Semua syarikat konsesi lebuh raya diarah bersiap sedia untuk bulan Ramadan, khususnya pada waktu puncak bagi memastikan perjalanan pengguna selesa, selamat dan lancar.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), memaklumkan pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah trafik di lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja pada Ramadan yang dijangka bermula Selasa ini.
“Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan ialah menyelaras semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang atau pergi dari bekerja, sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang akan berubah berbanding waktu kerja biasa.
“Selain daripada itu, menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja dan memastikan semua kemudahan disediakan di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol dalam keadaan baik.
“Ini termasuk aspek bekalan air dan tahap kebersihan,” menurut LLM sambil turut meminta pihak yang terlibat untuk mengenal pasti lokasi tumpuan dan menyediakan kemudahan tambahan sementara bagi menangani peningkatan jumlah pengguna.
Tambah lagi, mereka berharap kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat ditingkatkan untuk membantu kelancaran pergerakan trafik, terutama di lokasi kritikal seperti lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya bagi mengelakkan limpahan trafik ke laluan utama lebuh raya.