Bikesrepublic

MotoGP

Pelumba Repsol Honda, Jorge Lorenzo telah mengadakan sidang media mengejut bagi mengumumkan keputusannya untuk bersara, hari ini.

Tiga kali juara dunia MotoGP itu, mengumumkan keputusan tersebut sambil ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpelta menjelang GP Valencia, perlumbaan penutup tirai MotoGP musim ini.

Meskipun kontrak bersama Honda hanya akan berakhir 2021 namun prestasi terumbang-ambing musim ini memberi kesan mendalam terhadap kariernya.

Pelumba berusia 32 tahun itu memulakan karier pada 2002 dan sehingga kini telah pun merekodkan lima kejuaraan dan 68 kemenangan merentas semua kelas perlumbaan.

Ketika ini timbul dakwaan bahawa tempat Lorenzo bakal diisi bekas pelumba Redbull KTM MotoGP, Johan Zarco, yang ketika ini menggantikan Takaaki Nakagami di LCR Honda susulan kecederaan.

Arena perlumbaan Moto2 musim 2020 bertambah rancak dengan satu lagi penyertaan wakil negara, Kasma Danial Kasmayuddin.

Pelumba muda itu disahkan menyertai pasukan ONEXOX TKKR SAG untuk saingan Moto2 musim depan.

Laporan tersebut dikongsikan sendiri pasukan ONXOX menerusi tkkr.my semalam.

Senario ini menjadikan pelumba berusia 19 tahun itu sebagai wakil ketiga negara yang akan beraksi di pentas tertinggi kejohanan motosikal dunia bagi musim 2020.

Kasma mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tetsuta Nagashima yang dikatakan bakal menyertai Red Bull KTM Ajo.

Beraksi di pentas tertinggi bukan perkara baharu buat Kasma apabila dia turut membuat penampilan sulung di saingan CEV Moto2 bersama pasukan Dynavolt Intac SIC Junior Racing tahun ini di samping bersaing di Asian Road Racing Championship (ARRC) kategori Supersport 600cc.

Dia bakal beraksi bersama Hafizh Syahrin yang telah pun disahkan menyertai pasukan Angel Nieto di Moto2 musim depan.

(SUMBER: Corsedimoto)


Meskipun terdapat ura-ura yang mengatakan Honda CBR1000RR Fireblade akan muncul dengan enjin V4 sepertimana yang terdapat pada jentera RC213V namun model baharu itu masih mengekalkan enjin empat in-line bagi 2020.

Bagaimanapun, jentera baharu ini difahamkan lahir menerusi kerjasama rapat dengan Honda Racing Corporation (HRC).

Jentera baharu ini menghasilkan 217hp pada 14,500rpm dan 113Nm pada 12,500rpm lebih tinggi berbanding model SP sedia ada.

Bagi memastikan prestasi enjin kekal efisien, Honda mendakwa telah menggunakan aspek teknikal yang terdapat pada jentera MotoGP mereka.

Pada masa sama, model baharu ini lebih besar berbanding model terdahulu namun dengan bantuan HRC, setiap bahagian piston adalah 5 peratus lebih ringan.

Menariknya, bagi memastikan suhu enjin terkawal, penggunaan sistem multi-point dan multi-directional semburan minyak hanya beroperasi ketika berada dalam rpm tinggi. Apabila berada rpm rendah, saluran minyak ditutup bagi memastikan tekanan minyak berada di tahap optimum.

Sementara itu, penggunaan kerangka aluminium dan swingarm yang lebih panjang diinspirasikan daripada rekaan RC213V-S.

Model standard menggunakan fork Big Piston (BPF) Showa 43mm dan penyerap hentakan belakang Showa Balance Free Rear Cushion Light (BFRC-L) boleh laras) serta kaliper brek empat piston oleh Nissin manakala versi SP menggunakan fork depan Ohlins NPX 43mm dan Ohlins Object Based Tuning generasi kedua bagi mengawal tetapan depan dan belakang.

Versi SP turut mengguna pakai kaliper brek Brembo Stylema empat piston sementara model standard didatangkan dengan kaliper brek Nissin.

Sistem aerodinamik yang terdapat pada jentera MotoGP Honda turut dipinjamkan ke Fireblade baharu dengan penggunaan winglet.

Nak tahu lebih lanjut mengenai jentera baharu ini? Mungkin Marc Marquez boleh jelaskan.

 

Pengunjung yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan perlumbaan Shell Malaysia MotoGP 2019 semalam disajikan dengan aksi bertumbuk yang berlaku di pintu masuk ke Grandstand.

Saksikan video tersebut dibawah:

Video berdurasi 23 saat yang dikongsikan Laman Facebook Sukan Star TV terbabit memaparkan seorang lelaki berbaju hitam cuba menendang petugas pintu memakai ves biru.

Bagaimanapun, dia kemudiannya bertindak menumbuk petugas tersebut sebelum sempat berlalu pergi.

Ketika ini tiada maklumat mengenai punca kejadian tersebut berlaku namun terdapat dakwaan lelaki berbaju hitam tersebut cuba memasuki kawasan Grandstand untuk menyaksikan upacara podium dengan menggunakan tiket untuk kawasan tempat duduk lain.

Difahamkan, lelaki tersebut telah pun ditahan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, kelengkapan perlumbaan milik pasukan Moto2 Angel Nieto dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Kedua-dua insiden ini ternyata mengaibkan imej Malaysia di mata dunia apatah lagi Litar Antarabangsa Sepang menerima kunjungan ribuan pelancong luar negara.

Baru-baru ini Malaysia diaibkan dengan kes kecurian di tapak pasukan Moto2, Angel Nieto di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Beberapa alat ganti antaranya fork depan dan belakang, kaliper brek dan peralatan lain telah dicuri sehingga memaksa Angel Nieto meminjam peralatan pasukan lain.

Bagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, tiga pegawai keselamatan telah pun ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah mengesahkan tangkapan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun itu.

Difahamkan, ketiga-tiga pekerja keselamatan terbabit bertugas di lokasi kejadian namun pihak polis masih menyiasat rakaman CCTV untuk mendapatkan butiran lanjut.

(SUMBER: Sinar Harian)

Sumber: MotoGP

Meskipun kehangatan merebut kejuaraan MotoGP telah pun berakhir di GP Thailand yang menyaksikan Marc Marquez merekodkan kejuaraan keenam MotoGP namun senario itu tidak memadam keterujaan di Shell Malaysia MotoGP, hari ini.

Pelumba Yamaha, Maverick Vinales berjaya melakar kemenangan kedua musim ini selepas memintas Jack Miller seawal lap pertama untuk terus mendominasi perlumbaan sehingga ke lap terakhir.

Sumber: MotoGP

Sementara Marquez, yang bermula di petak ke-11 susulan kemalangan di pusingan kelayakan, berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua manakala wakil Ducati, Andrea Dovizioso ketiga.

Malang untuk wakil Petronas Yamaha, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli – yang bermula di petak pertama dan ketiga – apabila terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tujuh dan keenam.

Meskipun tidak mampu mengulangi kejayaan di Litar Philip Island, minggu lalu namun Marquez tetap puas hati dengan prestasinya.

Sumber: Repsol Honda Team

“Lap pertama cukup mengagumkan, bukan hanya untuk saya malah untuk Dovi, kami memulakan perlumbaan dengan baik untuk menempatkan diri di kedudukan lima terbaik.

“Kemudian saya cuba mengejar Vinales dan mengharapkan dapat mengulangi senario di GP Australia tetapi selepas dua pusingan dia berada terlalu jauh didepan.

“Sukar untuk merapatkan jurang apabila dia berjaya memecut selaju itu,” ujar Marquez.

Setelah mengesahkan kejuaraan musim ini, Marquez dan Respol Honda akan cuba mengejar defisit dua mata dibelakang Ducati dalam perebutan kejuaraan pasukan terbaik 2019.

Ada pelbagai perkara yang boleh mencemarkan nama negara dan salah satunya kes kecurian yang menimpa pasukan Moto2 Angel Nieto di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Menurut laporan Lalasport, antara peralatan yang telah dicuri melibatkan kaliper brek, set fork depan dan penyerap hentakan belakang serta komputer riba.

Bagaimanapun, menurut pengurus pasukan Angel Nieto, Gino Borsoi, komponen bagi jentera Moto2 tidak diusik.

Menyedari musibah yang menimpa Angel Nieto, pasukan Sky VR46 telah menghulurkan bantuan dengan meminjamkan beberapa komponen yang telah hilang.

Ketika ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak SIC.

Angel Nieto merupakan destinasi 2020 bagi pelumba negara, Hafizh Syahrin, tahun depan.

Pelumba Ducati MotoGP, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci meriahkan sesi ‘meet & greet’ di Shell KLIA yang turut dihadiri pemilik Ducati, hari ini.

 

Meskipun berdepan kepadatan jadual namun kedua-dua pelumba itu masih sempat meluangkan masa bersama peminat dengan sesi tandatangan dan bergambar.

Kehadiran kedua pelumba bintang itu membuatkan Shell KLIA dibanjiri lautan merah.

Kedua-duanya akan beraksi di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini bagi menebus kehampaan gagal menaiki podium di Philip Island, baru-baru ini.

Shell Malaysia MotoGP akan berlangsung esok hingga 3 November ini.

Menjelang perlumbaan MotoGP Malaysia yang akan berlangsung 1 hingga 3 November ini, tourism Malaysia bersama-sama pelumba MotoGP telah mengadakan sesi ‘Meet & Greet’ yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), hari ini.

Antara pelumba bintang yang hadir adalah, Franco Morbidelli, Adam Norrodin, John McPhee, Ayumu Sasaki, Brad Binder, Jorge Martin, Can Oncu, Remy Gardner, Tetsuta Nagashima dan Khairul Idham Pawi.

Para peminat yang hadir turut berpeluang mendapatkan tandatangan daripada pelumba pujaan masing-masing.

Acara tersebut turut disaksikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

“Tourism Malaysia amat sukacita untuk memberi sokongan terhadap perlumbaan MotoGP atas faktor memiliki daya penarik terbaik bagi pelancong seluruh dunia.

“Kehadiran penonton MotoGP juga telah melebihi 1.81 juta sejak diadakan pada 1999 hingga 2018,” jelas Datuk Musa.

Sesi ‘Meet & Greet’ turut menyaksikan beberapa booth dibuka antaranya oleh HJC, Royal Enfield dan Tourism Malaysia.

Meskipun sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19 di GP Jepun, semalam, namun Hafizh Syahrin tetap mencuri tumpuan apabila membantu menunda juara MotoGP, Marc Marquez.

Marquez – yang turut menjuarai perlumbaan di Litar Motegi itu – mengalami masalah enjin sebaik menamatkan perlumbaan.

Saksikan rakaman di bawah:

Hafizh kemudiannya menghulurkan bantuan dengan menunda juara dunia enam kali itu.

Marquez mendominasi GP Jepun dengan catatan masa 32 minit 41.492 saat diikuti Fabio Quartararo dan Andrea Dovizisio, ketiga.

Bagaimanapun, aksi Hafizh di akhir perlumbaan terus mendapat pujian dari netizen.

Rakyat Malaysia bakal mendapat peluang untuk menyaksikan pelumba negara itu di Litar Antarabangsa Sepang, November depan untuk pusingan kedua terakhir MotoGP.

 

Sumber: LCR_Team @ Twitter

Bekas pelumba KTM, Johan Zarco, mengakui peluang untuk menjadi ‘test ride’ untuk Yamaha telah tutup selepas dia menerima tawaran untuk menggantikan Takaaki Nakagami di LCR Honda.

Zarco bakal mewakili Honda untuk baki tiga perlumbaan MotoGP musim ini selepas pelumba Jepun itu perlu direhatkan untuk menjalani proses pemulihan dari kecederaan.

Pelumba Perancis itu sebelum ini telah pun mengadakan perbincangan dengan Yamaha namun menerima tawaran Honda untuk menggantikan Nakagami.

Zarco akui menyedari menerima tawaran Honda bermakna dia menutup peluang untuk menjadi penunggang uji Yamaha.

“Peluang itu sudah tutup. Honda dan Yamaha mempunyai pesaingan sengit. Saya telah bercakap kepada dua belah pihak sebelum membuat keputusan ini.

“Saya memilih untuk menjadi pelumba LCR Honda untuk baki tiga perlumbaan ini,”jelasnya.

Sementara itu, Zarco tidak gusar untuk menggantikan Nakagami meskipun menyedari RC213V memiliki reputasi sebagai jentera yang sukar untuk dijinakkan.

“Mereka memanggil saya bukan untuk memenangi tiga perlumbaan ini tetapi kerana saya sahaja yang ada kelapangan.

“Bagi saya, jika saya tidak dapat menggunakan jentera ini dengan efisien, ini bermakna saya tiada tempat di MotoGP.

“Mereka berikan saya tiga peluang jadi saya akan berikan segalanya. Saya mengambil risiko besar meninggalkan KTM,” tambahnya.

(SUMBER: Motorsport.com)

Menyedari kehangatan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semakin dirasai, Rapid KL akan menawarkan perkhidmatan bas perantara khas bagi para peminat.

Bas perantara berkenaan akan ditempatkan di tiga lokasi strategik, stesen KL Sentral, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hab bas Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Menurut laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tiket bas terbabit telah pun dijual bermula semalam di stesen LRT KL Sentral, KLCC, Masjid Jamek dan Pasar Seni.

“Pada hari acara dari 1 hingga 3 Nov, peminat boleh membeli tiket bas ini di Hab Pengangkutan KLIA2 di tingkat 1 dari 8 pagi hingga 1 pagi,” jelasnya.

Berikut senarai harga tiket bagi bas perantara khas ke MotoGP:

  • Perjalanan sehala dari KLCC dan KL Sentral – RM20
  • Perjalanan pergi balik dari KLCC dan KL Sentral – RM35
  • Perjalanan sehala dari KLIA2 – RM12

(SUMBER: Bernama)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube