Bikesrepublic

MotoGP

Pelumba negara, Hafizh Syahrin baru-baru ini disahkan bakal mewakili pasukan Angel Nieto di saingan Moto2 musim depan.

Dia terpaksa turun dari kelas premier musim ini tatkala tempatnya di KTM Tech3 akan diisi Brad Binder bagi musim 2020.

Bagaimanapun, di Angel Nieto, Hafizh tidak akan menerima sebarang bayaran gaji dan hanya akan menerima insentif sekiranya berjaya menempatkan dirinya dikelompok depan.

Menyedari perkara ini, Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membuat keputusan untuk menyalurkan dana kepada pelumba berusia 25 tahun itu menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sumber: MalayMail.com

Namun, KBS menjangkakan dana tersebut tidak mencukupi untuk membantu Hafizh bagi sepanjang musim depan sekaligus menggesa pihak swasta menyuntik dana terhadap pelumba itu.

“KBS dan SIC adakan perbincangan dan kami memang akan tampung peruntukan yang agak besar bagi penyertaannya, namun masih tidak cukup. Ia tidak boleh hanya kerajaan, sektor korporat juga perlu membantu.

“Saya pun sudah berkali-kali berjumpa dengan pihak Petronas, mereka ada sampaikan pendapat mereka, saya tetap perlu menghormati Petronas sebagai penaja terbesar kita dalam permotoran.

“Cuma sekarang saya tengah cari jalan terbaik untuk membina ‘jambatan kukuh’ di antara Petronas dan Hafizh. Kita tahu apa berlaku pada masa silam tetapi kita perlu bergerak ke hadapan,” jelasnya.

(SUMBER: Bernama)

Pelumba ikon MotoGP, Valentino Rossi mengakui tidak akan terkejut sekiranya Marc Marquez berjaya merekodkan sembilan kejuaraan dunia dalam kariernya.

Marquez mengesahkan kejuaraan MotoGP buat kali keenam di kelas premier selepas muncul juara di GP Thailand, baru-baru ini.

Dia kini memiliki rekod lapan kejuaraan termasuk satu kejuaraan dunia bagi segmen 125cc dan Moto2.

Kejayaan Marquez turut menerima pujian Rossi dan menjangkakan pelumba berusia 26 tahun itu akan memintas statusnya selaku pemegang sembilan kejuaraan dunia.

“Saya jangka Marquez mampu mengatasi rekod saya tetapi pada masa sama saya juga mahu memohon maaf kerana mensia-siakan beberapa peluang untuk muncul juara selepas itu.

“Tetapi Marquez menyebabkan saya hilang satu peluang untuk muncul juara buat kali ke-10,” jelas Rossi merujuk kepada musim 2015 yang berakhir dengan kontroversi.

Dalam perkembangan sama, Marquez enggan menafikan peluang untuk mengejar rekod 15 kejuaraan milik Giacomo Agostini.

15 Tailandia GP 3, 4, 5 y 6 de octubre de 2019, circuito de Chang, Tailandia
Motogp, MGP, Mgp, MotoGP

“Kami amat rapat dan saya pernah mendengar kenyataan ini sebelum ini. Saya enggan mengatakan senario itu 100 peratus mustahil tetapi rekod itu amat sukar untuk dikejar.

“Saya perlu memenangi dua kali ganda daripada kejuaraan yang saya lakar ketika ini. Saya tidak obses untuk mengejar nama sebaliknya keutamaan saya adalah menikmati perlumbaan tersebut,” tambahnya.

Sumber: Jake Dixon @ Twitter

Selang 24 jam selepas Hafizh Syahrin sah menjadi pelumba Angel Nieto di Moto2 musim depan, bekas pelumba pasukan itu, Jake Dixon, pula disahkan menjadi tonggak baharu Petronas Sprinta bagi tahun 2020.

Dixon bakal digandingkan dengan Xavi Vierge tatkala pasukan Petronas Sprinta memasuki musim ketiga di segmen Moto2.

Musim 2019 merupakan penampilan sulung Dixon di kelas Moto2 selepas meraih tempat kedua di Kejohanan Superbike Britain 2018.

Perlumba berusia 23 tahun itu dijangka akan mendapat peluang merasai jentera pasukan baharunya itu sebaik musim 2019 berakhir.

“Saya amat teruja untuk menyertai Petronas Sprinta Racing. Pasukan ini cukup hebat, buktiknya kejayaan yang mereka capai dalam kelas MotoGP dan Moto3.

“Peluang ini amat besar untuk saya jadi saya akan berikan segala-galanya menuju musim depan meskipun musim 2019 sangat mencabar.

“Ketika ini masih tiada sasaran diletakkan tetapi saya yakin segalanya akan ditentukan selepas sesi ujian nanti,” jelas Dixon.

Sementara itu, pengurus pasukan, Dato Razlan Razali menyifatkan Dixon sebagai pelumba yang tepat untuk memperkuat pasukan.

“Kami menjangkakan keputusan yang baik musim depan depan di Moto2 kerana dia berjaya muncul juara dalam aksi sulung di Kejuaraan Superbike Britain pada 2017 sebelum muncul tempat kedua dalam musim berikutnya.

“Kami teruja kerana untuk pertama kalinya akan mempertaruhkan dua pelumba di Moto2 musim depan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafizh Syahrin mengisi kekosongan ditinggalkan Jake Dixon di Angel Nieto bagi saingan Moto2 musim depan.

Pelumba negara itu mengesahkan sertai pasukan baharu bagi tahun 2020 tatkala kontraknya bersama KTM Tech3 tidak lagi disambung selepas pasukan satelit itu memilih Brad Binder sebagai pengganti.

Bagaimanapun, Hafizh difahamkan tidak akan menerima sebarang pembayaran gaji sebaliknya ditawarkan insentif sekiranya berjaya melakar keputusan memberangsangkan musim depan.

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez menyifatkan gaya tunggangan Fabio Quartararo bersama Petronas Yamaha mengingatkannya kepada Jorge Lorenzo.

Lorenzo menjadi pesaing Marquez ketika menyertai Yamaha pada 2013 dan berjaya meraih tiga kejuaraan dunia di kelas premier termasuk pada 2015 apabila dia berjaya menewaskan wakil Honda itu.

Seperti Lorenzo, Quartararo turut gemar memasuki selekoh dengan kelajuan tinggi.

Marquez meraih kejuaraan dunia buat kali keenam di kelas premier semalam apabila berjaya mengetepikan cabaran Quartararo di selekoh terakhir dalam perlumbaan ke garisan penamat.

Bagaimanapun, Marquez akui kagum dengan persembahan pelumba berusia 20 tahun itu meskipun ini adalah musim pertamanya di kelas premier.

“Fabio menunggang Yamaha dengan cara yang cukup bagus. Dia mengingatkan saya kepada Jorge Lorenzo ketika bersama Yamaha.

“Hari ini (semalam), dia berlumba dengan baik, dia sangat laju di sepanjang perlumbaan tetapi kami memiliki enjin yang lebih laju tetapi di bahagian selekoh, jentera Quartararo mempunyai cengkaman yang lebih baik.

“Saya yakin dia akan menjadi antara pencabar utama kejuaraan musim depan,” katanya.

(SUMBER: Crash.net)

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, mengesahkan kejuaraan dunia kali kelapan – enam di kelas premier – selepas berjaya mengetepikan saingan Fabio Quartararo di GP Thailand, hari ini.

Musim 2019 menampilkan aksi paling mantap oleh Marquez apabila berjaya merekodkan 14 podium dan sembilan kemenangan sekaligus muncul juara meskipun kalendar MotoGP masih berbaki empat perlumbaan – Jepun, Australia, Malaysia dan Valencia.

Pencapaian ini turut menyaksikan Marquez menyamai rekod enam kejuaraan di kelas premier dipegang Mick Doohan dan hanya satu dibelakang Valentino Rossi dan dua di belakang Giacomo Agostini.

Dia turut muncul pelumba keempat selepas  Rossi, Doohan dan Agostini untuk merekodkan empat kejuaraan berturut-turut.

Pelumba Petronas SRT,  Fabio Quartararo, terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua tatkala tidak mampu mengekang asakan Marquez.

Bagaimanapun, pelumba berusia 20 tahun itu perlu berbangga dengan pencapaiannya musim ini apabila hanya dibezakan dua mata daripada Rossi untuk menduduki tempat ketujuh di carta kejuaraan musim ini.

Pengurus Petronas SRT, Dato Razlan Razali,t mengakui pernah dihujani kritikan susulan memilih Quartararo bagaimanapun pencapaian pelumba muda itu ternyata menutup mulut pengkritik.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Maverick Vinales dari pasukan Yamaha.

 

 

Selepas aksi di Mugello, Jorge Lorenzo telah terbang ke ibu pejabat Honda di Jepun bagi mencari jalan terbaik untuk mencapai keserasian dengan jentera RC213V.

Bagaimanapun, dia kemudiannya terlepas empat aksi perlumbaan susulan kemalangan di Assen.

Aksi terumbang-ambing bersama Honda musim ini mula menimbulkan desas-desus bahawa Lorenzo telah menghubungi Ducati dan Petronas Yamaha dalam percubaan untuk meninggalkan pasukannya.

Namun, segala khabar angin itu terkubur apabila dia membuat keputusan untuk menghormati kontrak dua tahun bersama Honda sekaligus akan kekal sehingga musim 2020.

Tatkala rakan sepasukan, Marc Marquez, menampilkan aksi mantap di setiap litar, Lorenzo gagal menamatkan saingan di kedudukan lebih baik daripada tempat ke-14 dalam tiga perlumbaan berturut-turut.

Meskipun terbukti Honda menghasilkan jentera lebih berkuasa musim ini menerusi dominasi Marquez, Lorenzo pula menyatakan bahawa penambahbaikan yang dilakukan terhadap bahagian enjin membuatkan jentera musim ini lebih teruk.

Bagaimanapun, dia mengharapkan Honda akan ‘memperbaiki’ aspek tersebut menjelang musim 2020.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Pengarah Teknikal, Takeo Yokoyama dan amat jelas disebabkan mengejar kuasa yang lebih tinggi telah memberi kesan terhadap prestasi jentera ketika melalui selekoh.

“Tetapi Marc (Marquez) berjaya menggunakan kelebihan ini sehingga senario di selekoh tidak memberi kesan terhadap prestasinya.

“Ketika saya menguji jentera ini di Jerez, saya dapat mengesan sesuatu ketika melalui selekoh tetapi ketika itu sudah lambat untuk membuat perubahan drastik.

“Kita semua tahu Marc ada gaya tunggangan yang cukup agresif jadi prestasi jentera sedia ada ketika ini amat sesuai dengan gayanya,” jelas Lorenzo.

Aksi MotoGP akan kembali bersambung di GP Thailand, 6 Oktober ini.

(SUMBER: Motorsport.com)

Jake Dixon bakal menggalas cabaran di saingan Moto2 musim depan bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.

Menurut laporan Crash.net, pelumba berusia 23 tahun itu akan digandingkan dengan Xavi Vierge sekaligus menyaksikan Khairul Idham Pawi bakal kembali ke Moto3 dan bersaing bersama John McPhee.

Difahamkan, Dixon telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Angel Nieto tahun lalu namun pasukan itu menjelaskan bahawa kontrak tersebut adalah ‘satu (tahun) tambah satu (tahun).

Hakikat itu menyebabkan Dixon dan pengurusnya mengadakan perbincangan dengan Petronas Sprinta untuk mengesahkan tempatnya bersama pasukan baharu bagi musim depan.

Sementara itu, senario ini sedikit sebanyak menjelaskan bahawa Hafizh Syahrin tidak akan kembali menyertai Petronas Sprinta di Moto2.

Sebelum ini, Hafizh dikaitkan dengan Petronas Sprinta tatkala namanya disenaraikan bersama Xavi Vierge dalam satu senarai pelumba Moto2 bagi musim 2020 yang dikongsikan motorsport.com.

Bagaimanapun, kini timbul dakwaan bahawa pelumba negara itu bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Dixon di Angel Nieto, musim depan.

(SUMBER: Crash.net)

Pelumba Honda, Marc Marquez, menampilkan aksi mantap sebaik perlumbaan bermula apabila kekal di kedudukan pertama sehingga ke pusingan akhir.

Sementara tempat kedua dan ketikga menjadi milik wakil Ducati, Andrea Dovizioso dan Jack Miller.

Marquez menoktahkan kemenangan sebaik perlumbaan bermula apabila tiada cabaran yang berjaya ditampilkan pesaing lain.

Pelumba Sepanyol itu menamatkan saingan dengan catatan masa 41 minit 57.221 saat sekaligus mengesahkan kemenangan kelapan musim ini.

Keputusan tersebut turut menyaksikan Marquez menerajui kejuaraan musim ini dengan perbezaan 98 mata daripada pencabar terdekat, Dovizioso.

Sementara itu, wakil tunggal negara, Hafizh Syahrin sekadar menamatkan perlumbaan di tempat terakhir.

Dalam perkembangan lain, saingan Moto2 menyaksikan wakil Red Bull KTM Ajo, Brad Binder muncul juara selepas mengetepikan cabaran Jorge Navarro (kedua) dan Alex Marquez (ketiga).

Manakala, kelas Moto3 berjaya dimenangi Aron Canet daripada Sterilgarda Max Racing Team diikuti Ai Ogura kedua dan Dennis Foggia, ketiga.

Aksi MotoGP bakal bersambung pada 6 Oktober depan di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

Sumber: Jorge Lorenzo @ Twitter

Jorge Lorenzo menafikan dia bakal meninggalkan pasukan MotoGP Honda sepertimana yang dilakukan Johann Zarco terhadap KTM.

Meskipun mengakui tidak gembira di Honda namun Lorenzo enggan membuat keputusan drastik seperti Zarco yang menamatkan kontrak dua tahun bersama KTM bulan lalu.

Zarco turut kehilangan tempatnya untuk baki saingan musim ini apabila digantikan dengan Mika Kallio.

Lorenzo turut mengalami nasib sama sejak menyertai Honda dengan tiga kali juara dunia itu gagal menamatkan kedudukan di kelompok 10 terbaik tahun ini tatkala bergelut dengan jentera RC213V.

Senario tersebut turut menimbulkan khabar angin bahawa dia bakal kembali ke Ducati bersama Pramac sebelum mengesahkan akan menghormati kontrak dua tahunnya bersama Honda.

Ketika aksi kelayakan GP Aragon semalam, Lorenzo sekadar menduduki tempat ke-20.

Sumber: Jorge Lorenzo @ Twitter

Menurut Autosport, Lorenzo berkata,”Hakikatnya saya tidak gembira dengan masa saya di sini berbanding ketika saya menjuarai perlumbaan bersama Yamaha atau tahun lalu ketika bersama Ducati.

“Tetapi ketika ini, saya tidak akan berputus asa.

“Saya ada kontrak dua tahun bersama Honda, buat masa ini saya akan cuba penuhi komitmen itu dan perbaiki aksi perlumbaan.”

Dalam perkembangan sama, Lorenzo menyifatkan Zarco membuat keputusan yang berani namun percaya tindakan itu mungkin akan memakan dirinya.

“Dia telah membuat keputusan yang berani, dan kita perlu menghormati keputusan itu. Tetapi sama ada tindakan itu bijak atau tidak. Saya tidak tahu,” tambah Lorenzo.

Perlumbaan GP Aragon akan berlangsung hari ini.

Sumber: Miguel Oliveira @ Twitter

Keputusan mengejut oleh Johann Zarco untuk meninggalkan pasukan KTM hujung musim ini mencetuskan persoalan, siapa yang bakal menjadi penggantinya bagi musim 2020?

Tatkala rata-rata pelumba lain telah pun terikat, timbul dakwaan bahawa slot Zarco akan diisi pelumba muda Tech3, Miguel Oliveira.

Pelumba Portugal itu tampak sebagai calon terbaik apatah lagi secara tidak langsung memiliki kontrak bersama KTM di Tech3.

Bagaimanapun, sekiranya senario itu direalisasikan pastinya akan memeningkan kepada pengurus Tech3, Herve Poncharal, yang tidak sabar menyaksikan gandingan Oliveira dan Bradn Binder musim depan.

“Saya sangat teruja dan bangga kerana kami memiliki gandingan terbaik bagi musim depan.

“Miguel (Oliveira) seorang pelumba yang hebat. Saya sudah mengenalinya untuk beberapa tahun dan dia seorang yang baik.

“Keputusan yang dilakar di Austria cukup membanggakan kerana meskipun tidak mendapat pakej yang mantap dia masih mampu mencatat keputusan baik. Saya anggap dia sebagai seorang hero.

“Miguel dan Brad (Binder) pernah sepasukan sebelum ini tetapi saya dapat berasakan saingan sengit bakal ditampilkan kedua-dua pelumba ini.

“Ketika saya sedang membayangan segala kemungkinan yang boleh dicapai dengan gandingan Miguel dan Brad tiba-tiba boom! Zarco membuat pengumuman mengejutkan itu!” jelas Poncharal.

Poncharal telah ditanyakan tentang masa depan Oliveira berkali-kali dan ketika ini soalan itu merupakan pertanyaan wajib di setiap sidang media.

Bagaimanapun, dia boleh menarik nafas lega takala pengurus KTM, Stefan Peirer, juga tidak bercadang untuk ‘mencuri’ Oliveira dari Tech3.

“Saya mahu Miguel (Oliveira) kekal disini tetapi banyak perkara boleh berubah menuju November.

“Kalau boleh saya mahu Miguel dan Brad bergandingan musim depan tetapi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas perbincangan,” tambahnya.

Terdahulu, Oliveira akui dia tertarik untuk berhijrah ke KTM seandainya peluang itu hadir.

(SUMBER: Crash.net)

Adam Norrodin bakal mengisi tempat Khairul Idham Pawi di Petronas Sprinta Racing Moto2 bagi perlumbaan di San Marino minggu depan.

Khairul Idham Pawi masih lagi dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan tangan yang serius.

Berdasarkan portfolio, Norrodin bukanlah nama asing bagi Petronas Sprinta tatkala pernah mewakili pasukan itu di saingan Moto3 pada tahun 2016-2018.

Bagaimanapun, aksi sulung Norrodin di Litar Antarabangsa Misano minggu depan bakal menyaksikan pelumba berusia 21 tahun itu merasai buat kali pertama keupayaan enjin Triumph.

Sementara itu, pengurus pasukan, Dato Razlan Razali menyifatkan pemilihan Norrodin tepat dengan objektif pasukan dalam membentuk pelumba tempatan berkeupayaan tinggi.

“Salah satu objektif utama kami adalah melahirkan bakat muda dikalangan pelumba tempatan. Tatkala Khairul Idham Pawi masih lagi dalam tempoh pemulihan, kami berasakan Adam Norrodin layak diberi peluang untuk mencuba kelas Moto2 di peringkat tinggi.

“Kami telah menggunakan khidmat pelumba berpengalaman bagi menggantikan Pawi jadi kami telah mendapat pelbagai maklum balas dari mereka.

“Peluang ini amat penting bagi membantu Adam dalam meningkatkan lagi perkembangannya,” ujar Razlan..

Sejak KTM  Tech3 mengumumkan Brad Binder akan ambil alih tempat Hafizh Syahrin, desas-desus mengenai masa depan pelumba negara itu terus bertiup kencang.

Pelumba berusia 25 tahun itu sendiri mengakui telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan di Moto2 tatkala kontraknya bersama Tech3 tidak lagi di sambung bagi musim 2020.

Sementara itu, keputusan mengejutkan daripada Johann Zarco yang mahu meninggalkan pasukan itu hujung musim ini turut mencetuskan spekulasi bahawa Tech3 akan menawarkan slot tersebut kepada Hafizh untuk digandingkan bersama Binder dengan pelumba kelahiran Selangor itu sendiri mengakui berharap dapat kekal di kelas premier MotoGP.

Bagaimanapun, timbul dakwaan baharu bahawa Hafizh akan kembali ke pangkuan Dato Razlan Razali dengan menyertai Petronas Sprinta di Moto2 berdasarkan senarai pelumba Moto2 bagi musim 2020 yang telah dikongsikan motorsport.com.

Merujuk kepada senarai tersebut, Hafizh bakal bergandingan dengan Xavi Vierge bagi musim 2020.

Vierge meninggalkan Marc VDS bagi membuka ruang kepada Sam Lowes menjadi pasangan baharu Alex Marquez.

(SUMBER: Motorsport.com)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube