Bikesrepublic

Luar Negara

Husqvarna Svartpilen 801 (2024) telah dilancarkan secara rasmi dan akhirnya selepas bertahun-tahun khabar angin dan beberapa video acah.

Ia kini merupakan model Svartpilen/Vitpilen terbesar dengan menggunakan enjin LC8c KTM 790 Duke. Secara perbandingan, Norden 901 kekal sebagai Husqvarna terbesar dari segi kapasiti enjin, kerana ia menggunakan enjin KTM 890 Adventure, tetapi ia ditala untuk tork, bukannya kuasa kuda, justeru menghasilkan 103hp.

Ciri-ciri Husqvarna Svartpilen 801 (2024):

Enjin

  • Enjin LC8c 799cc, selari-kembar, DOHC, sejukan cecair menghasilkan 77 kW (103 hp).
  • Kuasa enjin dihantar melalui kotak gear enam kelajuan dengan bantuan klac PASC (power assist slipper clutch). Terdapat quickshifter untuk menukar gear naik dan turun juga.
  • Kala servis untuk Svartpilen 801 ialah 15,000 km.
  • Husqvarna berkata enjin ini menggunakan 4.5 liter petrol setiap 100 kilometer.

Casis

  • Rangka keluli tiub kromium-molibdenum yang ditala ciri kelenturan dan ketegaran.
  • Fork depan WP Apex 43mm boleh laras dengan pergerakan 140mm.
  • Monoshok WP Apex di belakang yang menawarkan pergerakan 150mm.
  • Kedua-dua rim adalah aloi 17-inci dengan tayar Pirelli MT60 RS.
  • Di hadapan, sepasang kaliper brek J. Juan yang dipasang secara jejari mencengkam cakera brek 300mm.
  • Brek belakang terdiri daripada kaliper tunggal dan cakera brek 240mm.
  • Sistem ABS Bosch adalah standard dengan mod Supermoto ABS.
  • Tangki bahan api bermuatan 14 liter.
  • Husqvarna mendakwa Svartpilen 801 mempunyai berat kering 181 kg.

Ciri-ciri elektronik

  • Skrin TFT 5-inci dengan ciri ketersambungan dipasang sebagai standard.
  • Penunggang boleh pautkan telefon ke TFT melalui aplikasi telefon pintar Ride Husqvarna Motorcycles, untuk navigasi, panggilan dan muzik.
  • Terdapat tiga mod tunggangan: Road, Rain dan Sport.
  • Pemilik boleh membeli pakej pilihan Dynamic pilihan yang menambahkan mod tunggangan Dynamic, serta kawalan jelajah (cruise control), sepuluh tahap kawalan cengkaman dan lima tahap kawalan wheelie.
  • Pencahayaan LED juga standard.
Berapakah harganya?

Husqvarna Svartpilen 801 (2024) dijual pada harga USD 10,899 (RM 51,650.36) dan akan mula memasuki beberapa pasaran global menjelang Jun. Tetapi mungkin penghujung tahun atau awal tahun depan untuk kita.

Baru-baru ini, kami menyiarkan satu artikel tentang MV Agusta mungkin menghadapi masalah kewangan selepas prestasi buruk pada tahun 2023. Kami juga menyebut bahawa Ketua Pegawai Eksekutif MV, Timur Sardarov, bertegas untuk tidak melepaskan kawalan syarikat kepada Pierer Mobility Group (KTM, Husqvarna, GasGas). Dan secara tiba-tiba, berita tersebar bahawa Pierer Mobility baru sahaja memperolehi pegangan kawalan dalam MV Agusta.

Pierer Mobility Group (PMG) telah menjelaskan bahawa mereka ingin memperoleh pegangan kawalan dalam MV sejak pembelian awal 25% saham MV Agusta pada 2020. Pemuktamadkan perjanjian itu melihat PMG menjadi pemegang saham majoriti apabila mereka mengeluarkan opsyen panggilan, justeru meningkatkan bahagian mereka dalam MV kepada 50.1%.

Perjanjian itu juga menyaksikan perubahan dalam perniagaan harian MV. Hubert Trunkenpolz menggantikan Timur Sardarov sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengarah. (Hubert ialah anak saudara kepada Hans Trunkenpolz, yang mengasaskan KTM. Itulah huruf “T” dalam nama KTM.) Sardarov akan kekal bersama MV sebagai Naib Pengerusi. Selain itu, PMG merancang untuk mengembangkan ibu pejabat MV di Varese, Itali.

Sadarov berkata:

“MV Agusta merangkumi semangat dan rasa percintaan yang unik yang menawan saya, seorang usahawan berpengalaman, sejak hari pertama. Cabaran peribadi untuk membimbing syarikat keluar daripada krisis dan mengemudinya ke arah kejayaan melalui strategi perniagaan yang inovatif, pengembangan pasukan dan pembangunan produk baharu telah berjaya ditakluki. Ia adalah satu penghormatan untuk memainkan peranan dalam membentuk legasi MV Agusta. Sepanjang lima tahun yang lalu, kedua-dua syarikat dan saya telah berkembang dengan ketara. Pertumbuhan kami bersama-sama adalah bukti perjalanan transformatif yang telah kami kongsikan. Masa saya bersama MV Agusta telah menjadi babak penting dalam hidup saya, dipenuhi dengan kegembiraan dan cabaran bersama. Semasa saya terus berkhidmat sebagai Naib Pengerusi yang berdedikasi, saya komited untuk menyokong syarikat dan kejayaan berterusannya.”

Jadi apa akan jadi lepas ini? KTM pernah menegaskan bahawa mereka tidak mahu mengeluarkan lagi motosikal sportbike sejak pengeluaran RC8 tamat, atas sebab tidak mahu membahayakan pelanggan mereka. Bagi segmen naked pula, KTM sudah mempunyai pangkalan mereka yang diliputi dengan 890 Duke R dan 1390 Super Duke R. Malah, KTM, GasGas, Husqvarna telah merangkumi banyak segmen di kalangan mereka, lebih-lebih lagi KTM.

Atau adakah PMG akan meneruskan dengan mengeluarkan barisan MV Agustas yang sedia ada?

Masa akan menentukan.

MV Agusta dalam Kesukaran (Lagi)?

Apabila Harley-Davidson mengumumkan kedatangan semula banjaran model-model 2024, dua daripadanya telah menerima peningkatan yang ketara, iaitu 2024 Harley-Davidson Street Glide dan 2024 Harley-Davidson Road Glide. Kedua-dua model ini mendapat peningkatan daripada segi gaya, suspensi serta elektronik yang sama, yang sebelum ini hanya tersedia pada edisi terhad CVO Street Glide dan CVO Road Glide.

Tetapi mari kita kenali model Street Glide dahulu.

Ciri-ciri utama Harley-Davidson Street Glide (2024):
  • Nadi Street Glide baharu ini ialah enjin Milwaukee-Eight 117 yang lebih besar (iaitu 117 inci padu, atau 1917cc kepada kami dalam dunia metrik).
  • Silinder baharu menggunakan head yang disejukkan cecair, bersama-sama dengan sistem penyejukan yang baharu.
  • Ia adalah peningkatan besar daripada Milwaukee-Eight 107 (1753cc) sebelumnya.
  • Enjin 117ci ini menghasilkan 105 hp dan tork 176.3 Nm, yang jauh lebih tinggi daripada 86 hp untuk enjin 107ci.

  • Sudah tentu, 105 hp dari 1.9 liter tidak banyak, tetapi pertimbangkan enjin ini berputar di bawah 1,500 RPM apabila bergerak pada 110 km/j, dan anda akan faham.
  • Walau bagaimanapun, enjin 117ci tidak mempunyai VVT daripada enjin 121ci (1982cc) CVO.
  • Penambahan sistem infotainmen baharu, dengan penguat berkuasa 200 watt, yang menghantar kuasanya ke sepasang pembesar suara yang dipasang pada fairing.

  • Skrin sentuh warna TFT 12.3 inci yang besar (istilah raksasa lebih tepat. Sebagai perbandingan, skrin Apple iPad 2 ialah 12.9 inci).
  • Penunggang boleh memilih mod tunggangan (Rain, Road, Sport, Custom), atau berinteraksi dengan sistem infotainmen, dsb. melalui skrin TFT kerana butang analog pada bar hendal telah tiada lagi.
  • Sudah tentu, H-D menaik taraf penggayaan motosikal juga, untuk menjadikannya lebih kontemporari, walaupun fairing mengekalkan profil batwing dan hidung jerung yang legenda.
  • Tangki bahan api juga mempunyai bentuk baru.
  • Span tempat duduk sekeping ditambah baik untuk jalanan jarak jauh.

Berapakah harganya?

Harley-Davidson Street Glide 2024 dijual pada harga USD 25,999 (RM 123,053.27), walaupun bilangan cukai yang membingungkan sudah tentunya akan menaikkan harga ke lebih tinggi.

Dan kawan-kawan saya tertanya-tanya mengapa saya hendak menjadi kaya…

Jentera Ducati Desmo450 MX telah meraih kemenangan di dalam perlumbaan sulungnya di dalam Kejohanan Motocross Prestige Itali yang diadakan di Mantua, hujung minggu lepas.

Penunggang pasukan pengilang Ducati, Alessandro Lupino telah berjaya mencatat masa saringan yang terbaik, justeru mendapt petak pertama kelas MX1 pada hari Sabtu. Lupino yang merupakan bekas Juara MXGP (Motocross World Championship) memanfaatkan kedudukan petak pertama itu di dalam moto pertama (perlumbaan pertama) bagi memenangi perlumbaan pada hari Ahad. Malangnya, dia tidak bermula dengan baik dalam moto kedua (perlumbaan kedua) dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-7. Keputusan itu bermakna dia mendapat tempat ke-2 secara keseluruhannya.

Terdapat banyak publisiti yang menyelubungi Ducati Desmo450 MX. Kilang Itali itu dapat “memukat” bekas legenda MXGP Antonio “Toni” Cairoli dari “rumah” lamanya, KTM untuk bertindak sebagai pelumba pembangunan dan ujian.

Selain itu, motosikal ini adalah usaha untuk mempelbagaikan jenama Ducati ke dalam segmen lain yang berbeza daripada motosikal-motosikal mahal yang yang berorientasikan prestasi di atas jalan. Kami jangkakan motosikal Ducati MX, dan pastinya, sebuah enduro akan mula dijual kepada khayalak umum tidak lama lagi.

Selain itu, enjin satu silinder 450cc-nya merupakan perkembangan yang menarik, sekali lagi, ia menunjukkan peralihan daripada model-model berbilang silinder mereka.

Perlu dikatakan bahawa Ducati sedang bersaing dengan sebuah lagi pengilang Eropah – Triumph – dalam membina motosikal MX. Walaubagaimanapun, Triumph TF 250-X merupakan jentera 250cc dan kini berlumba dalam siri Supercross di Amerika. Ia juga telah mencapai keputusan hebat dalam perlumbaan pembukaannya. Selain itu, Triumph sudah pun sedang dijual kepada umum.

CFMoto Ibex 450 telah dilancarkan bulan lepas di AS pada harga yang sangat menarik. Jadi, persoalannya adakah ia akan datang ke sini?

CFMoto pertama kali mempamerkan  450MT di EICMA pada November 2023, dan diikuti dengan penukaran namanya kepada Ibex 450 tidak lama kemudian. Pasaran AS akan menerimanya sebagai model 2025.

Apapun, “ibex” merupakan kambing gunung liar dengan tanduk panjang tebal yang terdapat di Asia Tengah dan Ethiopia. Jadi seperti namanya, CFMoto Ibex 450 ialah motosikal adventure ringan.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin berkembar selari 449cc, yang dikongsi dengan 450SS (sport), 450NK (naked) dan cruiser 450CL-C yang akan datang.
  • Enjinnya menghasilkan 44 hp pada 8,500 RPM dan 44 Nm tork pada 6,250 RPM.
  • Julat kuasa enjin ini ditala untuk tugas adventure dan perjalanan jauh. Oleh itu, kuasa maksimumnya adalah 6 hp lebih rendah dan memuncak pada 1,000 RPM lebih rendah berbanding 450SS dan 450NK.
  • Enjin ini turut menggunakan konfigurasi engkol 270 darjah yang amat popular masa sekarang, dengan dua shaf pengimbang.
  • Kuasa dihantar melalui klac slipper dan kotak gear enam kelajuan.
  • Enjin dibawa oleh rangka tiub keluli chromoly.
  • Suspensi KYB dengan jarak gerakan 203mm perjalanan yang besar.
  • Sebaliknya, ketinggian tempat duduk hanya 820mm.
  • Suspensi hadapan boleh laras sepenuhnya dan monoshok belakang boleh laras untuk prabeban dan lantunan.
  • Kaliper brek J.Juan empat omboh, dipasang secara jejari mencengkam satu cakera 320mm di hadapan.
  • Motosikal ini menggunakan roda depan bersaiz 21 inci dan roda belakang 18 inci.
  • Sistem ABS Bosch adalah standard untuk kedua-dua bahagian hadapan, tetapi fungsi ABS di roda belakang boleh dimatikan.
  • Sistem kawalan cengkaman juga ditadbir oleh ECU Bosch, dan ia boleh dihidupkan atau dimatikan dari dash.
  • Paparan TFT melengkung 5 inci dengan sambungan telefon pintar, dan dikemas kini secara tanpa wayar.
  • Ciri lain termasuk cermin depan boleh laras, lampu LED, plat tergelincir aluminium, cermin lipat dan titik pengecasan USB-C.

CFMoto Ibex 450 ini turut direkabentuk oleh Kiska, yang merupakan pihak yang sama merekabentuk motosikal KTM, Husqvarna, GasGas, memandangkan CFMoto masih bekerjasama dengan KTM.

Sebagai penutup, kami berharap motosikal ini sampai ke sini memandangkan pasaran adventure dan touring masih berkembang.

Walaupun pengeluar Eropah seperti BMW, Ducati, Triumph dan lain-lain terus mengumumkan jualan “pemecahan rekod” mereka setiap tahun, Honda masih mendahului jualan global 2023; dan meneruskan dominasi mereka selama 50 tahun yang lalu.

Menurut laman web Motorcycles Data yang mengumpulkan data dari 92 negara, Honda menjual sejumlah 18.4 juta motosikal di seluruh dunia. Angka itu mewakili peningkatan hampir 700,000 unit (4.3%) daripada 2022.

Ia bukanlah satu pendedahan yang mengejutkan, memandangkan Honda menguasai segmen cub dan skuter dalam pasaran ASEAN (kecuali Malaysia sahaja). Rantau ASEAN terdiri daripada negara-negara di mana motosikal memainkan peranan penting seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Malaysia, Filipina. Malah, Honda telah menguasai 1/3 daripada pasaran motosikal di seluruh dunia.

Nombor 2 ialah Hero Motor dari India dengan 5.6 juta motosikal dijual, iaitu peningkatan 5.4%. Motosikal Hero dijual bukan sahaja di negara asal mereka, tetapi juga dieksport ke beberapa negara lain.

Ketiga dalam senarai ialah Yamaha, yang telah menjual 4.6 juta unit (peningkatan 0.9%). Walau bagaimanapun, kedudukan pasaran keseluruhan mereka telah menurun sebanyak 5% kepada 7.5%.

Yamaha bagaimanapun adalah Nombor Satu di Malaysia. Mereka telah berjaya menjual sebanyak 652,850 unit pada 2023. Keputusan ini adalah yang kedua terbaik, hanya 4.0% lebih rendah daripada rekod tertinggi. Malaysia masih merupakan pasaran ke-12 terbesar bagi motosikal di seluruh dunia.

Meneruskan senarai tadi, Bajaj Auto menyaksikan 3.6 juta jualan (naik 8.7%) disebabkan permintaan domestik yang kukuh.

Di tempat kelima ialah TVS Motor, yang menjual 3.4 juta motosikal (peningkatan 19.8%).

Yadea yang berpangkalan di Shanghai menjual 2.5 juta skuter elektrik pada 2023. Walaupun mereka berada di tempat keenam dalam senarai ini, ia sebenarnya penurunan 3 tempat disebabkan ruduman jualan sebanyak 49.7% berbanding 2022. Yadea membuat skuter elektrik premium dan juga dijual di Malaysia di bawah MForce Bike Holdings.

Suzuki melonjak semula ke tempat ketujuh, dengan 1.9 juta jualan (7.1% lebih tinggi).

Tiga pengeluar China iaitu Haojue, Loncin dan Zhongshen melengkapkan 10 teratas.

Honda Amerika hentikan penjualan tiga model, sementara menunggu selesainya penarikan balik. Model-model tersebut adalah 2017-2024 Gold Wing, 2018-2020 CBR600RR, dan 2018-2019 CBR1000RR.

Surat Honda Amerika kepada Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan AS mengatakan syarikat itu telah dibekalkan dengan pam bahan api yang mungkin rosak. Pendesak pam ini mungkin meleding apabila terdedah kepada petrol disebabkan acuan yang tidak betul. Sekiranya ini berlaku, pam menjadi tidak berfungsi dan menyebabkan enjin tidak dapat hidup sama sekali, atau lebih bahaya lagi, terhenti semasa motosikal dalam perjalanan.

Gejala yang mungkin timbul termasuk kehilangan kuasa sekejap-sekejap, enjin terhenti, atau enjin sukar dihidupkan atau tidak sama sekali. Pam itu dibekalkan oleh Denso International America.

Honda berkata 17,374 motosikal mungkin terjejas. Ini mewakili kira-kira 10% daripada jumlah keseluruhan tiga model.

Syarikat itu mula menerima laporan tentang masalah sedemikian sejak Ogos 2019. Peniaga telah melaporkan bahawa motosikal baharu mereka tidak dapat dihidupkan semasa persediaan sebelum penghantaran, dan ini mendorong Honda untuk menyiasat. Menjelang Februari 2024, 142 tuntutan waranti telah didaftarkan.

Tidak lama kemudian, Honda Amerika mengarahkan rangkaian pengedar nasionalnya untuk menghentikan jualan model yang disebutkan di atas, tidak kira baharu atau terpakai, sehingga mereka menggantikan pam bahan api yang terjejas.

Semakan di laman web Honda Big Bike di Malaysia tidak menyebut isu atau kempen panggil balik.

Kita juga harus menyebut bahawa penarikan balik oleh pengeluar tidak semestinya sesuatu yang buruk. Adalah lebih baik bagi kita apabila pihak pembuat membuat langkah sedemikian daripada menutupi isu atau potensi isu yang berpotensi.

Triumph TF 250-X yang baharu mencapai podium serta-merta di MXGP.

Penunggang Mikkel Haarup menunggang ke tempat ke-5 dalam Moto 1 (perlumbaan 1) dan tempat ke-2 dalam Moto2 (perlumbaan 2) untuk tempat ke-3 keseluruhannya dalam kelas MX2 di MXGP Argentina. Pusingan ini merupakan pusingan pertama di dalam kalendar GP Motocross Dunia (MXGP).

Kedua-dua pelumba Triumph telah mencapai penghabisan podium dalam perlumbaan pramusim, namun perlumbaan tersebut dianggap perlumbaan persediaan dan pemanasan badan, bukannya perlumbaan sebenar.

Haarup terjatuh dua kali semasa Perlumbaan Kelayakan yang meletakkannya di tempat ke-19 untuk permulaan Perlumbaan Utama. Namun pelumba dari Denmark itu dapat menebus semula kesilapannya di dalam dua perlumbaan utama pada hari Ahad dan juga mendahului perlumbaan buat seketika dalam Moto 2.

Haarup berkata selepas perlumbaan: “Ya, ia merupakan permulaan yang menakjubkan untuk musim ini! Podium adalah sempurna dan cara terbaik untuk memulakan tahun untuk diri saya sendiri, dan Monster Energy Triumph Racing.

“Perlumbaan kelayakan saya tidak begitu baik, tetapi saya tahu bahawa saya mempunyai kepantasan untuk berlumba dalam kelompok tiga teratas hari ini.

“Kami telah membina dan membina dan apa yang kami capai hari sepanjang luar musim. Pencapaian ini adalah hasil kerja keras semua orang yang terlibat. Saya berasa selesa di atas motosikal sepanjang hujung minggu dan itu sangat penting di trek sukar seperti ini. Hari ini kami telah menunjukkan kemampuan motosikal ini dan secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi saya.”

Rakan sepasukan Triumph Haarup, Camden McLellan, menamatkan perlumbaan ditempat ke-11 dan ke-6 untuk menduduki tempat ke-9 keseluruhannya dalam perlumbaan Kejuaraan Dunia pertamanya sebagai pelumba pasukan pengilang. Dia berkata: “Itulah hujung minggu yang berakhir di Argentina dan boleh dikatakan bahawa terdapat banyak kegelisahan dan banyak keseronokan sepanjang hujung minggu.”

Pencapaian ini amat penting untuk Triumph kerana mereka menerokai suatu segmen yang mereka tidak mempunyai pengalaman sebelumnya. Hanya segelintir pengeluar yang boleh menuntut permulaan sedemikian impian ini, apa lagi pada zaman ini di mana margin prestasi di antara motosikal sangat kecil.

Triumph TF 250-X sudah pun dijual, daripada USD 9,995.00 (RM 46,776.60) di beberapa pasaran.

Yamaha TMAX 560 (2024) telah dilancarkan di Jepun dengan beberapa kemas kini ringan.

Yamaha TMAX boleh dikatakan skuter yang memulakan kelas maxi-skuter apabila ia mula-mula dikeluarkan pada tahun 2001, dan mengambil alih daripada 250cc Majesty. Popular di Eropah, motosikal ini telah meneruskan banjarannya selama 23 tahun dengan kemas kini demi kemas kini untuk membawanya ke tahap yang terkini. Ia masih menjanjikan prestasi dan teknologi tanpa menjejaskan kepraktisan dan keselesaan.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Yamaha mengemas kini TMAX sedikit sebanyak untuk bersaing, jika tidak, terus berada di hadapan pesaingnya.

Enjin kekal sama: Jenis kembar selari 562cc, dengan penyejukan cecair dan suntikan bahan api. Ia menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 48 hp pada 7,500 RPM dan 55.7 Nm tork maksimum pada 5,250 RPM. Itu adalah sebaran yang luas sebanyak 2,250 RPM antara tork dan kuasa maksimum memastikan pecutan yang pantas apabila bergerak.

Walau bagaimanapun, kemas kini utama terletak pada ciri elektronik. Sebagai permulaan, kini terdapat kawalan jelajah (cruise control) yang merupakan tambahan yang dialu-alukan untuk perjalanan jarak jauh. Paparan meter TFT 7-inci berwarna penuh kini mempunyai navigasi Garmin. Pencucuhan tanpa kunci, kawalan cengkaman, ABS dikekalkan. Model Jepun mempunyai handel dan tempat duduk yang dipanaskan.

Ciri-ciri lain termasuk penghalang angin yang tinggi, tempat duduk yang selesa, ruang simpanan bawah tempat duduk yang besar dan banyak lagi. Pemilik Yamaha TMAX 560 2024 di Jepun boleh memilih beg pelana dan top boks, tetapi ia mungkin tidak tersedia untuk pasaran kami. Namun satu perkara yang pasti ialah ia akan mengambil masa yang agak lama untuk tiba di sini.

KTM Brabus 1400 R yang baharu dilaporkan sedang dibangunkan dan akan menggunakan enjin KTM yang 1350cc baharu.

Sebelum ini, KTM mengumumkan pengeluaran KTM Brabus 1300 R akan ditamatkan selepas dua tahun. Tetapi ternyata ia kerana KTM telah memperkenalkan enjin baharu melalui KTM 1390 Super Duke 2024. Enjin baharu itu menggantikan enjin LC8 1301cc lama, yang terdapat dalam KTM 1290 Super Duke Evo.

Jadi, sudah tentu Brabus baharu ini akan berdasarkan 1390 Super Duke Evo. LC8 V-Twin baharu itu mempunyai 188 hp dan tork 145 Nm. Ia juga merupakan enjin kepada 1390 Super Adventure dan 1390 Super Duke GT yang akan datang.

Walaupun KTM dan Brabus tidak mendedahkan projek itu, sebuah motosikal Jerman terjumpa permohonan Brabus kepada Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) untuk mendaftarkan beberapa nama. Lebih khusus lagi, Brabus telah mendaftarkan tanda dagangan “Brabus 1400 R Tailor Made”, “Brabus 1400 R Rocket”, dan “Brabus 1400 R Signature”.

Jadi, daripada hanya satu varian dengan dua skema warna berbeza, motosikal baharu itu akan mempunyai tiga varian berbeza. Mungkin “Tailor Made” merujuk kepada varian yang dibuat mengikut kemahuan pembeli, manakala “Rocket” menandakan versi prestasi, dan “Signature” bermaksud kemewahan.

Sekiranya berita ini benar, kita boleh menjangkakan untuk melihat KTM Brabus 1400 R baharu menjelang akhir tahun ini.

Pernah terfikir berapakah gaji Francesco “Pecco” Bagnaia? Lagipun, dia adalah juara dunia MotoGP dua kali bertahan.

Sekiranya anda belum maklum, dia telah memperbaharui kontraknya di Ducati untuk dua tahun lagi sehingga akhir musim 2026. Anda mungkin akan menganggap jumlah yang besar tetapi ia tidak hampir dengan apa yang didapati oleh juara dunia tiga kali sebelum ini, Jorge Lorenzo.

Menurut majalah Motorsport, perjanjian terbaru Bagnaia memberinya gaji pokok €7 juta (RM35,892,918.75) setiap musim. Bagaimanapun, dia dijangka memperoleh lebih daripada €10 juta (RM51,275,598.22), bergantung kepada keputusannya.

Dia mula mendaftar sebagai pelumba kilang No. 1 Ducati pada awal musim 2022 yang kemudiannya dimenanginya pada tahun yang sama. Gajinya sama dengan Jorge Martin dan Enea Bastianini (sebelum dia berpindah ke pasukan kilang) pada masa itu.

Walau bagaimanapun, walaupun jumlah itu kelihatan sangat besar bagi kita sebagai insan biasa, ia tidak hampir dengan apa yang diperoleh Lorenzo apabila dia berpindah ke Ducati. Pelumba yang berasal dari Majorca itu telah dibayar sebanyak €25 juta untuk setiap dua musim dia berada di sana. Namun, Lorenzo dapat memenangi tiga perlumbaan dan tiada takhta juara dunia buat Ducati.

Oleh itu, Francesco “Pecco” Bagnaialah yang menghadiahkan kejuaraan MotoGP yang kedua buat Ducati, 15 tahun selepas Casey Stoner melakukannya pada 2007.

Perlu dikatakan akan ada 8 pelumba yang kontraknya akan tamat pada penghujung 2024, jadi Ducati terpaksa mendapatkan khidmat Bagnaia dengan cepat. Ia masih belum dapat dilihat apa yang Enea Bastianini boleh lakukan selepas musim pertama yang penuh bencana dan penuh kecederaan tahun lalu. Tidak perlu dikatakan bahawa akan ada ramai yang akan bersaing untuk tempat Ducati kilang itu untuk tahun depan termasuk Marc Marquez dan Jorge Martin.

Anda mungkin masih ingat yang kami pernah menyiarkan berita mengenai Husqvarna Vitpilen 901 sebelum ini. Ternyata kami tersilap kerana prototaip Husqvarna Svartpilen 801 telah didedahkan.

Sebelum ini, terdapat video acah yang mendorong video “suntingan penuh” pada 5 Mac. Ia menunjukkan sebuah motosikal yang ditunggang di atas di atas permukaan ais, serta dilengkapi dengan tayar berpancang. Apapun, ia mengesahkan ketibaan Svartpilen/Vitpilen yang lebih besar.

Husqvarna Vitpilen 901 is (Finally) Coming?

Video baharu yang dipanggil “A tale of dirt and ice” menunjukkan prototaip Husqvarna Svartpilen 801 secara keseluruhannya di atas tasik beku dan trek tanah.

Husqvarna berkata motosikal itu akan mempunyai keberatan kira-kira 181kg, walaupun ia tidak menyatakan samada ini ialah keberatan kering atau basah. Enjinnya yang dikongsi dengan 790 Duke menghasilkan 103.6 hp. Itu sebenarnya lebih tinggi sedikit daripada 103.3 hp yang terdapat pada 790 Duke.

Husky kini dimiliki oleh Pierer Mobility Group, yang juga memiliki KTM, antara jenama lain. Oleh itu, adalah selamat untuk mengandaikan bahawa motosikal yang akan datang ini berkongsi asas yang sama dengan 790 KTM, seperti model lain dalam barisan Husqvarna. Contohnya, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401.

Oleh itu, enjin LC8c silinder berkembar akan dipasang pada rangka keluli. Lengan ayun yang sama juga muncul dalam video. Perbezaan utama di sini ialah subframe, kemungkinan berlainan bentuk bagi memudahkan tunggangan flattrack dalam video. Dan sudah tentu, fork WP Apex digunakan memandangkan WP Suspension juga milik Pierer Mobility.

Di segi ciri elektronik, motosikal ini mungkin termasuk mod Supermoto ABS yang membolehkan penunggang meluncur roda belakang. Penunggang dalam video itu boleh dilihat melakukan aksi sedemikian. Kita juga boleh menantikan skrin TFT dengan sambungan multimedia, kawalan cengkaman, quickshifter, dan sebagainya seperti dengan 790 Duke.

Husqvarna berkata, “Model kelas pertengahan serba baharu ini telah direka bentuk untuk memberikan gabungan prestasi, ketangkasan dan gaya terkini yang berkuasa untuk menunggang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kepelbagaian Svartpilen 801 dipertingkatkan lagi dengan bantuan penunggang elektronik terkini, termasuk Easy Shift [quickshifter atas/bawah] untuk penukaran gear yang lancar, sebagai standard.”

Jadi apa yang seterusnya? Pendedahan penuh tahap global akan dibuat pada 19 Mac 2024. Dan sudah tentu, Vitpilen 801 pasti akan menyusul dalam masa terdekat.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube