Bikesrepublic

JuniorGP: Duduk Tempat Kedua Kejuaraan, Zulfahmi Puas Hati Pencapaian Damok

Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin berpuas hati dengan pencapaian Syarifuddin Azman pada Pusingan 5 Kejuaraan JuniorGP Dunia di Litar Algarve, Portugal minggu lalu.

Beliau berharap tempoh rehat sehingga September dapat memberi ruang buat Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok memperkemaskan tunggangannya bagi mengharungi pusingan seterusnya di Litar Misano.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi Damok minggu lalu kerana meraih podium ketiganya musim ini dan sekali gus meletakkan dirinya berada di kedudukan kedua keseluruhan ketika ini.

“Ini adalah sesuatu yang bagus buat kami. Diharap, ketika tempoh rehat ini, dia dapat melihat secara mendalam apakah yang boleh dipertingkatkan lagi untuk ke depan lagi,” kata Zulfahmi.

Ahad lalu, Damok meraih podium ketiganya musim ini di Litar Algarve, Portugal selepas menemui garisan penamat kedua dengan catatan 29 minit 07.323 saat (s) dan dipisahkan 6.551s di belakang pemenang, Jose Rueda (29:00.772s) manakala Adrian Cruces melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, 29:07.437s.

Pelumba lain yang bawah kendalian pasukan, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang turut beraksi dalam kelas sama pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dan kini berada di tangga ke-19 keseluruhan.

Seorang lagi pelumba yang beraksi dalam saingan European Talent Cup (ETC), Hakim Danish Ramli tidak menamatkan perlumbaan selepas jentera mengalami masalah mekanikal dan kini berada di tangga kelima keseluruhan.

“Untuk Danial, ini adalah tahun untuk dia belajar. Dia masih belajar untuk menjadi pantas menggunakan motosikal Moto3. Untuk Danish pula, agak malang yang dia berdepan masalah mekanikal.

“Secara keseluruhannya, Danish adalah seorang pelumba kompetitif di ETC dan diharap, dia akan kembali dengan lebih kuat di pusingan seterusnya,” kata Zulfahmi.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan