Bikesrepublic

Ulasan

Terdapat beberapa aspek penting yang kami cari apabila kami membeli topi keledar (helmet) motosikal: Gaya, keselamatan, ciri, keselesaan, harga, walaupun tidak semestinya mengikut susunan itu. Terdapat satu lagi faktor: Bunyi angin. Atau lebih ideal, helmet yang senyap sepenuhnya. Adakah itu suatu kemungkinan?

Apa akan jadi jika telinga kita sering didedahkan kepada bunyi bising?

Pendedahan berterusan kepada paras bunyi angin yang sangat tinggi mengakibatkan akibat yang teruk seperti kehilangan pendengaran yang kekal. Dan tiada alat bantu pendengaran dan jumlah pembedahan boleh mengembalikan pendengaran itu.

Masalahnya ialah kerosakan pendengaran menjalar secara beransur-ansur tetapi gejala awal termasuk telinga berasa “tersumbat.” Jika tidak dikawal, kerosakan ini akan berterusan sehingga telinga mula berdering, satu keadaan yang dipanggil tinnitus. Tinnitus tidak boleh disembuhkan.

Selain itu, bunyi angin mengalihkan perhatian anda daripada menumpukan perhatian sepenuhnya pada penunggangan anda, selain meletihkan anda dengan lebih cepat.

Oleh itu, adakah terdapat helmet yang senyap sepenuhnya?

Undang-undang berkata TIDAK BOLEH

Secara terang-terangan, peraturan topi keledar tidak membenarkan helmet yang senyap sepenuhnya. Lihat gambar di bawah yang merupakan halaman yang diambil daripada peraturan ECE R22 berkaitan dengan ujian helmet.

Per Perenggan 6.4.5 menyebut:

Helmet tidak boleh menjejaskan keupayaan mendengar pemakai secara berbahaya.

Dalam erti kata lain, topi keledar tidak boleh menapis bunyi persekitaran dan meletakkan pemakainya dalam suatu “gelembung ketenangan.” Ia adalah untuk tujuan keselamatan seperti yang anda bayangkan kerana deria bunyi memastikan kita selamat contonya memberitahu kita jika terdapat kenderaan berdekatan. Selain itu, kami boleh mendengar nota enjin tentang masa untuk menukar gear atau mengukur kelajuan kami.

Namun…

Sebenarnya, pembuat topi keledar premium sudah pun mempunyai teknologi untuk menghasilkan helmet yang senyap. Tetapi kerana ia berbahaya untuk berbuat demikian, terdapat cara lain untuk membuat topi keledar yang mengurangkan bising sebanyak mungkin dengan:

  1. Memastikan pemakaian yang lebih tepat mengurangkan ruang untuk udara bergerak di dalam topi keledar. Selain itu, terdapat juga helmet dengan penutup dagu yang mengurangkan aliran udara dari bawah topi keledar.
  2. Kekedapan visor yang lebih baik dengan pengedap getah di sekeliling bukaan helmet menghalang angin masuk. Manfaat sampingan ini juga menghalang air daripada memasukki helmet.
  3. Ciri aerodinamik yang lebih baik mengurangkan atau menghapuskan pergerakan topi keledar akibat tekanan udara pada kelajuan tinggi, dan untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pemakai. Helmet yang “licin” secara aerodinamik juga mengurangkan tekanan pada otot leher pemakai. Kelebihan ini ialah helmet yang lebih senyap.

Penutup

Terdapat cara di mana pemakai boleh mengurangkan bunyi bising, memandangkan ketiadaan topi keledar yang senyap sepenuhnya. Salah satunya adalah dengan memakai penyumbat telinga. Terdapat penyumbat telinga “pintar” yang menapis frekuensi dan bunyi yang berbahaya sambil membenarkan bunyi penting tertentu seperti percakapan, nota enjin, beberapa bunyi persekitaran melaluinya. Penulis ini sudah terbiasa memakai penyumbat telinga sehingga dia tidak boleh menunggang tanpanya. Memotong bunyi angin membantu menumpukan perhatian pada menunggang juga.

Satu lagi caranya sudah tentu dengan memakai topi keledar muka penuh (full-face). Adalah tidak masuk akal untuk membandingkan bunyi angin dalam topi keledar muka terbuka (open-face) dengan topi keledar muka penuh.

Perkama pertama apabila kita semak imbas helaian spesifikasi motosikal ialah untuk mencari kuasa enjin melebihi segala-galanya. Tetapi mengapa lebih banyak pembuat menggunakan unit kW untuk kuasa enjin dan bukannya HP (horsepower/kuasa kuda)? Mengapa kita tidak menggunakan hanya satu unit kuasa?

Jawapan ringkas adalah mengenai ketepatan dan ukuran standard, seperti yang akan kita lihat di bawah.

Dari manakah asalnya HP (horsepower/kuasa kuda)?

Semuanya berbalik kepada penciptaan lokomotif (enjin keretapi) wap.

Thomas Newcomen ialah penciptanya pada tahun 1712, tetapi James Watt (pernah dengar nama ini, bukan?) yang menambah baik rekabentuknya pada tahun 1776. Kemudian, Watt mencipta kaedah membandingkan kuasa lokomotifnya dengan dengan berapa banyak kuda untuk mempromosikan kuasa lokomotifnya pada skala yang lebih boleh dikaitkan. Oleh itu, datanglah unit kuasa kuda.

Sejak itu, nilai ini telah diterima pakai untuk gerakan berputar seperti kereta api dan melalui Revolusi Perindustrian. Oleh itu, nilai ini menjadi kebiasaan untuk enjin motosikal dan kereta.

Kuasa kuda mekanikal Watt ditakrifkan sebagai kuda yang mengangkat keberatan 550 paun 1 kaki dalam 1 saat, yang bersamaan dengan 32,549 kaki-lb kerja seminit, atau 4,500 kilogram-meter seminit.

Okay, jadi kenapa Watt?

Walau bagaimanapun, orang Eropah lebih suka mematuhi unit SI atau dengan kata lain, unit metrik. Di sinilah terbongkarnya percanggahan.

Kuasa kuda Imperial berukuran 745.7 Watt, manakala unit kuasa kuda metrik SI Eropah yang juga dikenali sebagai PS (Pferdestärke) atau CV (Chevaux-Vapeur) hanya 735.5 Watt.

Inilah sebabnya walaupun beberapa helaian spesifikasi menyatakan enjin untuk menghasilkan 70 PS, ia sebenarnya menghasilkan hanya 69 HP.

Unit yang berbeza ini iaitu HP mekanikal, HP metrik, PS, CV hanya menimbulkan kekeliruan kepada pembeli kenderaan, jadi pada tahun 1972, kW menggantikan PS sebagai unit SI untuk kuasa enjin melalui arahan EEC. Tetapi pada 1 Januari 2010, EU hanya membenarkan HP sebagai unit tambahan kepada kW. kW telah menjadi unit ukuran yang wajib bagi pembuat atau pengimpot kenderaan di benua Eropah.

Bagaimanakah kW dikira?

Kilowatt ialah fungsi tork dan pusingan seminit (RPM) dan dikira seperti berikut: Kuasa (kW) = tork (Nm) x kelajuan (putaran seminit, atau RPM) / 9.5488.

Pengiraan sebenarnya adalah sama untuk kuasa kuda: Kuasa (HP) = tork (lb-ft) x kelajuan (RPM) / 5,252.

Walau bagaimanapun, untuk menukar kW yang diterbitkan kepada HP: Kuasa kuda (HP) = 1 kW x 1.34. Oleh itu, enjin yang menghasilkan kuasa 12 kW bersamaan dengan 16.1 HP.

Apa kata kita bincangkan tajuk lengan ayun sebelah (single sided swingarm) setelah tular satu video tidak lama dahulu?

Video tersebut bermula dengan seorang penunggang motosikal yang menunggang bersama pemboncengnya, apabila pembonceng itu kelihatan cemas dengan tiba-tiba. Kamera kemudian berpusing ke sebelah kanan dan ketika itulah kelihatan sebiji tayar bersama rimnya bergerak sendiri dan memotong motosikal mereka. Video itu ditamatkan dengan adegan sebuah Ducati Hypermotard yang dibaringkan di atas jalan tanpa roda belakangnya.

Seperti biasa, netizen bertindak cepat dan mengemukakan komen mereka. Ada yang membuat lawak, ada yang membahan, dan ada juga yang menawarkan sebab terjadinya insiden tersebut.

Tetapi ada satu komen yang menarik perhatian kami. Beliau berkata, “Kelemahan single arm.” Komen beliau dibahan oleh beberapa netizen yang lain.

Sebenarnya, ada kebenaran di dalam komennya. Tetapi sebelum kami meneruskan rencana ini, kami ingin menegaskan bahawa insiden ini amat jarang berlaku. Selain daripada itu, bukan Ducati sahaja yang menggunakan lengan ayun sebelah, malah BMW, Honda, Moto Guzzi, KTM, CFMoto, MV Agusta, Triumph, serta skuter turut menggunakan ciri ini.

Apakah kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah?

Kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah ialah ciri penanggalan dan pemasangan semula roda belakang dengan cepat. Anda hanya perlu melepaskan nat atau bolt dan roda dapat ditanggalkan tanpa mengganggu penjajaran (alignment) rantai, sproket, dan kaliper brek kerana komponen-komponen ini dipasang pada braket yang berasingan. Sama juga apabila roda dipasang kembali.

Terdapat satu spindel/gandar yang tebal dan pendek untuk meletakkan roda di tempatnya (lihat gambar di bawah).

Mendiang Massimo Tamburini mereka Ducati 916 dengan lengan ayun sebelah dengan mengambil kira kelebihan ini kerana Ducati bercadang hendak melumbakan motosikal tersebut di dalam acara-acara lasak (endurance). Tamburini juga pernah berkata yang beliau mendapat ilham daripada Honda NR750 yang menggunakan swingarm sebelah. Selain daripada itu, lawan terdekat 916 ialah Honda RC30 dan kemudiannya RC45 yang turut digunakan di dalam perlumbaan endurance selain daripada World Superbike.

Tamburini juga berkata pengunaan swingarm sebelah membuatkan roda belakang seakan terapung dan tidak disambungkan kepada motosikal. Setelah itu, Ducati bersambung dengan penggunaan swingarm sebelah sehingga hari ini.

Lengan ayun dua belah pula…

Sebaliknya, pemasangan roda belakang pada lengan ayun dua belah (konvensional) memerlukan satu spindel (rod) dimasukkan bagi menyambungkan kedua-dua belah.

Kita kenalah menarik keluar spindel itu, lepaskan rantai daripada sproket, dan lepaskan cakera brek daripada kaliper.

Oleh itu, rantai dan gandar belakang perlu dijajarkan kembali apabila roda belakang dipasang semula. Proses ini hendaklah dijalankan dengan cermat kerana roda belakang yang tidak dijajarkan dengan sempurna akan menyebabkan masalah kehausan tayar, rantai, dan pad brek yang tidak normal. Selain daripada itu, motosikal juga akan mengalami masalah pengendalian.

Namun, bergantung kepada rekaan blok penjajar lengan ayun, roda belakang mungkin tidak akan tercabut terus kerana dipegang oleh rantai dan braket kaliper brek, jika nat pengunci tercabut. Penunggang masih berpeluang untuk merasakan sesuatu tidak betul seperti bahagian belakang motosikal yang cuba bergerak ke arah yang lain.

Memang ada insiden di mana roda belakang tercabut daripada lengan ayun biasa dua belah.

Penutup

Jadi, adakah lengan ayun sebelah merbahaya?

Semua solusi kejuruteraan mempunyai kompromi. Oleh itu roda belakang dikunci dengan nat yang besar atau beberapa bolt serta pin. Tork pengetatan wajib betul oleh itu gunakanlah spanar tork!

Kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa ini merupakan suatu kejadian luarbiasa. Apapun, periksalah motosikal anda sebelum memulakan perjalanan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube