Setelah berminggu spekulasi, akhirnya Yamaha melancarkan MT-10 2022 yang kini tampil dengan pelbagai naik taraf baharu.
Bagi tahun 2022, Yamaha MT-10 kini menghasilkan 164hp, naik 6hp berbanding model terdahulu.
Bukan itu sahaja, Yamaha juga mendakwa enjin terbaru ini lebih ringan hasil penggunaan piston jenis ‘forged aluminium’ dan conrod serta silinder baharu.
Yamaha juga beralih kepada conrod jenis besi menggantikan conrod titanium yang terdapat pada model sebelumnya.
Sementara itu, enjin 998cc yang diambil dari Yamaha YZF-R1 itu juga kini menawarkan pecutan yang lebih baik terutamanya di antara 4,000 hingga 8,000rpm hasil bantuan sistem ekzos titanium baharu.
Enjin juga telah dinaik taraf bagi mencapai standard Euro5.
Yamaha MT-10 2022 ini juga datang dengan kotak udara baharu (airbox) yang kini tampil dengan tiga corong udara dengan Yamaha mendakwa kesemuanya menyumbang kepada deruman yang lebih “oommph!” ketika di rev pertengahan.
Tak cukup dengan itu, MT-10 ini juga dilengkapi dengan ‘acoustic amplifier grilles’ di bahagian kiri dan kanan tinggi yang berperanan menghasilkan bunyi yang lebih garang.
Bahagian depan juga tampil dengan rekaan serba baharu namun masih mengekalkan penggunaan lampu LED berkembar dengan daytime running light (DRL).
Antara ciri menarik lain yang turut diperkenalkan adalah:
- Brembo master cylinder
- IMU 6-axis
- throttle elektronik
- quickshifter
- paparan skrin TFT 4.2″