Nampaknya ada juga “demo kenai bare” di Thailand kerana Yamaha RX-Z merupakan barangan yang paling banyak dirampas di Sungai Golok.
Jabatan Kastam Malaysia berkata motosikal model itu serta kenderaan lain yang diklon merupakan barangan yang paling banyak diseledup melalui pangkalan haram sepanjang Sungai Golok sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Sazali Mohamad berkata 272 kertas siasatan dibuka hasil rampasan. Rampasan terbesar direkodkan ialah motosikal tersebut dan kenderaan klon, yang membabitkan nilai termasuk cukai berjumlah RM784,738.
Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan penyeludupan bertambah akibat musim kemarau yang menjadikan Sungai Golok menjadi cetek.
“Tidak dinafikan dengan jarak sempadan Sungai Golok sejauh 106 kilometer, penugasan agak terhad namun JKDM dengan keanggotaan seramai 500 orang sentiasa membantu agensi lain yang lebih utama dalam menjaga sempadan negara.
“Kami mengenal pasti kira-kira 140 pangkalan haram terdapat di sepanjang 106 kilometer Sungai Golok dan secara puratanya setiap kilometer terdapat satu pangkalan haram.
Rampasan kedua tertinggi membabitkan rokok seludup dengan nilai serta cukai berjumlah RM418,735.79.