Triumph Tiger Sport 800 (2025) yang serba-baharu telah dilancarkan. Ia mengisi jurang yang ditinggalkan oleh Tiger 850 Sport, antara Tiger Sport 660, dan Tiger 900.
Berbeza dengan Tiger 850 Sport yang berasaskan platform dual-sport Tiger 900, Tiger Sport 800 berasaskan kepada Tiger Sport 660 yang bertumpu kepada jalanraya sepenuhnya. Platform 660 bermula dengan Trident 660, sebelum Tiger 660 Sport dan Daytona 660 dilancarkan.
Oleh itu, Tiger Sport 800 lebih berkuasa daripada Tiger 850 Sport, dengan menggunakan enjin 798cc, tiga silinder yang menghasilkan kuasa 113hp dan tork 84.1Nm. Angka tersebut meletakkannya dalam julat Yamaha Tracer 9 GT (117hp, 93Nm) dan BMW F 900 XR (105hp, 92Nm). Walaupun tork puncak Triumph ini lebih rendah daripada pesaingnya, semua enjin Triumph ditala untuk memberikan 90% tork puncak mereka pada julat RPM yang lebih luas.
Casis motosikal itu dikongsi dengan 660, bermakna Triumph berjaya memuatkan enjin yang lebih besar ke dalam kerangka 660. Ya, kerangka 800 dan swingarm dikongsi dengan 660 tetapi suspensinya berspesifikasi lebih tinggi. Di bahagian hadapan ialah fork Showa terbalik 41mm boleh laras sepenuhnya, dan monoshock Showa di bahagian belakang. Brek terdiri daripada cakera berkembar 310mm dan kaliper empat piston di hadapan.
Ciri-ciri elektronik termasuk paparan TFT dengan sambungan telefon pintar melalui My Triumph Connectivity System, membolehkan navigasi belokan demi belok, panggilan telefon, penstriman muzik.
Terdapat Unit Pengukuran Inersia enam paksi (Inertia Measurement Unit/IMU) yang menyediakan ABS selekoh dan kawalan cengkaman yang dioptimumkan. Mod tunggangan ialah Road, Rain, dan Sport. Kawalan jelajaj (cruise control) dan penukar gear pantas (quickshifter) adalah ciri-ciri standard.
Triumph mendakwa penggunaan bahan api adalah amat jimat pada 25.5 km/liter, yang memberikan jarak maksimum 402km apabila digabungkan dengan tangki bahan api 18.6 liter.
Triumph Tiger Sport 800 (2025) dijual pada harga £10,995 (RM61,865.91) di UK.