QJMOTOR Malaysia telah melancarkan skuter terbaharu mereka iaitu QJMOTOR LTR150.
Walaupun ia berbentuk retro klasik, ia dilengkapi dengan enjin silinder tunggal, SOHC, 4-lejang, 149cc yang agak berkuasa dengan menghasilkan 16.4hp (12.2kW) pada 8,500 RP dan tork maksimum 14.8Nm pada 6,500 RPM. (Sebagai tolok perbandingan, enjin 150cc, SOHC, sejukan cecair Yamaha Y15ZR menghasilkan 15.1hp pada 8,500 RPM dan tork maksimum 13.8Nm pada 7,000 RPM). Kuasa enjin ini dihantar ke roda belakang melalui transmisi CVT.
Daripada segi casis pula, ia mencirikan sistem brek cakera dengan saiz cakera yang besar iaitu 190mm di depan dan 225mm di belakang. Sistem brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran (depan dan belakang) merupakan ciri yang standard untuk keselamatan penunggang.
QJMOTOR berkata pelana skuter ini dibuat empuk bagi keselesaan penunggang dan pembonceng walaupun menunggang saban hari. Ruang penyimpanan barang di bawah pelana pula amat luas untuk kesenangan penunggang membawa barang. Terdapat juga soket pengecas jenis USB di dalam ruang simpanan depan.
Ciri-ciri lain termasuklah paparan meter digital, lampu-lampu LED, sistem Idling Stop yang mematikan enjin ketika berhenti, tangki minyak 6.5 liter.
QJMOTOR LTR150 ditawarkan dengan tiga warna iaitu Lime Creme, Sky Blue, Mint Green dan Carnation Park. Ia dijual pada harga RM8,888 (bukan atas jalan) dan dilindungi dengan waranti dua tahun atau 20,000km (yang mana tiba dahulu). Ia boleh didapati di semua pengedar QJMOTOR yang sah di seluruh Malaysia. MM