Bikesrepublic

MotoGP

Siapa sangka Petronas Sepang Racing Team (SRT) mampu melakar nama di pentas MotoGP sejak membuat keputusan untuk naik ke kelas premier bersama Yamaha setahun yang lalu.

Kini pasukan yang mempertaruhkan Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli itu berjaya menempah nama sebagai antara pasukan yang paling mencuri tumpuan apabila telah pun mengutip 161 mata – Quartararo (92 mata), Morbidelli (69 mata) – setakat ini.

Pengurus pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) di saingan MotoGP, Dato Razlan Razali akui terkejut dengan keputusan yang dipaparkan pasukannya apatah lagi perlumbaan masih berbaki tujuh pusingan.

“Kami langsung tidak menjangka akan berada dalam kedudukan ini seleas 12 pusingan. Pada awalnya, kami mensasarkan kedudukan enam terbaik bagi Franky (Morbidelli) sementara Fabio (Quartararo) akan muncul pelumba muda terbaik.

“Tetapi kami tidak menyangka mereka mampu mencapai tahap ini, jadi kami sangat gembira,” jelas Razlan.

Razlan juga tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terhadap prestasi semasa Quaratararo meskipun pada satu ketika ramai yang mempersoal tindakan Petronas SRT mengambil pelumba muda dari Perancis itu.

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

“Kejutan terbesar tahun ini datangnya dari Quartararo. Ketika kami mengumumkan dia sebagai pelumba kedua, ramai yang bercakap kami telah membuat pilihan yang salah tetapi dia berjaya membuktikan sebaliknya.

“Dia sememangnya pelumba yang berbakat,” ulas Razlan lagi.

Sementara itu, Razlan turut berasa bangga dengan prestasi Petronas SRT dalam ketiga-tiga kelas – MotoGP, Moto2 dan Moto3.

“Pasukan Moto3 telah wujud sejak 2015 sementara Moto2 baru memasuki usia setahun. Meskipun kedua-dua pasukan ini berdepan pelbagai cabaran namun mereka masih mampu mengekalkan keserasian sebagai satu pasukan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami bangga kerana wujudnya sebuah pasukan MotoGP Malaysia. Secara tidak langsung menjadikan kami duta Malaysia yang bangga kerana dapat berkongsi kenyataan ini di serata dunia. Saya bangga dapat mewakili negara di padok,” katanya.

 

Pada masa sama, Razlan akui ramai pihak seakan cuba mengorek rahsia kejayaan Petronas SRT di saingan MotoGP namun dia menjelaskan kejayaan ini bukanlah satu magis malah ia hasil daripada pengalaman yang ditawarkan beberapa individu penting.

“Setiap individu menawarkan pengalaman serta sumbangan maksimum kepada pasukan. Sebagai contoh, Johan Stigefelt pakar dalam menguruskan perihal logistik sementara Wilco Zeelenberg memiliki banyak pengalaman di pentas MotoGP dan Yamaha.

“Setiap individu memainkan peranan dengan baik dan kami sentiasa berkomunikasi bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Mungkin itulah rahsia kami.”

Serentak dengan itu, Razlan tidak sabar untuk menyaksikan Petronas SRT MotoGP beraksi buat julung kalinya di Sepang di samping mahu pasukan menampilkan aksi mantap di Moto2 dan Moto3.

“Ini merupakan aksi sulung Petronas SRT beraksi di laman sendiri sebagai pasukan MotoGP. Kami menjangkakan kedua-dua pelumba menampilkan aksi baik dan jika (Khairul Idham) Pawi sempat kembali di Moto2, saya yakin dia juga mampu melakar keputusan cemerlang.

“Kami telah pun menjangkakan seramai 200,000 kunjungan pengunjung di Sepang dan 150,000 akan memenuhi hari perlumbaan. Kami tidak sabar untuk beraksi,” tambahnya lagi.

Sumber: Itsbrucemclaren @ Pinterest

Bagi generasi baharu, nama MODENAS mungkin dianggap sebagai jaguh kampung tetapi bagi mereka yang tahu, MODENAS pernah melakar nama buat sementara waktu di arena MotoGP.

Jentera yang dicanang itu bernama Modenas KR3 – sebelum bertukar nama ke Proton KR3.

Bagaimana segalanya bermula?

Pada 1997, Kenny Roberts – bekas juara tiga kali MotoGP – meninggalkan Malboro Yamaha Racing Team selaku pengurus pasukan dan mula mengusahakan jentera sendiri, sebuah motosikal V3 (tiga silinder) yang memiliki saiz umpama sebuah jentera 250cc.

Kenny Roberts memulakan saingan di MotoGP bersama pasukan Team KR namun bergelut tatkala pasukan lain menggunakan enjin 4 silinder sebaris, Team KR menaruh harapan terhadap enjin 2 lejang 4 silinder.

Bagaimanapun, King Kenny mengekalkan keyakinan bahawa kejuruteraan yang diguna pakai mampu memberi saingan namun dia kemudiannya berdepan masalah kewangan.

Masalah tersebut membawa kepada penjodohan di antara King Kenny dan Modenas, sebuah syarikat motosikal berpangkalan di Gurun, Kedah.

Meskipun dianggap ‘mentah’ namun Modenas mampu menawarkan bantuan kewangan dan fasiliti penyelidikan menerusi seliaan Kawasaki, dua faktor yang dicari-cari King Kenny.

Enjin V3 498cc Taruhan Modenas – Team KR

Kisah dua dunia berbeza bermula, dan hasilnya gabungan ini menghasilkan enjin 2 lejang tiga silinder 498cc.

Sumber: Itsbrucemclaren @ Pinterest

Sepelik gabungan Kenny Roberts dan Modenas, pelik lagi pilihan enjin yang digunakan. Namun dengan segala pengalaman dimiliki, Kenny yakin enjin ‘pelik’ itu mampu mencabar dominasi jentera Jepun yang mengguna pakai enjin 500cc 4 silinder.

Meskipun atas kertas enjin pasukan Modenas – Team KR dilihat kurang bisa – 160hp – Kenny turut mempertaruhkan aerodinamik dan casis yang ringan.

Kerjasama Dengan Lotus Dan TWR

Selain daripada Modenas, Team KR turut mendapat suntikan kepakaran daripada Lotus yang menawarkan bantuan casis dan Prancis Tom Walkinshaw Racing (TWR).

Sumber: Itsbrucemclaren @ Pinterest

Percaya atau tidak disebabkan enjin diguna pakai adalah kecil, Modenas-Team KR berjaya menghasilkan casis yang ringan dan nipis sekaligus membawa kepada penampilan pertama di saingan MotoGP dengan dua pelumba, Kenny Robert Jr dan Jean Michel Bayle.

Modenas Undur Diri

Nasib tidak menyebelahi Modenas-Team KR apabila mereka gagal merekodkan sebarang keputusan memberangsangkan dan menjelang tahun 2000, Modenas membuat keputusan untuk undur diri.

Proton Team KR

Pada 2001, sewaktu Team KR tinggal nyawa-nyawa ikan, Proton – pengeluar kereta nasional yang tidak pernah menghasilkan sebarang kenderaan dua roda sehingga kini – ambil alih Team KR.

Sumber: blog.motorcycle.com

Bagaimanapun, projek KR3 hanya bertahan hingga 2002 apabila kelas premier 500cc beralih ke penggunaan jentera 1000cc 4 silinder tetapi FIM membenarkan motosikal dua lejang untuk bertanding buat kali terakhir dan Proton KR3 yang ditunggangi Jeremy McWilliams berjaya menempah petak pertama di GP Australia ketika sesi kelayakan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.

Meskipun Modenas KR3 gagal merekodkan sebarang kemenangan namun jenama motosikal nasional itu berjaya diukir dalam sejarah MotoGP.

Apa pun, diharapkan nama Modenas akan kembali menyinari sukan permotoran antarabangsa.

Modenas Tarik Nafas Baharu

Sejak meninggalkan arena MotoGP, Modenas memberikan fokus sepenuhnya terhadap pembinaan motosikal kapcai mampu milik antaranya Kriss, Dinamik, X-Cite, CT110 dan sebagainya.

Namun Modenas seakan mendapat suntikan baharu apabila kembali bangkit dengan beberapa jentera yang lebih besar antaranya Pulsar NS200, RS200 dan Dominar D400.

Meskipun dijenamakan semula daripada Bajaj namun ia sedikit sebanyak menandakan langkah baharu bagi pengeluar motosikal nasional itu.

Apatah lagi dengan pelancaran Power Store MODENAS pertama di Sunsuria Avenue, Kota Damansara baru-baru ini yang juga merupakan kedai konsep pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Mungkinlah ada projek yang lebih besar berlaku hasil daripada kerjasama Modenas-Bajaj ini di masa akan datang?

Tiada yang menjangkakan kerjasama Modenas dan Team KR akan membawa kepada penyertaan pertama Modenas di arena MotoGP jadi tidak hairan jika kerjasama Modenas dan Bajaj mampu membawa kepada senario yang sama impaknya.

Sumber: MotoGP.com

Pelumba Petronas Yamaha, Fabio Quartararo mendakwa kemalangan yang menimpanya berlaku daripada kesilapan Alex Rins yanng memintasnya di selekoh pertama.

Quartararo mengalami insiden ‘highside’ lalu terbabas yang turut menyaksikan jenteranya dilanggar Andrea Dovizioso.

Dovizioso terpaksa dikejarkan ke hospital susulan mengalami hilang ingatan sementara apabila mengalami hentakan kuat susulan perlanggaran tersebut.

Quartararo kemudiannya menjelaskan bahawa kemalangan tersebut berlaku disebabkan Alex Rins yang hampir hilang kawalan.

Disebabkan mahu mengelak, pelumba Perancis itu telah melepaskan pendikit secara mengejut lalu mencetuskan kejadian ‘highside’. Quartararo menegaskan dia tidak akan terbabas jika Rins tidak melakukan kesilapan itu.

“Rins memintas saya di selekoh pertama tetapi dia mula hilang cengkaman di bahagian tayar belakang jadi saya telah melepaskan pendikit dengan agresif bagi mengelak daripada melanggarnya.

“Nasib saya tidak baik apabila senario itu mencetuskan ‘highside’, katanya menurut Motorsport.com

Sumber: MotoGP @ Twitter

Aksi di Silverstone menyaksikan Rins berjaya merekodkan kemenangan kedua musim ini selepas Austin apabila dia berjaya memintas pendahulu kejuaraan, Marc Marquez di selekoh terakhir.

Tempat ketiga jadi milik pelumba Yamaha, Maverick Vinales sementara rakan sepasukan, Valentino Rossi yang bermula di petak kedua, meraih tempat keempat.

Dalam perkembangan lain, pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi, memaklumkan bahawa Dovizioso telah diterbangkan ke hospital di Coventry untuk menjalani pengimbasan.

“Dia hilang ingatan untuk tempoh 15 hingga 20 minit.

“Dovi turut mengalami kesakitan di pinggul kanan namun doktor mengesahkan tiada sebarang keretakan berlaku.

“Kita tunggu keputusan imbasan tersebut dan diharapkan dia bebas daripada sebarang masalah,” katanya.

Sumber: Valeyellow46 @ Instagram

Valentino Rossi berjaya menempatkan dirinya di kelompok depan buat julung kalinya selepas GP Austiin, April lalu apabila berjaya menduduki petak kedua ketika sesi kelayakan di Silverstone, malam tadi.

Selepas merekodkan aksi hambar sebelum cuti musim panas, Rossi berjaya bangkit dengan tunggangan lebih baik sejak di Brno.

Menurut laporan Crash.net, Rossi akui dia berasa cukup gembira dengan jenteranya.

“Kami telah lakukan yang terbaik ketika sesi ujian bebas dan saya tahu sesi kelayakan kali ini amat penting kerana jika saya mahu menaiki podium, saya perlu memulakan perlumbaan di petak lima terbaik,” jelasnya.

Pada masa sama, Rossi mahu melupakan senario gagal menamatkan perlumbaan di tiga saingan berturut-turut.

“Saya masih kompetitif, ini sangat penting kerana sebelum cuti musim panas kami alami pelbagai masalah. Saya tidak berlumba selaju yang diharapkan, kami agak terumbang-ambing kerana saya gagal mencapai keserasian dengan jentera.

“Tetapi selepas Brno, kami melakukan pelbagai perubahan terhadap jentera saya dan semenjak itu, saya berjaya bangkit,” tambahnya.

Terdahulu, Marc Marquez berjaya menempah petak pertama sementara Jack Miller dan Fabio Quartararo mengisi slot ketiga dan keempat.

(SUMBER: Crash.net)

Sumber: Red Bull KTM @ Twitter

Keputusan Johann Zarco untuk meninggalkan KTM bermakna pintu masih terbuka untuk pelumba negara, Hafizh Syahrin meneruskan karier di kelas premier MotoGP.

Hafizh dijangka turun ke saingan Moto2 selepas tempatnya digantikan oleh Brad Binder bagi musim 2020.

Senario itu membuatkan KTM kekurangan calon untuk menggantikan tempat Zarco namun timbul khabar angin bahawa kekosongan itu akan diisi pelumba satelit KTM Tech3,
Miguel Oliviera.

Seandainya itu berlaku, ini bermakna Brad Binder ketiadaan pasangan berlumba musim depan.

Menurut laporan Crash.net, Hafizh akui dia masih belum mengadakan perbincangan dengan pengurusan Tech3.

“Saya tidak tahu. Buat masa ini saya masih belum bercakap dengan Herve (Poncharal) mengenai perkara ini.

“Keputusan Zarco mengejutkan kami semua tetapi mungkin apa yang diperkatakan dia adalah betul, dia perlu merasai semula keterujaan menunggang motosikal dan cuba menaiki podium.

“Saya tidak mengharapkan perkara ini berlaku tetapi jika mereka (Tech3) mahu saya kekal, sudah tentu saya mahu terus kekal dalam saingan MotoGP.

“Tetapi saya juga mendapat beberapa tawaran di Moto2, buat masa ini saya tidak boleh berkata apa-apa,”jelas Hafizh menjelang aksi di Silverstone.

Hafizh Syahrin kembali cergas sepenuhnya untuk beraksi di litar Silverstone hujung minggu ini setelah mengalami kecederaan gegar otak dan siku di Red Bull Ring sebelum ini.

Hafizh berdepa saat getir dala kariernya apabila dia masih belum mengesahkan masa depannya bagi musim 2020 selepas kehilangan tempat di KTM Tech3 kepada Brad Binder.

Bagaimanapun, susulan insiden di GP Austria, pengurus pasukan Tech3, Herve Poncharal mengakui bimbang dengan keadaan Hafizh.

Menurut laporan Crash.net, Poncharal menyifatkan Hafizh terlalu memaksa dirinya.

“Selepas cuti musim panas, Hafizh tampak sedikit gusar dan terlalu memaksa dirinya untuk berikan yang terbaik.

“Kami akan duduk berbincang dan dia perlu faham bahawa keselamatan dirinya lebih penting,”jelasnya.

Hafizh turut mengharapkan dia dapat kembali lebih baik di Silverstone setelah gagal menamatkan dua perlumbaan sebelum ini.

“Saya harap dapat melakar keputusan lebih baik selepas ini. Saya akan berikan yang terbaik di Silverstone,”katanya.

(SUMBER: Crash.net)

Zarco mengakui dia tidak gembira di KTM dan membuat keputusan untuk berhenti bagi mencari semula “senyuman” yang telah lama hilang.

Sementara itu, Pedrosa turut mengesahkan dia tidak akan kembali ke MotoGP sebagai pengganti Zarco selepas bersara hujung musim lalu dan kini bersama KTM sebagai ‘test rider’.

Dalam perkembangan lain, Valentino Rossi memilih Andrea Dovizioso sebagai pilihan juara musim ini meskipun ketinggalan 58 mata dibelakang pendahulu, Marc Marquez.

Desmo Dovi mempamerkan tunggangan mantap di GP Austria baru-baru ini dan berjaya mengetepikan Marquez di selekoh terakhir untuk muncul juara di litar yang menjadi kegemaran Ducati.

Saingan MotoGP akan kembali minggu depan di litar Silverstone.

Tech3 turut mengikut jejak KTM untuk meninggalkan saingan Moto2 sebaliknya sertai kelas Moto3 bagi musim 2020.

KTM mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada kelas Moto2, Ahad lalu selepas berakhirnya GP Austria.

Tech3 yang menjadi pasukan satelit KTM di MotoGP tahun ini selepas berpisah dengan Yamaha musim lalu telah pun beraksi di Moto2 pada 2010 menggunakan enjin Mistral 610.

Mereka akan meneruskan gandingan di Moto3 bersama KTM dan akan menawarkan dua slot pelumba.

Pengurus Tech3, Herve Poncharal turut menyuarakan sokongan terhadap KTM yang menarik diri daripada Moto2.

“Saya faham dan menyokong keputusan KTM untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap saingan MotoGP dan Moto3.

“Kami berasa bangga kerana dapat mengibar bendera Red Bull KTM dalam kelas Moto3, yang masih asing buat Tech3.

“Bersama KTM, kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang di samping membantu bakat muda yang akan membentuk masa depan baharu di Moto3.

“Fokus kami kini adalah mencari pelumba yang bersesuaian dengan profil kami. Kami akan bersengkang mata beberapa hari ini,” jelasnya.

Keputusan ini sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa pelumba negara, Hafizh Syahrin, tidak akan beraksi di Moto2 bersama Tech3 dan akan sertai pasukan baharu setelah tempatnya digantikan Brad Binder bagi musim 2020 di MotoGP.

Terdahulu, rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco turut membuat keputusan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.

(SUMBER: motorsport.com)

 

Sumber: MotoGP @ Twitter

Pelumba Ducati, Andrea Dozioso muncul juara di GP Austria selepas berjaya memintas pendahulu kejuaraan, Marc Marquez di selekoh terakhir.

Sementara pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo, melengkapkan podium ditempat ketiga selepas berjaya mengetepikan cabaran wakil Yamaha, Valentino Rossi (keempat) dan Maverick Vinales (kelima).

Quartararo berjaya mendahului kelompok depan buat sementara waktu apabila Marquez dan Dovizioso tersasar di selekoh pertama namun mudah dipintas kedua-dua pelumba sejurus selepas itu.

Dovioso menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 39 minit 34.771 saat.

Sumber: MotoGP @ Twitter

Keputusan itu menandakan Red Bull Ring sebagai satu-satunya litar dalam kalendar MotoGP yang masih gagal ditawan Marquez.

Meskipun tidak tergolong dalam perebutan tempat pertama dan kedua, Quartararo menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan untuk merekodkan podium ketiganya musim ini.

Lebih manis, pelumba satelit Yamaha itu berjaya mengetepikan cabaran Rossi dan Vinales.

Marquez kini mendahului kejuaraan dengan 230 mata, 58 mata dihadapan Dovizioso diikuti Danilo Petruci ketiga dengan 136 mata.

Dalam perkembangan lain, Brad Binder berjaya merekodkan kemenangan manis buat KTM dalam aksi Moto2 setelah pengeluar motosikal Austria itu mengumumkan tidak lagi akan beraksi di segmen itu musim depan bagi memberi tumpuan kepada kelas premier.

Tempat kedua dan ketiga jadi milik Alex Marquez dan Jorge Navarro setelah Luca Marini dan Enea Bastini terlibat kemalangan dengan perlumbaan berbaki lima pusingan.

Aksi Moto3 pula menyaksikan pelumba VNE Snipers melengkapkan kemenangan satu dua menerusi Romano Fenati dan Tony Arbolino sementara wakil Petronas SRT, John McPhee melengkapkan podium dengan tempat ketiga.

KTM akan memberikan fokus sepenuhnya kepada saingan MotoGP musim depan apabila membuat keputusan untuk meninggalkan Moto2.

Pengeluar motosikal Austria itu turut menjenamakan semula ke nama Husqvarna bagi kelas Moto3.

Keputusan tersebut dibuat selepas KTM bergelut dalam saingan Moto2 – meskipun Brad Binder berjaya julang KTM di laman sendiri hari ini – apabila beralih ke enjin Triumph.

KTM sebelum ini pernah beraksi di Moto3 di bawah jenama Husqvarna bagi musim 2014 dan 2015 dan berjaya menaiki podium menerusi Danny Kent, namun KTM mengesahkan akan menghasilkan jentera Husqvarna serba baharu musim depan.

Pembubaran KTM di Moto2 memberi ruang kepada mereka untuk memberikan tumpuan sepenuhnya di MotoGP selepas menandatangani kontrak lanjutan lima tahun ( dengan kontrak semasa masih berbaki dua tahun) untuk kekal dalam kelas premier.

“Kami telah membuat keputusan proaktif untuk kekal komited dalam saingan MotoGP untuk tempoh lima tahun lagi.

“Kami kini ada tujuh tahun untuk muncul sebagai pasukan tonggak di MotoGP, tempoh sama yang kami gunakan untuk memulakan dominasi di Rali Dakar,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, Stefan Pierer.

Jorge Lorenzo tidak akan sertai Pramac Ducati bagi musim 2020 sebaliknya akan menghabiskan baki kontrak dengan Honda.

Motorsport.com melaporkan pelumba Sepanyol itu telah bertemu dengan pengurus pasukan, Alberti Puig semalam dan menyuarakan niatnya untuk kekal di Honda selepas khabar angin mengaitkannya kembali ke Ducati.

Keputusan itu sekaligus membuka peluang kepada pelumba Pramac Ducati, Jack Miller untuk kekal bersama pasukan itu tatkala pembaharuan kontraknya ditangguhkan sebelum ini.

Sebelum ini, Puig menegaskan Lorenzo harus menghormati kontrak dua tahun ditandatanganinya musim ini namun pada masa sama meminta juara dunia tiga kali itu membuat keputusan mengenai masa depannya.

Situasi itu meletakkan pelumba berusia 32 tahun itu dalam situasi yang kekok dengan Honda yang menyedari niatnya untuk tidak lagi bersama pasukan itu selepas 2020.

Terdahulu, Lorenzo dikhabarkan berminat untuk sertai Yamaha SRT bagi musim 2021 selepas menolak tawaran pasukan itu awal musim ini.

 

Sumber: Jorge Lorenzo @ Twitter

Perkembangan mengenai masa depan Jorge Lorenzo menjadi lebih menarik kali ini apabila Motorsport.com mendakwa pelumba Sepanyol itu menawarkan khidmatnya kepada Petronas Yamaha bagi 2021.

Pasukan satelit Yamaha itu muncul antara pilihan Lorenzo sekiranya dia meninggalkan Honda selain daripada menggantikan Jack Miller di Pramac Ducati seawal musim depan.

Lorenzo telah menandatangani kontrak dua tahun untuk bergandingan dengan Marc Marquez di Honda namun bergelut setakat ini.

Senario itu membuatkan pelumba berusia 32 tahun itu mahu berpisah dengan Honda sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi.

Sementara itu, pengurus pasukan Honda, Alberto Puig berkata pihaknya tidak tahu sama ada Lorenzo akan meninggalkan pasukan itu.

“Kami tidak tahu apa-apa. Apa yang kami tahu, dia ada kontrak yang masih aktif dan dia perlu menghormati kontrak tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan Honda tidak berpuas hati dengan dakwaan Lorenzo sedang sibuk mempertimbangkan masa depannya dan pengeluar motosikal Jepun itu dijangka mahu mendapatkan keputusan yang jelas.

Ejen Lorenzo, Albert Vera, mengakui bahawa hubungan kliennya dengan Honda akan bertambah rumit selepas musim 2020.

Sekiranya Honda bersetuju untuk melepaskan Lorenzo, dia berpeluang untuk menggantikan Jack Miller di Pramac Ducati musim depan dan kembali ke pasukan factory Ducati musim berikutnya.

Lorenzo – juara dunia tiga kali bersama jentera Yamaha M1 – telah pun menolak tawaran daripada Petronas Yamaha SRT musim lalu namun Motorsport.com mendakwa dia bersedia membuat pusingan U.

(SUMBER: Motorsport.com)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube