Bikesrepublic

Dalam Negara

Seorang lagi penunggang motosikal maut dalam perjalanan ke acara RXZ Fighter yang berlangsung di Kuantan, Pahang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, penunggang, Mohammad Sharfie Sukri, 21, dari Semporna, Sabah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori. Dia menunggang Yamaha Y15ZR.

“Motosikal berkenaan berada di laluan kiri apabila bertembung dengan lori berkenaan dan mangsa tercampak ke atas jalan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa berkonvoi bersama 10 rakannya yang turut menunggang motosikal ke Kuantan untuk menghadiri acara RXZ Fighter.

Seorang peniaga turut maut di dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke acara yang sama.

Peniaga Maut dalam Perjalanan ke Acara RXZ Fighter

Sementara itu, acara tersebut berjaya menarik 50,000 peserta dan pengunjung seperti yang disasarkan. Ketiga-tiga hadiah utama untuk cabutan yang berupa sebuah Ducati Panigale, serta dua buah Yamaha RX-Z dengan corak airbrush telah dimenangi.

Hafizh Syahrin Abdullah berazam untuk menyerlah pada pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Buriram, Thailand pertengahan bulan ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu yang juga dikenali dengan nama olokan El Pescao akan menunggang jentera Ducati Panigale V4 R untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team.

Dia telah berlatih dengan motosikal tersebut di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini sebagai persediaan untuk pelumbaan di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

“Sejujurnya sepanjang karier dalam perlumbaan, saya belum pernah menunggang motosikal V4 R tetapi sistem elektronik yang terdapat di motosikal itu dan apa yang diberitahu oleh ketua mekanik, Loris Caroli kelebihan motosikal itu terletak kepada sistem brek.

“Saya memang dapat rasakan perbezaan terutama sistem brek yang lebih mantap berbanding motosikal lain yang pernah saya tunggang selain sistem suspensi yang baik apabila mengambil selekoh serta kemantapan dari aspek pecutan terutama di litar lurus.

“Boleh saya katakan motosikal V4R ini ‘mesra’ penunggang dan saya cepat menyesuaikan diri namun saya perlu lebih banyak latihan untuk mendalami lagi sistem elektronik bagi tunggangan lebih laju,” kata Hafizh.

Dia juga menyifatkan cabaran terbesar buatnya kelak ialah Markus Reiterberger yang merupakan juara bertahan kelas ASB1000 di dalam kejuaraan tersebut. Hafizh turut berkata bahawa dia tidak memandang rendah kebolehan pelumba-pelumba senegara Malaysia, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman.

Seorang pemandu wanita tercedera setelah kereta yang dipandunya terjunam dari parkir.

Dalam kejadian semalam (Jumaat), kereta Honda Accord yang dipandunya terjunam dari tingkat satu fasiliti parkir Menara TA One, Jalan P. Ramlee.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL) mengerahkan dua jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Pudu ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 1.00 tengah hari.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta terbalik dan bahagian bumbung kereta remuk. Kereta berkenaan melanggar tembok penghalang parkir lalu terjatuh dari tingkat satu tempat parkir kenderaan di bangunan itu.

Menurutnya, mangsa seorang wanita tempatan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lutut. Katanya, mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan bagi menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan punca kejadian dan tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak polis.

Seorang peniaga menemui ajal ketika dalam perjalanan ke acara RXZ Fighter di Kuantan, Pahang. Beliau dipercayai terbabas di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar, Perak yang menunggang motosikal Yamaha RXZ maut di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan mendapati motosikal Yamaha RX-Z yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama 14 rakan berkonvoi dengan motosikal dari Kuala Kangsar menghala ke Kuantan.

Mangsa berada paling belakang konvoi berkenaan ketika berlakunya kemalangan, kata Mohamad Zamri.

Mayat allahyarham dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suatu percubaan untuk hantar ganja guna kurier dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 3.007kg dadah jenis ganja bernilai RM7,517.73 di dalam bungkusan di sebuah pusat kurier barangan berdaftar di Rantau Panjang beberapa hari lepas.

Pengarah Jabatan tersebut, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awan sebelum membuat pemeriksaan di pusat kurier berkenaan dengan disaksikan pekerja di situ dan menemui bungkusan yang berisi daun ganja.

Katanya, pelaku menggunakan Modus Operandi dengan menggunakan perkhidmatanpenghantaran kurier bagi mengedar ketulan mampat daun kering (ganja) tanpa meletakkan nama dan alamat penuh pengirim.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik dadah terbabit dan berdasarkan berat ganja yang dirampas ia boleh diedarkan kepada lebih 15,000 orang penagih dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang mana jika disabit kesalahan pelaku di hukun mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

“Hasil siasatan juga mendapati kesemua dadah ini adalah untuk pasaran tempatan.”

Pesanan daripada BikesRepublic.com dan MotoMalaya:

Kepada saudara-saudara dan saudari-saudari yang bekerja di dalam sektor kurier serta penghantaran barang, ada sahaja pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan perkhidmatan ini bagi menghantar barang-barangan yang terlarang. Oleh itu, kami doakan anda selamat selalu dan sentiasa berjaga-jaga apabila menghantar barang. Ingat, alasan “saya tak tahu” tidak diterima di dalam undang-undang sebab kita sendiri kenalah pastikan barang-barang kita bawa itu selamat atau tidak.

Sebuah Porsche terbakar setelah terbabas akibat cuba mengelak sebuah motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, Porsche Panamera 4S yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun itu terbabas sejurus tiba di susur ke Greenwood ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara melulu.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari Bukit Idaman menghala ke Wangsa Maju cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar mengejut dari arah Lebuh Utama Sri Gombak.

“Insiden itu mengakibatkan pemandu Porsche Panamera 4S itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar.”

Pemandu kereta sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal tersebut terus berlalu pergi.

Nombor pendaftaran motosikal berkenaan belum dikenal pasti dan polis berusaha mengesan penunggang terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan diminta berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik,Sarjan Mohd Azlan Shaifullah Mohd Azhar di talian 019-67 48511. Saksi kejadian juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.

Dianggarkan seramai 50,000 peminat permotoran dari seluruh negara akan memeriahkan program RXZ Fighter yang julung kalinya akan diadakan di Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang selama dua hari, bermula Jumaat, 1 Mac 2024. Acara akan berlangsung dari 7 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu, 2 Mac 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, acara RXZ Fighter itu diharap mencapai objektif itu.

Katanya, RXZ Fighter dianjurkan Kerajaan Pahang dengan kerjasama Kelab-Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Bera serta menyediakan pelbagai program sepanjang dua hari itu. “Antara pengisian ialah solat Subuh macam Jumaat bersama peminat permotoran, pameran permotoran dan jualan.”

Acara solat Subuh tersebut dianjurkan bersama dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan akan berlangsung pada Sabtu, 2 Mac 2024.

“Program juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau keadaan lalu lintas, termasuk memberikan taklimat berkaitan keselamatan permotoran.

“Kami harap peminat permotoran, terutama yang menunggang RXZ ke Kuantan, mematuhi peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bukan sahaja diri sendiri, malah pengguna lain,” katanya.

Menurut ciapan di akaun Facebook RXZ Fighter – Official, acara itu turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah menarik, iaitu 2 buah Yamaha RX-Z. Kedua-dua motosikal ini turut akan dihiasi dengan corak airbrush.

Pihak pengajur acara turut menegaskan bahawa mereka tidak akan mengadakan serta menggalakkan pertandingan dan kelakuan seperti “rem” enjin motosikal di stesen minyak, melanggar lampu isyarat, menunggang dengan melulu, membuat lagak ngeri wheelie (mengangkat roda depan motosikal), menutup jalan raya oleh “marshal” dan para peserta.

Seorang lelaki melambung apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta di Batu 21, Jalan Muar-Parit Sulong, di sini, semalam.

Kejadian menyebabkan mangsa, Mohd Riduan Abdullah, 58, yang juga orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dari arah Muar menghala ke Parit Sulong cuba memotong.

Namun kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu gagal memotong lalu bertembung dengan motosikal ditunggang oleh mangsa. Pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak manakala motosikal dan kereta terbabas ke parit berdekatan.

“Mangsa cedera parah di dada dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa beralamat di Merlimau, Melaka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta Toyota Vios beralamat di Muar hanya cedera ringan di kepala dan kaki. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah.”

Kemalangan tragis itu sempat dirakam oleh kamera papan pemuka sebuah kereta dan telah dikongsikan di laman sosial. (Amaran: Adegan yang boleh menyebabkan kegusaran.)

 

Jualan kenderaan baharu bertambah 31 peratus pada Januari 2024 berbanding dengan Januari 2023.

Sejumlah 65,499 unit dijual berbanding 50,168 unit pada bulan yang sama tahun lalu, berikutan jualan kenderaan penumpang yang lebih tinggi, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Jumlah penjualan itu terdiri daripada 59,394 unit kenderaan penumpang, manakala 6,105 unit merupakan kenderaan perdagangan.

Menurut MAA lagi, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Januari 2024 bagaimanapun turun 16 peratus berbanding Disember 2023 yang mencatatkan sebanyak 78,398 unit. “Jualan tinggi pada Disember 2023 itu berikutan syarikat-syarikat yang meningkatkan penghantaran kenderaan bagi memenuhi pesanan yang masih tertunggak, terutamanya bagi syarikat dengan tahun kewangan berakhir Disember 2023 serta pembelian pada harga rendah semasa penghujung tahun.”

Pada masa yang sama, 76,077 unit kenderaan telah dihasilkan oleh pembuat kenderaan pada Januari 2024. Jumlah ini merupakan peningkatan yang tinggi berbanding dengan 58,527 unit pada Januari 2023. Daripada kedua-dua jumlah ini, 71,666 unit merupakan kenderaan penumpang, manakala 4,411 unit lagi ialah kenderaan perdagangan pada Januari 2024. Berbanding dengan bulan Januari tahun lepas, 54,663 terdiri daripada kenderaan penumpang, dan 3,864 unit ialah kenderaan perdagangan.

MAA menjangkakan jualan kenderaan yang lebih rendah pada bulan Febuari 2024 ini memandangkan terdapat cuti panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Apapun, laporan tersebut tidak mengasingkan jumlah penjualan mengikut jenis kenderaan seperti motosikal, kereta penunmpang, SUV, dan sebagainya. Ia juga tidak mengasingkan penjualan kenderaan mengikut wilayah mahupun negeri masing-masing.

Dalam perkembaan yang berasingan, industri jualan kenderaan dijangkan akan turun keseluruhannya untuk tahun 2024 berbanding dengan 2023. Sebanyak 799,731 unit telah dijual pada tahun lepas, yang merupakan rekod paling tinggi.

Berita yang telah disiarkan pada bulan Januari yang lepas berkata Kenaga Research menjangkakan jualan 710,000 unit kenderaan sehingga hujung tahun ini. RHB Research pula mengunjurkan penjualan hanya 625,000 unit. Kedua-dua angka ini lebih rendah daripada jangkaan 740,000 unit yang dibuat oleh MAA.

Kenanga Research berkata mereka menjangkakan penyusutan penjualan kerana penarikan subsidi bahanapi akan memainkan kesan terhadap permintaan bagi kenderaan-kenderaan pertengahan. Namun, jualan bagi kenderaan yang mampu milik mungkin tidak terkesan.

Mereka turut menyatakan bahawa kereta baharu masih merupakan kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun berdepan dengan inflasi tinggi dan ekonomi global yang perlahan.

Lima suspek dalam kejadian mengikat dan memukul seorang pemandu kereta sehingga maut minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret semalam. Pertuduhan yang disebutkan ialah membunuh. Kesemua yang didakwa berusia di antara 22 hingga 43 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan.

Kesemua suspek mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Majistret juga tidak membenarkan jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 April depan untuk serahan status forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.

Setelah selesai prosiding, seorang lelaki yang dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit “Bang, kau tunggu” ke arah kesemua tertuduh. Dia ditenangkan oleh ahli keluarganya sebelum diarahkan keluar mahkamah oleh polis.

Mereka didakwa membunuh seorang pekerja sendiri, Shahril Samad, di Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang pada  20 Februari lalu. Saksi di tempat kejadian mendakwa bahawa mangsa ditarik keluar dari kereta oleh orang awam selepas keretanya terbabas dan melanggar pagar sebuah rumah, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Polis telah mengesahkan bahawa mangsa telah melanggar dua kenderaan penghantar makan sejurus sebelum kejadian tragis tersebut. Dia kemudiannya dikejar oleh suspek sehinggalah keretanya terbabas.

Pemandu Dipukul Sampai Mati Positif Dadah

BMW Motorrad Malaysia bakal memperkenalkan BMW R 18 Roctane, di pameran BMW Premium Selection (BPS), yang berlangsung akan dari 1 hingga 3 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil.

R18 Roctane ialah edisi kelima di dalam keluarga R 18 yang menggabungkan elemen rekabentuk yang klasik dengan teknologi penunggangan yang dikemaskini untuk memberikan pengalaman jelajah yang unik dan bergaya.

Sashi Ambihaipahan, Ketua Komunikasi Korporat dan Kemampanan di BMW GroupMalaysia berkata, “Kami sangat teruja untuk melancarkan pratonton BMW R 18 Roctane untuk peminat jelajah hot-rod di Malaysia. Edisi Roctane, digandingkan dengan enjin “Big Boxer” kami yang hebat, menunjukkan misi berterusan kami untuk sentiasa Make Life A Ride; menawarkan pengalaman menunggang yang unggul, sama ada dalam penunggangan solo yang santai atau perjalanan berkumpulan yang mendebarkan. Ini, ditambah dengan program eksklusif untuk BMW Pameran Pilihan Premium (BPS) hujung minggu ini, seterusnya memenuhi janji kami untuk menyediakan Pengalaman Pemilikan Premium kepada pelanggan di seluruh portfolio kenderaan premium kami.”

The BMW R 18 Roctane draws inspiration from iconic BMW models like the BMW R 5, prioritising the fundamental elements of motorcycling: pure, no-frills , which has long been the heart of BMW Motorrad’s riding joy. This combination sets out to create a truly unique and emotionally resonant riding experience, accentuated by meticulously crafted design elements, including a sleek rear section designed for optimal aerodynamics.

BMW R 18 Roctane mendapat inspirasi daripada model ikonik BMW seperti BMW R 5 yang mengutamakan elemen asas motosikal yang tulen, yang telah lama menjadi nadi kepada kegembiraan menunggang BMW Motorrad. Gabungan ini bertujuan untuk mencipta pengalaman tunggangan yang benar-benar unik dan penuh emosi, diserlahkan oleh elemen rekabentuk yang direka dengan teliti, termasuk bahagian belakang yang rapi yang dibentuk untuk aerodinamik yang optimum.

Ciri-ciri BMW R 18 Roctane:

  • Diinspirasikan oleh model ikonik BMW seperti BMW R 5, dengan teknologi tulen yang memberikan fokus terhadap enjin Boxer.
  • Casis BMW R 18 Roctane baharu dibina di atas rangka keluli dwi-tiub.
  • Lengan ayun belakang yang menyelubungi pacuan gandar belakang, senada dengan BMW R 5 yang legenda.
  • BMW R 18 Roctane juga mempunyai ciri ergonomik yang seimbang dengan pemijak kaki yang dipasang pada posisi pertengahan.
  • Ciri lain termasuk  tempat duduk dua tingkat, serta papan pemijak yang dikemas kini, tuil tukar gear dan hendal tinggi bersalut warna hitam.
  • BMW R 18 Roctane ditawarkan dalam warna Mineral Grey Metallic serta Manhattan Metallic Matt.
  • Nadi BMW R 18 Roctane ialah enjin Boxer dua-silinder empat lejang dengan penyejukan udara yang tradisional. Ia merupakan enjin Boxer terbesar dalam barisan Heritage, dan juga dipanggil ‘Boxer Besar’.
  • Dengan kapasiti 1,802 cc, ia merupakan enjin Boxer 2 silinder paling berkuasa pernah dihasilkan dalam barisan Heritage BMW Motorrad. Ia menghasilkan 67 kW (91HP) pada 4,750 rpm dan tork 150 Nm.
  • Ciri bantuan menunggang untuk BMW R 18 Roctane termasuk Kawalan Kestabilan Automatik (ASC), bersama-sama dengan tiga mod tunggangan standard – Rock, Roll dan Rain.
  • Ciri pilihan untuk bagger termasuk lampu Adaptive Headlight baharu, yang mengaktifkan elemen LED berasingan dalam lampu utama, membolehkan pencahayaan jalan yang lebih baik, terutamanya semasa membelok.
  • Antara ciri tambahan lain ialah Hill Start Control, Headlight Pro, Reverse Gear Aid, Daytime Riding Light, Cruise Control, dan penutup pengisi bahan api yang boleh dikunci.
  • Harga anggaran bagi BMW R 18 Roctane ialah RM 160,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW R 18 Roctane, sila lawati Bilik Pameran BMW Motorrad pilihan anda atau laman web rasmi di sini.

Pelanggan dialu-alukan untuk melihat BMW R 18 Roctane dan merasai semua tawaran eksklusif ini di Pameran BMW Premium Selection (BPS) oleh BMW Group Malaysia, yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (Carpark B) dari 9:00pagi hingga 7:00 malam setiap hari.

Lawati tapak web DI SINI untuk menempah tempat anda.

JSPT (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) Bukit Aman sedang menyiasat tindakan seorang juruiring (escort) yang memberhentikan sebuah lori dengan cara mengejut.

Pengarah jabatan tersebut, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya mengambil maklum berhubung kejadian itu. “Pihak JSPT akan siasat kejadian yang berlaku dan daripada segi pematuhan kepada prosedur operasi standard,” katanya kepada Harian Metro.

Kejadian itu tular selepas satu klip berdurasi 35 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka lori tersebut dimuat naik di media sosial.

Video itu menunjukkan seorang juruiring polis memangkah ke hadapan sebuah lori dengan tiba-tiba dan mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti dengan serta-merta. Lori itu dapat diberhentikan tetapi dengan jarak yang amat dekat dengan dua buah motosikal di hadapannya. Juruiring itu sendiri turut berada di dalam keadaan bahaya jika brek lori itu tidak berfungsi dengan baik.

Setiap pengguna jalan raya, tidak kira apa kenderaan sepatutnya peka terhadap jarak membrek kenderaan lain, khususnya untuk kenderaan berat seperti lori dan bas, apatah lagi penguatkuasa yang terlatih seperti polis trafik. Keberatan kenderaan berat menghasilkan momentum (dalam bahasa pasar, “lajak”) yang amat tinggi justeru memerlukan jarak berhenti yang lebih jauh. Tambah lagi, aksi membrek secara mengejut mempunyai risiko tinggi untuk menyebabkan pemandu kehilangan kawalan.

Selain daripada itu, pemandu kenderaan di belakang bas atau lori juga mungkin terkesan kerana mereka tidak dapat melihat lebih jauh ke hadapan melainkan bahagian belakang lori atau bas itu. Pemandu di belakang berpotensi merempuh kenderaan di hadapan dan menyebabkan kemalangan berantai.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube