Triumph Rocket 3 Evel Knievel Limited Edition telah dilancarkan sebagai penghormatan kepada legenda lagak ngeri itu. Edisi khas tersedia untuk kedua-dua varian Rocket 3 R dan Rocket 3 GT.
Walaupun Robert Craig ‘Evel’ Knievel telah dilihat mencuba aksinya menggunakan Harley-Davidson XR750 pada penghujung kariernya, dia telah memulakan kerjayanya serta melakukan beberapa aksi paling terkenalnya dengan menunggang Triumph T120. Ia termasuklah lompatan terkenal merentasi air pancut Caesar’s Palace Hotel, walaupun dia terhempas.
Knievel melakukan kira-kira 175 aksi lagak ngeri, dan telah dimasukkan ke dalam Motorcycle Hall of Fame pada tahun 1999.
Kembali kepada Triumph Rocket 3 Evel Knievel Limited Edition, setiap motosikal bercirikan plat penutup enjin hitam dan emas bernombor individu, diukir laser dengan logo tandatangan Evel Knievel. Pemilik juga akan menerima buku edisi pengumpul eksklusif yang menceritakan kisah Evel Knievel dan Triumph-nya, yang bernombor individu untuk dipadankan dengan motosikal mereka.
Apapun, kedua-dua varian motosikal kekal sama dengan versi standard. Enjinnya merupakan jenis 2458cc tiga slinder sebaris, dan menghasilkan kuasa maksimum 180hp pada 7,000 RPM dan tork maksimum 225Nm pada hanya 4,000 RPM. Kerangka dan lengan ayun satu sisi adalah aluminium.
Suspensi ini terdiri daripada fork terbalik Showa 47mm di di depan, dan monoshock Showa di belakang. Tugas brek dikendalikan oleh sepasang kaliper Brembo M4.32 Stylema monobloc di depan yang mencengkam cakera 320mm. ABS selekoh adalah ciri standard.
Ciri-ciri lain termasuk skrin TFT berwarna yang dikawal melalui kayu bedik bercahaya belakang. Skrin ini juga menampilkan paparan Evel Knievel yang unik semasa dimulakan.
Harga untuk Triumph Rocket 3 Evel Knievel Limited Edition belum diterbitkan.