Bikesrepublic

MotoGP

Valentino Rossi mengakui sukar untuk memaafkan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, atas kejadian yang berlaku pada 2015.

Rossi bertegas Marquez telah berkomplot dengan rakan sepasukan di Monster Yamaha, Jorge Lorenzo, bagi memastikan dirinya terlepas kejuaraan 2015.

*Valentino Rossi

“Saya tidak dapat memaafkan apa yang telah dia lakukan pada saya.

“Apabila saya teringat balik tahun itu, saya masih merasakan benda yang sama meskipun enam tahun telah berlalu.

“Ini kerana saya sedar sukar untuk mereka berubah,” jelas Rossi.

Musim 2015 dipalit dengan persaingan penuh kontroversi di antara Rossi dan Marquez dengan kedua-duanya beberapa kali berlanggar antara satu sama lain bermula di Argentina dan kemudiannya di Assen.

Ketika di Misano, Rossi dikenakan denda kerana menghimpit Lorenzo sewaktu pusingan kelayakan.

Senario itu menyebabkan Rossi menuduh Marquez cuba membantu Lorenzo memenangi kejuaraan dunia sewaktu di Philip Island sebelum Marquez menafikan dakwaan itu di Sepang.

Ketegangan Rossi dan Marquez memuncak di pusingan 17 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kedua-dua berlanggar buat kali ketiga musim itu.

Meskipun Rossi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sementara Marquez terpaksa bersara awal, pegawai perlumbaan mendapati Rossi harus dipersalahkan lalu dikenakan tindakan tiga mata penalti.

Dia juga terpaksa memulakan perlumbaan terakhir di Valencia di grid belakang.

Meskipun, Rossi membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), keputusan denda itu tidak dapat ditarik balik.

Rossi kemudiannya terpaksa akur menamatkan musim 2015 dipisahkan lima mata dibelakang juara, Jorge Lorenzo, sementara Marquez ketiga dengan 242 mata.

Rossi bakal memulakan musim 2021 dengan pasukan satelit Yamaha, Petronas Sepang Racing Team( SRT) bergandingan dengan Franco Morbidelli.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, baharu sahaja selesai menjalani pembedahan buang dua plat besi di tangan kanan, minggu lalu.

Senario itu meletakkan Hafizh terpaksa bersaing dengan masa bagi memastikan tangan kanan pulih sepenuhnya menjelang pembukaan tirai Kejuaraan Motosikal Dunia MotoGP yang berlangsung di Litar Losail, Qatar, bulan depan.

Menurut laporan BH, Hafizh menjalani pembedahan buang plat besi tersebut kerana berasa kurang selesa.

Bagaimanapun, dia mendedahakn perlukan masa hampir sebulan untuk pulih sepenuhnya.

“Doktor memberitahu, kalau boleh jangan buat kerja berat seperti latihan yang berat menggunakan tangan,” katanya kepada BH.

Hafizh bakal memulakan kempen musim 2021 bersama pasukan baharu, NTS RW Racing selepas kehilangan tempat di Aspar Team penghujung musim lalu. – BH

Pelumba uji Aprila MotoGP, Bradley Smith, didakwa telah meninggalkan pasukan itu berdasarkan perkongsian terbaru di akaun media sosial Instagram miliknya.

Dalam perkongsian terbaru itu, dia memuat naik gambar jentera Yamaha dengan kapsyen “Project #109 is complete” serta “No looking back.”

Smith sertai Aprilia selaku pelumba uji dan wild-card pada penghujung 2018 selepas enam musim bersama Tech3 Yamaha dan KTM sebelum itu.

Dia kemudiannya ambil alih kerusi pelumba bagi musim 2020 selepas Andrea Iannone digantung perlumbaan.

Bagaimanapun, Aprilia membuat keputusan untuk menggantikan Smith dengan Lorenzo Savadori bagi baki tiga pusingan terakhir.

Aprilia kemudiannya mengumumkan perancangan untuk menyerahkan slot Iannone – yang digantung empat tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) – kepada Smith atau Savadori bagi musim 2021.

Meskipun Aprilia masih belum membuat pengumuman rasmi namun timbul dakwaan bahawa pasukan dari Noale, Itali itu telah pun membuat keputusan untuk menggunakan khidmat Savadori.

Perkongsian terbaru Smith di laman sosial Instagram seakan mengesahkan perkara itu apatah lagi memuat naik gambar jentera lain.

Pengarah Akademi VR46 dan Sky Racing Team VR46, Alessio ‘Uccio’ Salucci, mendedahkan bahawa Valentino Rossi akan membuat keputusan mengenai masa depannya musim ini.

Menurut Salucci, Rossi memerlukan antara 6-7 perlumbaan bagi menentukan sama akan meneruskan kariernya di MotoGP.

Ini kerana pelumba berusia 41 tahun itu hanya menandatangani kontrak setahun bersama pasukan satelit Yamaha, Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pada masa sama, Rossi juga perlu membuat keputusan sama ada pasukan VR46 akan bertanding di kelas premier MotoGP pada 2022 tatkala pelumba, Luca Marini, akan beraksi bersama Avintia Ducati dengan kerjasama VR46 musim ini.

Marini merupakan pelumba akademi VR46 ketiga beraksi di MotoGP selepas Franco Morbidelli dan Peco Bagnaia.

Pelumba Moto2, Marco Bezzechi dan Celestino Vietti dijangka akan diangkat ke kelas premier pada 2022.

Thailand buat keputusan untuk tangguh kontrak penganjuran MotoGP hingga 2022.

Difahamkan, kerajaan Thailand rancang untuk menganjakkan pembatalan perlumbaan pada tahun 2020 kepada 2021 dan menangguhkan kontrak penganjuran lima tahun MotoGP dari 2021 kepada 2022.

Senario itu mencetuskan salah faham di antara pihak Dorna dan Thailand seperti disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta.

Pelan asal kontrak penganjuran MotoGP di Buriram adalah dari 2021 hingga 2025 namun Thailand mahu kontrak tersebut dianjakkan kepada 2022-2026.

Menurut laporan Bangkok Post, yuran penganjuran MotoGP masih kekal pada EUR25 juta (RM121 juta) bagi tempoh lima tahun tersebut.

Ujian pra-musim Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) sedang berlangsung ketika ini di Jerez namun akan disertai beberapa pelumba MotoGP antaranya Johann Zarco.

Zarco, yang dinaik taraf ke Pramac Racing musim ini dari Avintia akan menunggang Ducati Panigale V4S bersama-sama pelumba uji Michele Pirro.

Menjelang pembukaan tirai musim 2021, Zarco mengharapkan Ducati tidak akan merasai kehilangan Dovizioso.

*Johann Zarco

“Saya harap kami tidak akan merasai kehilangannya kerana itu bermakna kami sedang melakukan yang terbaik dan ke arah yang betul.

“Bagi musim 2021, Ducati memiliki pelumba yang kompetitif dan mampu membantu pembangunan jentera,” jelasnya kepada GPOne.

Bagaimanapun, Zarco akui menjadikan Dovizioso sebagai penanda aras di Pramac.

“Saya tidak mempunyai sebarang pelumba spesifik untuk difokuskan tetapi Dovizioso kekal sebagai contoh terbaik berpandukan kejayaan dan podium yang telah direkodkan selama ini.

“Dia juga mempunyai kawalan terhadap semua aspek jadi pastinya dia menjadi penanda aras saya,” tambah Zarco.

*Peco Bagnaia

Ducati mempertaruhkan muka baharu bagi pasukan factory dengan Jack Miller dan Francesco ‘Peco’ Bagnaia manakala Johann Zarco dan Jorge Martin mengisi slot di Pramac bagi musim 2021.

Dalam perkembangan lain, Ducati telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Dorna Sports yang bakal menyaksikan pasukan itu kekal di MotoGP hingga 2026.

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali menyuarakan keyakinan kerjasama pasukan itu bersama pengeluar, Yamaha, akan dilanjutkan.

Kerjasama Petronas SRT dan Yamaha akan berakhir hujung tahun ini namun Razlan yakin mereka akan memperbaharui gandingan itu untuk lima tahun lagi.

“Kami mahu kekal dalam MotoGP selama mungkin.

“Meskipun terdapat beberapa pilihan dengan pengeluar lain tetapai kami cukup selesa dengan Yamaha di samping sokongan yang telah mereka berikan sejak tahun pertama.

“Jadi demi kepentingan Yamaha, pasukan dan Petronas, kami mahu terus membangunkan kerjasama ini untuk tambahan lima tahun lagi,” jelas Razlan.

Razlan turut mendedahkan perancangan itu dijangka dimeterai sekitar pertengahan musim 2021.

Petronas SRT bakal memulakan cabaran musim baharu dengan gandingan Franco Morbidelli dan Valentino Rossi yang bertukar tempat dengan Fabio Quartararo. – GPOne

Franco Morbidelli terus kempunan apabila bakal memulakan musim 2021 tanpa jentera Yamaha YZF-M1 Factory meskipun menamatkan musim 2020 di tempat kedua belakang juara dunia, Joan Mir.

Perkara itu didedahkan prinsipal Petronas Sepang Racing Team (SRT) , Datuk Razlan Razali menerusi wawancara bersama GPone, baru-baru ini.

Morbidelli beraksi dengan jentera M1 ‘Spec-A’ 2019 musim lalu namun berjaya menampilkan aksi cemerlang berbanding rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang sering mengalami masalah teknikal dengan jentera M1 Factory.

“Ketika Frankie (Morbidelli) memenangi perlumbaan di Misano, dia berjumpa dengan saya dan bertanya sama ada boleh atau tidak dia menggunakan jentera ‘factory’ musim depan.

“Namun saya memberitahu bahawa kami telah cuba yang terbaik namun susulan kekangan kewangan perkara itu tidak dapat direalisasikan,” jelas Razlan.

Morbidelli sebaliknya merekodkan tiga kemenangan dengan jentera 2019 itu sementara Quartararo dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) bergelut.

“Selepas dia menang lagi di Valencia, saya bertanyakan soalan sama ada dia mahukan jentera M1 Factory musim depan (2021)?

“Dia jawab tidak sebaliknya gembira dengan jentera sedia ada itu. Faktor psikologi main peranan kerana namanya ‘factory’ tetapi masih lagi jentera yang sama,” tambah Razlan.

Razlan sekali lagi membuat permintaan sewaktu mesyuarat terakhir bersama Yamaha namun selepas mengambil kira pelbagai faktor dan kewanangan, permintaan itu tidak dapat ditunaikan.

Bagaimanapun, Razlan mendedahkan jentera yang ditunggangi Morbidelli akan mendapat beberapa kemas kini bagi musim 2021.

“Kami telah diberi jaminan jentera Morbidelli akan ditambah baik. Ini tahun ketiga Frankie bersama kami, jadi penting untuk dia berasa selesa dan gembira. Dia mengejutkan kami musim lalu terutamanya di separuh kedua musim 2020 apabila lebih konsisten berbanding Fabio (Quartararo).

“Kami jangka dia mampu mencabar kejuaraan musim ini,” kata Razlan lagi.

Beraksi dengan mesin ‘lama’ dilihat bukan satu isu buat Morbidelli tatkala jentera itu tidak mengalami sebarang isu teknikal dibandingkan dengan pelumba Yamaha lain apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga hujung musim 2021. – GPOne

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali menyifatkan persiapan pasukan itu tidak terjejas meskipun ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dibatalkan.

Dorna Sports, FIM, IRTA dan SIC telah pun mengesahkan pembatalan Sepang Shakedown dan ujian rasmi di Sepang susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

Menurut Razlan pihaknya menghormati keputusan itu termasuk pelaksanaan PKP oleh kerajaan Malaysia dalam mengekang Covid-19.

*Datuk Razlan Razali, Franco Morbidelli

Razlan memaklumkan bakal berbincang dengan pengurus pasukan, Johan Stigfelt, untuk mengadakan tiga ujian persendirian di Eropah susulan terdapat kebimbangan Dorna akan turut membatalkan ujian pra-musim di Sepanyol.

“Saya difahamkan yang Dorna Sports berkemungkinan membatalkan satu lagi ujian MotoGP yang sepatutnya diadakan di Sirkit Jerez (di Sepanyol) dari 16-18 Mac akibat COVID-19,” katanya.

Setakat ini ujian pra-musim di Litar Losail, Qatar, masih lagi dalam perancangan.

“Saya percaya yang ujian di Qatar (dari 10-12 Mac) adalah lebih daripada mencukupi untuk pasukan kami memperbaiki motosikal kami, terutamanya aerodinamik termasuk mengurangkan berat motosikal, sebelum perlumbaan sebenar,” jelasnya.

Aksi MotoGP kembali membuka tirai pada 26-28 Mac ini di Qatar. – BERNAMA

Ujian pra-musim rasmi MotoGP yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Februari telah dibatalkan.

Sebelum ini, Dorna dan IRTA bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dikatakan telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Malaysia bagi mencari solusi terbaik susulan pengunjung luar harus menjalani kuarantin wajib tujuh hari.

Bagaimanapun, aksi di Sepang kini sah dibatalkan selepas mengambil kira faktor peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara ini.

Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari di beberapa negeri termasuk pengisytiharan darurat membuatkan pihak MotoGP membuat keputusan untuk membatalkan ujian pra-musim disini.

“FIM, IRTA dan Dorna Sports dengan dukacita mengumumkan pembatalan Sepang Shakedown dan Ujian Pra-Musim Rasmi Litar Antarabangsa Sepang.

“Kes Covid-19 serta keputusan ‘lockdown’ terbaru telah membawa kepada pembatalan acara ini yang sepatutnya dijadualkan pada Februari.

“Ujian pra-musim di Qatar pada 10 hingga 12 Mac ini masih disahkan untuk berjalan bagaimanapun segala info terkini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” jelas pihak MotoGP dalam satu kenyataan.

Hal ini sekaligus menjadikan Litar Losail sebagai medan ujian sulung pelumba bagi musim 2021.

Selepas lapan tahun memegang jawatan selaku pengurus pasukan, kerjasama Davide Briviio dan Suzuki Ecstar akhirnya berakhir.

Tahun 2020 merupakan kejayaan paling manis buat pengendali itu apabila berjaya membawa Suzuki kembali sebagai juara dunia menerusi Joan Mir di samping merangkul Kejuaraan Dunia Pasukan.

Difahamkan, keputusan meninggalkan Suzuki Ecstar dibuat susulan berjaya membawa pasukan itu mencapai kejayaan di samping mahu mengejar cabaran baharu setelah 20 tahun di MotoGP dan 13 tahun bersama Suzuki Ecstar.

Sementara itu terdapat dakwaan, Brivio bakal mengendalikan sebuah pasukan Formula 1.

“Cabaran dan peluang baru telah ditawarkan kepada saya dan kemudiannya saya membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut.

“Perkara yang paling sukar adalah meninggalkan pasukan ini. Sukar untuk saya mengucap selamat tinggal, saya amat berdukacita tetapi motivasi utama saya adalah untuk menghadapi cabaran baharu.

“Merangkul kejuaraan dunia MotoGP adalah sesuatu yang akan terus terukir dalam sejarah Suzuki.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Suzuki atas kepercayaan mereka kepada saya dari awal lagi.

“Menyaksikan Joan Mir muncul juara dunia merupakan impian jadi kenyataan bagi saya termasuk mereka semua yang telah bekerja keras selama ini. Saya selamanya akan jadi peminat Suzuki,” jelas Brivio dalam satu kenyataan.

Aksi MotoGP kembali bersambung pada Februari menerusi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Jorge Martin bakal beraksi di musim pertama MotoGP dengan helmet baharu selepas menandatangani kontrak bersama pengeluar helmet dari Perancis, SHARK Helmets.

[Inside Racing] SHARK is proud to announce the arrival of a new SHARK Rider ?? The young @Jorge.Martin.Almoguera.88…

Posted by SHARK Helmets on Wednesday, 6 January 2021

Martin bakal mengenakan helmet SHARK Race-R Pro GP FIM terbaru bagi musim 2021 bersama pasukan baharu, Pramaca Racing (Ducati) setelah beraksi cemerlang di Moto2 bersama Red Bull KTM Ajo musim lalu.

*Johann Zarco

Juara dunia Moto3 2018 itu akan digandingkan bersama Johann Zarco yang turut sama memakai helmet SHARK.

*Miguel Oliveira

Pelumba berusia 22 tahun itu sertai Zarco, Miguel Oliveira dan Iker Lecuona di MotoGP sebagai pelumba SHARK Helmets.

Martin menamatkan musim 2020 bersama KTM Ajo dengan dua kemenangan dan lapan podium sekaligus dicanang antara pelumba yang harusi diberikan perhatian bagi musim 2021.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube