Zaqhwan Zaidi bakal membuat penampilan sulung sepenuh masa dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim 2025.
Zaqhwan yang sebelum ini menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 pada 2015 berkata, dia tidak mempunyai pengetahuan di litar Eropah dan isu berkenaan harus segera ditanganinya.
“Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai litar di Eropah atau jentera, jadi saya perlu berusaha lebih untuk memahami semuanya secepat yang mungkin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dan semua yang membantu menjayakan peluang ini,” kata Zaqhwan yang diberi kepercayaan untuk mewakili pasukan Petronas MIE Racing bagi musim 2025 dalam kelas perdana WorldSBK.
Zaqhwan yang bakal menunggang jentera Honda CBR1000RR-R bakal bergandingan bersama pelumba dari Great Britain, Tarran Mackenzie (anak kepada pelumba lagenda Niall Mackenzie) yang pada musim lalu menamatkan kempen dengan tujuh mata untuk berada di kedudukan ke-23 daripada 28 pelumba.
Musim baharu WSBK bakal menyaksikan 12 perlumbaan dengan saingan pembuka tirai bakal bertempat di Litar Phillip Island, Australia dari 21 hingga 23 Februari ini.
Saingan seterusnya beralih ke Litar Algarve di Portugal dari 28 hingga 30 Mac dengan pasukan dijadual bertandang lebih awal ke Portimao pada bulan ini untuk sesi latihan pra musim.
Dalam pada itu, pemilik pasukan, Midori Moriwaki teruja dengan barisan pelumba bagi musim ini yang turut menampilkan seorang lagi pelumba negara beraksi dalam kelas WorldSSP, Syarifuddin Azman, yang juga seorang pelumba pernah beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3.
“Setiap pelumba membawa pengalaman tersendiri dan dengan senarai pelumba ini, kami terus membangunkan program bakat kami.
“Kami yakin bahawa kami boleh mencapai keputusan yang baik semasa kami melangkah ke peringkat baharu ini dan bersedia untuk menghadapi cabaran baharu,” katanya.