Bikesrepublic

MotoGP

Pelumba veteran, Valentino Rossi percaya Pedro Acosta bakal menjadi bintang baharu MotoGP pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tujuh kali juara dunia MotoGP itu nafi dakwaan dia merancang untuk membawa Acosta dari Moto3 ke MotoGP musim depan bersama VR46.

“Saya ada terbaca mengenai perkara ini tetapi ia tidak benar.

“Sudah tentu sebagai pelumba kami gembira, Pedro Acosta adalah ‘superhero’ baharu sukan permotoran.

“Tetapi kami akan teruskan dengan projek kami, bersama pelumba akademi VR46,” jelas Rossi.

Acosta ketika ini mendahului kejuaraan Moto3 dengan perbezaan 39 mata dan senario itu pastinya membuatkan KTM Ajo mahu pelumba 17 tahun itu kekal bersama mereka.

Apatah lagi dengan Remy Gardner bakal melangkah ke MotoGP musim depan, slot ke Moto2 kekal cerah buat Acosta bersama KTM Ajo.

Sementara itu, Rossi ketika ini masih lagi belum mengesahkan sama ada akan meneruskan karier perlumbaan musim depan atau memfokuskan pembangunan VR46 bersama penaja Saudi Aramco di kelas premier pada 2022.

Difahamkan, VR46 hampir pasti akan mendapat sokongan factory Ducati musim depan lantas fokus seterusnya adalah menentukan barisan pelumba.

Ketika ini antara calon yang disebut adalah pasangan Avintia, Luca Marini dan Enea Bastianini dengan kedua-duanya mempunyai kontrak secara langsung dengan Ducati musim ini.

Apatah lagi Marini merupakan graduan akademi VR46, menguatkan lagi desas-desus itu.

Pelumba factory Yamaha, Fabio Quartararo telah dikenakan penalti 3-saat setelah didapati melakukan kesalahan ‘shortcut’ di Turn 1-2 di GP Catalunya baru-baru ini.

Keputusan itu menyaksikan dia kehilangan tempat ketiga yang diberikan kepada Jack Miller.

Bagaimanapun, Race Direction mengenakan tambahan penalti 3-saat (menjadikan jumlah penalti 6-saat) setelah mendapati Quartararo menghabiskan baki 3 lap dengan ‘racing suit’ terbuka di samping tindakannya mencampak pelindung dada ke atas litar yang boleh membahayakan pelumba lain.

Sehubungan itu, Quartararo disahkan menamatkan saingan GP Catalunya di tempat keenam di belakang rakan sepasukan, Maverick Vinales.

Senario menimpa pelumba Perancis itu turut mencetuskan pelbagai tanda tanya, dengan ada yang mendakwa beg udara pada ‘racing suit’ jenama Alpinestars itu telah diaktifkan dengan sendiri lalu memaksa Quartararo membuang pelindung dada tersebut kerana menggangu.

Namun, dalam perkembanga terkini, Alpinestars dalam satu penjelasan di ruang Twitter menafikan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, Alpinestars mendedahkan tiada kerosakan berlaku terhadap ‘racing suit’ Quartararo.

“Pasukan Pembangunan Alpinestars Racing telah menjalankan siasatan terhadap integriti ‘racing suit’ Quartararo.

“Bagaimanapun, pasukan mendapati ‘suit’ tersebut berada dalam keadaan normal dan berfungsi dengan baik termasuk bahagian zip.

“Malah, sistem beg udara Tech-Air juga berfungsi dan berada dalam keadaan baik dan tidak diaktifkan kerana tiada sebarang kemalangan berlaku.”

Meskipun begitu, Alpinestars telah telah menghantar ‘racing suit’ tersebut ke ibu pejabat bagi menjalankan lebih banyak analisis bagi cuba memahami apa yang berlaku pada hujung minggu lalu.

Pelumba KTM, Miguel Oliveira merekodkan kemenangan pertama musim ini apabila muncul juara di GP Catalunya.

Ini merupakan kemenangan keempat pasukan factory KTM di kelas premier setakat ini.

Meskipun bermula di petak ke-4, Oliveira mempamerkan tunggangan konsisten untuk menerajui perlumbaan sejak awal lagi.

Bagaimanapun, Oliveira menerima asakan hebat dari pelumba Yamaha, Fabio Quartararo, yang berjaya mengejar dari belakang dan pada satu ketika dipintas pelumba Perancis itu.

Namun, Oliveira kembali memintas dan terus mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat dengan Johann Zarco kedua.

Sementara itu, Quartararo ditimpa nasib malang apabila dikenakan penalti 3-saat sekaligus kehilangan tempat ketiga.

Penalti itu dikenakan ekoran Race Direction mendapati Quartararo melakukan kesalahan ‘shortcut pada Turn 1-2.

Keputusan itu menyaksikan dia hilang kedudukan podium dengan tempat ketiga dianugerahkan kepada Jack Miller.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, pelumba Perancis itu telah dikenakan dengan pertambahan penalti 3-saat (menjadikan jumlah 6-saat) selepas didapati menamatkan baki 3-lap dengan racing suit yang terbuka.

Dia juga dirakam membuang ‘pelindung dada’ dengan ada yang mendakwa situasi tersebut berlaku ekoran beg udara racing suit Alpinestar miliknya telah diaktifkan .

Tambahan penalti 3-saat itu menyaksikan Quartararo menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6 dibelakang rakan sepasukan Maverick Vinales.

Ini sekaligus menyaksikan terdapat perubahan kutipan mata dengan Quartararo kini mendahului kejuaraan dengan 115 mata, hanya 14 mata dipisahkan dengan Zarco di tempat kedua (101 mata) dan Miller ketiga dengan 90 mata.

Berikut senarai kutipan mata semasa:

Pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins, tidak akan terlibat dengan saingan di GP Catalunya hujung minggu ini ekoran terbabit kemalangan.

Rins seakan tidak dapat dipisahkan dengan kemalangan beberapa minggu ini apabila terbabas dalam empat pusingan berturut-turut setakat ini di Portugal, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Terbaru, pelumba berusia 25 tahun itu akan terlepas aksi di laman sendiri apabila terbabit kemalangan sewaktu berbasikal.

Rins dilaporkan mengalami kecederaan di tangan kanan dan telah dibawa ke hospital di Barcelona bagi pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan terdapat retakan di tulang radius.

Pelumba Sepanyol itu dijadualkan menjalani pembedahan, hari ini. – GPOne

Pelumba Red Bull KTM Ajo Moto2, Remy Gardner, bakal beraksi di kelas premier bersama Tech 3 KTM musim 2022.

Perkara itu disahkan KTM yang mendedahkan pelumba Australia itu akan bersaing di MotoGP, 30 tahun selepas ayahnya, Wayne Gardner bersara pada 1992.

Pengumuman itu menyaksikan Gardner menjadi pelumba pertama yang mengesahkan tempat di Tech 3 KTM dan bakal menggantikan antara Danilo Petrucci dan Iker Lecuona musim depan.

Bekas pelumba Onexox TKKR SAG Team itu turut meluahkan rasa gembira atas peluang yang diberikan.

“Saya gembira kerana KTM memberikan peluang ini. Ini adalah impian saya selama ini.

“Saya tak sabar untuk menunggang jentera MotoGP. Saya mahu berterima kasih kepada KTM atas kepercayaan ini.

“Fokus utama ketika ini adalah menamatkan musim 2021 dengan keputusan yang baik,” jelas Gardner.

Sementara itu, senario ini menyaksikan Australia akan mempunyai dua wakil pelumba di saingan MotoGP musim depan (Remy Gardner dan Jack Miller) buat pertama kalinya sejak Casey Stoner dan Chris Vermeulen pada 2009.

Gardner ketika ini mendahului kejuaraan Moto2 dengan kelebihan 6 mata di hadapan rakan sepasukan, Raul Fernandez yang mengutip 108 mata setakat ini.

Pramac Racing mengumumkan kontrak lanjutan sebagai pasukan sokongan factory Ducati untuk tiga musim lagi bermula dari 2022 hingga 2024.

Perkara itu turut disahkan Pengarah Projek Ducati, Paolo Ciabatti.

“Kami di Ducati berbesar hati kerana dapat memperbaharui kerjasama dengan Pramac Racing untuk tiga musim lagi di MotoGP.

“Bersama Pramac Racing, kami telah mencapai pelbagai kejayaan bersama. Hasil kolaborasi ini, kami berjaya melahirkan ramai pelumba muda.

“Tambahan lagi, kami yakin mampu mencapai lebih banyak kejayaan bersama Pramac,” jelas Ciabatti.

Kerjasama antara Ducati-Pramac telah pun bermula sejak 2005 dan kekal kukuh saban tahan dengan kedua-duanya menyumbang aspek penting dalam pembangunan keduapdua pasukan.

Pramac Racing meneruskan saingan MotoGP musim 2021 dengan sesi ujian bebas rasmi bermula hari ini di Mugello, Itali.

Johann Zarco akan terus menerajui Pramac hujung minggu ini bersama-sama Michele Pirro yang menggantikan Jorge Martin sementara pelumba itu sembuh dari kecederaan.

MotoGP musim 2022 bakal menyaksikan Ducati menurunkan lapan jentera bergantung kepada perbincangan bersama pasukan VR46 dan Gresini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Sukan Ducati di MotoGP, Paolo Ciabatti.

“Kami sedang berbincang mengenai perkara itu. Tawaran untuk menurunkan lapan jentera sedang dalam pertimbangan.

“Kami mampu mengendalikan senario ini dan ini juga membenarkan kami untuk memberi peluang kepada pelumba muda menunggang jentera Ducati,” katanya.

Lebih menarik, Dorna juga sedia maklum mengenai perancangan Ducati bersama VR46 dan Gresini namun tiada sebarang bantahan dinyatakan.

*Jack Miller #43

Ketika ini, Ducati mempunyai enam pelumba menerusi Jack Miller (Ducati), Francesco Bagnaia (Ducati), Johann Zarco (Pramac), Jorge Martin (Pramac), Luca Marini (Avintia) dan Enea Bastianini (Avintia).

*Francesco Bagnaia #63

Bagaimanapun, Ducati bakal kehilangan kerjasama dengan Avintia di kelas premier dengan pasukan itu telah pun mengesahkan penarikan diri sebaik musim 2021 berakhir.

*Johann Zarco #5

Dalam usaha memastikan Marini dan Bastianini terus menunggang jentera Desmosedici, perbincangan bersama VR46 dilihat kritikal dalam meneruskan pembangunan kedua-dua pelumba itu bagi musim 2022.

*Jorge Martin #89

Sementara itu, sekiranya Ducati mencapai persetujuan bersama Gresini, pasukan itu telah pun mengesahkan Fabio di Giannantonio bakal dinaikkan ke kelas premier dari Moto2 musim depan.

Ini bermakna terdapat satu lagi slot kosong yang perlu diisi bagi melengkapkan lapan jentera Ducati musim depan.

Meskipun perbincangan bersama VR46 dan Gresini masih berada di peringkat awal namun dengan tarikh pengesahan pelumba bakal tamat pada Jun, Ducati dijangka bakal membuat pengumuman rasmi mengenai barisan pelumba bagi musim 2022 tidak lama lagi. – GPOne

“Saya sudah menjelaskan bahawa bagi musim 2022, saya mahukan jentera factory,” demikikan kenyataan dikeluarkan Franco Morbidelli sewaktu ditemu bual media antarabangsa, minggu lalu.

Pelumba Petronas Sepang Racing Team (PSRT) itu merupakan pelumba tunggal Yamaha musim ini yang masih lagi kempunan jentera factory sejak 2019 meskipun menamatkan musim 2020 di tempat kedua.

Ketika pelumba Yamaha lain, Fabio Quartararo, Maverick Vinales dan rakan sepasukan, Valentino Rossi menunggang M1 factory, Morbidelli masih lagi dengan jentera ‘A-spec 2019’.

“Saya sukakan Yamaha dan kalau boleh saya mahu teruskan hubungan ini bersama mereka.

“Jika saya mendapat layanan ‘factory’, pastinya rasa ‘sayang’ terhadap Yamaha lebih besar tetapi buat masa ini masih tiada sebarang pengesahan jadi kami perlu menunggu masa lebih lama,” jelas Morbidelli.

Pada masa sama, pelumba berusia 26 tahun itu mendedahkan masih tiada sebarang persetujuan di capai antara Yamaha dan PSRT.

“Petronas dan Yamaha juga masih belum mencapai persetujuan jadi saya harap persoalan ini dapat dijawab sebelum cuba memahami segala situasi ini,” tambahnya.

Sementara itu, Morbidelli akui ada pihak yang berminat dengan khidmatnya.

“Saya belum berbincang dengan pengeluar lain tetapi saya sedar bahawa ada diantara mereka yang berminat dengan saya. Saya sudah jelaskan sebelum ini bahawa sasaran utama saya adalah mendapat jentera ‘factory’ sekalipun tidak bersama Yamaha atau Petronas,” tegas Morbidelli.

Mingggu lalu, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) telah mengadakan jamuan buka puasa di Jerez yang diadakan pada Khamis, sehari sebelum ujian bebas rasmi MotoGP.

Happiness is about sharing Iftar with others, so we invited fellow team members from the paddock for a special break…

Posted by PETRONAS SRT on Monday, 3 May 2021

Namun, perkongsian gambar di laman Facebook rasmi Petronas Sepang Racing Team (PSRT) mencetuskan pelbagai persoalan apabila tiada kelibat Hafizh Syahrin kelihatan.

Sebaliknya, antara yang hadir adalah wakil dari pasukan Indonesia Racing Gresini Moto3 serta pelumba Indonesia dari Honda Team Asia, Andi Farid Izdihar.

Majlis buka puasa anjuran PSRT itu turut disertai prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, mekanik tempatan di PSRT, Habibtullah Mohd Fuad @ Habib serta Pengurus Media Muda PSRT, Thoriq Azmi.

Ketiadaan pelumba Moto2 negara itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dengan rata-rata ruang komentar berpendapat PSRT tidak menjemput Hafizh.

Kami di MotoMalaya juga bertanyakan soalan yang sama namun kami bernasib baik apabila sumber dekat kepada PSRT memaklumkan bahawa jemputan majlis berbuka puasa itu telah pun dihantar kepada Hafizh dengan pelumba NTS RW Racing itu turut dimaklumkan mengenai acara tersebut.

Difahamkan, Hafizh dan beberapa pelumba lain termasuk pasukan Pertamina Mandalika SAG Team tidak dapat hadir ekoran terlibat dengan aktiviti bersama pasukan masing-masing.

Info tersebut sekaligus menepis dakwaan bahawa Hafizh tidak menerima jemputan buka puasa itu.

Saingan MotoGP, Moto2 dan Moto3 kembali bersambung pada 14 Mei ini di Litar Le Mans.

Minggu lalu, berita mengenai pengesahan pasukan VR46 bakal beraksi di kelas premier MotoGP mula berlegar selepas kenyataan media oleh pihak Tanal Entertainment Sport & Media.

Kenyataan tersebut mengumumkan bahawa pasukan VR46 akan beraksi di MotoGP musim 2022 bersama Tanal Entertainment Sport & Media dengan Saudi Aramco sebagai penaja utama bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Tanal Entertainment Sport & Media merupakan syarikat milik YM Putera Mahkota Abdulaziz Abdullah Al-Saud.

Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak disertakan dengan sebarang petikan dari pihak Tanal, Saudi Aramco mahupun VR46.

Dalam perkembangan terkini, difahamkan Aramco menafikan kerjasama tersebut sebaliknya tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Sementara itu, pemilik VR46, Valentino Rossi, menegaskan bahawa pasukan itu telah pun menjalin perjanjian bersama Aramco.

“Perjanjian dengan Aramco bagi menubuhkan pasukan MotoGP semenangnya berlaku. Jadi saya tidak faham mengapa mereka (Aramco) berkata mereka tidak tahu menahu,” tegasnya.

Meskipun mengakui dirinya tidak terlibat dengan perbincangan tersebut secara langsung namun Rossi menjelaskan terdapat ramai individu lain yang mewakili VR46.

“Saya tidak bercakap dengan pihak Aramco secara langsung kerana saya masih pelumba MotoGP jadi fokus saya adalah perlumbaan.

“Tetapi saya masih juga terlibat kerana pasukan ini membawa nama VR46 sepertimana musim ini di Moto2 dan bersama Luca Marini di Ducati. Sejujurnya, terdapat ramai individu di VR46 yang mengusahakan urusan ini.

“Saya hanyalah boss, jadi saya tidak perlu bercakap secara langsung dengan penaja,” tambah Rossi.

Situasi terumbang-ambing di antara pihak VR46, Tanal Entertainment Sport & Media dan Saudi Aramco mungkin berpunca daripada kegagalan menyeragamkan saluran informasi di antara ketiga-tiga pihak.

Apa yang pasti, perkembangan pasukan VR46 ini akan terus mencuri tumpuan tahun ini sehinggalah terdapat kenyataan rasmi berserta petikan bagi mengesahkan kerjasama ini. – Crash.net

“Tahun depan, berkemungkinan besar saya akan mendapat jentera ‘factory’,” demikian pendedahan dibuat Franco Morbidelli selepas merekodkan tempat kedua dalam sesi kelayakan di GP Sepanyol meskipun menunggang jentera 2019.

Tahun lalu, Morbidelli telah pun menandatangani kontrak eksklusif dua tahun bersama Petronas Sepang Racing Team (PSRT) dan merupakan pelumba YZR-M1 tunggal yang tidak mengikat kontrak secara langsung bersama Yamaha.

Bagaimanapun, tiada pengesahan sama ada situasi tersebut menyumbang kepada Morbidelli tidak mendapat jentera ‘factory’ musim ini dengan pengarah urusan Yamaha, Lin Jarvis, mendakwa kekangan kewangan sebagai punca.

Kemudian, PSRT masih belum menandatangani kontrak lanjutan bersama Yamaha untuk meneruskan kerjasama bagi musim 2022 dengan terdapat ura-ura bahawa kolaborasi itu akan berpindah ke ARAMCO Racing Team VR46.

Sekiranya Yamaha memilih VR46 sebagai pasukan satelit musim depan, senario itu mungkin membolehkan Morbidelli berhijrah dan mendapat layanan ‘factory’ yang diidamkannya.

Morbidelli sebelum itu akui mendapat layanan tidak adil apabila muncul pelumba tunggal Yamaha yang beraksi musim ini dengan jentera YZR-M1 2019 berbanding Fabio Quartararo, Maverick Vinales dan rakan sepasukan Valentino Rossi yang menerima jentera ‘factory-spec’ terkini.

Pasukan VR46 sah sertai MotoGP musim depan dan akan beraksi di kelas premier sehingga 2026 setelah menandatangani perjanjian bersama penaja utama Saudi Aramco.

Projek MotoGP tersebut berjaya dilunaskan hasil kerjasama dengan Tanal Entertainment Sport & Media, syarikat milik YM Putera Abdulaziz Al-Saud.

“Tanal Entertainment Sport & Media, syarikat milik Putera Abdulaziz bin Abdullah Al-Saud, mengumumkan perjanjian strategik bersama pasukan VR46 Valentino Rossi di MotoGP.

“VR46 akan membuat penampilan bermula 2022 bersama Tanal Entertainment Sport & Media dan Saudi Aramco sebagai penaja utama bagi tempoh 2022-2026.

“ARAMCO Racing Team VR46 akan beraksi di litar dengan sokongan beberapa penaja penting lain di pentas dunia,” jelas Tanal Entertainment Sport & Media dalam satu kenyataan rasmi.

Saudi Aramco bukan syarikat asing dalam sukan permotoran kerana telah pun terlibat dalam sukan Formula 1.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube