Bikesrepublic

MotoGP

Joan Mir melakar sejarah selaku juara dunia baharu MotoGP musim 2020.

Ini merupakan kejayaan pertama pasukan Suzuki selepas kali terakhir dilakukan Kenny Roberts Jr pada 20 tahun lalu.

Meskipun gagal menaiki podium di GP Valencia namun kutipan 171 mata sudah cukup buat pelumba kelahiran Palma, Sepanyol itu untuk muncul juara dunia hanya dalam musim keduanya di kelas premier.

Pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli merekodkan kemenangan ketiga musim ini setelah berjaya mendahului perlumbaan sehingga ke lap terakhir diikuti Jack Miller (Pramac Racing) dan Pol Espargaro (Red Bull KTM Racing) ketiga.

Meskipun beraksi dengan jentera Spec A 2019 namun situasi itu tidak menyekat Morbidelli untuk terus membuktikan kemampuannya di kelas premier itu.

Sementara itu, Mir muncul juara dunia meskipun hanya mencatat satu kemenangan musim ini – minggu lalu di litar sama – namun kemampuan untuk mengutip mata penting secara konsisten ternyata membuahkan hasil bagi pelumba berusia 23 tahun itu.

Nasib malang terus menimpa Fabio Quartararo apabila terbabas di Turn 6 manakala Takaaki Nakagami juga gagal menamatkan aksi sewaktu dalam percubaan untuk memintas Espargaro dalam perebutan tempat ke-3.

Dalam perkembangan sama, rakan senegara dan enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez serta tiga kali juara dunia, Jorge Lorenzo turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Mir yang muncul pelumba Sepanyol ketiga untuk merangkul juara dunia.

Cal Crutchlow diumumkan sebagai pelumba uji baharu Monster Energy Yamaha MotoGP bagi musim 2021 menggantikan Jorge Lorenzo.

Pelumba berusia 35 tahun yang kehilangan tempat di LCR Honda musim depan bagi memberi ruang kepada Alex Marquez bakal membuat penampilan pertama di Sepang pada 14 hingga 16 Februari.

Pengalaman 10 tahun Crutchlow di pentas MotoGP dilihat sebagai elemen penting dalam membantu pasukan itu musim depan.

Senario ini sekaligus litar Portimao bakal menjadi medan perlumbaan kompetitif terakhir bagi pelumba Britain itu.

Bagaimanapun, Yamaha dalam satu kenyataan mendedahkan Crutchlow berpeluang mendapat ‘wildcard’ sekiranya perkara itu dilihat akan memberi impak positif terhadap pembangunan jentera pasukan itu.

*Lorenzo sah tinggalkan Yamaha dan berhijrah ke pasukan baharu musim 2021

Sementara itu, Lorenzo dijangka hampir pasti akan ke Aprilia setelah mengakui sedang dalam perbincangan bersama pasukan itu minggu lalu, namun tidak dapat dipastikan sama ada sebagai pelumba uji atau bakal beraksi pada musim 2021 susulan penggantungan empat tahun yang dikenakan terhadap Andrea Iannone.

Berita mengejut hadir dari kem Monster Energy Yamaha apabila pelumba veteran, Valentino Rossi disahkan kembali positif Covid-19.

Rossi terlepas dua pusingan di Aragon Oktober lalu apabila dia didapati positif selepas aksi di Le Mans.

Meskipun masih lagi positif pada Selasa minggu lalu, dia kemudiannya dibenarkan beraksi di Valencia selepas ujian PCR pada Khamis dan Jumaat mendapati negatif.

Bagaimanapun, dia gagal menamatkan aksi selepas lima lap susulan masalah mekanikal.

Kini, Rossi berdepan satu lagi berita buruk apabila disahkan positif Covid-19 dalam ujian pada Selasa.

Seperti minggu sebelumnya, Rossi perlu menjalani ujian kedua sebelum dibenarkan beraksi hujung minggu ini.

Sekiranya masih positif, Rossi bakal terlepas aksi terakhirnya bersama pasukan factory Yamaha di Portugal selepas disahkan sertai Petronas SRT bagi musim 2021.

