Bikesrepublic

Luar Negara

QJMotor ialah salah satu daripada beberapa jenama di bawah empayar Qianjiang yang sering menghasilkan model demi model motosikal, antaranya yang menjadi Benelli, atau sekurang-kurangnya berkongsi platform. Contohnya, QJMotor SRT600 ini yang bakal menggantikan SRT550.

Model SRT550 berdasarkan satu platform yang amat penting. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, enjin dan casisnya adalah sama dengan Benelli TRK 502. TRK 502 telah dihentikan produksinya tetapi masih boleh didapati di Malaysia. Platform ini juga digunakan oleh MV Lucky Explorer 5.5, hasil kerjasama Qianjiang dan MV Agusta.

Tetapi di sini ada sesuatu yang agak mengelirukan. Walaupun dokumen kelulusan jenis adalah untuk QJMotor SRT600 baharu, ia menggunakan kapasiti 554cc yang sama. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan besar dalam kuasa daripada 47 hp kepada 60 hp. Melihat katalog, kami mendapati bahawa tahap kuasa itu same dengan model sportbike SRK550RR dan RS, bermakna enjin SRT600 “baru” sebenarnya adalah unit berspesifikasi lebih tinggi.

Satu kelegaan yang dialu-alukan (jika motosikal ini itu menjadi Benelli dan dijual di Malaysia), ialah pengurangan berat. Dokumen itu menyenaraikan 220kg, berbanding 234 kg yang lama.

Reka bentuk SRT600 juga menunjukkan satu lagi perubahan yang dialu-alukan, iaitu tanpa rupa mudguard depan seakan GS yang murahan. Sebaliknya, QJMotor merekabentuk semula motosikal itu untuk mirip model adventure SVT650 yang menggunakan enjin V-Twin.

Ciri-ciri lain yang boleh dilihat dalam gambar ialah kaliper brek depan Brembo dengan pemasangan jejari. Saiz tayar ialah 110/80-19 untuk hadapan dan 150/70-17 di belakang.

Adakah ini akan menjadi kelas pertengahan Benelli baharu untuk menggantikan TRK 502 yang sudah terlalu lam? Masa akan menentukan.

Triumph Trident 660 Special Edition (2025) telah didedahkan, sebagai penghormatan kepada Tridentyang memenangi perlumbaan IoM TT (Isle of Man TT) dari 1971 hingga 1975.

Sebagai edisi khas, ia menggunakan skema warna putih, biru dan merah bersejarah dengan grafik, lengkap dengan nombor 67. Skema warna ini adalah warna pada basikal yang memenangi TT tersebut, yang digelar “Slippery Sam.”

Walaubagaimanapun, ia bukan sekadar skema cat kerana Triumph telah menambahkan beberapa komponen yang sebaliknya hanya tersedia sebagai pilihan. Pertama, terdapat skrin kecil yang dipadan warna di atas lampu depan. Seterusnya, pelindung bawah enjin aluminium, dan quickshifter Triumph Shift Assist dengan blipper automatik, sebagai standard.

Bahagian mekanikal lain Triumph Trident 660 Special Edition (2025) kekal tidak berubah. Enjinnya ialah jenis tiga silinder 660cc yang menghasilkan 80 hp pada 10,250 RPM dan 63.7 Nm tork pada 6,250 RPM. Itu adalah sebaran 4,000 RPM yang amat besar antara tork maksimum dan kuasa maksimum, bermakna enjin boleh memecut dengn cemerlang di mana-mana dalam julat RPM!

Fork depan masih jenis Showa terbalik yang tidak boleh laras, manakala monoshok Showa di belakang boleh laras untuk prabeban sahaja. Kaliper brek dua omboh Nissin menyandang tugas membrek di hadapan. Malah tayar masih kekal tidak berubah dari Michelin Road 5.

Ciri elektronik termasuk ABS sebagai standard, mod tunggangan ROAD (jalan) dan RAIN (hujan), skrin TFT berwarna, kawalan cengkaman boleh dihidupkan/dimatikan, sistem keselamatan kunci immobilizer.

Harga bermula dari USD 8,595 (RM40,645.76) iaitu harga yang sama dengan Trident 660 standard. Bagaimanapun, terdapat harga yang berbeza di negara lain, kerana ia dijual pada harga yang lebih tinggi sedikit di Kanada.

Triumph Trident 660 Special Edition (2025) atau juga dikenali sebagai Triumph Trident 660 Tribute (2025) pastinya akan sampai ke Malaysia kelak.

Satu-satunya persoalan yang kami ada ialah: Mengapa Triumph tidak melancarkan Tribute Daytona 660?

Sebuah kapal kargo melanggar jambatan dan menyebabkannya runtuh, di Baltimore, Amerika Syarikat. Laporan menganggarkan 20 kenderaan terjunam ke dalam sungai di bawah jambatan.

Sebuah video yang tular di internet menunjukkan kapal tersebut, Dali, kehilangan kuasa dua kali dan mengakibatkannya hilang kawalan. Ia juga jelas dalam video itu terdapat kepulan asap hitam daripada cerobong asap kapal apabila ia hidup semula selepas gelap buat kali pertama, mungkin disebabkan oleh pengemudi kapal itu cuba mengundur kapal dengan kuasa penuh.

Bagaimanapun, Dali berlanggar dengan salah satu penyokong Jambatan Francis Scott Key itu dan menyebabkannya terputus di beberapa bahagian.

Terdapat juga laporan bahawa pengemudi kapal itu telah menghubungi pihak berkuasa pelabuhan yang menyatakan bahawa kapal itu berada di luar kawalan. Malangnya, pihak berkuasa tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bertindak balas untuk menghalang lalu lintas dan mengosongkan jambatan.

Peta laluan yang diterbitkan dalam The Virginian Pilot menunjukkan bahawa kapal itu telah bergerak dengan kelajuan hanya 7 knot (13 km/j).

Perjalanan kapal Dali – The Virginian Pilot

Tragedi itu berlaku pada kira-kira jam 1.30 pagi, waktu tempatan, mujurlah beberapa jam sebelum jambatan itu sesak dengan lalu lintas pagi yang sibuk.

Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan, tetapi setakat ini, hanya dua orang daripada kru pembinaan telah ditarik keluar dari air sejuk dengan enam masih tidak dapat dikesan.

Foto oleh WJLA melalui AP

Dali telah meninggalkan Pelabuhan Baltimore ke Colombo, Sri Lanka di bawah bendera Singapura. Ia diuruskan oleh Synergy Marine Group dan dimiliki oleh Grace Ocean Private Ltd. tetapi disewa oleh konglomerat perkapalan Denmark Maersk untuk membawa kargo pelanggan mereka. Tiada krew dan kakitangan Maersk berada di dalamnya.

Jambatan itu dibuka pada tahun 1977 dan dinamakan sempena penulis lagu kebangsaan Amerika “The Star-Spangled Banner.” Ia merupakan jalan raya utama yang merentangi Sungai Patapsco.

All pictures by AP.

Husqvarna telah menunjukkan prestasi yang baik dari segi jualan sejak pengambilalihannya oleh Pierer Industrie AG pada tahun 2013. Oleh itu, adalah mengejutkan dan mungkin membingungkan bahawa jualan global Husqvarna 2023 menurun – kali pertama dalam satu dekad.

Mereka merekodkan penjualan sebanyak 47,008 unit di seluruh dunia, mewakili penurunan -1.2%.

Penurunan terbesar dicatatkan di India, diikuti Amerika Latin (-13.9%), China (-10.6%), dan rantau ASEAN (-8.7%).

Walau bagaimanapun, jenama itu terus berkembang di kawasan bukan Asia, terutamanya dalam pasaran baharu seperti Slovenia (+119%) dan Cyprus (+58%). Dua lagi negara yang mencatatkan jualan dua angka ialah Ireland (+33%) dan Sepanyol (+19.1%). Jualan di benua Eropah meningkat +7.7%, secara keseluruhan.

Terdapat juga peningkatan +2.0% di Amerika Utara.

Angka tersebut didedahkan oleh laman web Motorcycles Data. Mereka menjejaki jualan kenderaan baharu mengikut pendaftaran (untuk pelanggan) dan bukannya kenderaan yang diinvois (dijual oleh pengilang kepada pengedar). Walau bagaimanapun, mereka hanya menjejaki jualan di 80 negara dan bukannya menggunakan angka yang disediakan oleh pengeluar.

Mengenai Husqvarna

Husqvarna diasaskan pada 1689 di pekan kecil (sekarang bandar) Huskvarna di selatan Sweden, wilayah Småland. Husqvarna pada asalnya adalah sebuah syarikat mekanikal yang mengeluarkan senjata api untuk tentera Sweden. Pada tahun 1903, syarikat itu memasuki industri motosikal dengan produk pertamanya, Husky.

Husqvarna diperoleh oleh syarikat motosikal Itali Cagiva pada tahun 1987 dan menjadi sebahagian daripada syarikat induk MV Agusta Motor. Sekumpulan pengurus dan jurutera di Husqvarna tidak berpuas hati dengan masa depan di bawah Cagiva. Mereka mengasaskan Husaberg AG, pengeluar motosikal baharu di Sweden dan kemudiannya diperoleh oleh KTM AG.

Pada tahun 2007, BMW Motorrad memperoleh Husqvarna dalam perjanjian bernilai €93 juta. Tetapi pada 2013, syarikat motosikal Sweden bertukar tangan semula apabila Pierer Industrie AG membeli semua saham syarikat itu daripada BMW Motorrad.

Pada tahun 2013, saham dan hak paten jenama Husqvarna telah dijual oleh Pierer Industrie AG kepada KTM AG, Husqvarna Motorcycle GmbH telah ditubuhkan sejak itu.

Terdapat juga alat kuasa berjenama Husqvarna, tetapi ini adalah dalam entiti yang berasingan kepada motosikal Husqvarna.

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran telah dihadapkan lapan lagi pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 35 pertuduhan hari ini.

Tuduhan tambahan itu membabitkan dakwaan mendapatkan barangan berharga bernilai kira-kira SGD18,956 (RM66,582.50), atas kapasiti menteri daripada individu yang mempunyai urusan dengan Kementeriannya, kata Biro Siasatan Amalan Rasuah (Corrupt Practices Invetigation Bureau/CPIB).

Mengikut kertas pertuduhan, barangan itu termasuk beberapa botol wiski, kayu golf dan sebuah basikal Brompton bernilai SGD$7,907.50 (RM27,784).

Urus niaga perniagaan itu melibatkan kontrak antara Lum Chang Building Contractors (Lum Chang) dan Penguasa Pengangkutan Darat (Land Transport Ministry/LTA), bagi penambahan dan pengubahsuaian Stesen Tanah Merah serta jejambat sedia ada.

Firma itu juga telah memperoleh projek awam, bangunan dan infrastruktur berbilion dolar di Singapura termasuk menjadi kontraktor utama stesen Bukit Panjang di sepanjang Laluan Downtown.

Kes itu telah mencengkam Singapura, sebagai hab kewangan utama Asia yang berbangga dengan kerajaan yang bersih dan jarang melibatkan rasuah.

Iswaran, 61, menafikan pertuduhan itu menurut laporan media tempatan.

Dia pada mulanya ditahan pada Julai tahun lalu dan didakwa memperoleh sogokan bernilai S$384,340 (RM1,349,813.96) daripada taikun hartanah Ong Beng Seng, sebahagiannya untuk memajukan kepentingan perniagaan Ong.

Helaian caj menunjukkan sogokan termasuk tiket perlawanan bola sepak, muzikal, penerbangan dengan pesawat peribadi Ong dan tiket ke Grand Prix Formula 1 Singapura. Iswaran adalah penasihat kepada jawatankuasa Grand Prix, manakala Ong memiliki hak untuk perlumbaan.

Pengawal FIM telah memutuskan bahawa pertembungan antara Marc Marquez dan Francesco “Pecco” Bagnaia di MotoGP Portugal adalah insiden perlumbaan. Oleh itu, tiada penalti akan dijatuhkan.

Insiden itu menyaksikan Bagnaia terbabas dan kegelinciran tayar hadapan motosikalnya ketika memintas Marquez, sekaligus menyingkirkan kedua-dua pelumba, dengan tinggal hanya 3 lap lagi.

Walaupun dia menerima keputusan FIM Stewards, Marquez juga merasakan ia berada pada ‘had’ kerana baginya Pecco telah melakukan ‘kesilapan’ dalam percubaan memintas semula yang terlalu ‘optimistik’.

Insiden itu berlaku sejurus selepas Marquez mengatasi penunggang Ducati yang semakin perlahan untuk menduduki tempat kelima selekoh ke-5 di Litar Algarve di Portimao. Apabila pelumba Sepanyol itu kemudiannya tersasar sedikit dari garisan di puncak selekoh, Bagnaia bertindak balas dengan memasukki ruang yang terbuka sedikit itu, dan menyebabkan pasangan itu segera bertembung dan terjatuh.

Pendapat Marquez:

“Hanya impak pada bahu, tetapi tidak ada yang tercedera,” kata Marquez, yang bangkit untuk menamatkan saingan di tempat ke-16 dan tersingkir daripada pungutan mata.

“Tetapi ia adalah satu kesilapan kerana kami berjuang untuk kedudukan ke-5, ke-6. Hanya untuk perbezaan dua mata lagi, dua kurang. Dan dia (Pecco) sedang bergelut dengan tayar, terutamanya dengan tayar belakang. Jadi pada akhirnya, apabila 3 pusingan kekal, anda tahu bahawa anda akan kehilangan kedudukan, jadi tidak perlu untuk kembali dalam mod agresif itu. Tapi, dia buat keputusan macam ni. Akibat kepada Ducati ialah 0 mata.”

Suzuki akan kembali ke perlumbaan lasak (endurance) Suzuka 8 Hour (Suzuka 8 Jam), dengan satu perbezaan. Pengilang Jepun itu telah mengumumkan penarikan diri daripada sukan bermotor tetapi telah memutuskan untuk menyertai perlumbaan berprestij itu menggunakan bahan api mampan untuk jentera GSX-R1000 mereka.

Suzuka 8 Hour adalah sebahagian daripada kalendar Kejohanan FIM Endurance Dunia, yang turut menampilkan Kelas Eksperimen dalam perlumbaan. Kategori ini dikhaskan untuk motosikal yang tidak mematuhi norma kejuruteraan. Walau bagaimanapun, Suzuki GSX-R1000 untuk perlumbaan ini memang mematuhi norma tetapi akan menggunakan bahan api yang hanya sebahagiannya daripada asal bukan fosil.

Sebaliknya, kilang itu akan menggunakan bahanapi Elf Moto R40 FIM, yang terdiri daripada 40% bahan api sumber bio. Menariknya, pasukan Suzuki MotoGP telah mula menggunakan bahan api yang sama pada musim terakhir mereka dalam MotoGP 2022, seperti yang ditetapkan oleh FIM dan Dorna untuk kelas tersebut.

Bahan api itu nampaknya tidak menyebabkan sebarang pengurangan prestasi kerana beberapa motosikal adalah 14 saat lebih pantas dalam perlumbaan MotoGP 2024 pertama di Qatar, berbanding pada 2023.

Walaubagaimanapun, Suzuki masih belum mengesahkan barisan pelumba mereka. Pelumba lama mereka yang memenangi kejuaraan endurance, Sylvain Guintoli telah menandatangani dengan pasukan BMW Motorrad Motorsport WorldSBK sebagai pelumba ujian.

Suzuki akan menyertai perlumbaan di bawah sepanduk Team Suzuki CN Challenge, juga berpisah dengan rakan kongsi lama mereka Yoshimura SERT Motul Suzuki. Walau bagaimanapun, Yoshimura Jepun akan terus menjadi rakan kongsi teknikal dan berusaha menggunakan platform ini untuk membangunkan teknologi mampan dalam bidang peredam bunyi ekzos, tayar, minyak, fairing dan brek.

Suzuka 8 Hours 2024 dijadualkan pada 19 Julai 2024.

Sedikit berita yang mengejutkan: KTM tidak memperbaharui kontrak Toby Price sebagai penunggang untuk pasukan rali pengilang mereka. Price merupakan juara Rali Dakar dua kali, kedua-duanya kalinya bersama KTM.

Penunggang legenda Australia itu berkata bahawa kilang Austria melepaskannya selepas Rali Dakar 2024. “Semua orang telah bertanya kepada saya tentang acara apa yang akan saya ambil bahagian tahun ini, tetapi dalam beberapa berita peribadi, KTM telah memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak saya jadi Dakar 2024 adalah acara terakhir saya bersama mereka,” katanya di media sosial.

Berita ini menandakan berakhirnya kerjaya perlumbaan selama 14 tahun Price bersama KTM. KTM menyerap Price ke dalam pasukan mereka pada 2010 ketika dia bertanding dalam kejohanan rali di Australia. Price meneruskan kerjayanya di Amerika Utara dan  Eropah dengan KTM, kemudian ke Rali Dakar pada 2015. Dia dapat memenangi satu peringkat dan menduduki tempat ketiga keseluruhan pada percubaan pertama itu. Ingin kami ingatkan bahawa Rali Dakar amat rumit dan menghabiskan keseluruhan rali itu sudah dikira satu pencapaian yang amat besar.

Dia kembali lebih kuat pada tahun berikutnya dan mendominasi rali justeru meraih kemenangan keseluruhan. Dia adalah warga Australia pertama yang mencapai kejayaan itu.

Price mengulangi prestasinya pada 2019 tetapi sekali lagi, dalam satu lagi keadaan yang menakjubkan, dia melakukannya dengan pergelangan tangan yang telah patah selepas terjatuh di dalam satu peringkat!

Bagaimanapun, keputusan tidak sama sejak itu disebabkan oleh kebangkitan semula Honda. Price mendapat dua podium dan kemenangan peringkat terakhirnya pada 2022, tanpa kemenangan keseluruhan. Honda mengatasi KTM pada 2024, yang menolak Price ke tempat kelima. Dan KTM memutuskan untuk tidak meneruskan khidmat Price selepas rali itu.

Price meneruskan, “Saya berasa seperti masih berada di tahap kecemerlangan saya dan dapat berjuang untuk kemenangan, terutamanya di Dakar. Tapi malangnya tidak berpeluang melakukannya pada 2025 tetapi saya sangat menghargai sokongan yang mereka berikan kepada kerjaya saya,” kata Price. “Kami telah dapat melakukan beberapa perkara hebat bersama-sama seperti memenangi dua Dakar dan mendapat beberapa podium, serta di Kejohanan Dunia dan kejayaan kami di Australia.”

Dia mempunyai bakat semula jadi dan mempunyai ramai peminat di seluruh dunia. Penulis ini juga pernah bertemu dengannya semasa Pelancaran Media KTM 790 Adventure di Maghribi dan dia seorang yang sangat baik dan rendah diri. Kami pasti bahawa banyak kilang akan mencarinya dan kami mendoakan yang terbaik buat Toby Price.

Tunggang Uji KTM 790 Adventure Dan KTM 790 Adventure R

Ducati melaporkan peningkatan hasil kepada lebih €1 bilion walaupun jualan lebih rendah pada 2023.

Dengan lebih tepat lagi, pengeluar Itali itu mencatatkan hasil sebanyak €1,089 juta, untuk keuntungan bersih sebanyak €112 juta (peningkatan 10.5% berbanding 2022), walaupun mereka menjual 57,224 motosikal berbanding lebih daripada 60,000 pada 2022.

Claudio Domenicali, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, berkata:
“Keputusan yang diperoleh Ducati pada 2023 mengesahkan kesahihan keputusan strategik dan dasar pelaburan dibiayai sendiri yang telah kami lakukan selama beberapa tahun. Kami menutup tahun fiskal dengan hasil yang sekali lagi melebihi satu bilion euro dan rekod hasil operasi, yang mesti ditambah dengan kejayaan dalam perlumbaan yang menyaksikan kami menjadi Juara Dunia dalam MotoGP dan WorldSBK untuk tahun kedua berturut-turut”. “ Diperkukuh oleh matlamat yang dicapai, kami melihat masa depan dengan keazaman dan meneruskan rancangan pembangunan jenama dan rangkaian produk, dengan keinginan untuk mengembangkan kehadiran kami ke arah segmen baharu, bercakap dengan penunggang motosikal baharu dan mengembangkan komuniti Ducatisti. Kemasukan kami ke segmen motocross yang dirancang untuk tahun ini adalah buktinya.”

Keputusan rekod itu membuahkan hasil sejak Ducati memasuki kepada beberapa segmen berbeza dengan beberapa motosikal baharu. Contohnya, DesertX telah dilancarkan untuk pasaran pengembaraan off-road dan telah mendapat pengikut yang kuat sejak itu. Juga, terdapat Hypermotard 698 Mono yang membawa pembuat ke dalam segmen supermoto silinder tunggal. Model lain juga berjaya seperti sport-tourer (ada yang memanggilnya hyper-tourer) Multistrada V4 RS.

Rangkaian Triumph Rocket 3 Storm (2024) telah dilancarkan, dalam kedua-dua varian R dan GT.

Rocket 3 terkenal dengan dua perkara: Satu, ia mempunyai enjin motosikal terbesar dalam produksi, dan dua, tork enjin yang akan meluruskan tangan anda seperti roket. Tetapi jangan silap: Triumph telah menjual 18,000 Rocket 3 sejak pembuatan semula pada 2019.

Dan, Triumph tahu bahawa tambahan kuasa sentiasa lebih baik.

Berikut ialah ciri-ciri rangkaian Triumph Rocket 3 Storm (2024):
  • Enjin 3 silinder, 2458 cc (ya, lebih besar daripada kebanyakan kereta di Malaysia), kini menghasilkan 180 hp pada 7,000 RPM dan tork 225 Nm pada 4,000 RPM.
  • Itu merupakan peningkatan 15 hp dan 4 Nm.

  • Kuasa dihantar melalui Torque Assist Clutch, pembeli boleh membeli quickshifter sebagai pilihan.
  • Kerangka masih lagi diperbuat daripada aluminium, yang membuat penampilan sulungnya pada tahun 2019. Ia lebih baik untuk mengurangkan berat badan.
  • Roda aluminium tuang 10 jejari baharu untuk mengurangkan berat sebanyak 2 kg.
  • Pengurangan 2 kg adalah banyak apabila roda berputar, kerana memberikan pengendalian yang lebih tangkas kerana daya giroskopik yang telah dikurangan.

  • Bahagian hadapan mempunyai fork Showa 47 mm yang besar, boleh laras untuk lantunan dan redaman mampatan.
  • Monoshok belakang ialah Showa RSU monoshock dengan takungan.
  • Kaliper brek Brembo Stylema berada di hadapan, mengapit pada cakera 320mm.
  • Di bahagian belakang, angkup Brembo M4.32 monobloc mencengkam cakera 300mm yang besar (memandangkan berat motosikal ini berada di belakang).
  • Menjinakkan kuasa itu ialah bantuan penunggang seperti TC, ABS dan empat mod kuasa.
  • Terdapat juga ABS sensitif sudut mereng, dan juga kawalan cengkaman selekoh yang dioptimumkan.
  • Kini terdapat ciri Hill Hold, yang menghalang motosikal daripada melorot ke belakang apabila berada di cerun bukit dengan menggunakan brek belakang.
  • Kawalan jelajah (cruise control) merupakan sebagai ciri standard pada kedua-dua model, dan anda boleh mengaktifkannya dengan satu sentuhan butang dan melaraskannya ke atas atau ke bawah dalam kenaikan 1 mph.
  • Semua ciri teknologi harus mudah berinteraksi melalui paparan TFT warna penuh dan kayu bedik lima hala.

  • Kedua-dua varian R dan GT menggunakan tema berwarna hitam.
  • Varian R mempunyai cara tunggangan yang lebih sporty, dengan pemijak kaki boleh laras pertengahan dipasang, manakala R mempunyai pemijak kaki di hadapan dan kedudukan tunggangan yang lebih santai.
Berapa harganya?

Triumph Rocket 3 Storm R 2024 ialah USD 24,995 (RM 118,501.30) dan Rocket 3 Storm GT ialah USD 28,995 (RM 137,465.29). Sudah tentu, harga di Malaysia akan jauh lebih tinggi (seperti semua barangan yang lain – semua pun mahal!).

Husqvarna Svartpilen 801 (2024) telah dilancarkan secara rasmi dan akhirnya selepas bertahun-tahun khabar angin dan beberapa video acah.

Ia kini merupakan model Svartpilen/Vitpilen terbesar dengan menggunakan enjin LC8c KTM 790 Duke. Secara perbandingan, Norden 901 kekal sebagai Husqvarna terbesar dari segi kapasiti enjin, kerana ia menggunakan enjin KTM 890 Adventure, tetapi ia ditala untuk tork, bukannya kuasa kuda, justeru menghasilkan 103hp.

Ciri-ciri Husqvarna Svartpilen 801 (2024):

Enjin

  • Enjin LC8c 799cc, selari-kembar, DOHC, sejukan cecair menghasilkan 77 kW (103 hp).
  • Kuasa enjin dihantar melalui kotak gear enam kelajuan dengan bantuan klac PASC (power assist slipper clutch). Terdapat quickshifter untuk menukar gear naik dan turun juga.
  • Kala servis untuk Svartpilen 801 ialah 15,000 km.
  • Husqvarna berkata enjin ini menggunakan 4.5 liter petrol setiap 100 kilometer.

Casis

  • Rangka keluli tiub kromium-molibdenum yang ditala ciri kelenturan dan ketegaran.
  • Fork depan WP Apex 43mm boleh laras dengan pergerakan 140mm.
  • Monoshok WP Apex di belakang yang menawarkan pergerakan 150mm.
  • Kedua-dua rim adalah aloi 17-inci dengan tayar Pirelli MT60 RS.
  • Di hadapan, sepasang kaliper brek J. Juan yang dipasang secara jejari mencengkam cakera brek 300mm.
  • Brek belakang terdiri daripada kaliper tunggal dan cakera brek 240mm.
  • Sistem ABS Bosch adalah standard dengan mod Supermoto ABS.
  • Tangki bahan api bermuatan 14 liter.
  • Husqvarna mendakwa Svartpilen 801 mempunyai berat kering 181 kg.

Ciri-ciri elektronik

  • Skrin TFT 5-inci dengan ciri ketersambungan dipasang sebagai standard.
  • Penunggang boleh pautkan telefon ke TFT melalui aplikasi telefon pintar Ride Husqvarna Motorcycles, untuk navigasi, panggilan dan muzik.
  • Terdapat tiga mod tunggangan: Road, Rain dan Sport.
  • Pemilik boleh membeli pakej pilihan Dynamic pilihan yang menambahkan mod tunggangan Dynamic, serta kawalan jelajah (cruise control), sepuluh tahap kawalan cengkaman dan lima tahap kawalan wheelie.
  • Pencahayaan LED juga standard.
Berapakah harganya?

Husqvarna Svartpilen 801 (2024) dijual pada harga USD 10,899 (RM 51,650.36) dan akan mula memasuki beberapa pasaran global menjelang Jun. Tetapi mungkin penghujung tahun atau awal tahun depan untuk kita.

Baru-baru ini, kami menyiarkan satu artikel tentang MV Agusta mungkin menghadapi masalah kewangan selepas prestasi buruk pada tahun 2023. Kami juga menyebut bahawa Ketua Pegawai Eksekutif MV, Timur Sardarov, bertegas untuk tidak melepaskan kawalan syarikat kepada Pierer Mobility Group (KTM, Husqvarna, GasGas). Dan secara tiba-tiba, berita tersebar bahawa Pierer Mobility baru sahaja memperolehi pegangan kawalan dalam MV Agusta.

Pierer Mobility Group (PMG) telah menjelaskan bahawa mereka ingin memperoleh pegangan kawalan dalam MV sejak pembelian awal 25% saham MV Agusta pada 2020. Pemuktamadkan perjanjian itu melihat PMG menjadi pemegang saham majoriti apabila mereka mengeluarkan opsyen panggilan, justeru meningkatkan bahagian mereka dalam MV kepada 50.1%.

Perjanjian itu juga menyaksikan perubahan dalam perniagaan harian MV. Hubert Trunkenpolz menggantikan Timur Sardarov sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengarah. (Hubert ialah anak saudara kepada Hans Trunkenpolz, yang mengasaskan KTM. Itulah huruf “T” dalam nama KTM.) Sardarov akan kekal bersama MV sebagai Naib Pengerusi. Selain itu, PMG merancang untuk mengembangkan ibu pejabat MV di Varese, Itali.

Sadarov berkata:

“MV Agusta merangkumi semangat dan rasa percintaan yang unik yang menawan saya, seorang usahawan berpengalaman, sejak hari pertama. Cabaran peribadi untuk membimbing syarikat keluar daripada krisis dan mengemudinya ke arah kejayaan melalui strategi perniagaan yang inovatif, pengembangan pasukan dan pembangunan produk baharu telah berjaya ditakluki. Ia adalah satu penghormatan untuk memainkan peranan dalam membentuk legasi MV Agusta. Sepanjang lima tahun yang lalu, kedua-dua syarikat dan saya telah berkembang dengan ketara. Pertumbuhan kami bersama-sama adalah bukti perjalanan transformatif yang telah kami kongsikan. Masa saya bersama MV Agusta telah menjadi babak penting dalam hidup saya, dipenuhi dengan kegembiraan dan cabaran bersama. Semasa saya terus berkhidmat sebagai Naib Pengerusi yang berdedikasi, saya komited untuk menyokong syarikat dan kejayaan berterusannya.”

Jadi apa akan jadi lepas ini? KTM pernah menegaskan bahawa mereka tidak mahu mengeluarkan lagi motosikal sportbike sejak pengeluaran RC8 tamat, atas sebab tidak mahu membahayakan pelanggan mereka. Bagi segmen naked pula, KTM sudah mempunyai pangkalan mereka yang diliputi dengan 890 Duke R dan 1390 Super Duke R. Malah, KTM, GasGas, Husqvarna telah merangkumi banyak segmen di kalangan mereka, lebih-lebih lagi KTM.

Atau adakah PMG akan meneruskan dengan mengeluarkan barisan MV Agustas yang sedia ada?

Masa akan menentukan.

MV Agusta dalam Kesukaran (Lagi)?

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube