RNF Racing dan Aprilia Racing akan bergabung tenaga apabila pasukan kendalian Datuk Razlan Razali itu disahkan menjadi pasukan satelit Aprilia bermula musim 2023.
RNF Racing dan Aprilia bersama-sama membuat pengumuman rasmi itu yang menyaksikan kedua-dua belah pihak akan berkerjasama selama dua musim dan boleh disambung untuk tempoh dua musim lagi.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah MotoGP, Aprilia mempunyai pasukan satelit dan akan menurunkan empat jentera RS-GP.
Sementara itu, RNF Racing akan mengekalkan prinsip sama, iaitu menjadi platform pembangunan pelumba muda dan berbakat yang kemudiannya akan dibentuk menjadi pelumba pasukan ‘factory’.
Falsafah itu ternyata selaras dengan perkembangan Aprilia yang turut mengikat Aleix Espargaro dan Mavercik Vinales untuk tempoh dua tahun lagi.
“Kami amat teruja dengan kerjasama jangka masa panjang ini dengan Aprilia Racing.
“Falsafah kami adalah untuk berkerjasama dengan pasukan factory bagi membangunkan pelumba yang satu hari nanti menjadi pelumba factory Aprilia.
“Kami akan membantu mereka (Aprilia) dalam aspek pembangunan bagi memastikan kami terus kekal kompetitif dan kemudiannya merekodkan kemenangan bersama Aprilia Racing,” jelas Razlan.
Pengumuman ini sekaligus menyaksikan kerjasama Razlan Razali dan Yamaha berakhir selepas beberapa musim.
“Kertas kerja dikemukakan Aprilia Racing memenuhi perancangan jangka masa panjang kami dan saya mahu berterima kasih kepada Massimo (Rivola) atas kepercayaan diberikan.
“Kami amat teruja dengan musim depan dan kerjasama terbaru ini. Pada masa sama saya mahu berterima kasih kepada Yamaha atas kerjasama yang telah terjalin selama beberapa tahun ini,” tambah Razlan.