh memandu-arah kendiri menangani selekoh pada kelajuan tinggi, sudah pasti ianya motosikal yang ini! Tiada lagi motosikal sport-tourer berkapasiti besar yang lain yang mempunyai kebolehan untuk memasuki selekoh kemudiannya memecut keluar sepertinya, dan pada masa yang sama kekal teramat berkeyakinan dengan apa sahaja cabaran atau halangan yang ada di atas jalan raya – semua ini sewaktu anda duduk dengan selesa di atasnya.

Seperti saudara 1290-nya yang lain, 1290 Super Duke GT ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi motosikal terbaik yang boleh didapati untuk orang ramai. Kelengkapan elektroniknya termasuklah ‘Ride-by-Wire’, Mod Tunggangan, suspensi WP Semi Active, Kawalan Kestabilan Motosikal (MSC), Lampu Menyelekoh LED, Kawalan Cengkaman Motosikal (MTC), Quickshifter, Kawalan Bersiar, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), ABS, dan bermacam-macam lagi.

Anda boleh mempertingkatkan lagi motosikal 1290 Super Duke GT anda dengan menambah kelengkapan pilihan Hill Hold Control (HHC), dan Motor Slip Regulation (MSR).

1290 SUPER ADVENTURE S

Di samping motosikal off-road, motosikal kembara juga merupakan motosikal kebanggaan KTM.

1290 Super Adventure S dan saudaranya yang lebih kepada sebuah motosikal off-road, 1290 Super Adventure R adalah motosikal utama KTM.

Walaupun model 2017 merupakan evolusi motosikal terdahulu, 1290 Super Adventure T, KTM tampak seperti telah merombak kesemuanya sama sekali.

Perubahan yang paling ketara adalah pada reka bentuknya. KTM inginkan rupa paras yang lain daripada yang lain, sesuatu yang tiada pada motosikal lain di dalam pasaran dan yang ketara sekali merupakan sebuah motosikal KTM. Apabila para perekanya membahagikan lampu hadapan LED-nya kepada dua bahagian bagi menerapkan saluran penyejuk di tengah-tengahnya, hasilnya adalah sesuatu yang belum pernah kita lihat sebelum ini.

Enjinnya berdasarkan motosikal “The Beast” tetapi telah ditala semula untuk kelancaran keseluruhan dan keboleharapan muktamad, seperti saduran DLC pada gerek silinder dan selang penyelenggaraan yang panjang. Ia masih menghasilkan 160hp dan 140Nm tork. Namun, bagi menunjukkan kelenturannya, sebanyak 108Nm telah pun tersedia dari tahap serendah 2500rpm!

Kerangka trellis ‘chrome-moly’nya itu sekali lagi, teguh dan ringan, dengan beratnya hanyalah sekadar 9.8kg sahaja. Kedua-dua bahagian hadapan dan belakangnya dilengkapi dengan suspensi WP Semi-Active, satu kemaskini untuk motosikal ini bagi membolehkan anda membawa muatan seberat mana yang anda inginkan.

Motosikal 1290 Super Adventure S juga merupakan motosikal adventure-tourer yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi, tetapi ia juga disertakan dengan perincian tambahan yang khusus untuknya. Selain daripada ciri-ciri yang ada pada motosikal 1290 yang lain, motosikal ini dilengkapi dengan Mod Offroad Ride, Offroad Traction Control, Offroad ABS, ABS Menyelekoh yang sensitif pada sudut condong dan Pembrekan Bersama (Combined Braking).

Anda boleh mempertingkatkan lagi motosikal 1290 Adventure S anda dengan pelbagai ciri tambahan seperti kelengkapan pilihan Travel Pack yang terdiri daripada Quick Shift +, Hill Hold Control (HHC), Motor Slip Regulation (MSR), dan My Ride.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube