Bikesrepublic

Saya Minta Maaf – Aleix Espargaro

Aleix Espargaro terpaksa berputih mata selepas kehilangan podium gara-gara meraikan kejayaan tempat kedua lebih awal meskipun perlumbaan masih berbaki satu lap.

Pusingan kesembilan MotoGP di Litar Catalunya bakal menghantui Espargaro ekoran tindakannya meraikan kejayaan lebih awal daripada sepatutnya.

Ketika saingan masih berbaki satu lap (lap terakhir), Espargaro bertindak memperlahankan kelajuan secara tiba-tiba lantas memberi bayangan bahawa jentera RS-GP 22 miliknya mengalami masalah.

Namun, sebaik dipintas Jorge Martin, Johann Zarco dan Luca Marini, Espargaro menyedari dia menyangka bahawa perlumbaan telah berakhir.

Bingung dengan situasi tersebut, Espargaro kembali mengejar dan hanya sempat memintas Luca Marini untuk menamatkan saingan di tempat kelima sementera Fabio Quartararo muncul juara diikuti Martin dan Zarco melengkapkan podium di tempat kedua dan ketiga.

Ekoran situasi luar biasa itu, Espargaro hanya mampu meminta maaf atas kesilapan yang berlaku.

“Saya minta maaf. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Saya minta maaf kepada pasukan saya, sememangnya salah saya,” jelasnya.

Espargaro bukan pelumba MotoGP pertama yang pernah melakukan kesilapan ini tatkala Kenny Roberts dan Julian Simon pernah melakukannya pada 2006 dan 2009.

“Saya mohon maaf. Saya mungkin tidak mempunyai kelajuan seperti Fabio (Quartararo) untuk menang tetapi saya mahu memintas kedudukannya selaku pendahulu jadi saya tidak boleh melakukan kesilapan seperti ini.

“Hari ini (Ahad), saya hilang 9 mata berharga, jadi saya mohon maaf,” tambah Espargaro.

Walaupun kesilapan itu ternyata berat untuk ditelan, Espargaro kekal sebagai pencabar terdekat kejuaraan dan dipisahkan 22 mata dibelakang Quartararo.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan