Beberapa jam sebelum aksi pembukaan tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) berlangsung di Aragon, Kawasaki Racing Team (KRT) kini berdepan isu ‘rev limit’.
Hal ini kerana FIM telah membuat pusingan U untuk tidak memperuntukkan ‘rev limit’ 15,100rpm diberikan kepada KRT sekaligus memaksa pasukan itu mematuhi ‘rev limit’ yang ditetapkan pada 14,600rpm seperti yang diumumkan sebelum ini.
Situasi ini lantas memberi kesan kepada KRT, Puccetti Racing, Pedercini Kawasaki dan Orelac Racing yang telah pun tiba di Sepanyol bagi menghadapi musim 2021 WSBK bersama jentera ZX-10RR 2021.
Keputusan FIM itu memaksa Kawasaki untuk menala semula enjin baharu dengan ‘rev limit’ berada pada 15,100rpm untuk kembali kepada 14,600rpm setelah mendapati tidak banyak komponen baharu didapati pada ruangan enjin.
Berikut ‘rev limit’ yang telah ditetapkan FIM bagi semua pengeluar yang beraksi di WSBK musim 2021:
- Kawasaki ZX-10RR 2021 – 14,600rpm
- Ducati V4 – 16,100rpm
- Yamaha R1 – 14,950rpm
- BMW M 1000 RR – 15,500rpm
- Honda CBR1000RR-R – 15,600rpm
BMW M 1000 RR 2021 telah mendapat pelbagai komponen baharu sekaligus Suruhanjaya Teknikal Antarabangs (CTI) membenarkan ‘rev limit’ berada pada 15,500rpm berbanding 14,900rpm pada musim lalu.
Bagaimanapun, isu ‘rev limit’ ini dijangka tidak akan memberi kesan kepada usaha Jonathan Rea untuk memburu kejuaraan dunia WSBK ketujuh musim ini.