Bikesrepublic

Sorotan Festival Art of Speed Malaysia 2018

  • Festival Art of Speed Malaysia 2018, acara tahunan kali ke-tujuh itu baru sahaja berakhir pada hujung minggu lalu.
  • Ribuan telah datang membanjiri MAEPS Serdang bagi mengunjungi salah sebuah perhimpunan kereta dan motosikal buatan khas terbesar Malaysia.
  • Di sini kami senaraikan tarikan utama yang ada pada festival AOS 2018 kali ini.

Adakah anda meminati kereta serta motosikal buatan khas, dan apa sahaja yang berkisar dengan budaya dan gaya hidup berkenaan? Anda ada kunjungi festival Art of Speed Malaysia 2018 pada hujung minggu lalu? Ia merupakan festival besar-besaran dan salah satu karnival yang kami nanti-nantikan sejak festival yang sama tahun lalu.

Bagi mereka yang telah mengunjungi AOS 2017 sudah pasti telah menikmati masa yang amat menyeronokkan menyaksikan kereta dan motosikal buatan khas paling menakjubkan di Malaysia, yang telah berhimpun di bawah satu bumbung di MAEPS, Serdang. Ianya satu acara yang menyebabkan kami rambang mata melihat segala kehebatan yang ada, dan, berdasarkan pengalaman kami pada hujung minggu lalu, ia telah melebihi jangkauan tersebut.

Bagi mereka yang terlepas peluang kali ini, kami turut bersimpati, namun, jangan risau, kerana kami akan bawakan sorotan tarikan utama festival Art of Speed Malaysia 2018!

1) Hot Wheels menyambut ulang tahun ke-50 mereka

Pada satu ketika dalam hidup kita, sudah pasti kita pernah memiliki kereta Hot Wheels dan litar ikonik berwarna jingganya itu. AOS cukup terkenal dalam menyorot perhatian pada jenama terkemuka ini setiap tahun kepada para penggemar dan pengumpul di rantau ini, dan pada tahun ini, mereka telah memperkenalkan sesuatu yang teramat istimewa.

Bagi meraikan ulang tahun mereka yang ke-50, mereka telah menganjurkan “Hot Wheels SEA 50th Tour”, di mana Pengurus Rekabentuk Produk mereka, Dmitriy Shakhmatov, terbang ke mari dari Amerika Syarikat. Bagi menjadikannya lebih istimewa, mereka secara rasminya telah memperkenalkan RWB Porsche 911 Ulangtahun ke-50 Hot Wheels saiz sebenar yang pertama mereka, dengan kerjasama Christian Coujin dari RWB Porsche.

Kehadiran jentera berwarna ungu ini sudah pasti merupakan langkah kanan yang baik bagi AOS 2018 dan jika anda berada di sana, ini baru sahaja permulaannya!

2) Pelancaran rasmi Kawasaki Ninja 250 2018

Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) akhirnya telah memperkenalkan model yang dinantikan ramai, Kawasaki Ninja 250 2018. Direka dan dibina semula dari mula, motosikal lumba 250cc terbaru ini telah dilengkapi dengan pakej aerodinamik yang dipertingkatkan dengan penambahan besar pada kuasa kudanya.

Mengambil inspirasi dari pelbagai jentera berprestasi tinggi lain dari Kawasaki seperti Ninja 650, ZX-10R, ZX-14R, dan motosikal H2 cas lampau, motosikal Kawasaki Ninja 250 ini bukan sekadar sebuah jentera dengan reraup yang dikemaskini. Direka untuk meluncur laju pada laluan lurus dan menangani selekoh dengan lancar, tidak syak lagi yang jentera ini akan memberi keseronokan di atas litar mahu pun jalan raya.

Dijana oleh enjin 249cc, dwi silinder, lapan injap, DOHC, model Ninja 250 yang baharu ini mampu menjana sehingga 38.2hp pada 12,000rpm dan 23.5Nm tork maksimum pada 10,000rpm. Berbanding dengan para pesaingnya, motosikal Ninja 250 yang baharu ini mempunyai 3 hingga 8 kuasa kuda yang lebih.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 yang baharu ini, TEKAN SINI.

3) Motosikal Ducati Scrambler paling berkuasa dihasilkan membuat kemunculannya di Malaysia.

Kita semua sudah sedia maklum yang Ducati adalah salah sebuah pengeluar motosikal terbaik dunia, dengan pelbagai jentera yang menakjubkan, seperti Ducati Panigale V4 2018. Di AOS 2018, Ducati Malaysia (Next Bike Sdn. Bhd.) telah memperkenalkan model Ducati Scrambler mereka yang terbesar dan paling berkuasa setakat ini; Ducati Scrambler 1100 2018.

Dua varian berbeza telah diperkenalkan pada hari itu, iaitu Scrambler 1100 Special dan Scrambler 1100 Sport. Dua varian berbeza bagi memenuhi citarasa yang berbeza, ianya dijana oleh enjin “L-Twin”, sejukan udara, 1,079cc yang mengagumkan, yang mampu menghasilkan 86hp pada 7,500rpm, dan 88.4Nm tork pada 4,750rpm.

Digarap dengan teknologi terkini dari Ducati, Scrambler 1100 ini datang dengan spesifikasi seperti:

  • Kerangka Trellis ‘twin upper spar’ serba baharu.
  • Kit suspensi Öhlins (set Kayaba bagi Scrambler 1100 Special).
  • Fork hadapan terbalik 45mm.
  • Cornering ABS Bosch 9.1 MP.
  • Dwi cakera hadapan 330mm dengan angkup monobloc 4 omboh Brembo M4.32B.
  • Mod tunggangan boleh pilih (Active, Journey, dan City).

Motosikal Ducati Scrambler 1100 2018 ini semestinya sebuah jentera yang berkebolehan yang akan menarik minat sebahagian besar pengguna di Malaysia, dan untuk mengetahui mengenai dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.

4) Motosikal kapchai Honda C70 buatan khas hasil ciptaan Pa’din Musa dan Mudah.my!

Melihat motosikal-motosikal dan kereta buatan khas yang diperagakan pada acara AOS 2018 yang tampil dengan pelbagai gaya, sudah pasti kita merasakan yang ia mengambil masa yang lama, dan juga pelaburan yang besar bagi menyediakannya untuk festival ini. Tetapi, menurut legenda papan luncur negara yang juga seorang pembina motosikal buatan khas, Pa’din Musa, mereka yang mempunyai belanja yang kecil juga mampu mencipta motosikal buatan khas yang menakjubkan.

Bersama Mudah.my, Pa’din telah mencipta sebuah motosikal Honda C70 buatan khas dengan bajet sekitar RM3,000 bagi membeli dan mengkhususkan motosikal kapchai yang cantik itu. Menggunakan Mudah.my sebagai platform pembelian utama, motosikal dan kelengkapan khusus ke semuanya diperolehi menggunakan laman tersebut, bermula dengan mendapatkan motosikal tersebut di Kuala Kangsar.

Menurut Pa’din Musa,”Saya telah memilih motosikal C70 ini kerana saya mahu membuktikan yang anda tidak perlu membelanjakan jumlah yang besar untuk memulakan perjalanan anda dalam dunia buatan khas. Ianya bukanlah mengenai jumlah wang yang dikeluarkan, tetapi semangat anda dan kefungsian kenderaan yang dihasilkan.” Tahniah, Pa’din!

5) Pelancaran minyak pelincir Motul 300V² baharu

Dibangunkan untuk perlumbaan, minyak pelincir Motul 300V² telah membuat kemunculan rasminya di pertunjukan EICMA tahun lalu di Milan Itali. Kini, minyak pelincir yang canggih ini telah tiba di Malaysia, dihasilkan dengan asas minyak organik yang dipertingkatkan dengan Ester Core® Technology untuk prestasi optimum.

Selain untuk kegunaan atas litar, minyak pelincir Motul yang baharu ini juga sesuai untuk kegunaan atas jalan raya beserta sekali sekala di atas jalan tanah merah. Gabungan asas organik dengan suntikan sintetik membolehkan pada peningkatan tork, cengkaman klac, reliabiliti kotak gear, keluaran kuasa keseluruhan, serta prestasi dan ketahanan yang lebih baik.

The Gasket Alley juga turut membuat kemunculan awam pertama mereka dengan jenama yang baru mereka perolehi, Aprilia. Pengedar semasa bagi jenama Moto Guzzi, yang juga merupakan sebuah jenama terkenal di bawah Piaggio Group, telah mempamerkan jentera terhebat mereka, yang mana antaranya adalah Moto Guzzi V7 III 2018, dan motosikal superbike Aprilia RSV4 RF.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layarilah https://www.motul.com/my/en.

6) Peragaan motosikal buatan khas Modenas Bakat Besi

R8DER, sebuah organisasi di bawah Modenas Malaysia, telah memperagakan program mencungkil bakat reka bentuk dan pengkhususan pertama mereka, bergelar Bakat Besi: Reka Bina. Dianjurkan bagi mencungkil bakat tempatan dalam kancah motosikal buatan khas, enam orang pembina telah menyahut cabaran untuk mengkhususkan tiga buah model Modenas yang hebat, iaitu Modenas Pulsar RS200, Pulsar NS200, dan V15.

Bakat-bakat besar telah mempamerkan kebolehan mereka, bukan sahaja dalam mengkhususkan rupa paras ketiga-tiga model Modenas tersebut, tetapi juga meningkatkan lagi prestasi keseluruhannya. Satu panel yang terdiri daripada para juri yang disegani akan menentukan motosikal manakah yang paling menarik perhatian mereka, jadi layarilah laman Facebook rasmi R8DER untuk maklumat lanjut.

Apa yang menjadikan pertandingan motosikal buatan khas ini amat menarik adalah orang awam boleh turut serta dalam menentukan pasukan manakah yang akan menjuarainya. Jika anda layari laman https://r8der.my/bakat-besi/binasifu/, anda boleh tontoni video dan tatapi gambar motosikal buatan khas yang bertanding sebelum membuat undian anda. Segeralah kerana undian ini akan ditutup pada 9 Ogos 2018!

7) AOS 2018 Invitational Custom Bike Build-Off

Antara tarikan utama festival Art of Speed Malaysia sudah semestinya pertandingan motosikal buatan khas. Para pembina motosikal buatan khas terkemuka dari seluruh Malaysia dan satu penyertaan dari Singapura telah menginjak satu aras baharu dalam kancah pembinaan motosikal buatan khas.

Lapan buah motosikal buatan khas yang menakjubkan, dari sebuah motosikal tiga roda berilhamkan ‘alien’, ke motosikal yang tampak tidak asing dalam anime ‘sci-fi’ Jepun, hinggalah ke motosikal buatan khas BMW yang tampak suci murni, ke semua telah mencuri tumpuan ramai sebaik sahaja mereka memasuki dewan utama. Ke semua pengunjung pasti terpegun dengan jentera-jentera yang telah dibina oleh pembina terkemuka seperti Kenstomoto, Beautiful Machines, Rusty Factory, dan yang lain-lain, namun begitu, akan hanya ada seorang sahaja pemenang pertandingan ini.

Kami teramatlah tertarik dengan jentera mekanikal berwarna merah yang diberi nama, “Valkyrie”, ciptaan Kenny Yeoh dari Kenstomoto. Melihat betapa rendah dan garangnya rupa motosikal ini di tengah-tengah ruang AOS2018 ini, anda pasti tidak menyangka yang ianya pada mulanya adalah sebuah motosikal Kawasaki ER-6N.

Dengan kemasan warna merah titanium itu, beserta dengan rekabentuk ‘centre-hub steering’-nya itu, kami agak ianya menjadi angauan para peminat anime Mecha seperti Gundam (dan barangkali, akan menawarkan jumlah yang amat besar untuk memilikinya). Sebagai peminat filem anime terkemuka, Akira, ia juga telah mengingatkan kami pada motosikal yang telah ditunggangi oleh watak Shotaro Kaneda.

Rusty Factory telah berjaya memenangi pertandingan keseluruhan tahun lalu bagi kedua-dua pilihan awam dan juga juri, dalam tahun pertama mereka. Harapan tinggi telah digalas pembina dari Ipoh ini dan sekali lagi Muhammad Khalid Musa telah melakukannya dengan memenangi kedua-dua kategori pada tahun ini dengan motosikal BMW R75/6 buatan khasnya,yang juga dikenali sebagai “White Angel”.

Kualiti kerja tangan yang ditunjukkan oleh insan-insan yang hebat ini membuktikan yang arena motosikal buatan khas Malaysia telah meningkat ke satu tahap yang boleh menyaingi para pembina motosikal buatan khas terbaik dari seluruh dunia. Kami ingin sekali melihat Rusty Factory mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa, di mana kami pasti hasil ciptaan mereka akan menarik perhatian dan diiktiraf ramai. Malaysia Boleh!

8) Upacara penyampaian hadiah utama motosikal buatan khas Honda C70 600cc

Kami telah menyaksikan kemunculan motosikal buatan khas Honda C70 yang telah dilengkapi dengan enjin satu silinder 600cc, yang diambil dari sebuah Honda XR600R. Dibina oleh Mohamad Irwann, atau lebih mesra dengan nama “Cheng”, dari FNG Works, Ipoh, Perak, hasil kerjanya lengkap dengan kemasan warna yang mengagumkan telah mengutip ribuan penyertaan dalam cabutan bertuah hari Ahad.

Tiga nama telah dicabut dari kotak cabutan bertuah, dan berdasarkan protokol sedia ada cabutan bertuah AOS, satu tugas telah diberikan kepada ketiga-tiga individu sebelum pemenang utama dipilih oleh orang ramai.

Mohamad Nasruddin telah berjaya memikat hati ramai orang apabila dia menyatakan yang dia ingin memberi kejutan kepada ayahnya dengan menghadiahkan motosikal tersebut. Baik anak ini. Motosikal itu telah dihidupkan di hadapan para penonton dan kini, anak muda itu, boleh menghadiahkan “Papa Jahat” buat ayahnya. Semua ini atas jasa Art of Speed Malaysia.

9) Motosikal flat tracker Honda Rebel 500 dari Boon Siew Honda

Bagi penulis, motosikal Honda Rebel 500 ada satu tempat yang istimewa dalam hati, kerana rekabentuknya yang ringkas dan menawan, beserta prestasi yang mencukupi untuk kegunaan harian. Dipandang ramai sebagai sebuah kanvas kosong sedia untuk pengkhususan peribadi, tidak ramai yang akan mengandaikan yang ia boleh menjadi sebuah motosikal ‘flat tracker’ yang hebat.

Boon Siew Honda telah membuka minda kita dengan motosikal Honda Rebel 500 buatan khas yang indah ini, diterapkan dengan semangat motosikal ‘American flat tracker’. Pelbagai kerja telah dilakukan pada rupa keseluruhannya dengan kemasan warna yang menakjubkan dan digandingkan dengan sistem ekzos SC-Project yang amat panjang, kami pasti ia juga datang dengan penambahan kuasa.

Selain daripada motosikal Honda Rebel 500 buatan khas, Boon Siew Honda turut mempratontonkan Honda Monkey 2018, dan Honda Super Cub buat peminat di Malaysia. Ada pelan untuk membawa masuk motosikal ini dan buat masa ini, BSH sedang mengadakan kaji selidik sama ada orang ramai akan mahukan jentera ini di dalam negara. Pendapat kami? Kami mahu Honda Monkey!

Kesimpulannya, terdapat pelbagai tarikan yang ada sewaktu AOS2018 sehinggakan ianya mustahil untuk kami liputi segalanya. Begitu banyak motosikal dan kereta buatan khas yang hebat, membuat kemunculan dari beberapa buah negara dan dengan sokongan tidak berbelah bahagi dari rakan taulan dan kenalan, festival Art of Speed 2018 berlangsung dengan jayanya dan kami tidak sabar menunggu untuk acara tahun hadapan. Tinggal 364 hari lagi!

Galeri Gambar Art of Speed Malaysia 2018

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube