Selepas baru sahaja melancarkan MT-09 serba baharu minggu lalu, Yamaha kembali dengan memperkenalkan adiknya, MT-07 2021.
Menariknya, MT-07 ini meneruskan rekaan lampu depan LED yang sama seperti terdapat pada MT-09 2021 dengan lampu projektor (high/low) berbentuk bulat di antara dua lampu sisi.
Bagaimanapun, bahagian lain masih tampak tidak jauh berbeza melainkan bentuk tangki yang kini sedikit tinggi dengan panel tangki berlainan.
Lampu isyarat depan kiri dan kanan juga tampil lebih pendek berbanding model sebelumnya di samping mengguna pakai lampu jenis LED.
Bahagian belakang juga mengekalkan rekaan sama kecuali tempat letak nombor plat yang kini turut didatangkan dengan lampu isyarat jenis LED.
Sementara itu, bahagian enjin telah dikemas kini bagi mencapai piawaian Euro5 antaranya intake, routing 2-into-1 ekzos dan ECU baharu sekaligus menyaksikan penurunan kuasa.
MT-07 2021 kini menghasilkan 72.8hp pada 9,000rpm dan 67Nm pada 6,500rpm berbanding 75hp dan 67.79Nm pada model sebelum ini.
Bagaimanapun, sistem membrek telah dipertingkat dengan cakera brek 298mm dengan ABS didatangkan secara standard di samping penggunaan tayar Michelin Road 5.