Bikesrepublic

Dalam Negara

Pelumba negara yang lebih dikenali sebagai Damok (Syarifuddin Azman) akan menyertai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Pasukan baharunya, Idemitsu Boon Siew Honda (BSH) Racing Team mengeluarkan kenyataan tersebut. Kontrak yang baharu ini bermaksud Damok dapat beraksi dalam kejuaraan perlumbaan yang agak besar setelah beliau tidak lagi beraksi dalam Kejuaraan Moto3 di MotoGP.

Beliau bersama rakan sepasukannya Md Irfan Haykal akan beraksi dalam kelas AP 250cc.

Selain daripada Damok, Md. Zaqhwan Zaidi akan menyambung kariernya di dalam kelas perdana ASB1000 bersama jentera baharu Honda CBR1000RR-R 2024. Md. Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar pula akan menunggang jentera Honda CBR600RR di dalam SS600cc.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Mitsuharu Funase berkata pihaknya meletakkan sasaran tinggi bagi memburu pelbagai kejayaan, serta menjadikan 2024 sebagai tahun kejayaan pasukan itu.

“Kami sarkan untuk muncul juara keseluruhan kelas SS600. Pelumba kami mempunyai pengalaman dan semangat juang tinggi manakala Syarifuddin dalam kelas AP250 menjanjikan aksi konsisten,” katanya.

Pusingan pembukaan ARRC (Asia Road Racing Championship) itu berlangsung pada 15-17 Mac ini di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

Polis sudah berjaya memberkas penunggang motosikal yang sengaja melanggar kenderaan lain dan mencetuskan kemalangan agar dapat meminta want gantirugi.

Lelaki berusia 41 tahun yang seorang penganggur ditahan sebuah rumah di Changkat Bukit Gambir, Gelugor, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau iaitu lima membabitkan jenayah manakala lapan berkaitan kes dadah.

“Kita sudah lengkapkan kertas siasatan serta serah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut.

“Susulan itu, kita terima arahan bagi mendakwa suspek di mahkamah pada Khamis ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seksyen 384 Kanun Keseksaan ialah undang-undang berkenaan kesalahan memeras ugut.

Ahad lalu, satu gambar dan video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal sengaja melanggar sebuah kereta sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kenderaan terbabit. Dia kemudiannya meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta dengan alasan cermin sisinya patah akibat insiden berkenaan.

Polis Buru Lelaki Sengaja Sebabkan Kemalangan, Minta Wang

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah mengeluarkan notis panggilan balik untuk Yamaha NVX dan Yamaha YZF-R15M. Program ini melibatkan beberapa Yamaha NVX dan Yamaha YZF-R15M tahun 2021, 2022, 2023 di Malaysia.

Menurut kenyataan akhbar di laman web HLYM, program itu melibatkan penggantian dan peningkatan unit CCU untuk NVX dan R15M. Program ini akan dijalankan secara berperingkat.

CCU ialah Unit Kawalan Komunikasi (Communication Control Unit) dalam istilah Yamaha. Ia merupakan unit elektronik yang membolehkan penunggang berkomunikasi dengan motosikal melalui telefon pintarnya. Dalam erti kata lain, unit ini mengawal ciri sambungan Yamaha Y-Connect. Bagaimanapun, HLYM tidak menghuraikan isu yang dihadapi atau sama ada ia merupakan langkah pencegahan.

Siaran akhbar itu turut memetik unit-unit motosikal yang terlibat dalam program tersebut.

Nombor casis (kerangka) untuk Yamaha NVX ialah:

  • PMYSG7410L0000011 – P0039700
  • PMYSG7420L0000011 – P0026367

Nombor casis (kerangka) untuk Yamaha YZF-R15M ialah:

  • PMYRG7910N0000011 – N0002990
  • PMYRG7910P0002991 – P0005190
  • PMYRG7910P0004991

Hong Leong Yamaha Motor turut menyatakan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan surat rasmi kepada pemilik motosikal yang terjejas. Sebaliknya, pemilik motosikal yang terhurai di atas boleh melawat pengedar sah Yamaha untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pemilik boleh menetapkan temu janji di pengedar sah atau ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh. Pautan temu janji adalah https://service.yamaha-motor.com.my/booking.

Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE – West Coast Expressway) dari Taiping ke Beruas boleh digunakan secara percuma selama dua bulan bermula tengah malam ini sehingga 11 Mei depan. Lebuh raya WCE telah dibuka bermula 12.01 tengah malam semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laluan baru secara percuma itu bersempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Kita berterima kasih kepada pihak konsesi WCE dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk pemberian tol percuma selama dua bulan bermula 12.01 tengah malam (semalam) sehingga 11 Mei ini sempena Ramadan dan Aidilfitri. Perkhidmatan ini juga adalah permintaan daripada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad).

“Pemberian tol percuma ini berbeza daripada tol di tempat lain iaitu sehingga dua bulan kerana mengambil kira ketibaan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri yang lazimnya dirayakan lebih panjang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Laluan WCE Seksyen 11 yang dibuka kali ini membabitkan laluan sepanjang 35.5km dengan kos pembinaan RM422 juta menghubungkan pengguna secara terus dari lebuhraya PLUS di Plaza Tol Changkat Jering ke Beruas. Justeru masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas mengambil hanya 20 minit berbanding 55 minit melalui laluan sedia ada.

Panjang keseluruhan WCE ialah 233km dari Banting, Selangor ke Beruas. WCE yang mula dibina pada Ogos 2014 menelan kos RM5.044 bilion. Daripada jumlah itu, RM1.922 bilion ialah kos bagi pembinaan pakej jajaran di Perak, manakala selebihnya RM3.122 bilion ialah pakej pembinaan jajaran di Selangor.

Terdahulu dalam ucapannya Menteri itu berkata, WCE dibina dengan matlamat sebagai laluan alternatif dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sekali gus menambah baik jaringan perhubungan negara. Beliau mengharapkan WCE menjadi pilihan laluan alternatif kepada sedia ada dari Lembah Klang ke wilayah Utara terutamanya bagi penduduk di persisiran pantai barat semenanjung Malaysia.

 

Ducati Malaysia, peneraju dalam dunia motosikal premium, dengan bangga memperkenalkan Waranti Kilang Ever Red, waranti kilang 3 tahun yang menyeluruh dan direka secara eksklusif untuk pemilik Ducati. Waranti kilang yang inovatif ini memang sedia ada dengan pembelian semua model Ducati bermula dari 1 Mac 2024.

Kewujudan Waranti Kilang Ever Red merupakan satu langkah penting dalam komitmen Ducati untuk menyediakan sokongan dan ketenangan minda yang tiada tandingan kepada pelanggannya yang dihormati. Direka khas untuk memenuhi keperluan tersendiri pemilik Ducati, waranti kilang 3 tahun ini menetapkan piawaian baru untuk keunggulan dalam industri motosikal.

Ciri-ciri utama Waranti Kilang Ever Red termasuk:

  • Khusus untuk Pemilik Ducati: Dicipta untuk peminat Ducati, rancangan waranti 3 tahun ini direka khas untuk memberikan manfaat dan sokongan yang tiada tandingan yang hanya ditawarkan oleh Ducati Malaysia.
  • Perjalanan Tanpa Had: Mengiktiraf semangat pengembara Ducati, Waranti Kilang Ever Red datang dengan perjalanan tanpa had, membenarkan pemilik untuk meneroka jalan raya tanpa batasan.
  • Ketenangan Minda Maksima: Ducati Malaysia dengan berbesar hati melanjutkan waranti luar biasa ini selama 3 tahun, menekankan keyakinan jenama dalam kualiti dan ketahanan motosikal mereka dengan penggunaan eksklusif alat ganti Tulen Ducati.

Encik Dennis Michael, Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, mengungkapkan semangat beliau tentang Waranti Kilang Ever Red, ” Di Ducati Malaysia, kami komited untuk menyampaikan motosikal yang luar biasa kepada komuniti Ducati tempatan dan memastikan bahawa pelanggan kami menikmati pemilikan tanpa kebimbangan. Waranti Kilang Ever Red adalah bukti komitmen kami terhadap keunggulan, menawarkan liputan yang dipanjangkan dan ketenangan minda di jalan raya. Program ini penting bagi komuniti kami dengan memberikan mereka jaminan dan sokongan yang wajar serta memberi faedah kepada pelanggan dengan lebih nilai dan keyakinan dalam pemilikan Ducati mereka.”

Manfaat Tambahan Waranti Kilang Ever Red 3-tahun:

  • Berkuatkuasa kepada Motosikal Baru Ducati dan Scrambler Model Tahun 2024: Dari reka bentuk cantik Panigale V4S kepada daya tarikan ikonik Next-Gen Scrambler, waranti ini meliputi pelbagai model Ducati Malaysia 2024 yang dibeli dari 1 Mac 2024.
  • Waranti Boleh Pindah: Berlabel pada nombor casis, Waranti Kilang Ever Red 3 Tahun secara lancar berpindah kepada pemilik seterusnya dalam tempoh 3 tahun, meningkatkan nilai jual semula motosikal Ducati di Malaysia.
  • Kos Pemilikan Tanpa Bimbang: Dengan menyediakan liputan komprehensif, waranti ini secara signifikan mengurangkan kos pemilikan, menjadikan pemilikan Ducati lebih mudah diakses dan berbaloi.

Ducati Malaysia menjemput peminat motosikal untuk meneroka Waranti Kilang Ever Red 3 Tahun yang mencerminkan komitmen jenama Ducati terhadap kepuasan pelanggan.

Untuk maklumat lanjut mengenai model Ducati dan Waranti Kilang Ever Red 3 Tahun, lawati pusat pengedar Ducati di seluruh negara atau ikuti media sosial Ducati Malaysia di Facebook dan Instagram.

Pemilikan Lebih Pantas, Lebih Mudah dengan Pembiayaan Kredit Ducati Corse

Semua model Ducati dan Scrambler Ducati akan dibuat tersedia untuk pemilikan melalui pilihan pembiayaan eksklusif – Kredit Ducati Corse. Pelan pembiayaan ini menggabungkan ciri-ciri yang menjadikan pemilikan Ducati lebih lancar:

  • Direka khas untuk motosikal Ducati dan Scrambler.
  • Skim bayaran balik yang fleksibel.
  • Kelulusan lebih pantas.
  • Kadar faedah serendah 4.88%.
  • Pilihan bayaran pendahuluan 10%.

Pernah tidak terjumpa ulat parkir yang meminta “upah menjaga” apabila anda hendak parkir motosikal atau kereta anda? Perkara ini berleluasa di banyak tempat di sekitar Ibu Negara walhal tempat parkir berkenaan merupakan kawasan awam.

Ia sebenarnya suatu kesalahan dan kita boleh membuat laporan kepada Polis atau Dewab Bandaraya.

Beberapa hari lepas, seorang ulat parkir yang dipenjara 30 hari serta denda oleh Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas didapati bersalah menjalankan kegiatan haram itu.

Dia bersama tujuh individu termasuk lima warga asing dituduh di mahkamah selepas ditahan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL menerusi Tindakan Khas Penjaga Parkir Tanpa Kebenaran (Ops Jaga), Khamis lalu. Operasi yang dijalankan sekitar Jalan Tun Sambathan, Jalan Sri Hartamas, Jalan Beremi, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Alor dan Jalan Raja Alang dikenal pasti lokasi tumpuan aktiviti menjaga dan mengutip wang parkir di kawasan awam.

“Operasi khas dijalankan bermula jam 12.30 tengah hari hingga jam 9.30 malam menahan tiga lelaki warga tempatan dan lima warga asing terdiri daripada tiga warga India serta seorang Bangladesh dan seorang warga Myanmar.

“Mereka kemudian dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi (pendakwaan mahkamah/kertas siasatan).

“Kelmarin, Mahkamah Majistret DBKL menjatuhkan hukuman penjara 30 hari kepada seorang individu, empat lagi dikenakan penjara 14 hari manakala tiga yang lain didenda,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan ulat parkir di ibu negara seperti tiada kesudahan selepas kelibat mereka sering mengganggu pengguna jalan raya.

Ulat parkir itu dikesan mengenakan caj mencecah RM20 bagi sebuah kenderaan menyasarkan lokasi tumpuan ramai seperti kawasan beli-belah, tempat menjamu selera dan sekitar pusat hiburan.

Polis Pulau Pinang sedang memburu seorang lelaki yang menyebabkan kemalangan dan meminta wang daripada pemandu.

Polis telah menerima satu laporan berhubung lelaki yang didakwa sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan niat mahu meminta sejumlah wang, kononnya sebagai ganti rugi daripada pemilik kereta yang terbabit.

Lelaki itu dikatakan sering menyebabkan kemalangan sekitar bandaraya, Jalan Masjid Negeri, Bukit Gambir, Taman Lip Sin, dan Taman Tun Sardon.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata lelaki itu kini masih diburu polis semenjak aduan daripada orang awam pada Disember lalu. “Setakat ini satu laporan diterima berhubung kejadian itu dan usaha menjejak suspek berkenaan masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan lelaki berkenaan yang menunggang motosikal sengaja melanggar kereta dan mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kenderaan terbabit.

Susulan pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan dikatakan meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta dengan alasan cermin sisinya patah dalam insiden terbabit.

Scam seperti sudah pernah berlaku beberapa kali dan ia menjadikan kamera papan pemuka kereta atau kamera aksi untuk penunggang motosikal suatu peranti yang wajib ada.

Semua syarikat konsesi lebuh raya diarah bersiap sedia untuk bulan Ramadan, khususnya pada waktu puncak bagi memastikan perjalanan pengguna selesa, selamat dan lancar.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), memaklumkan pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah trafik di lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja pada Ramadan yang dijangka bermula Selasa ini.

“Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan ialah menyelaras semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang atau pergi dari bekerja, sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang akan berubah berbanding waktu kerja biasa.

“Selain daripada itu, menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja dan memastikan semua kemudahan disediakan di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol dalam keadaan baik.

“Ini termasuk aspek bekalan air dan tahap kebersihan,” menurut LLM sambil turut meminta pihak yang terlibat untuk mengenal pasti lokasi tumpuan dan menyediakan kemudahan tambahan sementara bagi menangani peningkatan jumlah pengguna.

Tambah lagi, mereka berharap kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat ditingkatkan untuk membantu kelancaran pergerakan trafik, terutama di lokasi kritikal seperti lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya bagi mengelakkan limpahan trafik ke laluan utama lebuh raya.

PETRONAS menyeru orang ramai lebih berwaspada terhadap penipuan pelaburan palsu yang menggunakan nama syarikat itu dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO).

PETRONAS  berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penipuan pelaburan dalam talian itu yang aktif di kalangan pengguna aplikasi WhatsApp.

Menurut mereka, penipuan itu membabitkan penggunaan nama dan logo syarikat PETRONAS, serta nama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, yang tidak sah.

“Mesej terbabit merangkumi laporan berita palsu daripada The Star dengan tajuk yang digunakan ‘Laporan Khas: ‘PETRONAS membuka platform pelaburan bersama dengan sokongan kerajaan!’.

“Ia menawarkan skim yang menjanjikan pulangan melalui pelaburan mingguan dalam operasi kerajaan berkaitan dengan pengeluaran gas asli dan cecair (LNG),” kata Petronas dalam kenyataan itu.

Laporan itu juga disertakan bersama video palsu Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, dengan imej dan suaranya dimanipulasi menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI).

Pengurusan PETRONAS menjelaskan dan menekankan bahawa tidak ada platform pelaburan sebegini daripada mereka.

“Kami ingin menyeru kepada semua orang untuk tidak memberi respons kepada skim pelaburan palsu ini,” tambah mereka.

Goodyear akan memberikan pampasan yang tinggi kepada pekerja-pekerja mereka yang terkesan dengan keputusan menutup kilangnya di Shah Alam.

Proses peralihan yang melibatkan kebajikan pekerja telah dilaksanakan sebelum pengumuman tersebut. Proses ini termasuklah kerjasama dengan beberapa syarikat seperti Proton Holdings Bhd. untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja yang terjejas.

Berita ini didedahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Beliau berkata Goodyear berbuat demikian agar proses peralihan bagi pekerja dapat berjalan lancar. Tambah lagi, Goodyear akan memberi pampasan yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.

“Kilang ini ditutup kerana Goodyear menyasarkan pengurangan kos sehingga AS$1 bilion setahun menjelang 2025. Penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang tersebut.

“Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayarnya di Jerman, membabitkan 1,750 pekerja. Sebuah kilang tayar di United Kingdom juga bakal ditutup. Jadi, bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas,” katanya dalam hantaran di laman sosial pada Jumaat.

Goodyear dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor setelah beroperasi 50 tahun yang menjejaskan kira-kira 550 kakitangan.

Beliau berkata, MITI dan agensinya MIDA sudah menggerakkan pasukan khusus membabitkan PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

“Paling penting, semua usaha itu telah mula dilaksanakan sebelum pengumuman penutupan kilang dibuat untuk memastikan proses peralihan bagi pekerja berjalan lancar,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memastikan Malaysia terus mendapat kemasukan pelaburan yang dapat membantu ekonomi negara.

Perkara itu adalah cabaran utama ketika ini disebalik landskap ekonomi global semasa dalam memastikan lebih banyak pelaburan masuk daripada pelaburan keluar seperti yang berlaku pada Goodyear.

Beliau berkata, pengumuman pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 peluang pekerjaan.

“Dalam sektor pembuatan sahaja, 63 peratus daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.

Pelumba negara Qabil Irfan Azlan bakal berlumba dalam Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) untuk musim 2024.

Juara Siri MiniGP Dunia 2023 yang berumur 12 tahun itu akan mengambil bahagian di dalam Kategori Moto4 bersama sebuah pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing.

Menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing, Qabil akan berlepas ke Sepanyol Ahad ini untuk mengikuti ujian pramusim pada 16 dan 17 Mac ini di Litar Jerez. Dia kemudiannya akan kekal di sana bagi menyertai perlumbaan pembukaan musim pada 6 dan 7 April ini.

“Kejuaraan ESBK akan diadakan sepanjang 7 pusingan. Kategori Moto4 ini merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal,” menurut ZK Racing.

Selepas perlumbaan di Litar Jerez, Qabil dijadual meneruskan tunggangannya di Litar Valencia, Sepanyol (1 dan 2 Jun); Litar Estoril, Portugal (6 dan 7 Julai); Litar Catalunya, Sepanyol (27 dan 28 Julai); Litar Estoril, Portugal (31 Ogos dan 1 Sept); Litar Navarra, Sepanyol (26 dan 27 Oktober) dan kembali ke Litar Jerez bagi menutup kempen 2024 pada 2 dan 3 November.

Qabil bernaung di bawah program pembangunan ZK Racing sejak 2020 dijangka turut menyertai Kejuaraan FIM MiniGP Siri Malaysia dalam kategori 190cc tahun ini.

Kerajaan Johor sedang membuat rancangan untuk membuka semula Litar Pasir Gudang yang juga dikenali sebagai Johor Circuit. Litar yang bersejarah itu telah ditutup sejak sembilan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd. Hairi Mad Shah berkata beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

Beliau berkata pembukaan semula litar berkenaan yang akan menelan kos tinggi, namun ia akan menjadi gelanggang latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh Syahrin Berazam Menyerlah di ARRC

“Apabila ada JDT Racing Team di Johor, ramai yang bertanya mengenai Litar Pasir Gudang, namun (mengikut) kajian semula, ia akan babitkan kos yang agak tinggi untuk baik pulih.

“Jadi, insya-Allah saya dan Menteri Besar akan menghadap Pemangku Sultan Johor untuk dipertimbangkan litar ini dibuka semula bagi latihan Hafizh Syahrin dan penggiat permotoran dalam masa terdekat,” kata Mohd. Hairi semalam.

Beliau juga berharap pembukaan semula litar itu dapat merancakkan lagi sukan permotoran, sekali gus menjadi lokasi pilihan penggiat sukan itu.

JDT menceburi sukan permotoran bersama Hafizh yang akan bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia 2024.

 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube