Bikesrepublic

Suzuki Bangunkan Enjin Parallel-Twin 700cc Bagi SV650, V-Strom 650 Generasi Baharu

Suzuki dilaporkan sedang giat membangunkan platform parallel-twin 700cc bagi generasi baharu SV650 dan V-Strom 650.

Perkara itu disahkan menerusi paten baharu yang telah difailkan di Jepun dan bakal menggantikan enjin V-Twin 650cc yang diguna pakai pada generasi baharu SV650 dan V-Strom 650.

Enjin parallel-twin sememangnya semakin popular dikalangan pengeluar motosikal dunia ketika ini.

Kawasaki merupakan antara syarikat yang sekian lama mempertaruhkan enjin parallel-twin menerusi Ninja 650, Z650 dan terbaru Z650 RS.

BMW juga beralih kepada enjin parallel-twin bagi model F 900 R, F 900 XR, F 750 GS dan F 850 GS manakala Aprilia turut mengorak langkah dengan menggantikan enjin V-Twin pada Shiver dan Dorsoduro dengan parallel-twin bagi model terkini, RS 660, Tuono 660 serta Tuareg 660.

KTM juga mengaplikasikan platform sama dengan enjin LC8 menerusi 890 Duke dan 890 Adventure sementara Honda ikut langkah sama pada CRF1100L Africa Twin, Rebel 1100 dan akan datang NT1100.

Sebelum ini, ramai berpendapat bahawa enjin parallel-twin kurang digemari ekoran tidak menghasilkan kuasa dan bunyi enjin yang mengujakan.

Namun, beberapa pengeluar antaranya Aprilia dan BMW telah pun mengatasi senario tersebut dengan menerapkan sistem crank 270-darjah yang sekaligus membantu menghasilkan daya menyamai enjin V-Twin 90-darjah.

KTM pula mengatasi isu tersebut dengan crank 285-darjah lalu menyamai enjin V-Twin 75-darjah.

Bukan itu sahaja, pemilihan platform parallel-twin juga merupakan alternatif yang lebih kompak serta menggunakan komponen yang lebih sedikit berbanding V-Twin.

Tidak lupa juga, proses penyelenggaraan juga lebih murah berbanding platform enjin lain lantas menjadikan parallel-twin pilihan yang lebih relevan untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, paten terbaru itu turut memaparkan Suzuki menempatkan kotak udara di bawah tempat duduk berbanding bawah tangki.

Tindakan itu adalah bagi memudahkan pertukaran penapis udara (air filter) dapat diakses dengan lebih mudah sekaligus memastikan kos servis berada pada tahap minima.

Bagaimanapun, buat masa ini masih tiada perkabaran rasmi bilakah enjin parallel-twin 700cc ini akan diperkenalkan namun melihat kepada paten sedia ada, masa itu akan tiba tidak lama lagi.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube