Yamaha Y15ZR Special Edition (2025) telah dilancarkan, serta dilengkapi warna dan aksesori eksklusif.
Yamaha Y15ZR, atau lebih dikenali sebagai “Y-Suku”, begitu popular sehingga pengenalannya mungkin tidak diperlukan lagi. Ia kekal sebagai antara motosikal kapcai paling popular, dan mengekalkan kedudukan itu sejak pelancaran pertamanya pada 2015. Ya, sudah sepuluh tahun.
Sejak itu, Yamaha telah beberapa kali mengemaskini model ini, walaupun kebanyakannya terhad kepada perubahan kosmetik. Namun, buat apa memperbaikki sesuatu yang sudah sempurna? Industri aftermarket juga menawarkan pelbagai aksesori yang menyokong populariti motosikal ini.
Kembali kepada Yamaha Y15ZR Special Edition (2025), enjinnya kekal sama—150cc, patuh peraturan emisi EU4, satu silinder, penyejukan cecair, dan SOHC. Ia menghasilkan 15.1 hp (11.3 kW) pada 8,500 RPM dan tork 13.8 Nm pada 7,000 RPM.
Edisi Khas (SE) ini menonjol dengan skema warna eksklusif yang dipanggil Bronze Fury. Selain itu, ia dilengkapi dengan ‘Sports Visor’ baharu dan Bakul Premium YAMAHA dengan pengecas USB Type-C.
Hong Leong Yamaha Motor menyenaraikan harga Yamaha Y15ZR Edisi Khas 2025 bermula dari RM9,498.00 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran), dan sudah boleh didapati di pengedar Yamaha berautor di seluruh negara. Setiap pembeli akan menerima cakera kunci Yamaha bernilai RM100.00.