Suzuki Hayabusa akan kembali dengan rekaan lebih ‘segar’ dan enjin lebih berkuasa bagi tahun 2021.
Khabar angin mengenai Hayabusa baharu mula bertiup kencang kebelakangan ini selepas jentera itu dihentikan penjualan di Eropah pada 2018 dan beberapa negara lain susulan peraturan emisi yang ketat.
Suzuki Hayabusa julung kalinya diperkenalkan pada tahun 1999 sebelum generasi kedua dilancarkan lapan tahun kemudian.
Namun 10 tahun berlalu, hanya warna dan grafik Hayabusa dikemaskini lantas jentera ikonik itu terus kekal dengan imej ‘lama’ tanpa paparan digital, lampu LED dan sistem traction control yang kini ditawarkan secara standard pada jenama lain.
Bagaimanapun, segalanya bakal berubah tahun depan selepas Suzuki telah pun memfailkan beberapa paten di Jepun termasuk kerangka baharu, sistem ekzos serta butang start/stop.
Bukan itu sahaja, enjin 1,340cc sedia ada juga dijangka akan dipertingkat kepada 1,440cc yang akan menawarkan kuasa sekitar 190hp di samping menerapkan penggunaan lampu LED, cornering ABS, traction control dan mod menunggang.
Menurut laporan media antarabangsa, Suzuki dijangka memperkenalkan Hayabusa dinaik taraf ini pada pertengahan 2021.