Bikesrepublic

Arkib

MForce Bike Holdings memulakan langkah sulung dalam segmen skuter elektrik tempatan  dengan memperkenalkan Yadea E8S Pro. 

Skuter elektrik tersebut yang sebelum ini telah pun dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023, Mei lalu, merupakan antara usaha MForce dalam mendukung inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang telah diumumkan kepada dalam Belanjawan 2024 sebelum ini. 

Menurut MForce, Yadea E8S Pro ini ditawarkan pada harga RM5,999 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans) dan hadir dengan teknologi cekap tenaga TTFAR. Skuter elektrik ini juga mencapai standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan boleh didaftarkan seperti motosikal ICE (enjin pembakaran dalaman). 

Atas kertas, E8S Pro ini dilengkapi dengan bateri 72v berkapasiti 38Ah dan dipadankan bersama motor elektrik 2000W yang mampu menjana 140Nm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi tali sawat (belting). Skuter ini juga mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 60km/j dan menawarkan jarak pergerakan sehingga 150km bagi setiap cas penuh.

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk lampu LED, panel meter digital dan ruang penyimpanan 32L. Menariknya, skuter ini juga hadir dengan dua mod; Eco dan Sport. 

Bagi yang berminat, Yadea E8S Pro hadir dengan tiga warna menarik; Space Gray, Matte Sea Blue dan Black. 

Episod terbaru Ducati World Premiere 2024 menyaksikan pengeluar motosikal Itali itu melancarkan Ducati Multistrada V4 RS, keluarga terbaru bagi model Multistrada. 

Perbezaan utama varian RS tertumpu kepada bahagian enjin. Ini kerana ketika Multistrada V4, V4 S, Rally, Pikes Peak dan Grand Tour dipacu enjin Granturismo V4 1,158cc 4-silinder yang menghasilkan sekitar 170hp dan 125Nm, Multistrada V4 RS pula dihidupkan enjin Desmosedici Stradale 1,103cc yang sama terdapat pada Panigale dan Streetfighter V4. Juga memeriahkan lagi V4 RS ini adalah kehadiran ciri ‘dry clutch’.

Hasilnya, Ducati Multistrada V4 RS ini menawarkan 180hp pada 12,250rpm dan 118Nm pada 9,500rpm. Ini juga bermakna, Multistrada V4 RS ini kembali kepada penggunaan Desmodromic valve yang ikonik kepada jentera Ducati (Granturismo V4 guna pakai ‘valve-spring’). 

Menariknya, bagi memastikan suhu panas enjin 1,103cc V4 itu tidak menyeksakan ketika dalam trafik sesak, ECU akan mematikan dua silinder sewaktu dalam keadaan berhenti atau semasa dalam gear neutral. 

Meskipun platform berbeza, namun Multistrada V4 RS ini meminjam kerangka aluminium yang sama dari varian Pikes Peak sekaligus menyaksikan sudut ‘steering head’ berubah dari 25.75-darjah kepada 24.5-darjah sekaligus mewujudkan gaya tunggangan yang lebih sporty. 

Juga seperti Pikes Peak, Multistrada V4 RS ini dilengkapi dengan rim 17-inci yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Rosso IV Corsas. Selain itu penggunaan rim aluminium Marchesini juga berjaya mengurangkan 2.7kg berat. 

V4 RS ini juga didatangkan dengan suspensi Öhlins Smart EC 2.0 yang sama terdapat pada V4 Pikes Peak namun dengan elektronik yang telah ditala semula bagi mencapai kawalan fork dan monoshock yang lebih tepat. Tetapan suspensi juga akan diselaraskan mengikut mod Race, Sport, Touring dan Urban.

Selain enjin, V4 RS juga berkongsi pakej brek sama seperti Panigale V4 termasuk kaliper monoblok berkembar Brembo Stylema yang mengapit cakera brek 330mm depan sementara bahagian belakang dikenalikan kaliper Brembo dengan cakera brek 265mm. Model ini jgua hadir dengan ciri ‘cornering ABS’ secara standard. 

Ducati juga mengubah kedudukan tempat letak kaki (footrest) agar lebih tinggi dan kebelakang sementara ‘handlebar’ pula lebih rendah dan pendek berbanding Multistrada sedia ada. 

Ketika siaran Ducati World Premiere 2024, Ducati menjelaskan bahawa V4 RS ini adalah model edisi terhad namun tidak dinyatakan jumlah spesifik model yang dihasilkan. 

GALERI: DUCATI MULTISTRADA V4 RS

Pasukan Gresini Racing meluahkan rasa yakin bahawa lapan kali juara dunia, Marc Marquez mampu mencabar kejuaraan dunia MotoGP musim depan. 

Pasukan satelit Ducati itu memuat kejutan apabila mengumumkan Marquez selaku pelumba utama bagi musim 2024 menggantikan Fabio Di Giannantonio dan akan beraksi di samping adiknya, Alex (Marquez). 

Pengarah Pemasaran dan Komersil Gresini, Carlo Merlini menyifatkan senario itu sebagai impian jadi kenyataan.

“Kami berterima kasih kepada Marc (Marquez) atas kepercayaan diberikan. Kami percaya kami mampu berikan apa yang dia perlukan iaitu  pakej teknikal selain persekitaran yang dia boleh biasakan,” jelas Merlini. 

Dalam pada itu, Merlini mendedahkan objektif utama ditetapkan untuk Marquez adalah mudah iaitu mencabar kejuaraan dunia musim 2024. 

“Kami rasa kami mampu menduduki ranking tinggi dan mencabar kejuaraan. Marc mampu menang setiap perlumbaan dan akhirnya mencabar kejuaraan MotoGP,” tambah Merlini.

Meskipun menandatangani khidmat Marquez selama setahun bagi musim 2024 namun Merlini akui pasukan itu berharap pelumba itu akan terus kekal semusim lagi sehingga 2025. 

Terdahulu, Marquez telah pun mengesahkan dia akan beraksi pada musim 2024 menggunakan jentera Desmosedici GP berusia setahun yang sedang digunakan pasukan factory Ducati musim ini.

BMW Motorrad telah pun memperkenalkan BMW R 1300 GS serba baharu untuk pasaran global yang tampil bukan sahaja dengan reka bentuk serba baharu malah dengan enjin serba baharu. 

Pelancaran model berkenaan juga mencuri perhatian kerana datang dengan rekaan lampu depan yang berlainan berbanding R 1250 GS sebelum ini. 

Baru-baru ini, motosikal ‘adventure’ itu kembali menjadi topik perbualan di kalangan peminat dua roda apabila rakan media Careta memuat naik gambar yang memaparkan beberapa unit R 1300 GS kelihatan di tanah air dengan nombor plat Malaysia. 

Meskipun ramai yang berpendapat model itu akan dilancarkan tidak lama lagi namun menurut sumber, R 1300 GS dalam gambar yang tular itu sebenarnya dalam perjalanan ke Chiang Mai, Thailand bagi tujuan latihan. 

Sementara itu, kami juga diberitahu bahawa R 1300 GS itu hanya akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia tahun depan. Namun buat masa ini, belum dapat dipastikan spesifikasi atau pakej yang akan disertakan untuk pelanggan di sini.

Untuk rekod, BMW, R 1300 GS kini dikuasakan enjin boxer 1300cc dengan sistem penyejukan cecair/air yang berupaya menghasilkan 145hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm. Seperti model BMW terbaru, model ini juga dilengkapi teknologi BMW ShiftCam (variable valve timing). 

Pembangunan R 1300 GS juga memfokuskan pada peningkatan tork dan BMW mendakwa sebanyak 130Nm tork akan hadir antara 3,600 dan 7,800rpm sekaligus memastikan daya tarikan kekal kuat dalam pelbagai senario menunggang. 

Meskipun enjin lebih besar dengan bore dan stroke diletakkan pada 106.5mm x 73mm namun penggunaan bahan api sama efisien seperti R 1250 GS. Menurut BMW, R 1300 GS ini juga boleh mencapai kelajuan maksima 200km/j dan boleh pergi 0-100km/j dalam tempoh 3.39 saat. 

Lebih menarik, BMW R 1300 GS ini juga 12 kilogram lebih ringan berbanding generasi terdahulu. 

Pengeluar motosikal tempatan, Aveta bakal melancarkan Aveta Ranger Max untuk pasaran tempatan tidak lama lagi berdasarkan perkongsian terbaru di laman sosial Facebook. 

Meskipun info terperinci belum didedahkan namun motosikal tersebut telah pun dipertontonkan kepada umum ketika di Malaysia Autoshow 2023, Mei lalu. 

Ketika itu, kami difahamkan bahawa Ranger Max 130 dikuasakan enjin satu silinder 130cc dengan suntikan bahan api dan dipadankan bersama transmisi 5-kelajuan tanpa klac. Enjin tersebut juga boleh dihidupkan dengan ‘starter’ elektrik dan penendang kaki. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • cakera brek depan, dram belakang
  • rim 18-inci depan, 16-inci belakang
  • fork teleskopik depan, penyerap hentak berkembar belakang
  • lampu LED
  • panel meter digital 

Buat masa ini belum ada tarikh pelancaran diumumkan namun berdasarkan promosi dan ‘teaser’ di Facebook, Ranger Max 130 ini pastinya akan tiba tidak lama lagi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan tempatan berpangkat Datuk, pada Selasa. 

Lelaki berusia 57 tahun itu telah ditahan bersama isteri, 55 dan anak lelaki, 26 tahun di kediaman mereka di Shah Alam. 

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

12 Oktober lalu, MYAirline telah menggantungkan operasi penerbangan dengan serta-merta dengan alasan mengalami “cabaran kewangan signifikan”. – Berita Harian

Yamaha pernah menghasilkan 500 unit Yamah R7 OW-02 sekitar 1999 bagi melayakkan diri untuk menyertai Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) ketika itu. 

Model homologasi khas itu tampil dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk suspensi Öhlins, injap titanium, ‘connecting rod’ titanium serta injektor berkembar. Enjin tersebut juga dibangunkan khas agar berkemampuan beraksi di Kejuaraan Dunia Endurance (EWC) dan WSBK. 

Meskipun enjin tersebut hanya menghasilkan 106hp namun dengan beberapa pengubahsuaian, Yamaha R7 OW-02 itu mampu menawarkan sehingga 162hp. 

Pada tahun 1999, harga jualan bagi setiap satu daripada 500 unit itu hanyalah GBP26,000 (RM150k). 

Bagaimanapun, acara lelongan yang berlangsung di United Kingdom baru-baru ini menyaksikan salah satu model berkenaan telah terjual pada harga lelongan GBP37,375 (RM216.2k). 

Difahamkan, Yamaha R7 OW-02 itu dalam keadaan ‘new old stock’ (NOS) dengan perbatuan kosong.

Menariknya, menurut penjual, motosikal tersebut merupakan satu daripada enam model Yamaha bekalkan kepada pasukan Virgin Yamaha pada 2001. Daripada enam unit itu, empat digunakan untuk perlumbaan, satu disimpan oleh pasukan dan sebuah lagi dibeli oleh anggota pasukan berkenaan yang kemudiannya dijual pada pembeli sedia ada. 

Sebagai usaha memudahkan urusan rakyat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara kini sedang berbincang untuk mengiktiraf cukai jalan dan lesen memandu digital. 

Menteri Pengangkutan, Anthonly Loke memaklumkan perkara itu ketika sesi pertemuan bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat pada Selasa. 

“Kami membincangkan beberapa isu dua hala utama di bawah portfolio masing-masing termasuk dasar untuk membolehkan pengiktirafan bersama cukai jalan digital dan lesen memandu untuk kemudahan rakyat Malaysia dan Singapura,” jelasnya. – Astro Awani

Triumph Motorcycles dengan rasminya mengucapkan selamat tinggal kepada model ‘cafe-racer’ popular, Triumph Thruxton menerusi Triumph Thruxton Final Edition 2024.

Menurut Triumph, Thruxton Final Edition ini dibangunkan daripada platform Thruxton RS. Hasilnya, model ini dikuasakan enjin parallel-twin 1,200cc Bonneville yang berupaya menghasilkan 104hp pada 7,5000rpm dan 112Nm pada 4,250rpm. Enjin ini juga dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan.

Selain itu, Thruxton Final Edition ini juga didatangkan dengan pakej kerangka, suspensi, brek, rim dan tayar yang sama seperti Thruxton RS termasuk fork Showa Big Piston USD 43mm boleh laras di bahagian depan dan penyerap hentak berkembar belakang Ohlins. Kedua-dua komponen ini menawarkan pelarasan sepenuhnya dengan jarak pergerakan 120mm. 

Pakej brek terdiri daripada Brembo M50 4-pot berkembar dengan cakera brek 310mm. Bahagian belakang pula dikendalikan brek Nissin 2-pot dengan cakera 220mm. ABS juga didatangkan secara standard. 

Tayar pula merangkumi rim 17-inci aluminium ringan yang dipadankan bersama Metzeler Racetec RR. 

Sebagai model edisi khas, Thruxton Final Edition ini tampil dengan pilihan warna metalik Competition Green dengan kemasan berwarna hitam. Tangki pula diwarnai dengan garisan keemasan termasuk penutup tempat duduk belakang. Juga melengkapkan imej edisi khas ini adalah logo Triumph berwarna emas. 

Menurut Triumph, setiap Thruxton Final Edition ini datang dengan sijil khas yang memaparkan no. VIN dan tanda tangan pasukan rekaan selain CEO Triumph, Nick Bloor. 

Jenama motosikal China, Zongshen telah mempamerkan skuter 150cc terbaru, RT1 di Canton Fair yang sedang berlangsung di China. 

Untuk rekod, skuter Zonghsen turut dipasarkan di Malaysia menerusi MForce dan dijenamakan semula sebagai WMOTO. Ketika ini hanya WMOTO RT3S 250cc dipasarkan disini. 

Bagaimanapun, RT1 pula merupakan skuter segmen 150cc dan bakal menyaingi Yamaha NVX/NMax 155, Honda Vario 160 dan ADV 160. 

Atas kertas, Zongshen RT1 ini dikuasakan enjin satu silinder  149cc 4-valve dengan penyejukan air yang menawarkan 14hp pada 8,000rpm dan 14Nm pada 6,750rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi CVT dan mampu merekodkan kelajuan maksima 100km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk cakera brek depan dan belakang yang dipadankan bersama ciri ABS, rim 14-inci depan dan belakang serta tangki berkapasiti 9L. 

Ciri elektronik juga menarik dan merangkumi sistem smartkey serta ‘traction control’ yang jarang sekali kedengaran pada skuter 150cc. Menariknya, seperti WMOTO RT3S, RT1 ini juga dilengkapi dengan kamera di bahagian depan dan belakang.

Dalam usaha mencapai 15 peratus jumlah jualan motosikal elektrik menjelang 2023, kerajaan telah memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik ketika Belanjawan 2024 yang diumumkan pada Jumaat. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Insititut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, skim terbaru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan bantu meningkatkan industri EV dua roda sekaligus mengukuhkan ekosistem kenderaan hijau di Malaysia.

“MARii yakin ini merupakan satu langkah penting dalam pembangunan teknologi serta aktiviti perniagaan tempatan berkaitan EV.

“Skim ini akan menggalakan penggunaan motosikal EV dan secara tidak langsung membina keyakinan masyarakat terhadap penggunaan motosikal EV di Malaysia,” jelas Azrul Reza Aziz dalam satu kenyataan. 

Untuk rekod, Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik adalah inisiatif khas yang akan diperkenalkan kepada golongan berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah. 

Menerusi skim ini, kerajaan akan memberi rebat sehingg RM2,400 kepada mereka yang mahu membeli motosikal elektrik. Selain itu, kerajaan juga bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan kemudahan pengecasan untuk tempah empat tahun serta potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun. 

Kawasaki Z650RS menjadi model 650cc terbaru yang kini dinaik taraf dengan sistem Kawasaski Traction Control (KTRC) bagi tahun 2024 setelah Versys 650, Ninja 650 dan Z650 mendapat fungsi sama tahun ini. 

Kehadiran KTRC secara tak langsung menjadikan Z650RS sebagia motosikal yang bukan sahaja tampil dengan gaya retro malah turut mencapai standard jentera moden masa kini.

Menurut Kawasaki, KTRC ini datang dengan dua mod; Mode 1 (paling kurang gangguan kawalan cengkaman) Mode 2 (paling tinggi gangguan kawalan cengkaman). KTRC ini juga boleh dipadamkan sepenuhnya. 

Selain itu, ciri dan kelengkapan lain kekal sama seperti model sebelum ini termasuk enjin parallel-twin 649c, fork depan 41mm (tidak boleh laras), serta kaliper brek Nissin. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube