Bikesrepublic

MotoGP

Aprilia ketika ini telah pun selesai menjalani sesi ujian tertutup bersama Andrea Dovizioso.

Selepas membuat ujian pertama di Jerez dan seterusnya di Mugello, Dovizioso dan Aprilia kembali buat kali ketiga di Misano.

Bekas pelumba Ducati itu melengkapkan 126 lap dalam tempoh dua hari di litar Marco Simoncelli dengan menguji beberapa aspek termasuk kerangka, aerodinamik dan pembangunan elektronik bagi jentera RS-GP 2022.

Meskipun Aprilia tidak mendedahkan catatan masa pelumba Itali itu, pasukan dari Noale itu mendakwa Dovizioso merekodkan catatan yang sangat pantas di samping memperbaiki catatan masa di hari kedua.

Menurut Dovizioso sendiri, sesi ujian itu berjalan dengan cukup baik.

“Ujian kali ini cukup menarik. Menguji jentera pada tiga litar berbeza membantu dalam memahami jentera dengan lebih mendalam di samping mengenal pasti aspek yang perlu dibangunkan,” jelasnya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia Racing, Massimo Rivola mengesahkan Dovizioso sebagai sasaran utama bagi slot pelumba 2022 tetapi masih membuka ruang untuk mempertimbangkan pilihan alternatif lain. – Crash.net

Putera Raja Arab Saudi, Abdulaziz bin Abdullah Al Saud, berharap agar Valentino Rossi dapat sertai Luca Marini di Aramco Racing Team VR46 bagi menghadapi saingan MotoGP musim 2022.

Aramco Racing Team VR46 telah pun menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama pengeluar, Ducati.

Perjanjian itu menyaksikan VR46 bakal bersaing untuk tiga musim akan datang bersama jentera Desmosedici sekaligus melengkapkan lapan jentera Ducati di litar musim depan.

Meskipun pengumuman tersebut tidak menyebut tentang barisan pelumba yang akan diturunkan, namun Marini hampir pasti akan diumumkan sebagai salah seorang pelumba.

*Valentino Rossi

Namun, ketika satu lagi slot belum ditentukan, YM Abdulaziz bin Abdullah Al Saud – yang juga pemegang syarikt induk Tanal Entertaiment Sport & Media selaku rakan utama VR46 – berharap Rossi dapat digandingkan bersama Marini untuk beberapa tahun akan datang.

*Luca Marini

“Bagi saya sangat baik jika Valentino Rossi dapat bersaing beberapa tahun akan datang sebagai pelumba utama Aramco Racing Team VR46 kami bersama adik (tiri)nya.

“Marini telah pun beraksi musim ini dengan jenama tajaan kami, KSA New Cities, MAIC Technologies dan TANAL Entertainment Sport & Media,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa TANAL Entertainment Sport & Media dan Aramco akan mengumumkan maklumat terperinci projek bersama VR46 di MotoGP dan Moto2.

Sementara itu, status Rossi bersama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), dijangka akan diumumkan ketika cuti musim panas nanti. – MotoGP

Pelumba GRT Yamaha WorldSBK, Garrett Gerloff, bakal menggantikan Franco Morbidelli di Assen, hujung minggu ini.

*Franco Morbidelli

Perkara itu diumumkan Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Gerloff bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Morbidelli yang tidak dapat beraksi ekoran mengalami kecederaan lutut kiri pada Selasa.

*Garrett Gerloff

Difahamkan, kecederaan tersebut berpunca daripada masalah ligamen yang dialaminya ketika di Le Mans.

Sementara itu, ini merupakan kali kedua Gerloff bakal menggantikan pelumba Yamaha, apabila beraksi di sesi ujian bebas musim lalu menggantikan Valentino Rossi di GP Valencia yang menanti keputusan PCR.

Pada masa sama, difahamkan peluang tersebut telah ditawarkan kepada pelumba Pata Yamaha with Brixx, Toprak Razgatlıoğlu sebelum pelumba itu menolak peluang tersebut bagi memfokuskan saingan di WorldSBK.

Selepas mengambil kira faktor semasa pandemik Covid-19, FIM dan Dorna Sport telah mengemas kini kalendar penganjuran MotoGP 2021.

GP Amerika kini disahkan bakal menganjurkan MotoGP dari 1 hingga 3 Oktober manakala GP Thailand akan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober 2021.

Sementara itu, selepas mempertimbangkan faktor penerbangan dan logistik di samping pandemik Covid-19 yang melanda Jepun ketika ini, Dorna mengesahkan pembatalan GP Jepun.

Bagaimanapun, Dorna mengesahkan MotoGP akan kembali di negara matahari terbit itu bagi musim 2022.

Pelumba Yamaha seakan berdepan nasib berbeza musim ini.

Ketika Fabio Quartararo memenangi tiga perlumbaan setakat ini di samping merekodkan lima petak pertama berturut-turut, lain kisahnya yang menimpa rakan sepasukan Maverick Vinales serta Valentino Rossi dan Franco Morbidelli di Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pusingan GP Jerman semalam menyaksikan Quartararo menaiki podium di tempat ketiga manakala Vinales melintas garisan penamat di kedudukan terakhir (P19) di belakang Morbidelli (P18).

Rossi merupakan satu-satunya pelumba Yamaha selain Quartararo yang berjaya mengutip mata apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-14.

Menurut Vinales, dia sering bertanyakan kepada Yamaha apakah yang berlaku namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diberikan.

Difahamkan, jentera YZR-M1 Vinales masih berdepan masalah sama, kekurangan cengkaman (traction) di litar.

“Sebaik saya membuka ‘throttle’, tayar belakang sering tergelincir dan saya sudah pun mengetengahkan perkara ini sejak di Portimao tetapi masih tiada sebarang penyelesaian.

“Enam pusingan sudah pun berlalu untuk cuba mencari solusi,” jelas Vinales.

Tambah Vinales lagi, dia kecewa kerana tugasnya saban minggu ketika ini hanyalah mengumpul data.

“Saya gagal memintas Marini dan Bastianini selepas 15 lap. Meskipun sudah melakukan persiapan dengan baik tetapi jentera mereka mempunyai lebih banyak kuasa dan cengkaman.

“Saya minta maaf tetapi tidak mungkin saya dapat melakukannya dengan jentera ini,” ujar Vinales lagi.

Aksi di Sachsenring menyaksikan Marc Marquez merekodkan kemenangan sulung musim ini sejak diketepikan dari saingan lebih sembilan bulan ekoran mengalami kecederaan tangan kanan.

Tempat kedua jadi milik Miguel Oliveira manakala Quartararo ketiga.

Saingan MotoGP akan kembali pada 25-27 Jun ini di Assen. – GPone

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, merekodkan kemenangan sulung bagi musim 2021 di GP Jerman selepas lebih 265 hari direhatkan sejak mengalami kemalangan di Jerez, musim lalu.

Enam kali juara dunia MotoGP itu mempamerkan tunggangan mantap sebaik perlumbaan bermula dengan memintas Aleix Espargaro (Aprilia) di peringkat awal dan terus mendominasi perlumbaan sehingga ke lap terakhir.

Tempat kedua jadi milik pelumba KTM, Miguel Oliveira diikuti pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo, ketiga.

Ini merupakan saat yang cukup beremosi buat Marquez yang sekian lama bergelut untuk kembali ke prestasi selepas 581 hari merekodkan kemenangan terakhirnya.

Meskipun pada satu ketika kedudukan Marquez dilihat agak tergugat tatkala Oliveira semakin rapat, pelumba Sepanyol itu kekal tenang dan berjaya mengekalkan jurang sehingga ke lap terakhir sekaligus mengekalkan status selaku “King of the Ring”.

Marquez kini pelumba kedua yang berjaya merekodkan lapan kemenangan di litar sama, satu dibelakang pelumba legenda, Giacomo Agostini dengan sembilan kemenangan.

Dalam perkembangan lain, saingan Moto3 menyaksikan pelumba berusia 17 tahun, Pedro Acosta merekodkan kemenangan keempat musim ini sekaligus menyaksikan dia selesa mendahului kejuaraan dengan 145 mata manakala tempat kedua dan ketiga diisi Kalto Toba dan Dennis Fogia.

Sementara itu, Remy Gardner mengungguli saingan Moto2 dikuti Aron Canet kedua dan Marco Bezzechi, ketiga. Gardner kini mendahului kejuaraan dengan 164 mata.

Pasukan VR46 semakin hampir untuk diumumkan sebagai pasukan baharu untuk menjalin kerjasama dengan Ducati bagi saingan MotoGP musim 2022.

Perkara itu disahkan Pengarah Sukan Ducati Corse, Paolo Ciabatti yang mendakwa kerjasama ke antara dua pihak itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Sejujurnya, kami semakain hampir untuk mencapai persetujuan.

“Saya rasa kemungkinan akan berlaku sebelum Assen, pengumuman akan dibuat sekitar waktu itu.

“Saya berharap segalanya akan termeterai dalam tempoh beberapa hari lagi supaya kami boleh membuat pengumuman rasmi kepada umum,” jelas Ciabatti ketika ditemu ramah Simon Crafar.

Ini bermakna, Ducati bakal menurunkan lapan jentera Desmosedici musim 2022 menerusi pasukan factory, Pramac Racing, Gresini Racing dan VR46. – MotoGP

Kontrak pelumba veteran, Valentino Rossi, bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT), tidak akan disambung musim depan.

Perkara itu disahkan prinsipal pasukan SRT, Datuk Razlan Razali.

Difahamkan, keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu diambil setelah mengambil kenyataan Rossi yang sebelum ini memaklumkan sebarang keputusan hanya akan diambil setelah cuti musim panas.

Enggan menunggu terlalu lama ketika pasukan lain telah pun mula mengesahkan slot ke MotoGP bersama pelumba masing-masing, Razlan membuat keputusan untuk menamatkan hubungan bersama juara dunia tujuh kali MotoGP itu.

“Kami (SRT) enggan menunggu terlalu lama mengenai keputusan Rossi sama ada dia ingin meneruskan perlumbaan atau tidak pada musim depan.

“Menerusi perbincangan dengan pengurusan, kami sebulat suara bersetuju tidak ingin meneruskan kontrak bersama Rossi bagi perlumbaan 2022,” jelasnya.

Menurut Razlan, langkah seterusnya bagi SRT adalah mencari bakat muda terbaik bagi mengisi slot Rossi.

Selain daripada belum mempertimbangkan perjalanan karier musim depan, Rossi juga sibuk degan pembangunan pasukan sendiri apabila VR46 disahkan bakal beraksi di kelas premier musim depan bersama Saudi Aramco selaku penaja utama.

Meskipun masih tiada pengesahan rasmi setakat ini namun, VR46 dijangka akan mengambil slot Avintia yang bakal meninggalkan saingan MotoGP musim ini. – KOSMO

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Datuk Razlan Razali mendedahkan pasukan itu bersedia untuk memancing pelumba Moto3 di FIM CEV Repsol, Syarifuddin Azman.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, merekodkan kemenangan sulung musim ini ketika Perlumbaan 1 di Litar Catalunya, hujung minggu lalu.

Senario itu turut mendapat perhatian Razlan yang sentiasa mengikuti perkembangan pelumba negara di CEV termasuk Adam Norrodin di Moto2.

Bagi Razlan, Damok sudah menunjukkan kematangan selepas dua tahun beraksi di CEV.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.

“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif. Jadi, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” jelas Razlan.

Sementara itu, Adam turut dicanang untuk bersama Damok ke MotoGP di kelas Moto2 dan Moto3 tatkala berjaya mempamerkan keputusan cemerlang setakat ini. – KOSMO

Selepas keputusan ujian positif di Litar Catalunya minggu lalu, Brembo bakal membekalkan cakera brek lebih besar di Red Bull Ring tahun ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengenal pasti Red Bull Ring sebagai litar yang memberi tekanan tinggi kepada sistem brek jentera di samping mahu mengelakkan insiden membabitkan Maverick Vinales musim lalu berulang.

Untuk itu, Brembo telah menghasilkan cakera brek karbon yang lebih besar, berukuran 340mm yang telah dinaik taraf dengan lubang kecil bagi menghasilakn pengudaraan yang lebih baik sekaligus memastikan suhu kekal di antara 700 hingga 800 darjah.

Difahamkan, Brembo telah memulakan pembangunan sistem brek baharu itu selepas insiden Vinales terpaksa terjun daripada jentera Yamaha YZR-M1 ekoran kegagalan sistem brek.

Meskipun Yamaha memaklumkan insiden tersebut berpunca dari kegagalan sistem brek namun laporan lebih menyeluruh mendapati Vinales tidak menggunakan cakera brek bersaiz 340mm yang telah disyorkan sebaliknya kekal dengan saiz 320mm.

Vinales juga ingkar nasihat Brembo dan berlumba dengan cakera brek yang telah digunakan.

Lantas, pembangunan cakera brek dengan sistem pengudaraan baharu ini akan meningkatkan tahap keselamatan terutamanya di litar seperti Red Bull Ring.

Difahamkan, Brembo akan membekalkan cakera brek baharu ini di Motegi, Thailand dan Sepang musim ini yang telah dikenal pasti antara litar yang memberi tekanan tinggi pada brek. – Motorsport

Nombor perlumbaan #50 milik Jason Dupasquier akan direhatkan daripada perlumbaan Moto3 dalam satu majlis khas yang akan diadakan Jumaat ini menjelang GP Belanda di Sachsenring.

Pelumba berusia 19 tahun itu meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah sewaktu ujian kelayakan di Mugello, bulan lalu.

MotoGP kemudiannya mengesahkan pemergian pelumba Switzerland itu di hari perlumbaan GP Itali, pada Ahad.

Majlis ‘persaraan’ nombor #50 Dupasquier akan diadakan di bilik persidangan di litar Sachsenring dihadapan pasukannya, CarXpert Prustel GP Team.

Sebelum ini, MotoGP turut merehatkan nombor #69 milik Nicky Hayden yang maut dalam insiden kemalangan ketika berbasikal.

Nombor perlumbaan #65 Loris Capirossi dan #34 Kevin Schwantz turut direhatkan selepas kedua-duanya bersara daripada arena perlumbaan.

Dorna Sport mengesahkan bahawa GP Styria dan GP Austria yang berlangsung di Litar Red Bull Ring, dibenarkan menerima kunjungan penonton 100 peratus, Ogos ini.

Senario ini dibenarkan selepas kerajaan Austria membatalkan sebarang sekatan terhadap mana-mana acara sukan bermula musim panas ini.

Ini sekaligus menyaksikan Red Bull Ring akan membuka pintunya kepada peminat MotoGP yang telah divaksinasi, telah menjalani pemeriksaan dan mereka yang telah sembuh dari jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, menurut MotoGP, ruang paddock akan terus beroperasi dengan gelembung sukan dan dipisahkan daripada orang awam.

Dalam perkembangan lain, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilaporkan mahu menganjurkan MotoGP kali ini setelah terlepas peluang musim lalu ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, segalanya akan bergantung kepada status semasa pandemik ketika ini.

Difahamkan, sekiranya pusingan di SIC dibatalkan, Litar Misano akan menjadi tuan rumah kepada dua pusingan seperti musim lalu. – MotoGP

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube