Bikesrepublic

TKKR Racing Team Tolak Dakwaan KTM, Nafi Remy Gardner ‘Tak Profesional’

Umum sedia maklum bahawa KTM telah membuat keputusan untuk menyingkirkan pelumba Tech3, Remy Gardner, meskipun baru semusim beraksi di kelas premier.

Gardner, yang dibawa ke kelas MotoGP selepas menjuarai kelas Moto2 musim lalu, diberitahu khidmatnya tidak lagi diperlukan menjelang musim 2023.

Berita itu ternyata sukar diterima Gardner yang mendedahkan dirinya rasa kecewa dengan tindakan pengurusan KTM.

Lebih mengejutkan, KTM memberitahu Gardner bahawa keputusan itu dibuat ekoran sikapnya yang tidak profesional.

Bagaimanapun, bekas pasukan Remy Gardner di Moto2 pada musim 2019-2020, TKKR Racing Team – yang ketika itu dikenali ONEXOX TKKR SAG Racing Team – tidak bersetuju dengan dakwaan KTM tersebut.

Sebaliknya, menerusi perkongsian di akaun Facebook rasmi TKKR Racing Team, pasukan itu berkata sukar untuk percaya bahawa Gardner tidak profesional.

“Ketika dia bersama ONEXOX TKKR SAG, dia telah mempamerkan dedikasi dan tahap profesional tinggi bagi menjadi seorang pelumba yang berkeupayaan muncul juara dunia.

“Kami berharap dia akan buktikan KTM silap, satu hari nanti,” jelas perkongsian tersebut.

Musim 2022 merupakan musim pertamanya di kelas premier MotoGP selepas menjuarai kejuaraan dunia Moto2 musim 2021 bersama KTM Ajo.

Meskipun bergelut musim ini namun Gardner masih lagi dalam proses menyesuaikan diri apatah lagi saingan musim 2022 masih lagi berbaki tujuh pusingan.

Lebih malang, ketika rakan sepasukan Raul Fernandez telah mengesahkan tempat bersama RNF Aprilia MotoGP musim depan, peluang Gardner untuk kekal di kelas premier kekal malap.

Setakat ini, hanya LCR Honda dan Sky VR46 yang masih melengkapkan slot pelumba musim depan sementara GASGAS dijangka mengumumkan pelumba Moto2, Augusta Fernandez, sebagai calon untuk digandingkan bersama Pol Espargaro. 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan