Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa dia menukar ke kereta baharu sebab yang lama selalu rosak. Menurutnya ia merupakan kereta untuk kegunaan rasmi.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta yang terlalu tinggi menyebabkan ia tidak lagi berbaloi untuk digunakan. Beliau juga berkata kerajaan negeri tidak pernah membeli kereta untuk kegunaan menteri besar sejak Mei 2020 dan beliau selama ini hanya menggunakan kereta yang dibeli oleh menteri besar terdahulu.
“Kedua-dua Mercedes-Benz lama itu pernah rosak tengah jalan, kadang-kadang senget sebelah, kadang-kadang terangkat sebab masalah suspensi.
“Jadi Mercedes ini bila sampai satu peringkat penggunaannya sudah tidak ekonomi lagi, tapi kita baiki juga sebab nampak macam masih elok dan setiap kali baiki kena sampai RM50,000.
“Kereta baharu (yang dibeli itu pun) bukan kereta mewah, biasa-biasa saja… kalau saya nak beli sendiri pun saya ada duit, dua buah boleh beli.
“Tak mahal sangat pun tapi dah kerajaan beli saya naik, pihak yang cemburu tunggu jadi menteri besar esok kamu beli (dan) naik,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial isu kenderaan utiliti sukan (SUV) buatan Korea Selatan jenis Hyundai Palisade yang berharga di antara RM368,888 hingga RM399,888, yang digunakan Muhammad Sanusi yang menggunakan nombor pendaftaran KCX8.
Muhammad Sanusi berkata, pembelian kereta jenis itu adalah berdasarkan keperluan kerana ia lebih lasak dan sesuai digunakan olehnya yang melakukan perjalanan puluhan ribu kilometer sebulan.
“Kalau tengok pergerakan saya sebagai menteri besar, tuan-tuan boleh mengalah tak boleh ikut. Sebulan berpuluh ribu kilometer perjalanan, jadi kena kereta yang lasak sikit,” katanya.