Bikesrepublic

MotoGP

Tetsuta Nagashima tidak akan terlibat dengan Kejuaraan Dunia Moto2 musim 2021.

*Nagashima memenangi aksi pertama di Qatar

Pelumba Red Bull KTM Ajo itu yang melakar kemenangan di pusingan pertama Litar Losail, Qatar, mengumumkan keputusan itu menerusi akaun Instagram @tetsutanagashima.

Meskipun menang di Qatar dan merekodkan tempat kedua di Jerez, dia gagal mengekalkan aksi konsisten sebelum menamatkan musim 2020 di kedudukan ke-8, keputusan terbaik dalam kariernya.

*Jorge Martin naik pangkat ke MotoGP musim 2021 bersama Pramac Racing

Bagaimanapu, namanya tidak disenaraikan dalam senarai awal Moto2 2021 dengan rakan sepasukan, Jorge Martin, naik pangkat ke kelas premier – sertai Pramac Racing – manakala Ajo mempertaruhkan barisan baharu menerusi Remy Gardner dan Raul Fernandez.

Walaupun umum berhenti berlumba musim depan, Nagashima tetap menyuarakan niatnya untuk kembali lebih kuat.

Sementara itu, keputusan Nagashima meletakkan Ai Ogura dari Honda Team Asia sebagai wakil tunggal Jepun di Moto2 musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, Stefan Pierer, berasakan pasukan KTM Factory Racing sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan MotoGP 2021.

Sasaran baharu itu diletakkan susulan kejayaan KTM merangkul tiga kemenangan, lapan podium dan tempat kelima carta kejuaraan dunia menerusi Pol Espargaro.

Meskipun Espargaro berhijrah ke Honda Repsol musim depan namun KTM masih mampu memberi saingan sengit menerusi Brad Binder, Miguel Oliveira dan rekrut baharu, Danilo Petrucci di KTM Tech3.

Menurut Pierer, pencapaian 2020 menjangkau sasaran awal.

CEO KTM, Stefan Pierer

“Sasaran 2020 melebihi jangkaan. Kami kini mempunyai asas teknikal kukuh bagi membolehkan beberapa pelumba untuk merekodkan kemenangan di samping memberi pelumba muda peluang terbaik sepertimana yang ditonjolkan Brad Binder dan Ikerr Lecuona.

“Sasaran utama kami musim depan adala mencabar kejuaraan dan menang jika boleh,” jelas Pierer.

Sementara itu, KTM turut melanjutkan kontrak Dani Pedorsa dan Mika Kallio selaku pelumba uji pasukan itu bagi musim 2021 pada hujung Disember lalu.

Rata-rata menyifatkan keputusan merekrut Pedrosa antara penyumbang kejayaan RC16 bagi musim 2020.

MotoGP sedang dalam perbincangan dengan kerajaan Malaysia membabitkan ujian pra-musim yang akan diadakan pada Februari.

Menurut laporan Motorsport.com, Dorna Sports, IRTA bersama-sama Prinsipal Petronas SRT, Datuk Razlan Razali telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Malaysia untuk beberapa bulan dalam merangka pelan terbaik yang membolehkan pegawai MotoGP memasuki negara dengan sedikit kelonggaran.

Hal ini kerana semua pengunjung ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib minimum tujuh hari di samping keputusan ujian PCR negatif sebelum dibenarkan untuk keluar ke tempat awam.

Peraturan semasa kerajaan Malaysia itu dilihat boleh memberi kesan terhadap persediaan Sepang Shakedown yang dijadualkan berlangsung pada 19-21 Februari ini.

Sementara itu, MotoGP dijangka akan melaksanakan sistem ‘bubble’ di ‘paddock’ SIC sepertimana yang dijalankan sepanjang musim 2020 ini dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Meskipun usaha memastikan ujian pra-musim di Sepang berjalan, MotoGP telah pun merangka pelan sokongan dengan mengadakan ujian pra-musim di Jerez sekiranya Sepang Shakedown tidak dapat diadakan. – Motorsport.com

Pawi Omar, ayah kepada bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, mendesak agar prinsipal Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali disingkir dari sukan permotoran negara.

Luahan itu dibuat diruangan komen media sosial Facebook dan mula tular di beberapa ‘page’ permotoran tempatan.

Menerusi luahan itu, Pawi meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyingkirkan Razlan bagi membela nasib pelumba tempatan.

Kontrak KIP tidak disambung Petronas Sprinta Racing selepas Razlan mendedahkan pelumba 22 tahun itu gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan pasukan meskipun menurunkan dia dari Moto2 ke Moto3.

KIP kemudiannya membuat pengumuman mengejut apabila mengumumkan persaraan selepas gagal menandatangani sebarang kontrak bersama pasukan lain.

Senario itu lantas menyaksikan tiada wakil pelumba tempatan di Petronas SRT dengan Hafizh Syahrin menjadi wakil tunggal di Moto2 manakala status Kasma Daniel Kasmayudin masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, peminat sukan permotoran turut berbeza pendapat dengan ada yang mengecam ketiadaan pelumba tempatan di Petronas SRT manakala ada yang menyifatkan pelumba tempatan belum cukup hebat untuk bersaing di MotoGP.

Dalam kenyataan terbaru, Hafizh turut mempertahankan KIP dengan membidas kenyataan Razlan yang mengkritik tindakan pelumba itu tidak sertai latihan motorcross sebaliknya bersama Hafizh membuat kayuhan basikal.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, akhirnya buka mulut mengenai isu persaraan rakan senegara, Khairul Idham Pawi @ KIP dari pentas Moto3.

Petronas Sprinta Racing membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak KIP sekaligus memaksa pelumba berusia 22 tahun itu mengumumkan persaraan.

Sebelum itu, prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, mempersoal tindakan KIP yang tidak menjalani latihan ‘motorcross’ bersama pelumba lain sebaliknya sertai Hafizh Syahrin membuat kayuhan basikal.

Hafizh kini membuka mulut dan berkongsi luahannya mengenai senario tersebut.

“Saya mahu sentuh mengetahui satu isu mengenai Khairul Idham yang tidak berlatih motorcross tatkala berlatih berbasikal bersama saya.

“Bagi saya, itu merupakan perkara yang tidak profesional untuk dibangkitkan kerana ia dilihat sebagai langkah untuk mencari alasan semata-mata. Tiada pelumba yang baru sahaja mengalami kemalangan yang serius mahu kembali berlatih secara agresif terutama sekali dalam motorcross,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafizh turut berkongsi pandangan mengenai status Petronas SRT sebagai pasukan MotoGP Malaysia yang ketiadaan pelumba negara bermula musim 2021.

“Ya, kita boleh mengambil pelumba luar untuk membantu pasukan negara tetapi ketiadaan pelumba tempatan, ia dilihat sebagai pasukan bukan membela pelumba negara,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Hafizh bakal meneruskan aksi di Moto2 musim depan bersama NTS RW Racing GP setelah semusim bersama Aspar Team.

Kalendar MotoGP 2021 bakal membuka tirai dengan Sepang Shakedown pada Februari. – SA

KTM telah menyambung kontrak Dani Pedrosa dan Mika Kallio selaku pelumba uji MotoGP bagi musim 2021.

KTM membuat peningkatan mendadak selepas mendapatkan khidmat Dani Pedrosa pada 2019 susulan persaraan pelumba itu dihujung musim 2018.

Input Pedrosa telah menjadikan jentera RC16 itu merekodkan tiga kemenangan bagi musim 2020 menerusi Brad Binder dan Miguel Oliveira (Tech3).

Pengendali KTM, Pit Beirer turut meluahkan rasa teruja selepas berjaya mengekalkan kedua-dua pelumba itu sebagai pelumba uji.

“Kami telah berusaha dengan keras di belakang tabir bagi program MotoGP KTM bersama Mika (Kallio) dan Dani (Pedrosa).

“Meskipun baru empat tahun tetapi kami sudah mampu menetapkan petanda aras baharu,” jelasnya.

Sementara itu, Pedrosa turut berasa teruja kerana mampu membantu dalam pembangunan KTM di MotoGP.

“KTM sangat serius untuk terus kedepan jadi saya gembira untuk terus membantu mereka dan pelumba untuk mencapai sasaran lebih besar,” katanya.

Meskipun musim 2021 beberapa bulan dari pembukaan tirai namun Gresini Racing telah pun mengambil langkah proaktif untuk berpisah dengan Aprilia bagi musim 2022.

Perkara itu disahkan sendiri Gresini Racing yang diketuai Fausto Gresini dalam satu kenyataan yang mengesahkan mereka akan kembali sebagai pasukan bebas.

Senario ini bukanlah satu kejutan tatkala Gresini dan Aprilia telah pun mendedahkan rancangan untuk tidak bergerak seiringan sebelum ini.

Gresini dan Aprilia bersatu pada 2015 dengan tiket sebagai pasukan bebas dan bukannya sebagai pasukan factory.

Meskipun Gresini tidak mendedahkan perancangan mereka bagi musim 2022 namun difahamkan mereka sedang dalam perbincangan untuk bergerak sebagai pasukan satelit Suzuki.

Selain Gresini, VR46 – yang juga akan beroperasi sebagai pasukan MotoGP pada 2022 – dicanang sebagai calon untuk menjadi pasukan satelit Suzuki.

Bagaimanapun, Gresini juga berpeluang bergerak sebagai pasukan satelit Aprilia di samping pasukan factory Aprilia pada musim tersebut.

Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez telah selesai menjalani pembedahan ketiga di lengan kanan di Madrid.

Bagaimanapun, dia kini berdepan tempoh pemulihan yang dijangka memakan masa hingga enam bulan.

Pelumba Repsol Honda itu mengalami kecederaan serius selepas kemalangan dalam pusingan pertama di Jerez pada Julai lalu.

Meskipun menjalani pembedahan pertama, dia membuat kejutan apabila cuba kembali empat hari kemudian untuk GP Andalucia.

Keputusan itu bagaimanapun memberi kesan negatif sehingga menyebabkan plat besi yang diletakkan rosak dan terpaksa menjalani pembedahan kedua lantas memaksa Marquez undur diri dari musim 2020.

Laporan mengenai pembedahan ketiga timbul awal bulan lalu tatkala proses pemulihan kecederaan pelumba itu memakan masa yang lebih lama dari jangkaan.

Pembedahan tersebut yang dijalankan pada Khamis mengambil masa lebih lapan jam yang menyaksikan doktor mengekstrak tulang pinggul (tinggi dengan sel darah merah) dan dicantumkan ke tulang humerus di lengan kanan.

Plat besi baharu turut dimasukkan menggantikan plat besi yang diletakkan sebelum ini.

Marquez perlu berehat lebih enam bulan sekaligus menyaksikan dia bakal terlepas aksi pembuka tirai di GP Qatar yang akan berlangsung pada 28 Mac depan.

Penaja Utama SAG Team, Onexox TKKR, membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Moto2 musim depan.

Pengumuman itu dibuat pengelola Onexox TKKR sendiri, Datuk Bobie Farid Shamsudin menerusi strim langsung di Facebook Onexox TKKR SAG Team, hari ini.

Menerusi video tersebut, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira pelbagai aspek terutamanya perbuatan pasukan Indonesia, Mandalika Racing Team (MRT) yang mendakwa mereka telah memeterai kerjasama dengan SAG Team sebelum ini.

Bagaimanapun, Datuk Bobie menjelaskan pengunduran pihak Onexox tiada kaitan dengan isu ‘bankrap’ seperti didakwa MRT sebelum ini sebaliknya enggan terpalit dengan kontroversi ini.

“Kami tiada masalah apa-apa dan SAG Team juga tidak membuat salah apa-apa cumanya dalam keadaan tersepit begini masing-masing akan mencari jalan terbaik untuk ke hadapan.

“Saya mengambil keputusan ini atas nasihat beberapa individu rapat supaya kita dapat kembali ke meja perancangan dan buat strategi baharu untuk kembali satu hari nanti.

“Saya harap benda ini jelas,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Bobie turut menjelaskan tentang status pelumba tempatan, Kasma Daniel Kasyamudin yang masih berbaki kontrak dua tahun bersama pasukan itu setelah menandatangani kontrak tiga tahun sebelum ini.

*Kasma Daniel Kasmayudin

“Kasma telah menandatangani kontrak dengan SAG Team jadi keputusan itu terletak di tangan mereka.

“Tapi jika kita lihat pengumuman rasmi dari pasukan MRT, pasukan itu akan dikemudi oleh Thomas Luthi dan Kasma Daniel.

“Walaupun tiada pengesahan dari pihak SAG Team sendiri tetapi perbincangan ada berlaku di antara MRT dan SAG Team jadi kami enggan berada di tengah-tengah dalam perkara ini,” tambahnya.

Kasma juga telah dimaklumkan dengan perkara ini dan pelumba itu juga jelas dengan apa yang berlaku.

Sebelum ini, timbul laporan bahawa Kasma bakal digantikan dengan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.

*Dimas Ekky Pratama

Pada masa sama, Datuk Bobie menafikan dakwaan bahawa pihaknya berdepan masalah kewangan seperti yang diwarwarkan.

“Kami perlu realistik dalam menangani perkara ini, kerana isu ini menjatuhkan reputasi kami sehingga mendakwa kami bankrap dan sebagainya.

“Untuk pengetahuan, tahun ini jumlah yang dipersetujui untuk SAG Team adalah EUR1.2 juta (RM5.8 juta) tetapi bila Covid-19 melanda dengan perlumbaan tidak seperti dijadualkan jadi pihak kami membuat pengurangan daripada jumlah yang dipersetujui,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Onexox TKKR akan terus beraksi di pentas Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin muncul muncul sebagai pelumba dengan jumlah kemalangan tertinggi di antara semua kelas di MotoGP.

Pelumba pasukan Onexox TKKR SAG Team itu jatuh 20 kali diikuti Jorge Navarro dengan 19 kemalangan serta Gabriel Rodrigo dari Moto3 dengan 18 kemalangan.

Saingan Moto2 menyaksikan sebanyak 292 kemalangan direkodkan merentasi 15 pusingan sekaligus menyaksikan kenaikan purata kemalagan ke 19.4 berbanding 18.3 musim lalu.

Sementara itu, Johann Zarco muncul pelumba MotoGP paling kerap terbabas dengan 15 kemalangan diikuti Alex Marquez dengan 14 kemalangan dan Aleix Espargaro dengan 12 kemalangan.

Ini merupakan musim kedua berturut-turut Zarco mendahului angka kemalangan selepas merekodkan 17 kemalangan bagi musim 2019.

Sementara itu, pelumba Ducati, Danilo Petrucci muncul pelumba dengan kesilapan paling rendah apabila hanya mencatat dua kemalangan diikuti Andrea Dovizioso dan Maverick Vinales dengan masing-masing berkongsi empat kemalangan.

Sejumlah 722 kemalangan telah direkodkan secara keseluruhan dari kesemua kelas bagi musim 2020.

MotoGP musim 2021 akan membuka tirai menerusi sesi ujian Sepang Shakedown pada Februari depan.

MotoGP musim 2020 akhirnya menutup tirai dengan pusingan di Litar Portimao, Portugal, menyaksikan Miguel Oliveira muncul pemenang.

Namun, pusingan akhir itu merupakan mimpi ngeri buat pelumba Yamaha apabila Maverick Vinales, Valentino Rossi dan Fabio Quartararo (Petronas SRT) sekadar menduduki tempat ke 11, 12 dan 14 dengan jentera YZR-M1 2020.

*Morbidelli raih tempat ketiga di GP Portugal

Franco Morbidelli merupakan satu-satunya pelumba Yamaha (Petronas SRT) yang cemerlang apabila menaiki podium di tempat ketiga meskipun dengan jentera ‘spec A 2019’.

Vinales yang beberapa kali berdepan masalah jentera termasuk terpaksa bermula di lorong pit di Valencia tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya terhadap jentera 2020 itu.

“Jentera M1 itu seakan tidak berfungsi. Tanya Yamaha apa masalah sebenar.

“Secara jujur, saya dah letih nak bercakap tentang perkara yang sama berulang kali.

“Saya tidak suka memberi alasan tetapi kadang kala bercakap saja tidak berguna kerana kami masih tiada penyelesaian terhadap masalah ini.

“Situasi ini bukan mudah buat saya, meskipun saya cuba kekal tenang dan positif,” jelasnya.

Walaupun kenyataan Vinales ini dibuat selepas selesai sesi kelayakan pada Sabtu apabila dia sekadar mendapat petak ke-8, rasa kecewa terhadap jentera M1 itu nyata berasas apabila sekadar menghuni tempat ke-12 di hari perlumbaan.

*Vinales raih tempat ke-11 di GP Portugal

Vinales turut mempersoal mengapa beberapa individu penting tiba-tiba hilang antaranya seorang juruteknik Ohlins termasuk seorang jurutera Jepun.

Musim 2020 juga menghampakan bagi Quartararo yang pada awalnya mendahului kejuaraan dunia sebelum masalah jentera menghimpit kariernya dalam musim terakhir bersama Petronas SRT.

Sekiranya Yamaha gagal mencari jalan penyelesaian apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga penhujung tahun depan, mimpi ngeri akan terus menghantui para pelumba Yamaha musim 2021.

MotoGP kembali membuka tirai Februari depan dengan sesi ujian Sepang Shakedown. – GPOne

Miguel Oliveira berjaya merekodkan kemenangan kedua musim ini setelah mendominasi aksi penutup tirai 2020 di laman sendiri.

Pelumba Tech3 KTM itu berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu sehingga ke lap terakhir selepas mencatat masa terpantas sewaktu sesi kelayakan, semalam.

Tempat kedua jadi milik pelumba Pramac Racing, Jack Miller selepas berjaya memintas Franco Morbidelli di sektor terakhir.

Kejayaan Miller turut membantu Ducati memenangi Kejuaraan Dunia Pengeluar 2020 buat kali pertama sejak 2007.

Sementara itu, Joan Mir, yang telah pun mengesahkan status selaku juara dunia minggu lalu gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya mengalami masalah teknikal.

*Joan Mir mengesahkan kejuaraan dunia di Valencia minggu lalu.

Manakala rakan sepasukan di Suzuki Ecstar, Alex Rins menamatkan musim 2020 di kedudukan ketiga kejuaraan dunia.

Dalam perkembangan lain, Enea Bastianini merangkul kejuaraan dunia Moto2 selepas mengutip 205 mata meskipun menamatkan aksi di tempat kelima.

Pelumba Onexox TKKR SAG Team, Remy Gardner berjaya merekodkan kemenangan sulung di Moto2 selepas mengetepikan cabaran Luca Marini manakala Sam Lowes ketiga.

Bastianini akan melangkah ke kelas premier musim depan bergandingan dengan Marini di Avintia Ducati manakala Gardner akan ke Ajo KTM di Moto2.

Manakala Moto3 menyaksikan Albert Arenas dinobat juara dunia dengan 174 mata dalam aksi penuh sengit di Portugal.

Pelumba Aspar Team itu hanya empat mata dihadapan Tony Arbalino dan Ai Ogura.

Kejayaan Arenas turut menyaksikan pelumba itu akan beraksi di Moto2 musim depan.

Dalam perkembangan berbeza, wakil Ducati, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu selepas lapan tahun bersama.

Cal Crutchlow turut meninggalkan LCR Honda selepas tempatnya diisi Alex Marquez musim depan namun akan bertkhidmat selaku pelumba uji Yamaha selepas ini.

Valentino Rossi turut meninggalkan pasukan factory Yamaha selepas 15 tahun bersama pasukan itu. Rossi akan mewakili Petronas Sepang Racing Team (SRT) bagi musim 2021.

MotoGP akan kembali membuka tirai dengan Sepang Shakedown (Winter Test) pada Februari 2021.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube