Vespa 946 Dragon (2024) telah dipratonton sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan Itali yang ke-78 baru-baru ini.
Ia menggabungkan elemen ikonik, legenda, dan tradisi dalam satu motosikal edisi terhad, serta menampilkan beberapa aksesori eksklusif seperti cermin depan, beg belakang dan bahan pelana yang dipadan.
“Kami benar-benar berbesar hati kerana dapat mengambil bahagian di dalam perayaan Hari Itali di Malaysia pada ini dan kami berjaya melihat edisi terhad Vespa 946 Dragon. 946 ini benar-benar sebuah karya seni Itali daripada rangkaian Vespa yang ikonik,” kata En. Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Kumpulan Didi.
Vespa 946 Dragon ini telah membuat penampilan sulungnya ketika perayaan Tahun Baru Cina di Hong Kong, pada 24 Januari 2024.
Sebagai sebuah edisi untuk dikumpul, Vespa 946 diimaginasikan semula dalam rona keemasan dan dihiasi dengan motif naga hijau zamrud yang melingkar di sekeliling motosikal, untuk menjelmakan semangat garang skuter itu. Terdapat hanya 1888 unit yang di seluruh dunia.
Komponen lain seperti rim, hendal dan pelana berwarna kemasan mewah dalam emas satin berselang-seli dan berkilat.
Vespa 946 Dragon (2024) bukan sahaja menonjol di segi gaya tetapi juga merupakan Vespa paling canggih. Enjin satu silinder 150cc menggunakan fungsi suntikan bahan api elektronik, selain ABS dan kawalan cengkaman sebagai ciri standard. Pencahayaan adalah LED di sekeliling, manakala papan pemuka LCD membentangkan data tunggangan yang berkaitan. Rangka keluli monocoque digabungkan dengan komponen aluminium, bagi memastikan gabungan yang ringan namun kuat dan tahan lama.
Ia boleh didapati di Motoplex Petaling Jaya, Motoplex Sungai Buloh, Motoplex Butterworth, dan Motorplex Johor Bahru daripada RM 103,888.