Baru-baru ini Triumph Motorcycles mencuri tumpuan dengan pelancaran global Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X. Kedua-dua model ini dihasilkan dengan kerjasama syarikat motosikal gergasi India, Bajaj Auto.
Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X merupakan motosikal jenis ‘cafe racer’ serta ‘scrambler’ yang digerakkan platform TR-Series dibangunkan sepenuhnya Bajaj. Menariknya, platform tersebut bukanlah enjin yang sama terdapat pada Dominar 400 mahupun KTM RC 390 sebaliknya sebuah enjin serba baharu.
Sementara itu, kami telah pun diberitahu oleh pihak Triumph Motorcycles yang hadir ke Malaysia baru-baru ini bahawa kedua-dua model 400cc itu akan turut dipasarkan di Malaysia.
Menurut Ketua Jualan Eksport Triumph Motorcycles, Cees De Rooij, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X itu akan turut dijual di Malaysia ekoran rantau ini antara tumpuan utama jenama tersebut bagi memasarkan jentera berkapasiti kecil.
“Model 400cc itu cukup sesuai untuk pasaran ini (Malaysia) dan beberapa pasaran lain di Asia.
“Ini adalah usaha kami bagi menjadikan jenama Triumph lebih mampu milik berbanding model sedia ada,” jelasnya.
Sebaik dilancarkan di Malaysia kelak, kami yakin kedua-dua varian ini akan menerima sambutan baik ekoran membuka peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk merasai pemilikan motosikal jenama Britain itu.
Untuk rekod, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X dikuasakan enjin silinder tunggal 398cc yang berupaya menghasilkan 39.5hp dan 37Nm. Meskipun dikuasakan enjin yang sama namun masing-masing menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza.
Ini kerana Speed 400 lebih sesuai untuk kegunaan harian sementara Scrambler 400 X tampil lebih lasak dengan rim 19-inci depan di samping fungsi ABS boleh dipadamkan bagi tunggan ‘off-road’.
Apa pun, kami akan bawakan perkembangan yang lanjut mengenai kemasukan dua model ini di Malaysia dari masa ke masa.