Ya, ini adalah satu lagi Zontes tetapi dengar pendapat kami kerana terdapat banyak perkara yang kami hendak kongsikan untuk motosikal ini! Zontes 703RR mewakili persinggahan pertama syarikat ke dalam kategori motosikal sportbike berkapasiti besar, dengan menggunakan enjin 699cc, tiga silinder, DOHC baharu mereka yang turut memacu model pengembaraan 703F.
Ia baru sahaja dilancarkan di EICMA, kurang daripada sebulan sebelum lawatan kami. Enjin itu dalam peringkat rekabentuknya hanya lima tahun lalu. Apa yang kami lihat ketika itu hanyalah beberapa lukisan teknikal pada skrin komputer. Jadi Zontes mengambil masa hanya tiga tahun untuk merealisasikannya setelah kita menolak dua tahun kerana sekatan Covid-19.
Apakah Zontes 703RR?
Ia adalah sportbike dalam keluarga Zontes dan kelihatan menjadi model utama, sekurang-kurangnya pada masa ini. Ia menampilkan rekabentuk badan yang terpahat indah dan unik dengan garisan tajam, malah sayap yang diliputi dengan fairing.
Sedikit mengenai ciri-ciri utama:
- Enjin 699cc, tiga silinder, DOHC, dengan ciri kemasukan udara ram air. Ia menghasilkan 100.5hp pada 11,200 RPM dan 74.5Nm pada 8,500 RPM. Fungsi kemasukan udara ram air harus dapat menambah 10hp lagi pada kelajuan yang lebih tinggi.
- Kerangkanya menjadi antara faktor kecanggihan motosikal ini: Setiap sisi kerangka aluminium spar berkembar itu dituang sebagai satu bahagian kemudian dicantumkan dengan bahagian sebelah lagi. Sebaliknya, kerangka aluminium konvensional mempunyai kon dan pemegang pangsi lengan hayun dikimpal.
- Zontes mendakwa bahawa ini mengurangkan getaran enjin dan juga memberikan ciri kekakuan dan kelenturan yang disasarkan.
- Kerangka bawah pelana juga merupakan komponen aluminium tuang satu keping, dan diikat ke belakang bingkai utama.
- Fork Marzocchi dan monoshock boleh laras.
- Sepasang cakera brek depan dicengkam oleh kaliper J.Juan, ABS dwi saluran adalah standard.
- Pencahayaan LED di sekeliling.
- Skrin TFT 8-inci berwarna lengkap dengan mod kuasa dan pemasa pusingan.
- Berat basah 196kg.
- Ketinggian pelana ialah 795mm.
Menunggang uji Zontes 703RR
Jika anda suka sportbike, ergonomiknya lebih kurang mirip Aprilia RS660 bercampur dengan Triumph Daytona 660. Bar hendal klip dipasang lebih tinggi sedikit daripada bahagian atas tangki bahan api, supaya ia tidak meletakkan berat anda pada pergelangan tangan anda. Dan kerusi itu sangat rendah sehingga meletakkan kaki anda tidak ada masalah.
Tempat untuk menguji motosikal adalah di trek ujian kecil di perkarangan kilang. Bahagian depan yang “lurus” hanya sepanjang 100m dan terdapat dua selekoh seperti Selekoh Pertama di SIC pada setiap hujung, dengan tiga selekoh-selekoh pendek dan tajam di antara mereka. Jadi trek ini sempit seperti trek go-kart yang kecil.
Menuju ke selekoh pertama, saya memicit tuil brek depan dengan dua jari dan hampir tercampak keluar dari tempat duduk. Brek depannya sangat berkuasa! Membrek dengan satu jari sudah memadai.
Walaupun kemasukan ke selekoh telah terganggu akibat membrek berlebihan, Zontes 703RR ini dapat ditujukan ke dalam selekoh dengan selambar. Masih dalam gear ke-2, saya memerah pendikit dengan besar apabila motosikal menyentuh puncak selekoh dan enjinnya terus mengeluarkan bunyi WHOOOOOOOOOP!!! Syukurlah, selekoh-selekoh atas litar ini ditandakan dengan garisan yang dilukis di jalan dan bukannya dengan bendul jalan, kerana motosikal ini memecut terus daripada selekoh pertama ke selekoh terakhir!
Jadi, saya tukarlah gear 3 dan memecut apabila meninggalkan selekoh terakhir itu. 703RR melitupi 100m lurus itu dalam sekelip mata. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkeras untuk membina enjin tiga silinder kerana dia lebih suka tork yang kuat dan kuasa kuda yang boleh diakses.
Saya terus berpusing-pusing, dan mengelak daripada bertentang mata dengan mereka yang berada di kawasan permulaan kerana saya tidak mahu disuruh masuk. Akhirnya, krew Zontes melangkah hampir ke tengah trek untuk melambai saya masuk. Saya mesti telah menempuh 9 pusingan.
Konklusi
Ya, ya, ia adalah sutu tunggang uji yang singkat tetapi setelah menunggang banyak motosikal sebelum ini, saya dengan yakin bahawa Zontes 703RR mempunyai ciri-ciri motosikal yang hebat, walaupun kehebatannya di trek perlu diuji. Tetapi, sebagai superbike jalanan kelas pertengahan, kedudukan pesaing sekarang akan tergugat.
Kami bertanya kepada Zontes Malaysia sama ada ia akan sampai ke sini. Pegawai itu membalas soalan kami dengan senyuman.