Bikesrepublic

Team DEL Michelin Akan Bersaing Dalam FIM Asia Supermoto Championship 2018

Vilhelmsen menggelongsor memasuki selekoh – Sumber imej: www.supermotard.dk

  • Sebuah pasukan baharu akan bersaing dalam FIM Asia Supermoto Championship 2018.
  • Team DEL Michelin telah ditubuhkan oleh perintis siri perlumbaan tersebut, Dato’ Eric Loo.
  • Penunggang berusia 24 tahun dari Denmark, Simon Vilhelmsen, yang mendapat tempat keempat keseluruhan dalam S-1GP Championship 2017 bakal menjadi penunggang untuk pasukan ini.

Kita semakin hampir dengan tarikh permulaan bagi siri perlumbaan FIM Asia Supermoto Championship 2018, dan Dato’ Eric Loo, pengasas bagi siri perlumbaan FIM Asia Supermoto dan AAM Malaysian Supermoto Championship, akan mengendalikan pasukannya sendiri bergelar Team DEL Michelin.

Simon Vilhelmsen terbang tinggi di Bukit Jalil – Sumber imej : Asia Supermoto

Penonton dan penunggang sudah pasti akan pernah terlihat seorang penunggang dari Denmark yang menunggang dengan pantas dan terbang tinggi sewaktu pusingan akhir di Bukit Jalil pada tahun lalu. Penunggang tersebut adalah Simon Vilhelmsen, berusia 24 tahun, dan telah mendapat tempat keempat keseluruhan dalam siri perlumbaan S-1GP Championship 2017.

Siri perlumbaan FIM S-1GP adalah siri perlumbaan kejohanan supermoto premier Eropah. Dan oleh kerana tidak ada siri supermoto “dunia” lain yang diluluskan oleh FIM, siri S-1GP ini dianggap sebagai MotoGP bagi supermoto.

Dato’ Eric telah sering kali “mengimport” penunggang terbaik dunia bagi membolehkan para penunggang di Asia menilai sendiri tahap mereka, selain sebagai motivasi bagi mempertingkatkan kemahiran mereka. Beliau pernah membawa masuk Chris Hodgson, Juara Supermoto British 14 kali, dan yang lain-lain sebelum ini.

Jentera perlumbaan Team DEL Michelin

“Penunggang dari luar Asia sebenarnya tidak dibenarkan bertanding dalam Siri FIM Asia Supermoto”, terang Dato’ Eric, “itulah sebabnya mengapa kita ada International Invitational Class.”

“Tetapi saya ingin menyaksikan penunggang dari Asia, terutamanya dari Malaysia bersaing seiringan dengan penunggang antarabangsa bagi menilai sendiri tahap mereka dan membandingkannya dengan penunggang antarabangsa. Ia juga satu peluang hebat buat penunggang Asia untuk belajar dari penunggang dari Eropah kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas. Jadi, Vilhelmsen adalah pilihan yang terbaik.”

Ketua pasukan Dato’ Eric Loo (DEL adalah singkatan nama beliau) telah meyakinkan kami yang pasukan tersebut akan bertanding dalam kelima-lima pusingan FIM Asia Supermoto Championship 2018.

Mengenai keputusannya untuk menubuhkan pasukannya sendiri, Dato’ Eric menegaskan, “kami mengambil tindakan ini bagi mendokong siri perlumbaan ini. Melihat pembangunannya dari hanya beberapa orang penunggang berhimpun untuk menunggang supermoto pada hujung minggu hinggalah ke tahap pengiktirafan yang ada sekarang, sewajarnya kami terus mengembangkannya lagi.”

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja utama kami, Michelin. Kami telah memilih mereka sebagai penaja kerana mereka memiliki tayar supermoto yang terbaik. Malah, mereka telah menghasilkan tayar khusus untuk perlumbaan supermoto.”

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja utama kami yang lain, Bike Nation dan Wee Bikers. Kini, Bike Nation adalah pengedar rasmi motosikal Husqvarna di Malaysia dan kami berbangga dapat bersaing di atas jentera ini,” sambung Dato’ Eric.

“Penaja bersama kami adalah Öhlins, Tekmo, RK-Takagaso, MVD, dan Gaerne Boots. Terima kasih atas sokongan anda.”

FIM Asia Supermoto Championship 2018 akan bermula pada 11 Ogos 2018 di Bangkok, Thailand. Teruskan bersama kami di mana kami akan membawa liputan mengenai siri yang mengujakan ini.

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube