Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL di sekitar ibu kota.
Ia berikutan pendedahan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias di mana hampir separuh daripada jumlah penumpang bas berkenaan ‘dikuasai’ warga asing.
Jalaluddin ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini berkata, dianggarkan sebanyak 45.2% penggunaan bas tersebut terdiri warga asing.
“Mereka (warga asing) menggunakan perkhidmatan ini secara pecuma. Kalau kita kutip RM1 untuk setiap warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta setiap bulan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hisamudin Yahaya.
Hisamudin telah bertanya tentang jumlah warga asing menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing pada masa hadapan.
Menjawab soalan tambahan Senator Dominic Lau Hoe Chai mengenai punca rakyat tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, Jalaluddin berkata, antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran batuan awal dan akhir masih belum memuaskan.
Selain itu, katanya, pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.
“Batuan awal antara kediaman ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya.