Bikesrepublic

Suzuki Hayabusa Akan Dinaik Taraf Dengan Sistem VVT

Dalam usaha memastikan legasi Hayabusa terus berjalan dalam era peraturan emisi yang semakin ketat, Suzuki telah pun memfailkan paten baharu yang merujuk kepada Suzuki Hayabusa akan dinaik taraf dengan sistem ‘variable valve timing’ (VVT). 

*Suzuki Hayabusa 2018

Penjualan Hayabusa telah pun dihentikan di beberapa pasaran dunia sekitar 2018 sebelum kilang Hamamatsu memperkenalkan generasi terbaru pada 2021 yang tampil dengan enjin lebih bersih dan reka bentuk berbeza. Bagaimanapun, dalam usaha mencapai standard emisi terkini, model 2021 itu datang dengan kuasa yang lebih rendah berbanding generasi sebelumnya. 

*Suzuki Hayabusa 2021

Enggan senario sama berulang, Suzuki telah memutuskan Hayabusa seterusnya akan dinaik taraf dengan sistem VVT yang bukan sahaja akan meningkatkan kuasa malah turut menawarkan penggunaan bahan api yang lebih jimat dan emisi yang lebih rendah. 

Difahamkan, sistem VVT yang akan diguna pakai Suzuki mirip dengan teknologi yang diterapkan masa kini pada motosikal dan kereta iaitu dengan melambatkan masa ‘intake cam’ pada kelajuan rendah sekaligus mengurangkan jumlah injap bertindih. 

Untuk rekod, injap bertindih bermanfaat bagi mengisi silinder dengan intake baharu pada RPM tinggi namun pada RPM rendah, senario itu menyebabkan campuran tidak terbakar memasuki ekzos lalu mencemarkan ‘catalytic converter’. Keadaan itu boleh memberi kesan pada kecekapan bahan api dan meningkatkan emisi. 

Penerapan sistem VVT baharu ini akan memastikan penjualan Hayabusa akan terus dibenarkan terutamanya di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat yang dijangka akan memperkenalkan peraturan emisi lebih ketat dalam masa terdekat. 

Ketika ini, penjualan GSX-R1000, GSX-R750 dan GSX-R600 telah pun dilarang kerana gagal mencapai sasaran emisi Euro 5. 

Apa yang pasti sistem VVT pada Hayabusa bukan sahaja membolehkan model itu kekal relevan untuk pasaran dunia masa kini malah memastikan enjin empat silinder 1,340cc itu kekal menghasilkan output yang tinggi setaraf namanya. 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube