Meskipun masih baru dalam pasaran namun Yamaha bakal memperkenalkan Tracer 9 GT generasi baharu untuk pasaran global berdasarkan beberapa gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan media antarabangsa.
Berdasarkan gambar dikongsikan motorradonline, motosikal ‘sport tourer’ itu ketika ini sedang menjalani ujian jalan raya di Eropah. Menariknya, gambar tersebut jelas menampakkan reka bentuk serba baharu terutamanya bahagian panel depan.
Sekali imbas, jelas menampakkan rupa seakan Yamaha MT-10 sehingga membuatkan kami berasakan jentera prototaip itu kemungkinan Tracer 10 serba baharu. Namun kerangka aluminium yang dipaparkan jelas menampakkan enjin 889cc CP3 yang sama terdapat pada Tracer 9 GT sedia ada sekaligus menyisihkan sangkaan tersebut.
Apa yang pasti, Yamaha telah mereka semula bahagian panel sisi dan penutup radiator sekaligus memberi bayangan bahawa terdapat beberapa penambahbaikan dilaksanakan pada model akan datang itu.
Pada masa sama, tumpuan kami terarah kepada bahagian belakang prototaip tersebut kerana Yamaha seakan cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik penyemaran yang dilakukan.
Apa yang kami dapat rungkaikan, Tracer 9 GT generasi baharu ini akan dinaik taraf dengan sistem ‘blind-spot detection’ sepertimana yang terdapat pada Ducati Multistrada V4.
Turut kelihatan ‘handguard’ yang telah direka semula bagi memuatkan lampu isyarat LED yang sebelum ini diletakkan pada bahagian sisi panel depan.
Apa pun, kami hanya mampu berspekulasi buat masa ini dengan segala jawapan terletak di bahu Yamaha. Apa yang pasti, generasi baharu Tracer 9 GT ini bakal tampil berbeza dengan panel badan lebih besar dan agresif selain daripada dinaik taraf dengan fungsi elektronik lebih cangggih.