Dalam perkembangan sama, keputusan positif Rossi mencetuskan persoalan tentang keberkesanan ujian PCR dan sama ada dia benar-benar bebas Covid-19 sewaktu dibenarkan beraksi di GP Eropah minggu lalu.

Karier Andrea Iannone di pentas MotoGP, seakan menemui penghujung apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan pelumba itu yang sebelum ini digantung susulan gagal ujian doping.

Iannone memfailkan rayuan kepada CAS susulan FIM mengenakan penggantungan 18 bulan terhadap pelumba Aprilia itu selepas didapatif positif bahan terlarang (Drostanolone) dalam ujian rambang yang dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada November 2019.

*Iannone gagal ujian doping sewatu di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu.

Bagaimanapun, CAS telah menolak rayuan pelumba berusia 31 tahun itu dan bertindak memanjangkan tempoh penggantungan sehingga empat tahun selepas melakukan semakan semula bahan bukti di samping mengambil kira saranan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

CAS turut memutuskan bahawa keputusan perlumbaan Iannone yang direkodkan dari 1 November 2019 turut terbatal.

Sementara itu, CAS turut memaklumkan bahawa pihak Iannone gagal mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan awalnya berkenaan dengan memakan makanan yang telah dicemar dengan bahan terlarang.

Keputusan CAS ini bermakna Aprilia perlu mencari pelumba pengganti bagi musim 2021.

Pendahulu kejuaraan MotoGP, Joan Mir mengambil pendekatan rendah diri dalam merebut kejuaraan musim 2020.

Suzuki mula menampakan persaingan serius sejak musmim lalu dengan Alex Rins berjaya merekodkan dua kemenangan sementara Mir mengutip 92 mata untuk menamatkan musim 2019 di kedudukan ke-12.

Memasuki musim 2020 dengan berbaki dua pusingan, Mir kini berjaya menempatkan dirinya sebagai pendahulu kejuaraan.

*Mir memenangi GP Eropah diikuti rakan sepasukan Alex Rins dan Pol Espargaro

Siapa sangka walaupun gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sebanyak dua kali di awal musim, dia kini selangkah untuk merekodkan kejuaraan dunia sulung dalam kariernya.

“Saya rasa kami telah membuktikan bahawa tekanan perlumbaan bukan satu perlumbaan bagi kami.

“Bukan bermakna tekanan itu tiada tetapi kami sentiasa memberikan fokus terhadap apa yang kami lakukan.

“Di penghujung hari, ini adalah kerja kami jadi tekanan sebenar itu tiada,” jelasnya.

Bagi Mir, tekanan sebenar adalah mereka yang sedang bergelut dengan kehidupan di luar MotoGP apatah lagi sewaktu dunia sedang dilanda wabak Covid-19.

“Tekanan sebenar adalah mereka yang tidak mampu nak bayar sewa rumah dan memberi makan kepada keluarga terutamanya dalam situasi sekarang.

“Setiap kali saya ditanyakan soalan mengenai tekanan, bagi saya tekanan itu tiada. Ini adalah tugas saya dan saya mampu melakukannya. Saya dikira bertuah,” tambahnya.

Mir juga tidak menunjukkan keterujaan yang melampau selepas memenangi GP Eropah baru-baru ini di samping selesa mendahului kejuaraan dunia dengan 162 mata.

Joan Mir semakin menghampiri kejuaraan dunia selepas merekodkan kemenangan di GP Eropah, hari ini.

Ini merupakan kemenangan pertama pelumba Suzuki Ecstar itu selepas 12 pusingan.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan, Alex Rins sekaligus melengkapkan podium satu dua bagi pasukan Suzuki sejak 1982 di GP Jerman.

Sementara wakil Red Bull KTM, Pol Espargaro berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga meskipun bermula di petak pertama selepas mengungguli sesi kelayakan semalam.

Rins terlebih dahulu berjaya menempatkan diri selaku pendahulu perlumbaan selepas memintas Espargaro bagaimanapun sewaktu perlumbaan lap 17, Mir yang berada di belakang berjaya membuat pintas di Selekoh 7 (Turn 7) selepas Rins tersasar.

Mir kini mendahului kejuaraan dunia dengan 162 mata diikuti Fabio Quartararo dengan 125 mata, berkongsi mata sama dengan Rins dengan perlumbaan berbaki dua pusingan lagi seandainya GP Portugal masih diteruskan.

Mir dilihat selangkah untuk merangkul kejuaraan dunia pertama tatkala pencabar terdekat, Fabio Quartararo sekali lagi gagal memberi sebarang saingan kali ini.

Kejayaan Mir dan Rins membuktikan Suzuki kini kembali lebih hebat di kelas premier.

Dalam perkembangan sama, pelumba Jepun, Takaaki Nakagami berjaya memperbaiki aksi untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas gagal menamatkan aksi sewaktu di Aragon, dua minggu lalu.

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

Pelumba Red Bull KTM, Pol Espargaro bakal memulakan aksi di litar Ricardo Tormo di petak pertama esok selepas mengungguli sesi kelayakan, hari ini.

Espargaro berjaya melakar masa terpantas pada lap ke 8 dari sembilan lap dengan catatan masa 1 minit 40.434 saat.

Sementara itu, wakil Suzuki Ecstar, meneruskan prestasi cemerlang apabila berjaya merekodkan petak kedua dengan catatan masa 1 minit 40.475s diikuti wakil LCR Honda, Takaaki Nakagami di petak ketiga dengan 1 minit 40.530s.

Nakagami merekodkan masa terpantas sewaktu di GP Liqui Moly de Teruel dua minggu lalu namun gagal menamatkan aksi di hari perlumbaan ekoran kemalangan.

Kejayaan bermula di barisan pertama di GP Eropah esok seakan menjadi peluang kedua buat pelumba Jepun itu untuk merekodkan mata penting bagi memperbaiki kedudukan di carta kejuaraan dunia.

Sementara itu, wakil Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo gagal menempatkan diri di kelompok lima terbaik apabila terpaksa berpuas hati dengan petak ke-11.

Keputuan itu pastinya memberi kelegaan buat pendahulu kejuaran dunia, Joan Mir yang akan bermula di kedudukan ke-5, dibelakang Johann Zarco yang muncul pelumba terpantas bagi Ducati (Avintia).

Mir ketika ini mendahului kejuaraan dunia dengan 137 mata, 14 mata dihadapan Quartararo.

Valentino Rossi mengakui berasa terkilan apabila ujian Covid-19 terbaru dilakukan masih lagi menghadirkan keputusan positif.

Juara dunia sembila kali itu terlepas dua perlumbaan di Aragon apabila didapati positif Covid-19.

Bagaimanapun, perancangannya untuk kembali di Valencia hujung minggu ini terpaksa dibatalkan susulan keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan semalam masih lagi positif.

Menurut peraturan FIM, setiap pelumba perlu merekodkan dua keputusan negatif dalam tempoh 48 jam.

Menurut Yamaha, tempat Rossi akan diisi dengan pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) GRT Yamaha, Garret Gerloff.

Rossi dalams satu kenyataan menjelaskan situasi semasanya.

“Virus ini cukup kompleks dan serius, pada awalnya saya berasa tidak sihat sebelum kembali cergas beberapa hari selepas itu.

“Situasi ini cukup sukar tetapi inilah dia,” katanya.

Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) telah menyerahkan surat kepada MotoGP bagi meluahkan kekecewaan terhadap beberapa pelumba yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Kekecewaan itu dibuat susulan terdapat segelintir pelumba yang pulang ke rumah di antara minggu pertama dan kedua di Litar Aragon (GP Aragon dan GP Teruel).

MotoGP tidak berkompromi dalam melaksanakan pencegahan Covid-19 musim ini antaranya mengurangkan jumlah kakitangan di paddock, menjalankan ujian kerap dan sistem ‘bubble’ bagi menyekat interaksi di antara pelumba dan kakitangan lain.

Antara SOP yang ditetapkan (terutamanya membabitkan perlumbaan berturut-turut) adalah Dorna mengarahkan semua pelumba untuk hanya berada di perkarangan litar dan hotel bagi dua minggu berturut-turut semasa di Aragon.

Pelumba dan semua kakitangan tidak dibenarkan melakukan perjalanan luar dari ‘bubble’ tersebut kecuali atas faktor urusan penting.

Bagaimanapun, beberapa pelumba telah melanggar SOP ketat itu antaranya termasuklah Valentino Rossi yang terlepas kedua-dua aksi di Aragon.

*Rossi langgar protokol dengan pulang ke rumah di Itali

Rossi telah didapati positif Covid-19 selepas pulang ke rumah di Itali dari Le Mans.

Manakala, pelumba Moto3, Tony Arbalino perlu menjalani kuarantin tatkala dikesan duduk rapat dengan individu yang didapati positif Covid-19 sewaktu dalam penerbangan pulang ke Itali.

*Arbalino terpaksa menjalani kuarantin susulan ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19

Senario ini sekaligus memaksa IRTA bersama-sama Dorna menghantar surat kepada semua pelumba bagi menyatakan kebimbangan mereka terhadap pelumba yang melanggar SOP tersebut.

“Selepas mengambil kira semua faktor, paddock MotoGP dilabel sebagai kawasan yang menawarkan risiko jangkitan Covid-19 paling minimum.

“Risiko terbesar hadir daripada individu yang dijangkiti Covid-19 semasa di rumah atau sewaktu dalam perjalanan.

“Kami mendapati terdapat beberapa individu yang melanggar prosedur ini. Ada juga gambar memaparkan kakitangan mearikan kejayaan pelumba tanpa mengenakan pelindung muka.

“Tolong jangan memperjudikan perkembangan musim ini,” antara isi kandungan surat dikeluarkan IRTA bersama Dorna.

Franco Morbidelli merekodkan kemenangan kedua musim ini selepas mengungguli GP Teruel.

Ini kejayaan kedua pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT) itu musim ini selepas merekodkan kemenangan pertama musim ini di Misano, September lalu.

Kejayaan Morbidelli menyaksikan dia kini menduduki tempat keempat kejuaraan dunia, dengan 112 mata dan hanya dipisahkan 11 mata di belakang rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-8.

Tempat kedua dan ketiga didominasi pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins dan Joan Mir.

Keputusan ini turut menyaksikan Mir terus mendahului kejuaraan dunia MotoGP dengan 137 mata meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-12.

Sementara itu, Takaaki Nakagami yang memulakan aksi di petak pertama selepas melakar masa terpantas ketika sesi kelayakan, berputih mata apabila mengalami kemalangan sebaik perlumbaan bermula.

Ini merupakan kali pertama pelumba LCR Honda itu tidak mengutip sebarang mata selepas tidak pernah gagal menduduki kelompok 10 terbaik dalam 10 pusingan sebelum ini.

*Alex Marquez alami kemalangan

Nasib malang turut menimpa pelumba Repsol Honda, Alex Marquez selepas merekodkan dua tempat kedua berturut-turut sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Fabio Quartararo perlu bangkit pada pusingan seterusnya di Litar Circuit Ricardo Tormo pada 8 November ini bagi menghidupkan peluang merampas kedudukan selaku pendahulu.

Takaaki Nakagami akan terus kekal bersama LCR Honda di MotoGP untuk beberapa tahun akan datang selepas menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan itu.

Pelumba Jepun itu menampilkan persembahan terbaiknya setakat ini apabila hanya dipisahkan 29 mata dibelakang pendahulu kejuaraan, Joan Mir.

Meskipun beraksi dengan jentera RC213V 2019 – jentera sama yang bantu kejuaraan dunia Marc Marquez di Repsol Honda musim lalu – dia masih mampu memberi saingan sengit apatah lagi tidak pernah gagal menduduki kelompok 10 terbaik selepas 10 pusingan setakat ini.

*Takaaki Nakagami beraksi dengan jentera RC213V 2019

LCR mengharapkan pelumba berusia 28 tahun itu diberikan jentera terkini bagi saingan musim 2021 tatkala dia mendahului pelumba Honda lain.

Bagaimanapun, Honda Racing Corporation (HRC) dalam kenyataan tidak mendedahkan jentera apa yang akan digunakan musim depan di samping berapa tahun kontrak yang ditawarkan.

“Saya gembira untuk terus beraksi bersama LCR Honda Idemitsu untuk tahun 2021 dan seterusnya,” jelas Nakagami.

Nakagami akan digandingkan dengan Alex Marquez di LCR Honda musim depan yang akan beraksi dengan jentera terkini.

*Alex Marquez sertai LCR Honda musim 2021

(Alex) Marquez menggantikan Cal Crutchlow yang didakwa akan sertai Aprilia pada 2021 sekiranya penggantungan Andrea Iannone terus berjalan.

Prinsipal pasukan PETRONAS Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, memahami kecaman yang dilontarkan terhadapnya susulan pasukan itu menyingkirkan Khairul Idham Pawi musim depan.

*Khairul Idham Pawi

Karier KIP bersama PETRONAS Sprinta Moto3 berakhir hujung musim ini selepas pasukan itu tidak bercadang menawarkan kontrak sambungan.

Bagaimanapun, Razlan bingkas dihujani kecaman tatkala rata-rata mempersoal objektif PETRONAS SRT yang sepatutnya mengutamakan pembangunan pelumba tempatan.

*Khairul Idham Pawi bersama John McPhee

Apatah lagi apabila seorang lagi pelumba tempatan, Hafizh Syahrin yang beraksi di Moto2 turut sama akan meninggalkan kelas itu susulan digantikan pelumba Moto3, Albert Arenas, musim depan.

Menurut Razlan, dia memahami kritikan yang dilontarkan terhadapnya.

*Prinspial PETRONAS SRT, Datuk Razlan Razali

“Saya faham kekecewaan dan kecaman daripada orang ramai. Pasukan Malaysia tapi tiada pelumba tempatan.

“Saya terima kritikan itu dan saya membaca semua maklum balas daripada mereka. Tapi kita perlukan pelumba yang boleh memberikan saingan kompetitif.

“Saya harap peminat bersabar,” jelasnya kepada Harian Metro.

Sementara itu, PETRONAS memiliki tiga pelumba tempatan yang sedang beraksi di CEV, Adam Norrodin, Syarifuddin Azman dan Muhammad Shahrul Ezwan Shahril.

Namun, Razlan menegaskan pihaknya enggan tergesa-gesa dalam menawarkan kontrak MotoGP.

*Khairul Idham Pawi

“Untuk membentuk seorang pelumba memerlukan masa. Mereka akan beraksi di Kejohanan Dunia bila sampai masanya. Saya tidak mahu membawa mereka kerana terdesak, saya mahu mereka benar-benar bersedia untuk memberikan cabaran bersaing di peringkat lebih besar,” tambahnya.

Pada masa sama, Razlan menjelaskan PETRONAS SRT telah memberikan peluang kepada KIP untuk pamer peningkatan sebelum ini.

“Sebagai pasukan profesional, kita ada sasaran. Sasaran yang diletakkan kepada KIP bukan tinggi.

“Kami faham situasinya. Kami bertolak ansur dengan sasaran daripada kelompok 15 terbaik ke kelompok 20 terbaik sehinggalah kami memberitahunya jangan sehingga tercorot.

“Ketika pelumba lain pamer peningkatan, pelumba tempatan kita tidak. Maka kami sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi,” kata Razlan.

Bagaimanapun, Razlan tetap memberikan talian hayat kepada pelumba berusia 22 tahun itu untuk kembali beraksi di Kejuaraan Eropah FIM CEV namun dengan syarat KIP perlu pamer peningkatan dalam baki empat aksi di Moto3 musim ini. – HM

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube