Yamaha bakal menghidupkan semula nama RZ250 dan RZ350 setelah pengeluar motosikal Jepun disahkan telah mempatenkan kedua-dua nama tersebut.
Yamaha RZ250 dan RZ350 sememangnya nama yang cukup gah ketika diperkenalkan pada 1985 dengan kedua-dua model 2-stroke (dua lejang) ini bingkas mencapai populariti termasuk di Malaysia. Tidak hairanlah, model itu ketika ini dijual pada harga sekitar RM60,000 hingga RM70,000 ketika ini.
Bagaimanapun, mengambil kira faktor emisi yang saban tahun semakin ketat, kami menjangkakan Yamaha tidaklah mahu menghidupkan secara bulat-bulat model yang diperkatakan. Sebaliknya, nama yang dipatenkan itu kemungkinan besar merujuk pada motosikal moden namun dengan sentuhan retro sepertimana yang dilaksanakan pada barisan model XSR.
Namun, terdapat kemungkinan juga Yamaha hanya memastikan nama model ikonik itu terus menjadi milik mereka dan tidak terlepas pada pengeluar lain.
Apa yang pasti, Yamaha RZ250 dan RZ350 sudah meninggalkan impak besar bagi mereka yang membesar dengan motosikal tersebut. Kemunculan semula model baharu dengan nama sama mungkin akan mencetuskan tanggapan negatif bagi mereka yang benar-benar menghargai kedua-dua model itu sebelum ini.