Bikesrepublic

MotoGP

Pelumba Avintia Ducati, Johann Zarco mengakui jangkaannya meleset apabila menyangka mampu merekodkan catatan masa lebih pantas ketika ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

SIC merupakan platform sulung Zarco dalam menguji jentera Avintia selepas tidak terlibat dalam aksi ujian di Valencia dan Jerez, November lalu.

Zarco mendakwa senario dilepaskan KTM lebih awal di samping masa pendek ketika bersama LCR Honda menjejaskan aksi sulungnya.

“Saya mengharapkan keputusan yang lebih baik, pada awalnya saya menyangka akan merekodkan masa yang lebih pantas.

“Tetapi banyak perkara yang saya pelajari selepas 54 lap. Saya perlu bertenang dan cuba memahami jentera Ducati dengan lebih baik,” jelasnya.

Zarco bergelut ketika bersama KTM sehingga bekas pasukannya itu menyifatkan moral pelumba itu memberi kesan negatif terhadap seluruh pasukan.

Bagaimanapun, dia kini menegaskan Ducati memberi sokongan penuh terhadap dirinya.

“Saya banyak mendapat sokongan dari Ducati, mereka benar-benar mengambil info penting dari saya. Pada masa sama, mereka juga memberitahu saya untuk mengambil masa dalam menyesuaikan diri,” tambahnya.

Hari kedua ujian pra-musim Winter Test bersambung hari ini.

(SUMBER: Motorsport)

Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli bersama-sama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) mendedahkan livery baharu bagi musim 2020, semalam.

Bagaimanapun, rata-rata telah pun mula membayangkan pelumba muda Perancis itu mengenakan racing suit dan jentera Factory Yamaha tahun depan.

Quartararo disahkan menjadi gandingan baharu Maverick Vinales di Yamaha bermula 2021 sekaligus menggantikan Valentino Rossi.

Namun, dia menafikan statusnya selaku pengganti lagenda MotoGP itu.

“Saya bukan menggantikan Valentino (Rossi). Pertamanya, saya belum lagi bersama pasukan itu dan dia masih belum bersara.

“Tetapi saya rasa, saya telah melakukan tugas yang baik untuk mendapat tempat tersebut, tidak lebih dari itu,” jelasnya.

Quartararo bakal membuktikan kemampuan sebenarnya musim ini apabila diberikan jentera YZR-M1 dengan spesifikasi factory di ujian pra-musim Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang membuka tirai hari ini.

(SUMBER: GPOne)

Alex Rins dan Joan Mir bersama-sama Suzuki Ecstar melancarkan livery dan jentera baharu bagi menghadapi saingan MotoGP musim 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Rins dan Mir bakal turun untuk ujian pra-musim bersama GSX-RR 2020 di SIC esok hingga Ahad ini.

Jentera GSX-RR kini ditampilkan dengan gabungan warna biru dan perak yang diinspirasikan daripada Suzuki RM62 yang menyumbang kejuaraan dunia pertama bersama Ernst Degner pada kejuaraan dunia 50cc 1962.

Rins dan Mir sekali lagi menjadi tonggak pasukan musim ini tatkala Suzuki bercadang meneruskan rentak musim lalu.

Pada 2019, Rins merekodkan dua kemenangan – GP Amerika dan GP Britain – di samping berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan.

Sementara Mir mempamerkan tunggangan memberangsangkan untuk menamatkan musim lalu dikedudukan ke-12 keseluruhan meskipun terlepas aksi di Austria dan Britain susulan kecederaan.

Bagi musim ini, Suzuki mahu merapatkan jurang dengan pesaing lain dengan mempertingkatkan prestasi dan kelajuan jentera.

Masa depan Andrea Iannone di MotoGP masih lagi tergantung tatkala Mahkamah Disiplin Antarabangsa FIM masih belum membuat keputusan melibatkan kes gagal ujian doping pelumba terbabit.

Iannone didapati positif penggunaan bahan terlarang ketika ujian doping rambang yang dijalankan terhadapnya di GP Malaysia tahun lalu.

Meskipun menyifatkan keputusan itu mengejutkan, ujian sample B pelumba terbabit turut didapati positif walaupun kandungan bahan terbabit berkurangan.

Bagaimanapun, Iannone tidak akan dibenarkan melibatkan diri dengan sebarang aktiviti perlumbaan sehingga keputusan akhir dibuat berhubung kesnya.

Menurut laporan motorsport.com, keputusan sebutan kes Iannone akan dibuat dalam tempoh 10 hari.

Difahamkan, pihak pembelaan Iannone mencadangkan bahawa tiada kesan penggunaan bahan terlarang jenis steroid didapati ketika melakukan ujian terhadap sampel rambut pelumba itu.

Mereka sebaliknya mendakwa makanan diambil Iannone telah dicemari dengan bahan terlarang terbabit.

Berdasarkan senario semasa, Iannone tidak akan mengambil bahagian dalam ujian pra-musim Aprilia di Litar Antarabangsa Sepang bermula 7 hingga 9 Februari ini.

(SUMBER: Motorsport.com)

Franco Morbidelli

Ketika Dato’ Razlan Razali merekrut Franco Morbidelli bagi pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), dia dilihat sebagai masa depan baharu MotoGP dan Yamaha.

Bagaimanapun, ketika tahun 2019 sepatutnya menjadi milik Morbidelli, sebaliknya yang berlaku apabila pelumba berusia 25 tahun itu tenggelam di sebalik bayang-bayang rakan sepasukan, Fabio Quartararo, yang lima tahun lebih muda.

Fabio Quartararo

Meskipun mendapat jentera YZR-M1 dengan spesifikasi kelas A berbanding kelas B yang diguna pakai Quartararo, Morbidelli gagal memberi saingan malah dibezakan 77 mata dengan rakan sepasukannya di akhir musim 2019.

Quartararo merekodkan tujuh podium dan enam petak pertama di samping menamatkan musim lalu dikedudukan kelima keseluruhan.

Pernah diangkat sebagai ‘pengganti’ Valentino Rossi, lagenda MotoGP itu turut melabelkan Morbidelli sebagai protege yang mampu menggugat kedudukannya musim lalu.

Valentino Rossi

“Dia menunjukkan aksi yang mantap ketika penampilan pertama bersama jentera Yamaha. Saya yakin tahun depan dia mampu memberi saingan.

“Dia cukup gemar dengan Yamaha, kerana jentera ini mesra penunggang,” katanya dalam satu temubual bersama Autosport pada 2018.

Memasuki tahun 2020, tugas berat menanti Morbidelli apatah lagi Quartararo disahkan akan ke pasukan factory Yamaha bergandingan dengan Maverick Vinales pada 2021.

Persoalannya, apakah nasib Morbidelli?

Jika Rossi membuat keputusan untuk bersara hujung musim 2020 bersama Yamaha, kedudukan Morbidelli di Petronas SRT mungkin terselamat namun jika Rossi memutuskan untuk kekal semusim lagi di MotoGP, Petronas Yamaha SRT menjadi destinasi paling relevan.

Luca Marini

Tambahan pula, terdapat desas-desus Luca Marini daripada SKY Racing Team VR46 Moto2 mungkin akan ke Petronas Yamaha bagi musim 2021.

Tidak hairan jika bagi 2021, Petronas Yamaha mempertaruhkan Rossi-Marini.

Melainkan, Morbidelli membuka diari 2020 dengan prestasi meyakinkan sepertimana dilakukan Quartararo musim lalu.

Peluang pertama Morbidelli akan hadir ketika ujian pra-musim rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 7 hingga 9 Februari ini.

Sumber: Aprilia

Sempena ujian pra-musim rasmi ‘Winter Test’ yang akan membuka tirai pada 7 Februari ini, Aprilia mendedahkan jentera RS-GP 2020 ketika sesi ujian awal di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

RS-GP 2020 bakal menjalani sesi ujian awal di SIC pada 2-4 Februari sebelum ujian pra-musim rasmi berjalan pada 7 hingga 9 Februari ini.

Sumber: Aprilia

Menariknya, jentera ini turut memaparkan nama kesemua lelaki dan wanita daripada Noale Racing Department.

Perubahan paling ketara berada di sebalik fairing dengan enjin V4 90 darjah serba baharu di samping tampil lebih aerodinamik dan ringan di tambah dengan dua winglet di bahagian depan.

Sumber: Aprilia

 

Jentera RS-GP 2020 ini akan menerjah SIC menerusi dua pelumba, Aleix Espargaro dan Bradley Smith.

Jorge Lorenzo, yang mengumumkan persaraan dari MotoGP musim lalu, akan kembali ke litar bagi musim 2020 selaku penunggang uji rasmi Yamaha.

Jentera YZR-M1 bukan asing buat Lorenzo yang sebelum ini merekodkan tiga kejuaraan dunia ketika bersama Yamaha dari 2008 hingga 2016 sebelum sertai Ducati dan kemudiannya bersama Honda musim lalu.

Pengalaman semusim bersama jentera RC213V ternyata memberi kesan terhadap karier Lorenzo yang bergelut dengan aksi konsisten dan kecederaan.

Pelumba berusia 32 tahun itu akan beraksi bersama jentera M1 seawal ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, Februari ini.

Pengurus Yamaha, Lin Jarvis, mendedahkan pihaknya telah pun mendekati Lorenzo sebaik dia membuat keputusan bersara.

“Sebaik kami tahu dia akan bersara, kami terus membuat keputusan untuk mengambilnya menjadi penunggang uji kami.

“Pencapaian yang dilakar sembilan tahun bersama kami sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Dia seorang pelumba yang berpengalaman dan biasa dengan jentera M1,” jelasnya.

(SUMBER: Motorsport.com)

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

Yamaha mengesahkan pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo, akan digandingkan bersama Maverick Vinales bermula musim 2021, menggantikan Valentino Rossi.

Perkara itu disahkan sendiri pengurus pasukan Yamaha, Lin Jarvis.

“Kami teruja kerana Fabio (Quartararo) akan menyertai Yamaha Factory Racing MotoGP bagi musim 2021 hingga 2022.

“Keputusan yang dilakar dalam musim pertamanya di MotoGP cukup memberangsangkan. Enam petak pertama dan tujuh podium bagi musim 2019 membuktikan kemampuannya dalam berlumba.

“Menjemputnya untuk sertai Yamaha Factory Racing Team selepas kontraknya tamat bersama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) merupakan langkah relevan,” jelasnya.

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

Difahamkan, Yamaha akan memberi bantuan sepenuhnya terhadap Quartararo bermula musim 2020 menerusi jentera Yamaha M1 terkini serta sokongan lain.

“Dia baru berusia 20 tahun tetapi sudah memaparkan kematangan di atas dan luar litar.

“Fabio (Quartararo) dan Maverick (Vinales) akan menyuntik semangat baharu dalam pasukan Yamaha Factory Racing Team terutamanya dalam membangunkan YZR-M1 sekaligus menghadirkan kejuaraan dunia MotoGP,” tambah Jarvis.

(SUMBER: Motorsport.com)

Maverick Vinales

Maverick Vinales menamatkan desas-desus mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha.

Kontrak baharu itu sekaligus menyaksikan pelumba Sepanyol itu akan kekal bersama Monster Energy Yamaha sehingga musim 2022.

Pelumba berusia 25 tahun itu muncul nama besar pertama untuk menoktahkan komitmen sehingga dua tahun berbanding pelumba lain yang akan tamat kontrak hujung tahun ini.

Senario ini menyaksikan Yamaha masih mempunyai satu slot kosong bagi musim 2021, sekiranya Valentino Rossi membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya hujung musim ini.

Pada masa sama, pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo, turut disebut-sebut sebagai pasangan baharu Vinales bermula musim 2021, sekiranya tidak dipancing pasukan lain.

Marc Marquez

Dalam perkembangan lain, pertahan juara MotoGP, Marc Marquez, belum cukup bersedia untuk menghadapi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang bermula 7 hingga 9 Februari ini.

Ini kerana pelumba Repsol Honda itu masih lagi dalam proses pemulihan daripada kecederaan bahu yang dialaminya musim lalu.

Menurutnya, dia kini hanya 60 hingga 70 peratus bersedia untuk memulakan kempen ujian pra-musim.

“Bagi ujian di Malaysia, persediaan saya mungkin hanya 60 peratus tetapi sasaran utama adalah untuk bersedia 100 peratus ketika ujian pra-musim di Qatar,” jelasnya.

(SUMBER: Crash.net)

Demikian pendapat disuarakan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli.

“Valentino suka berlumba tetapi pada masa sama dia juga mahu merebut kedudukan teratas. Dia tidak akan berlumba sekiranya sering menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan atau kesepuluh.

“Musim 2019 tidak seperti yang semua harapkan tetapi jika dia gagal melakukannya musim ini, mungkin dia akan berhenti,” jelas Morbidelli dalam satu wawancara bersama Moto Revue.

Sumber: Valeyellow46 @ Instagram

Kenyataan Morbidelli berasas kerana dia cukup mengenali Rossi apatah lagi lahir daripada akademi pelumba VR46.

Menurut Morbidelli, musim 2020 bakal menjadi penentu masa depan The Doctor terutamanya perlumbaan di peringkat awal.

(SUMBER: GP One)

 

Sekumpulan peminat cilik MotoGP di Indonesia telah mencipta semula aksi perlumbaan dua roda popular dunia itu di sebuah ladang kelapa sawit.

Menggunakan apa yang ada, kanak-kanak ini berjaya ‘menghidupkan’ suasana ala MotoGP terutamanya ketika sebelum perlumbaan dengan kehadiran ‘gadis’ litar memegang payung daripada daun pisang.

Saksikan perlumbaan terbabit di bawah:

Apa yang mencuri perhatian, ketika perlumbaan ada diantara mereka yang berhenti untuk mendapatkan aiskrim!

Ditambah pula dengan ulasan daripada perlumbaan MotoGP sebenar, video berdurasi lebih 4 minit itu ternyata menghiburkan.

Insiden ‘pelanggaran’ ikonik di antara Marc Marquez dan Valentino Rossi turut dimainkan semula!

Sumber: ARRC

Bekas pelumba MotoGP, Anthony West, melabelkan FIM sebagai korup selepas dia dituduh melanggar penggantungan doping oleh badan permotoran dunia itu.

Dia turut mendakwa juara dunia semasa MotoGP, Marc Marquez dan Valentino Rossi sering kali melakukan penipuan bagi merebut kejuaraan dunia.

Segala luahan itu dilakukan menerusi akaun Facebook miliknya:

West bergelut dengan kariernya di litar lumba susulan digantung FIM pada September 2018 ekoran gagal ujian doping buat kali kedua dalam kariernya.

Meskipun digantung, dia membuat keputusan beraksi di Kejohanan Superbike Brazil kerana mempercayai saingan itu tidak berada di bawah kuasa FIM.

Bagaimanapun, dia kemudiannya mendapat amaran dari pihak FIM yang memaklumkan bahawa dia telah melanggar penggantungan yang telah ditetapkan apabila berlumba dengan pasukan Kawasaki Brazil.

Dia turut dipanggil untuk menghadiri FIM International Disciplinary Court bagi menjelaskan tindakannya di samping digesa untuk tidak menyertai sebarang perlumbaan lain sehingga kesnya dibincangkan.

Berang dengan tindakan ini, West kemudiannya menyelar FIM sebagai badan yang korup kerana ‘mereka’ peraturan sendiri agar dia tidak dapat beraksi.

Bukan itu sahaja, dia turut menuduh FIM membenarkan Marquez untuk menjuarai Kejuaraan Moto2 Dunia dengan bantuan ECU khas sementara kejuaraan dunia 500GP Rossi dibantu dengan tayar khas.

Menurut perkongsian di Facebook, West turut menegaskan dia kini mahu bersara daripada arena perlumbaan.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube