Bikesrepublic

MotoGP

Jonathan Rea muncul pelumba terpantas dalam sesi ujian bebas yang dijalankan di Aragon bersama beberapa jentera MotoGP lain.

Pertahan juara Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) itu muncul pelumba terpantas selepas 65 lap dalam sesi ujian pertama di Motorland, mengatasi pelumba uji Yamaha dan KTM, Cal Crutchlow dan Dani Pedrosa.

Rea yang menunggang Kawasaki ZX-10RR mencatat masa terpantas 1 minit 49.338 saat diikuti Crutchlow (YZR-M1) dengan 1m49.460s

Rakan sepasukan Rea, Alex Lowes, muncul pelumba ketiga terpantas dengan 1m49.470s diikuti Pedrosa (RC16) dengan 1m49.912s.

Crutchlow yang menunggang jentera ‘factory’ MotoGP cuba mengatasi catatan masa Rea namun gagal.

Berikut adalah catatan masa Ujian Bebas hari pertama:

  1. Johnathan Rea (Kawasaki WSBK) 1m49.338s
  2. Cal Crutchlow (Yamaha MotoGP) 1m49.460s
  3. Alex Lowes (Kawasaki WSBK) 1m49.470s
  4. Dani Pedrosa (KTM MotoGP) 1m49.912s
  5. Garrett Gerloff (Yamaha GRT WSBK) 1m50.557s
  6. Andrea Locatelli (Yamaha PATA WSBK) 1m51.550ss

Marc Marquez berjaya mengutip mata pertamanya selepas hampir setahun tidak berlumba ekoran kecederaan.

Enam kali juara dunia MotoGP itu muncul pelumba Honda terpantas di GP Portugal apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh selepas 25 lap dengan Fabio Quartararo muncul pemenang, diikuti Francesco Bagnaia kedua dan Joan Mir, ketiga.

Bagaimanapun, sebaik kembali ke paddock, Marquez seakan dilanda pelbagai emosi.

Pada hari biasa, kedudukan ketujuh mungkin akan mencetuskan pelbagai persoalan terhadap persembahan pelumba Sepanyol itu.

Namun, setelah berehat 265 hari, keputusan di Litar Autódromo Internacional do Algarve ternyata membawa seribu satu makna terhadap pelumba berusia 28 tahun itu.

“Saya bukan jenis mempamerkan emosi tetapi sebaik tiba di paddock dan melihat semua mekanik, saya tidak dapat menahan perasaan.

“Saya menanti sekian lama agar hari ini tiba, untuk menamatkan perlumbaan MotoGP. Ini adalah langkah terbesar dalam proses pemulihan saya.

“Merasai kembali perasaan sebagai pelumba MotoGP adalah impian saya dan saya berjaya melakukannya hari ini,” jelas Marquez.

Marquez berjaya menempatkan dirinya di kedudukan ketiga sebaik perlumbaan dilepaskan namun mula ketinggalan ekoran tidak mampu menangani tekanan.

“Lap pertama sangat sukar kerana saya berada di tempat yang tidak sepatutnya. Seperti berada di sekolah apabila bermain bola dengan pelajar lebih senior!” ujar Marquez.

Pelumba Repsol Honda itu akan kembali beraksi di pusingan empat MotoGP di Jerez pada hujug bulan ini, litar sama yang menjadi saksi kemalangan ngeri yang menimpa Marquez, tahun lalu.

Fabio Quartararo sekali lagi mempamerkan tunggangan mantap untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini di GP Portugal.

Meskipun bermula di petak pertama, namun Quartararo dipintas Johann Zarco, Alex Rins dan Marc Marquez sebaik perlumbaan dimulakan.

Bagaimanapun, pelumba Perancis itu bingkas memperbaiki tunggangan untuk kembali mengejar kelompok depan yang pada satu ketika diterajui Zarco, Rins dan Joan Mir.

Manakala Marquez yang berada di kedudukan podium di awal perlumbaan mula kehilangan tempat dah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 dalam penampilan sulungnya selepas 265 diketepikan ekoran kecederaan.

Sementara itu, tempat kedua jadi milik Francesco Bagnaia yang berjaya memintas Zarco ketika perlumbaan berbaki enam lap dengan pelumba Pramac itu kemudiannya kemalangan sejurus selepas itu.

Bagnaia kini ditempat kedua kejuaraan dunia dengan 48 mata.

Tempat ketiga jadi milik juara musim lalu, Mir yang kini mengutip 38 mata selepas tiga perlumbaan.

Malang buat Rins yang pada satu ketika cuba mengejar Quartararo di hujung perlumbaan hilang kawalan jentera lalu terbabas.

Nasib sama menimpa Zarco apabila jenteranya seakan hilang cengkaman di bahagian tayar depan lalu kemalangan.

Turut gagal menamatkan pusingan kali ini, wakil Ducati, Jack Miller dan pelumba veteran, Valentino Rossi, dengan kedua-duanya kemalangan.

Kemenangan Quartararo kini menempatkan pelumba itu mendahului kejuaraan dunia dengan 61 mata.

Dalam perkembangan sama, Marquez mengutip mata pertama (9 mata) selepas hampir setahun tidak beraksi apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh.

Enam kali juara dunia MotoGP itu dijangka akan terus perbaiki tunggangannya dalam pusingan seterusnya di Jerez dalam usaha mengembalikan prestasi sebelum ini.

Keputusan penuh perlumbaan seperti berikut:

Tiga kali juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo, menyifatkan aksi Valentino Rossi sewaktu di GP Doha sebagai mengecewakan.

Setelah mencatat masa keempat terpantas di sesi kelayakan pada aksi pembukaan GP Qatar, Rossi bergelut dalam minggu seterusnya apabila sekadar mengisi petak ke-21 di GP Doha.

Valentino Rossi, MotoGP race, Qatar MotoGP 28 March 202

Senario itu merupakan keputusan kelayakan terburuk dalam karier 25 tahun di MotoGP pelumba veteran itu.

Pelumba berusia 42 tahun itu yang kini bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT) turut gagal mengutip sebarang mata apabila sekadar menamatkan aksi di kedudukan ke-16.

Menerusi saluran YouTube Jorge Lorenzo Official, Lorenzo – yang menghabiskan tujuh tahun bersama Rossi – berkongsi luahannya mengenai bekas rakan sepasukannya itu.

“Rossi mengecewakan saya, sepertimana dia juga telah mengecewakan peminatnya.

“Meraih petak ke-21 adalah keputusan terburuk dalam kariernya.

“Kemudian sewaktu perlumbaan, dia gagal mengutip mata. Ini adalah kali kedua dia tertinggal jauh dibelakang pelumba Yamaha lain.

“Tetapi dia sering bergelut di Qatar jadi akan ada litar yang lebih baik untuknya.

“Saya juga kurang pasti sama ada dia mampu buat lebih baik di Portimao tetapi apa yang pasti, dia akan kembali lebih kuat di Jerez nanti,” jelas Lorenzo menerusi siri #99Seconds.

Pembinaan Litar Jalan Raya Mandalika di Indonesia telah mendapat perhatian Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB dalam satu kenyataan mengecam pendekatan yang digunakan dalam pembinaan litar tersebut yang dijadualkan akan melangsungkan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan kejuaraan MotoGP.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, pihak PBB mendapati Indonesia telah mencabul hak asasi orang asli di kepulauan Lombok.

Wartawan khas PBB, Olivier De Schutter mendedahkan petani dan nelayan dari suku kaum Sasaktelah menerima pelbagai ugutan dan gertakan.

“Menurut sumber yang boleh dipercayai, penduduk tempatan telah diugut dan dipaksa keluar daripada tanah mereka tanpa sebarang bayaran pampasan.

“Meskipun kami membuat penemuan ini, namun Agensi Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC) enggan membuat bayaran pampasan mahupun cuba menyelesaikan masalah tanah ini.”

Pembangunan sektor pelancongan di Lombok semakin pesat dengan Litar Jalan Raya Mandalika bakal menjadi daya tarikan utama.

Baru-baru ini, pihak Dorna bersama FIM turut terbang ke Lombok bagi meninjau pembinaan litar tersebut yang dijadualkan akan menganjurkan MotoGP pada 2022. – Race.com

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, akan kembali berlumba bermula di GP Portugal setelah hampir setahun diketepikan ekoran kecederaan.

Enam kali juara dunia MotoGP itu tersisih daripada perlumbaan sejak mengalami kemalangan dalam aksi pembukaan di Jerez tahun lalu.

Sejak itu, pelumba berusia 28 tahun itu telah pun menjalani tiga pembedahan di bahagian lengan kanan.

Meskipun telah pun memulakan latihan intensif dengan menunggang jentera RC213V-S namun atas nasihat doktor, Marquez turut terlepas dua aksi pembukaan 2021 di Qatar baru-baru ini dengan tempatnya digantikan pelumba uji Honda, Stefan Bradl.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, Honda mengesahkan bahawa Marquez telah diberi lampu hijau untuk sertai perlumbaan di Portimao pada 16-18 April ini.

“Selepas pemeriksaan dijalankan terhadap Marc Marquez oleh pasukan perubatan Hospital Ruber Internacional, empat bulan selepas pembedahan (ketiga), keputusan klinikal memuaskan telah diperoleh.

“Berdasarkan situasi ini, Marquez boleh kembali bertanding sekiranya tiada sebarang implikasi berlaku.”

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Valentino Rossi dan Franco Morbidelli, seakan bergelut sepanjang perlumbaan berlangsung di Litar Antarabangsa Losail yang menyaksikan Maverick Vinales muncul pemenang selepas 20 lap.

Pelumba Pramac (Ducati), Johann Zarco serta pelumba factory Ducati, Francesco Bagnaia, melengkapkan podium kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, berbeza kisahnya buat pelumba Petronas SRT, Rossi dan Morbidelli, yang gagal pamer aksi memberangsangkan apabila sekadar menamatkan pusingan pertama di tempat ke-12 dan 18.

Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-4 selepas aksi kelayakan yang mantap pada Sabtu, Rossi gagal menempatkan dirinya di kelompok depan apabila jatuh ke kedudukan ke-7.

Bagaimanapun, masalah tayar yang dihadapinya musim lalu kembali menghantui pada aksi pembukaan 2021 lalu menyaksikan pelumba 42 tahun itu jatuh ke kedudukan ke-12.

“Selepas aksi kelayakan semalam, kami jangkakan keputusan yang lebih baik tetapi sewaktu perlumbaan saya bergelut selepas beberapa lap ekoran masalah tayar.

“Perkara ini turut berlaku sewaktu ujian bebas pada Jumaat, kami cuba lakukan sesuatu namun masalah itu tidak berjaya diselesaikan.

“Entah kenapa tayar belakang hilang cengkaman jadi selepas beberapa lap saya tidak cukup pantas,” jelas Rossi.

Sementara itu, Morbidelli mengesahkan jentera ‘A-spec’ miliknya mengalami masalah teknikal membabitkan ‘suspension’ belakang.

“Masalah ini perlu disiasat kerana situasi ini telah pun berlaku sebelum ini tetapi sewaktu perlumbaan isu ini lebih ketara jadi saya tiada pilihan selain meneruskan perlumbaan.

“Ekoran tiada ‘damping’ dari ‘suspension’ belakang, sukar untuk saya mengambil selekoh maka terpaksalah berlumba satu saat lebih perlahan dari kelajuan perlumbaan,” kata Morbidelli.

Pusingan kedua GP Qatar akan berlangsung pada 4 April ini.

Marc Marquez mengesahkan dirinya tidak akan terlibat dalam pusingan pertama dan kedua MotoGP di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Pelumba Repsol Honda itu membuat keputusan terbabit selepas menjalani dua sesi ‘track day’ dengan jentera RC213V-S di Barcelona dan Portimao, minggu lalu.

“Selepas mendapat nasihat doktor, mereka menasihati saya bawah penting untuk tidak beraksi di GP Qatar dan meneruskan proses pemulihan untuk beberapa minggu lagi.

“Sudah tentu saya mahu terlibat dalam aksi pembukaan tetapi kami perlu memastikn saya kembali pulih sepenuhnya sebelum turun beraksi,” jelasnya.

Juara dunia enam kali itu kemudian mengesahkan akan terlepas aksi pusingan kedua di litar sama pada April 4 nanti di laman sosial Instagram.

Bekas pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, bakal menjadi pelumba uji Aprilia di Jerez pada 12-14 April ini.

Meskipun ketika ini persetujuan hanyalah untuk satu ujian namun Aprilia mengharapkan ujian itu akan membawa kepada kesepakatan untuk menjadikan Dovizioso selaku pelumba uji rasmi.

Sementara itu, pelumba Itali itu turut berkongi rasa teruja dengan peluang diberikan Aprilia.

“Saya berbesar hati dengan jemputan oleh Aprilia. Ketika kami berbincang mengenai perkara ini, saya menerima pelawaaan ini dengan hati terbuka kerana dapat kembali menunggang jentera MotoGP di samping menyalurkan maklum balas kepada jurutera.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Aprilia Racing atas peluang ini,” jelasnya.

Prinsipal Aprilia Racing, Massimo Rivola, turut menyambut baik bantuan yang bakal dihulur Dovizioso.

“Kami berpeluang untuk mengenali satu sama lain semasa di Jerez nanti,” katanya.

Dovizioso meninggalkan Ducati selepas karier 8 tahun bersama pasukan itu.

Sementara itu, pengambilan sementara untuk satu sesi ujian di Jerez nanti dilihat sebagai langkah untuk Aprilia menjadikan Dovizioso sebagai pelumba uji rasmi musim ini.

Langkah itu dilihat penting bagi pembangunan RS-GP menuju ke musim 2022 tatkala Aprilia bakal bergerak sebagai pasukan factory penuh.

Jack Miller menamatkan ujian pra-musim lima hari di Qatar sebagai pelumba terpantas setelah mencatat masa 1 minit 53.183 saat.

Wakil Ducati MotoGP itu antara pelumba yang berjaya menjalani ujian simulasi perlumbaan sebenar dengan catatan masa konsisten 1m 54s.

Keputusan ujian pra-musim ini secara tidak langsung meletakkan Miller antara pelumba pilihan bagi merebut kejuaraan musim 2021 yang akan membuka tirai di litar sama, dua minggu lagi.

Miller mengakui dilabel pelumba pilihan adalah satu perasaan yang mengujakan namun menegaskan dia dan Ducati tidak harus mendabik dada.

“Sejujurnya, saya menikmati perasaan ini kerana perkara ini tidak pernah berlaku kepada saya di MotoGP.

“Tetapi perkara paling utama adalah untuk tidak mendabik dada dan terus bekerja keras bagi mencapai sasaran,” jelasnya.

Miller masih belum merekodkan sebarang kemenangan di MotoGP sejak melakukannya pada 2016 di Dutch TT ketika bersama Marc VDS.

Baru-baru ini, pelumba Yamaha, Fabio Quartararo, turut meluahkan kebimbangan terhadap prestasi Ducati sewaktu ujian pra-musim.

“Dalam litar ini, kerisauan itu ada kerana Losail mempunyai bahagian lurus lebih 1 kilometer jadi kami sedikit risau,” katanya.

Franco Morbidelli meneruskan momentum musim lalu dengan muncul pelumba Yamaha terpantas bagi sesi ujian sulung musim 2021 di Qatar.

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) itu merekodkan masa ketujuh terpantas keseluruhan, dua kedududkan di atas pelumba factory, Maverick Vinales.

“Lega dapat kembali menunggang, saya rindukan jentera M1 saya.

“Saya sangat rindu akan kelajuan dan kuasa jentera Yamaha saya. Sesi ujian di waktu siang dan malam berjalan dengan sangat baik,” kata Morbidelli.

Meskipun masih lagi kempunan jentera “YZR-M1 ‘factory-spec’ namun pelumba Itali itu berpuas hati dengan prestasi jentera ‘A-spec+’ miliknya.

“Seperti yang saya jelaskan, ini masih lagi jentera yang sama tetapi dengan beberapa perincian telah dilakukan. Jadi saya mahu berterima kasih kepada Yamaha sekali lagi,” jelasnya.

Hari pertama ujian pra-musim menyaksikan pelumba Aprilia, Aleix Espargaro terpantas diikuti Stephan Bradl (Repsol Honda) dan pertahan juara, Joan Mir (Suzuki) ketiga.

Sementara itu, Valentino Rossi sekadar menamatkan sesi ujian di tempat ke-20.

Prinsipal pasukan Gresini Racing, Fausto Gresini telah meninggal dunia selepas bertarung nyawa dengan Covid-19.

Gresini, 60 tahun, berada di hospital sejak dua bulan lalu selepas dijangkiti Covid-19.

Bekas juara dunia 125cc itu disahkan positif Covid-19 pada Disember lalu dan telah pun berada dalam unit rawatan rapi di hospital Maggiore Carlo Alberto Pizzardi, Bologna.

Meskipun pada suatu ketika keadaan Gresini bertambah baik sehinggakan mampu menghubungi ahli keluarga menerusi panggilan video, kesihatan Gresini merosot sejurus selepas itu susulan alami pelbagai komplikasi.

Gresini Racing dalam satu kenyataan menyebut, “Berita yang kami enggan katakan tetapi perlu disampaikan. Selepas lebih dua bulan bertarung dengan Covid, Fausto Gresini telah meninggal dunia, beberapa hari selepas mencecah usia 60 tahun.”

Gresini terlibat dengan pengurusan selepas lebih 12 tahun beraksi di kelas 125cc.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube