Bikesrepublic

Dalam Negara

Honda RS-X Winner (2025) dilancarkan di Malaysia (akhirnya).

Daripada siaran media:

Boon Siew Honda Sdn Bhd, selaku pengeluar dan pengedar motosikal Honda di Malaysia, telah melancarkan Honda RS-X Winner serba baharu yang dilengkapi ciri-ciri terkini yang direka untuk meningkatkan pengalaman tunggangan.

Sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar dan tunggangan santai hujung minggu, motosikal versatil Honda RS-X Winner Serba Baharu menawarkan kombinasi gaya menarik sporty, kemajuan teknologi terkini, ciri-ciri mesra penunggang, prestasi luar biasa dan paling penting, kebolehpercayaan dan kualiti lagenda Honda. 

Honda RS-X Winner Serba Baharu, yang menerima penarafan 5-bintang Program MyMAP yang mengesahkan motosikal ini menepati standard ketat pengeluaran antarabangsa, keselamatan, inovasi teknologi dan khidmat sokongan pelanggan, kini dinaiktaraf dengan tujuh peningkatan penting yang bertujuan menambah baik pengalaman tunggangan:

  • ENJIN 150 CC BAHARU

Enjin 150 cc DOHC baharu dengan penyejukan cecair dan gear 6 kelajuan yang direka untuk penghasilan kuasa cemerlang (output kuasa maksimum dan tork masing-masing 11.8 kW dan 13.6 Nm) dan pecutan merentas julat RPM enjin. Sebagai motosikal diiktiraf EEV, ia menawarkan pembakaran bahan api efisien dengan penggunaan 50km/liter. 

  • KLAC ASSIST AND SLIPPER

Satu ciri pintar baharu yang mencegah kejadian gelinciran roda belakang dan membantu para penunggang mengemudi dengan lebih baik melalui mekanisme klac lebih ringan. Antara kelebihannya termasuk:

    • Kawalan lebih baik: Klac slipper membantu penunggang mengekalkan kawalan dan kestabilan, terutama bila lambat membrek atau berlaku penurunan gear secara agresif.
    • Penukaran gear lebih lancar: Klac slipper membenarkan kawalan gelinciran plet klac semasa penurunan gear secara mendadak. 
    • Mengurangkan haus dan lusuh: Klac slipper boleh mengurangkan kehausan dan lusuh komponen motosikal, dengan itu, mengurangkan kos penyelenggaraan. 
  • SISTEM KUNCI PINTAR HONDA

Sistem elektronik pintar termaju ini membolehkan para penunggang menghidupkan enjin dan mengunci bar hendal. Ia juga disatukan dengan Sistem Penggera Anti-Kecurian dan Sistem Panggilan Balik untuk menambahbaik ciri keselamatan. Tidak perlu keluarkan Kunci Pintar Honda dari poket. Hanya pusingkan tombol pencucuhan, tekan butang pemula dan terus menunggang.

  • PORT PENGECAS USB

Port pengecas USB bersifat versatil dan dilengkapi penutup kalis air yang membolehkan para penunggang mengecas telefon mudah alih dan peranti semasa dalam perjalanan serta memastikan mereka tidak kehabisan bateri meskipun tunggangan jarak jauh.

  • GAYA SPORT AGRESIF

Salah satu tarikan Honda RS-X adalah reka bentuk maskular dan agresif. Honda RS-X Winner Serba Baharu pula memiliki rekaan maskulin yang lebih menonjol dengan garis badan bersambung dari depan hingga ke belakang yang menyumbang kepada imej lincah dan aerodinamik.

  • REKA BENTUK SUIS HENDAL BERASINGAN

Untuk menambah baik aspek keselamatan para penunggang, Honda RS-X Winner serba baharu memaparkan ciri suis hendal berasingan. Ini memberikan kawalan tepat dan intuitif pelbagai fungsi motosikal, termasuk lampu depan, signal belok dan hon, membolehkan para penunggang terus fokus ke hadapan di jalan raya.

  • REKA BENTUK RIM TETUANG GAYA SPORT

Rim 17 inci memiliki rekaan baharu, lebih sporty dan lebih dinamik yang melengkapkan reka bentuk maskulin Honda RS-X Winner Serba Baharu. Rim adalah jenis ringan tetapi kukuh untuk kestabilan yang lebih baik dan mudah diramal semasa tunggangan berkelajuan tinggi. 

Harga runcit yang disyorkan untuk Honda RS-X Winner Serba Baharu ialah RM9,998.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) untuk tiga warna standard — Biru, Hijau dan Kelabu Matte. Ia juga boleh didapati dengan warna Kuning Khas berharga RM10,298.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Motosikal ini didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dulu. 

Mitsuharu Funase, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, meluahkan rasa yakin beliau terhadap kemampuan Honda RS-X Winner Serba Baharu  meningkatkan lagi label nama RS-X serta memperkasakan reputasi jenama Honda. 

“Sejak pengenalannya pada 2021, RS-X terbukti cukup popular dengan enjin berkuasa tetapi efisien bahan api dan rekaan bergaya, terutamanya lampu hadapan LED yang menyerlah. Ini membantu menjadikannya pilihan digemari pengguna Malaysia apabila memilih sebuah kapcai Honda. 

Untuk Honda RS-X Winner serba baharu, kami telahpun menaiktarafkannya secara menyeluruh dengan penambahbaikan komprehensif untuk memenuhi keperluan para penunggang Malaysia dari semua lapisan umur untuk tahun-tahun akan datang.

Di Boon Siew Honda, misi kami adalah untuk terus menawarkan kualiti cemerlang secara berterusan, dipercayai dan menjadi solusi mobiliti mampu milik kepada rakyat Malaysia sejak enam dekad lalu. Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan bersama mereka menerusi pelbagai peringkat kehidupan mereka. Saya percaya bahawa di kebanyakan kediaman rakyat Malaysia, masih ada sebuah motosikal Honda yang terus berkhidmat dengan cemerlang. Saya berharap Honda RS-X Winner Serba Baharu akan mengambil tempat bersama model-model motosikal lagenda Honda sebelum ini yang disukai dan diraikan rakyat Malaysia sepanjang tahun-tahun akan datang,” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut tentang Honda RS-X Winner Serba Baharu, sila lawat www.boonsiewhonda.com.my

SPESIFIKASI HONDA RS-X WINNER (2025)

ENJIN
Jenis Silinder Tunggal, Penyejuk Cecair, DOHC 4 Lejang 4 Injap
Sesaran Enjin 149.2 cm³
Kebuk x Lejang 57.3 mm x 57.8 mm
Nisbah Mampatan 11.3:1
Kuasa Maksimum 15.8hp (11.8kW) / 9000rpm
Tork Maksimum 13.6 Nm / 7000 rpm
Kapasiti Minyak Enjin 1.1 ℓ (Sebelum Pembuangan), 1.3 ℓ (Selepas Pembuangan)
SISTEM BAHAN API
Jenis PGM-FI (Suntikan Bahan Api Terprogram)
Kapasiti Tangki Bahan Api 4.5 ℓ
SISTEM ELEKTRIK
Sistem Penghidup Penghidup Elektrik
Kapasiti Bateri 5.0 A.h (10 HR)
Keluaran ACG 12 V
TRANSMISI KUASA
Jenis Klac Klac Basah Multiplat Manual dengan Klac ‘Assist & Slipper’
Jenis Transmisi Constant Mesh, 6 Kelajuan
CHASSIS
Jenis Kerangka Twin Tube
Dimensi (P x L x T) 2019 mm x 730 mm x 1109 mm
Jarak Roda 1278 mm
Ketinggian Tempat Duduk 795 mm
Jarak dengan Permukaan Tanah 148 mm
Berat Curb 123 kg
SUSPENSI, RODA & BREK
Jenis Suspensi  Hadapan — Teleskopik
Belakang — Lengan Buai dengan ‘Monoshock’
Tayar Hadapan — 90/80 -17M/C (46P) (Tanpa Tiub)
Belakang — 120/70 – 17M/C (58P) (Tanpa Tiub)
Brek Hadapan — Cakera Tunggal Hidraulik, ABS
Belakang — Cakera Tunggal Hidraulik

Galeri gambar Honda RS-X Winner (2025)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan Puspakom. Jumlah penahanan ketika ini ialah 19 orang pegawai Puspakom, seorang ejen, dan dua ‘runner‘.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an itu ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang semalam dan 10 pagi hingga 3 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada runner sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas.

Penahanan kesemua suspek adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” kata sebuah sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun beliau berkata, kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan semalam dan hari ini akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Kami telah memaparkan berita mengenai penahanan 6 orang pegawai pemeriksa kenderaan Puspkom oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa hari lepas. Susulan itu, terdapat beberapa komen yang agak menarik seperti, “Sediakan lokap yang lebih besar.” Terdapat juga dakwaan oleh seorang pemandu lori yang dia tidak mendapat kelulusan sebanyak tiga kali sehinggalah dia mengupah khidmat seorang ‘runner.’

Nampaknya Zontes telah dapat mencari apa yang dikehendakki oleh peminat motosikal di Malaysia, kerana sudah ada 1,300 tempahan untuk skuter Zontes 368G dalam masa seminggu selepas pelancaran rasminya. Ia telah dilancarkan pada 2 Januari 2025.

Daripada Siaran Akhbar:

ZONTES Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa sehingga kini (9 Januari) skuter ZONTES 368G yang dilancarkan baru-baru ini telah menerima lebih daripada 1300 tempahan. Dengan harga jualan asas RM28,800, skuter pengembaraan ini telah menjadi pilihan popular di kalangan rakyat Malaysia yang mencari tunggangan serba boleh di jalan raya, sama ada untuk perjalanan harian atau off-road ringan.

Skuter Pengembaraan ZONTES 368G ialah model Completely Knocked Down (Pasang di Tempatan) yang dikeluarkan di kilang pemasangan CKD tempatan di Jitra, Kedah. Penunggang boleh menikmati ciri skuter berkualiti tinggi seperti tangki bahan api yang lebih besar daripada saingannya dan ciri-ciri keselamatan yang berganda pada harga yang berpatutan. Selepas peringkat pengeluaran dan pemeriksaan, model ini dijadualkan untuk dihantar pada Mac 2025, memastikan pemilik menerima produk mereka dengan kepuasan sepenuhnya.

Sementara itu, pembeli yang berminat dialu-alukan untuk mengatur tontonan dan membuat tempahan di mana-mana pengedar sah ZONTES di seluruh Malaysia. Selain itu, ZONTES Malaysia akan menganjurkan jerayawara di seluruh negara dari 3 Januari hingga 6 April 2025. Penggemar motosikal boleh merebut peluang ini untuk melihat dengan lebih dekat skuter pengembaraan ini.

Anda boleh merujuk jadual ini untuk tarikh dan butiran tertentu:

Untuk maklumat lanjut mengenai ZONTES 368G, sila layari laman web rasmi ZONTES Malaysia di https://zontesmalaysia.com/

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan yang disyakki terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di ibu negara.

Sumber berkata, semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 12 tengah hari hingga 11 malam.

Penahanan semua suspek itu adalah hasil soal siasat dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.

Bagaimanapun keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan terbabit sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil,” katanya.

Keenam-enam pegawai pemeriksaan itu telah digantungkan tugas oleh Puspakom.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku khususnya membabitkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.

PUSPAKOM tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit dengan jenayah rasuah,” katanya.

Sementara itu, dua lagi individu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 11 Januari depan.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, setakat ini SPRM sudah menahan sembilan individu dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Boon Siew Honda mengumumkan warna baharu untuk Honda Wave Alpha (2025). Model ini telah berada lama di dalam pasaran dan ia popular di kalangan mereka yang mencari motosikal yang ringkas dan sesuai untuk gunaan harian.

Selebihnya kekal tidak berubah pada motosikal ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 109.2cc yang diperakui EEV (kenderaan cekap tenaga)dengan Programmed Fuel Injection (PGM-FI), yang memberikan prestasi optimum dan kecekapan bahan api yang dipertingkatkan. Ruang simpanan 7.3 liter di bawah tempat duduk masih ada, yang membolehkan penunggang membawa barang-barang kecil seperti baju hujan, jaket atau barangan peribadi yang lain. Kapasiti tangki bahan api kekal pada 4.1 liter.

Tugas membrek dikendalikan oleh cakera tunggal di hadapan dan brek dram di belakang.

Warna baharu itu dipanggil Perak, Biru, Merah dan Hitam klasik. Harga jualan bersih tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran ialah RM5,309 untuk Perak, Biru dan Merah, manakala pilihan Hitam dijual pada harga RM5,259.

Untuk tunggangan tanpa kerisauan, Boon Siew Honda menawarkan waranti pembuatan selama dua tahun atau 20,000km, yang mana sampai dahulu. Untuk maklumat lanjut, sila klik www.boonsiewhonda.com.my or kunjungi Honda Impian X yang terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi Boon Siew Honda melalui nombor bebas tol mereka di 1-800-88-3993.

Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands telah terhalang sejak satu kejadian tanah runtuh pada 25 Oktober 2024 telah dibuka kembali pada 19 Disember lepas. Namun, ia kini terhalang sekali lagi oleh satu lagi peristiwa tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku di jalan besar Kampung Raja dekat simpang tiga Blue Valley, di sini, kira-kira pukul 3.15 pagi tadi akibat hujan lebat berterusan.

Runtuhan tersebut menyebabkan laluan utama dari arah Simpang Pulai/Lojing ke Cameron Highlands terhalang di kedua-dua arah.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Koyan di Lipis atau Jalan Tapah untuk ke Cameron Highlands.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang telah dihantar ke lokasi untuk memantau situasi, memberikan bantuan dan memastikan keselamatan kawasan.

Kerja-kerja mengalihkan runtuhan sedang giat dilaksanakan bagi membuka semula laluan kepada pengguna.

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengakui pihaknya tidak mempunyai mekanisme khusus untuk mengesan kenderaan perdagangan yang menggunakan alat ganti disewa untuk mendapatkan kelulusan, sewaktu menjalankan pemeriksaan.

Situasi itu jelas Puspakom membuatkan pihaknya tidak boleh mengesan kenderaan yang cuba menipu ketika pemeriksaan.

Sehubungan itu, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk kementerian berkaitan bagi membantu Puspakom menjalankan pemeriksaan dengan lebih jitu dan terperinci.

Kami tidak dapat mengesan penggunaan komponen kenderaan yang disewa misalnya tayar, brek, pad brek dan sebagainya, kerana ia agak umum.

Bagaimanapun, kami sedang berbincang dengan pengawal selia dan kementerian untuk memperbaiki proses kami. Langkah ini boleh membawa kepada pemeriksaan yang lebih tepat dan teliti membabitkan penggunaan teknologi.

Contohnya apabila kita mempersoal mengenai isu tayar, walaupun kami memeriksanya tetapi oleh kerana kerosakan itu berpunca dalam brek berkenaan (gandar), kami tidak mempunyai keupayaan memeriksa bahagian itu.

Apabila kami memeriksa prestasi brek, kami akan memeriksa keberkesanan brek dan prestasi tayar,” katanya.

Khidmat menukar tayar atau komponen lain untuk lulus pemeriksaan Puspakom yang diiklankan secara terbuka di media sosial menjadi tumpuan selepas tragedi mengorbankan tujuh nyawa di Melaka, 23 Disember lalu.

Nahas mengorbankan lima sekeluarga, seorang pemandu bas persiaran dan seorang penumpangnya di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat kawasan rehat dan rawat Ayer Keroh itu dipercayai akibat tayar depan sebuah lori tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

Susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara dan mengesan ada kenderaan berat menggunakan tayar celup uzur dan tidak selamat yang berisiko meletup bila-bila masa, hadir pemeriksaan di pusat berkenaan.

Perjalanan pulang dua keluarga dari majlis pertunangan di Muar berakhir tragedi apabila salah seorangnya maut selepas sebuah lori masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 86, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Widiani Afendi, 39, penumpang belakang Toyota Estima berkenaan maut serta merta di lokasi dalam kejadian 7.15 malam itu akibat parah di kepala.

Katanya, manakala bayi tujuh bulan, Lee Sun Mei yang juga anak angkat keluarga berkenaan mengalami kecederaan dalaman di kepala dan sedang mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu lori berusia 53 tahun dan enam yang lain dalam MPV termasuk pemandu yang berusia enam sehingga 58 tahun cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas lori dari arah Machap menghala ke Air Hitam hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian kanan MPV berkenaan.

Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di HEBHK Kluang. Pemandu lori yang cedera di kepala dan dada sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Batu Pahat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harley-Davidson hari ini mendedahkan Select Motorcycles (model terpilih) daripada portfolio motosikal 2025nya di H-D.com. Motosikal-motosikal ini boleh didapati di pengedar sah Harley-Davidson di seluruh dunia.

Harley-Davidson turut mengumumkan Harley-Davidson Factory Custom Paint & Graphics, sebuah program baharu yang menawarkan skema cat dan grafik yang sangat diingini pada model motosikal terpilih. Motosikal Harley-Davidson 2025 tambahan, termasuk ansuran tahunan ke-26 bagi koleksi Custom Vehicle OperationTM (CVOTM) pengeluaran terhad, akan didedahkan di H-D.com pada jam 5 petang. CST pada 23 Januari (7 pagi, 24 Januari, waktu Malaysia).

Grand American Touring

Daripada syarikat yang mencipta pengalaman penjelajahan jarak jauh (touring), model Grand American Touring direka untuk membawa penunggang ke ufuk dengan keselesaan, prestasi dan teknologi yang menjadikan perjalanan itu hebat. Model yang kembali termasuk motosikal Street Glide®, Road Glide® dan Road King® Special.

Harley-Davidson® Factory Custom Paint & Graphics

Harley-Davidson Factory Custom Paint & Graphics menawarkan skim cat-dan-grafik premium pada model motosikal terpilih untuk pelanggan yang mendambakan kemasan unik dan menarik perhatian. Apabila ditempah melalui pengedar Harley-Davidson yang sah, kemasan Harley-Davidson® Factory Custom Paint & Graphics digunakan oleh Harley-Davidson pada komponen yang dipasang semasa motosikal dipasang. Pelanggan menerima motosikal dengan cat dan grafik eksklusif, disokong dengan jaminan kilang penuh, tanpa perbelanjaan atau masa henti yang berkaitan dengan cat tersuai yang digunakan oleh pihak ketiga.

Untuk 2025, tiga tawaran Harley-Davidson® Factory Custom Paint & Graphics akan tersedia pada model terpilih. Setiap set cat menampilkan medallion tangki hitam khas dengan aksen krom dan latar belakang bertekstur ibu-mutiara sama ada dalam ungu atau oren.

  • Mystic Shift menawarkan peralihan rona dramatik yang bergerak daripada logam pistol gelap kepada ungu kepada biru kepada hampir oren dan amat ketara dalam cahaya matahari penuh apabila berjalan mengelilingi motosikal.
MY25 Web 360. FLTRX Road Glide
  • Firestorm bertindak balas kepada aliran tersuai semasa untuk butiran nyalaan dalam cat. Harley-Davidson menawarkan skema cat nyalaan kilang pertamanya pada model Wide Glide® 1980 dan telah mengulang penampilan beberapa kali, terutamanya pada model Wide Glide® 2011. Skim Firestorm menampilkan kesan “hantu pudar” atau kesan pudar dalaman – warna pudar lebih cerah sedikit daripada lapisan bawah. Dalam sudut tertentu, api meletus secara mendadak tetapi halus pada sudut lain. Skim Firestorm tersedia dalam dua warna popular.
    • Midnight Firestorm ialah skema cat bernyala gelap yang menampilkan Ghosted Flames di atas dasar Vivid Black dengan cahaya dalaman arang.
MY25 Web 360. FLHX Street Glide
    • Whiskey Firestorm menampilkan lapisan tengah tambahan untuk warna oren yang lebih dalam dengan nyalaan Ember Sunglo dengan cahaya dalaman oren yang lebih terang.
MY25 Web 360. FLHRXS Road King Special

Ketersediaan model, masa, varian, warna, spesifikasi dan harga mungkin berbeza mengikut pasaran. Pelanggan boleh bertanya lebih banyak maklumat dengan pengedar H-D tempatan mereka.

Skuter sport 250cc hasil tangan anak tempatan, MODA Sporter-S (2025) telah dilancarkan hari ini.

Daripada siaran media:

Mdua Motor Sdn. Bhd., anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) hari ini telah melancarkan sebuah jenama motosikal tempatan baharu MODA, yang fokus dalam memasarkan produk skuter ke seluruh pasaran Malaysia. Turut dilancarkan bersama pada majlis hari ini ialah MODA Sporter-S yang dikuasakan dengan enjin 250cc.

Pengenalan model skuter oleh MODA ini adalah sejajar dengan perkembangan pesat segmen skuter di Malaysia. Tidak dinafikan, skuter kini kian menjadi pilihan utama atas faktor kepelbagaian fungsi, kos yang berpatutan, dan praktikaliti di kawasan bandar. Di negara seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam, skuter telah pun mendominasi pasaran dengan menguasai lebih daripada 70% jumlah jualan motosikal secara keseluruhan.

Di Malaysia pula, jualan serta pasaran skuter kini turut meningkat tatkala ianya dipacu oleh kesedaran terhadap keperluan pada kenderaan yang menjimatkan bahan api serta lebih mesra alam. Pasaran skuter ini secara langsung dijangka menjana pendapatan keseluruhan AS$0.51 bilion pada tahun 2024 dan berkembang pada kadar CAGR 3.98% hingga mencapai AS$0.62 bilion menjelang tahun 2029.

Pengenalan MODA Sporter-S telah secara tidak langsung membuka ruang kepada segmen baru dengan reka bentuk berinspirasikan motosikal sukan ‘sportsbike’ yang mengetengahkan rekabentuk yang lebih aerodinamik dan berani. Umum mengetahui, ketika ini kebanyakan skuter di pasaran Malaysia kebanyakannya mengetengahkan Reka bentuk sporty dan unik seperti ini pastinya bakal menarik minat penggemar sukan bermotor di Malaysia.

Sporter-S juga dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih dengan ciri-ciri sebuah sportsbike. Antaranya ialah cakera brek berkembar di bahagian hadapan yang dikombinasikan bersama sistem ABS dua saluran (depan dan belakang) yang dilengkapi brek kaliper 4-injap untuk daya brek yang lebih jitu. Teknologi kawalan Traction Control System (TCS) pada Sporter-S juga turut memastikan kestabilan semasa membelok di permukaan mencabar.

Selain itu, skuter ini turut memiliki tangki isian petrol dengan kapasiti 13 liter yang mapan untuk perjalanan kembara yang jauh. Selain itu, ruang simpanan di bawah pelana tempat duduk dapat memuatkan dua topi keledar bersaiz penuh, memberikan kemudahan tambahan kepada penunggang harian. Menariknya, ia juga dilengkapi beberapa ciri menarik seperti lampu hadapan ultra-terang LED Matriks, kekunci pintar, hubungan nirwayar antara peranti telefon dan skrin besar berwarna TFT bersaiz 6.2 inci yang menyokong panggilan serta navigasi penuh semasa tunggangan.

Secara keseluruhan, dengan penawaran sebuah skuter 250cc yang dijanakan dengan kuasa 24.8hp, ia sudah cukup untuk dikategorikan sebagai antara skuter terbaik dan berkuasa di dalam kelasnya.

Menurut Micheal Yeoh, Penolong Pengurus Besar Mdua Motor Sdn. Bhd., MODA Sporter-S telah direka serta dibangunkan dengan berpegang kepada asas ‘By Bikers, For Bikers’ (Dari Penunggang, Untuk Penunggang). Beliau turut menambah, Sporter-S akan menjadi pilihan ideal bagi penunggang di Malaysia dengan tawaran reka bentuk sporty, aerodinamik, dan dilengkapi ciri seperti sistem brek ABS serta enjin berspesifikasi Euro-4 yang cekap bahan api.

Ditawarkan dalam dua warna menarik, Sporty Red dan Meteor Grey, Sporter-S kini boleh didapati di pengedar sah MODA seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web rasmi di www.modamotorcycles.com.

Spesifikasi:
  • Enjin 4-Injap, 1-Silinder, SOHC
  • Sistem Bahan Api Suntikan Elektronik (BOSCH EFI)
  • Pengurusan Enjin Elektronik (BOSCH)
  • Penghidup Elektrik
  • Pencucuhan Transistor Penuh
  • Transmisi CVT
  • Pensijilan Euro 4
  • Kapasiti Enjin 244cc
  • Kuasa Maksimum 24.8 Hp @ 8500 rpm
  • Tork Maksimum 22.5 Nm @ 6500 rpm
  • Sistem Penyejukan Cecair (Radiator Panasonic)
  • Brek Hadapan ABS 260mm Cakera Terapung Berganda
  • Brek Belakang ABS 240mm Cakera Tunggal
  • Suspensi Hadapan Fork Balikan
  • Suspensi Belakang Penyerap Hentakan Boleh Laras
  • Sistem Kunci Kunci Pintar (Nirwayar)
  • Jarak Roda 1538 mm
  • Jarak Tanah Minimum 165 mm
  • Berat 186 Kg
  • Kapasiti Tangki 13 Liter
Galeri gambar:

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kadar kompaun RM150 khas bagi 3 kesalahan selama 6 bulan, bermula hari ini, 3 Januari 2025.

Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke berkata ia melibatkan 3 jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

Ketiga-tiganya biasanya kadar kompaunnya ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok 3 Jan untuk selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.

Sebab saman AwAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AwAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya.

Loke berkata pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ.

Pembayaran kompaun khas itu katanya tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun depan.

Loke berkata dalam tempoh itu, Bahagian Penguat Kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit.

Akhirnya, selepas banyak jangkaan dan khabar angin harga Zontes 368G (2025) telah diumumkan di Malaysia. Zontes Malaysia meletakkan harga jualan yang disyorkan daripada RM28,800.

Kami telah menyiarkan tentang senarai ciri-ciri motosikal ini yang membingungkan setelah menunggang ujinya di Guangzhou, China, tetapi berikut ialah imbasan semula (yang kami terlepas diserlahkan dalam huruf tebal):

  • Enjin 368cc, disejukan cecair, DOHC, silinder tunggal yang menghasilkan kuasa maksimum 38.8hp dan tork maksimum 40Nm, jadi enjin Zontes ini merupakan yang paling berkuasa di dalam kelasnya.
  • Fork depan jenis terbalik 41mm yang boleh dilaras untuk redaman mampatan dan redaman lantunan.

  • Penyerap hentakan berkembar di belakang yang boleh dilaras untuk prabeban dan redaman lantunan.
  • Cakera brek depan 300mm yang digenggam oleh oleh kaliper brek empat piston J.Juan. J.Juan merupakan anak syarikat Brembo.

  • ABS depan dan belakang. Fungsi ABS belakang boleh ditutup bagi tunggangan off-road.
  • Ketinggian pelana yang standard ialah 790mm tetapi pemilik boleh memilih pelana yang lebih rendah berukuran 770mm.

  • Kelegaan bumi ialah 180mm.
  • Rim depan berukuran 17-inch, manakala yang belakang ialah 14-inci.

  • Ruang simpanan di bawah pelana yang amat besar pada 52 liter! Ia boleh menampung dua topi keledar full face. Bahagian belakang ruang itu boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis ‘adventure.”
  • Ada tiga, ya 3 port pengecas USB.

  • Skrin TFT besar 8-inci yang berwarna. Ia sekarang lebih jelas dan paparannya senang dipandang walaupun di bawah matahari terik.
  • Terdapat dua mod kuasa enjin iaitu Sport dan Economy.

  • Suis-suis dengan lampu latar.
  • Pengaktifan dan nyalaan tanpa kunci. Penutup tangki minyak juga tidak memerlukan kunci.

  • Skrin angin boleh dilaras tujuh kedudukan.
  • Tuil brek depan dan belakang boleh dilaras.

  • Pelindung tangan adalah ciri standard.
  • Sepasang pemijak kaki yang ekstra yang membolehkan penunggang berdiri ketika dia menunggang off-road ataupun hendak menunggang secara agresif.

  • Pemanas genggaman handel. Jangan kata tak perlu, sehinggalah anda menunggang ke atas Genting atau Cameron dalam hujan.
  • Sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS).

  • Kamera ‘dashcam‘ depan dan belakang sebagai ciri standard.
  • Kerangka keluli perlindungan badan motosikal.

Terdapat tiga pilihan warna iaitu Grey with Blue, White with Gold, and Golden Stone Green.

Akhir sekali, mengenai kebimbangan pengguna tentang ketersediaan selepas jualan dan alat ganti, inilah yang Zontes Malaysia katakan:

Memandangkan kebimbangan orang ramai baru-baru ini mengenai perkhidmatan selepas jualan kami, terutamanya ketersediaan alat ganti, kami telah menjalankan semakan menyeluruh dan melaksanakan beberapa langkah untuk menangani isu ini. Matlamat utama kami adalah untuk memastikan pelanggan kami tidak akan mengalami kesulitan akibat kekurangan alat ganti pada masa hadapan. Langkah-langkah ini termasuk meningkatkan tahap inventori kami dan mewujudkan perkongsian yang lebih kukuh dengan Ibu Pejabat Zontes. Kami komited untuk menyediakan tahap perkhidmatan dan kebolehpercayaan tertinggi kepada pelanggan kami.

Galeri gambar

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube