Prinsipal pasukan Monster Energy Yamaha, Lin Jarvis akui terkilan dengan keputusan RNF Racing apabila disahkan menjadi pasukan satelit Aprilia bermula musim 2023.
Pengumuman terbaru RNF Racing dan Aprilia itu sekaligus menyaksikan kerjasama antara pasukan kendalian Datuk Razlan Razali dan Yamaha berakhir selepas empat tahun.
“Kami menghormati keputusan RNF Racing, tetapi saya sedikit terkilan kerana pengumuman itu dibuat ketika kami sedang bermesyuarat untuk mendengar keputusan mereka, jadi situasi itu agak luar biasa.
“Tetapi kami hormati keputusan mereka dan kami akan bergerak dari situ,” jelas Jarvis.
Sementara itu, Razlan dalam satu kenyataan rasmi sebaik pengumuman kerjasama dengan Aprilia dibuat mengakui pelan yang dikemukakan pasukan Itali itu cukup meyakinkan sekaligus antara faktor persetujuan tersebut dicapai.
Selain itu, antara semua pasukan satelit di MotoGP, hanya RNF Racign yang masih ketiadaan kontrak menjelang musim 2023 sekaligus keputusan untuk menjadi pasukan satelit Aprilia adalah satu langkah yang relevan.
Ini bermakna, Aprilia akan menurunkan empat jentera RS-GP musim depan.