Bonneville Bobber menjadi model terlaris Triumph apabila ia dilancarkan pada penghujung 2016. Ia telah melalui beberapa kemaskini selain melahirkan model Triumph Factory Custom (TFC) sepanjang hayatnya. Jadi, inilah satu lagi Bobber TFC untuk menyambut tahun baharu, ia Triumph Bobber TFC (2025).
Sudah tentu, varian TFC menerima beberapa komponen yang berspesidikasi tinggi seperti badan gentian karbon, kemasan hitam emas dua tona, enjin 1200cc yang ditala semula, suspensi, dan elektronik.
Pemetaan enjin yang lebih agresif menurunkan titik kuasa kuda puncak kepada 6,000 RPM daripada 7,000 RPM. Begitu juga, tork puncak 106Nm turut diturunkan kepada 3,750 RPM daripada 4,000 RPM. Inilah yang dipanggil karakter kuasa “cruiser” – tork dan kuasa yang lebih mudah dikendalikan pada RPM yang lebih rendah. Sebagai pelengkap, Triumph memasang sepasang penyenyap ekzos Akrapovič.
Triumph Bobber TFC (2025) juga menerima kaliper Brembo M50 yang dipasang secara jejari, cakera brek 310mm, dan silinder induk Brembo. Di hadapan adalah fork terbalik Öhlins 43mm NIX 30 boleh laras sepenuhnya. Monoshock di bahagian belakang boleh laras untuk pra-beban dan lantunan.
Bobber standard mempunyai mod tunggangan Road dan Rain, jadi Triumph menambah mod Sport untuk TFC. Lampu belakang disepadukan ke dalam penunjuk isyarat. Roda hadapan adalah 19-inci dan bar hendal standard digantikan dengan jenis klip-on.
Selain daripada ini, terdapat elemen emas marmar yang dilukis dengan tangan pada tangki dan panel sisi, dengan bahagian bawah tangki bahan api sembilan liter ditandatangani oleh artis yang mengecatnya.
Sentuhan lain termasuk tempat duduk kulit timbul, pelindung lumpur gentian karbon, penurun garpu emas, lencana penutup enjin mesin bilet dan juga rantai emas.
Harga Triumph Bobber TFC (2025) di UK ialah £17,195 (RM96,807.35) dan ia terhad kepada 750 unit sahaja.