Pelumba muda Malaysia, Hakim Danish Ramli sekali lagi berada di atas podium Red Bull MotoGP Rookies Cup, kali ini di Grand Prix Perancis. Ia adalah podium kedua beliau pada musim 2024, selepas meraih tempat kedua di Sepanyol, sebelum ini.
Pemain berusia 16 tahun itu telah mendahului banyak lap di dalam Perlumbaan 2 selepas bermula dengan baik. Dia juga telah menukar gaya tunggangannya, yang membolehkannya menyamai kelajuan kelompok hadapan.
“Kali ini saya menukar tunggangan saya, saya pindahkan badan saya lebih ke depan dan menolak siku saya ke bawah, dan saya mencecahnya melalui selekoh, serta cuba membuka pendikit lebih awal di selekoh dan ia terbukti dengan baik.”
Bagaimanapun, dia dipintas oleh pemenang Brian Uriarte dan penamat tempat kedua Màximo Quiles detik-detik terakhir perlumbaan. Quiles, yang merupakan pemenang Perlumbaan 1 sehari sebelum itu mendahului sebelum Uriarte menerjah masuk pada selekoh terakhir. Tindakan ini mengejutkan Quiles dan menyebabkan dia menggelongsor tayar depan motosikalnya. Quiles berjaya menyelamatkan keadaan dan dapat mengekalkan kedudukan di hadapan Hakim.
“Pada lap terakhir saya cuba mendahului tetapi dua orang memintas saya, dan saya cuba memintas semula. Di selekoh terakhir, saya hampir mahu mencuba memotong Maximo dan Brian namun saya terlalu jauh di belakang. Saya sudah memintas pelumba lain pada selekoh sebelum ini dan itu melambatkan saya sedikit, dan saya tidak dapat meraih kemenangan di selekoh terakhir,” sambung Hakim yang menduduki tempat ke-3.
Hakim telah menduduki tempat ke-6 dalam Perlumbaan 1 pada hari Sabtu, dan mengakui bahawa dia tidak dapat menandingi rentak kelompok hadapan. Namun, ia adalah keputusan yang positif secara keseluruhan kerana dia telah menyasarkan tempat podium dalam pusingan ini.