Bikesrepublic

MotoGP

Penularan Covid-19 menyaksikan penganjuran MotoGP hanya berlangsung di luar Eropah sebanyak tiga kali sahaja (dua di Qatar, satu di AS) dalam tempoh dua musim ini.

Meskipun musim 2021 berjalan lancar, Dorna terpaksa membatalkan enam pusingan atas faktor peningkatan kes Covid-19.

Dorna turut membatalkan ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang pembukaan tirai musim 2020 ekoran kekangan kuarantin wajib 14-hari yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi memastikan ujian pra-musim di Sepang dapat berjalan lancar bagi musim 2022, Dorna memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat Covid-19 sepanjang Sepang Shakedown Test pada 31 Januari hingga 2 Februari diikuti ujian rasmi MotoGP pada 5 hingga 6 Februari 2022.

SOP ketat itu juga bagi memastikan varian Omicron yang ketika ini melanda negara dapat dibendung.

“Setiap pihak yang terlibat telah menerima emel berserta arahan untuk dipatuhi di Sepang.

“Peraturan ini sangat ketat dan membolehkan ujian pra-musim dijalankan dengan risiko rendah,” jelas Pengurus Pelumba MotoGP, Carlo Pernat.

Pernat turut memaklumkan bahawa pihak penginapan (hotel) juga telah dimaklumkan termasuk perpindahan segala struktur ke litar yang akan diuruskan sepenuhnnya pihak pngurusan.

“Tiada kemungkinan langsung untuk keluar daripada gelembung virtual ini,” tambah Pernat.

Pada masa sama, semua kakitangan dan pelumba MotoGP akan menginap sama ada di Hotel Sama-Sama atau Hotel Movenpick.

Sebaik ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua pasukan akan menjalani jian PCR dan dibawa terus ke hotel untuk tujuan kuarantin kendiri bagi menunggu keputusan ujian yang akan memakan masa antara 12 hingga 24 jam.

MotoGP hanya akan dibenarkan bergerak dari hotel ke litar sahaja.

Sementara itu, individu yang mahu ke SIC perlu mempamerkan bukti lengkap vaksin dan keputusan ujian negatif Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Menurut laporan media antarabangsa, protokol sama akan turut dilaksanakan di Litar Mandalika, Indonesia.

Badan sukan permotoran motosikal dunia (FIM) telah memeperkenalkan beberapa peraturan baharu menjelang permulaan musim baharu bagi MotoGP dan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK).

Kemas kini peraturan tersebut dilaksanakan berdasarkan apa yang telah berlaku pada musim 2021 apabila pelumba muda Dean Berta Vinales dan Jason Dupasquier maut kemalangan sewaktu bertanding.

Antara peraturan yang telah dikemas kini menyaksikan kelas World Supersport 300 diturunkan kepada 30-pelumba sahaja berbanding 35-pelumba sebelum ini.

Penyertaan ‘wildcard’ juga dihadkan kepada dua sahaja.

Sementara itu, had kelayakan umur bagi penyertaan WorldSSP300 juga dinaikan dari 16 ke 18 tahun namun akan dikuatkuasakan bermula musim 2023.

Keduanya, masa kelayakan perlu berada dalam 105% daripada pelumba terpantas bagi memastikan semua pelumba berada dalam jarak selamat.

Pada masa sama, FIM mewajibkan semua kelas perlumbaan untuk mengenakan pemakaian racing suit dengan fungsi beg udara yang sebelum ini hanya digunakan dalam kelas MotoGP dan WorldSBK.

FIM juga bakal menggubal peraturan dalam kelas Supersport bagi memastikan terdapat keseimbangan kuasa, kapasiti enjin dan berat jentera yang bertanding.

Lebih menarik, FIM juga mahu menubuhkan sistem yang boleh menganalisi helmet pelumba yang telah terlibat kemalangan atau alami kecederaan kepala.

Yamaha telah menghasilkan YZF-R1 GYTR VR46 sebagai penghargaan khas kepada Valentino Rossi yang telah pun bersara dari MotoGP.

Model khas itu didedahkan di EICMA 2021 yang sedang berlangsung di Milan, Itali , ketika ini.

Sebagai penghargaan terhadap pencapaian Rossi – dengan sembilan kejuaraan dunia merangkumi kelas MotoGP, 250cc dan 125cc serta 115 kemenangan dan 235 podium dari 425 perlumbaan – Yamaha menghasilkan jentera R1 khas yang turut memaparkan ‘livery’ khas hasil rekaan Aldo Drudi, individu penting dibelakang setiap rekaan helmet AGV dipakai Rossi.

Selain itu, R1 GYTR VR46 ini menampilkan segala aksesori GYTR 2022 hasil daripada pembangunan di Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2021 yang telah pun membantu Yamaha muncul juara menerusi Toprak Razgatlioglu, baru-baru ini.

Jentera khas ini membolehkan Rossi terus menikmati mesin R1 dari Yamaha di litar lumba Misano tidak lama lagi.

Sementara itu R1 GYTR VR46 ini datang serba lengkap dengan kit fairing dan ‘subframe’ gentian karbon dengan tangki yang telah diperbesarkan kepada 22L.

Jentera ini juga dilengkapi dengan ECU REX 140 Marelli berprestasi tinggi yang menjaminkan penghasilan kuasa yang besar manakala sistem membrek dikendalikan kaliper jenama Brembo.

Berikut antara spesifikasi yang terdapat pada Yamaha R1 GYTR VR46:

  • suspensi Öhlins
  • sproket GYTR (depan dan belakang)
  • throttle elektronik GYTR
  • klac slipper GYTR
  • head gasket GYTR
  • kit radiator GYTR
  • set air funnel GYTR
  • pelindung brek GYTR
  • Sistem Akrapovic GYTR
  • Rim Marchesini GYTR

Jentara khas itu juga didatangkan dengan beberapa komponen WorldSBK antaranya enjin yang ditala mengikut standarda WorldSBK, kit ‘triple clamp’ boleh laras (offset 22.5mm x 27mm), kit sensir, penapis udara spec-WorldSBK serta papan pemuka Chrome Lite dengan GPS.

MotoGP bakal mengikut jejak Formula 1 dalam beralih ke penggunaan bahan api lestari (sustainable fuels).

MotoGP dalam satu kenyataan menyebut, bermula 2024, 40 peratus minyak yang diguna pakai dalam kelas premier perlu diperolehi daripada sumber lestari – sama ada bahan api yang dihasilkan secara sintetik atau biojisim.

Namun, bermula 2027, kesemua bahan api digunakan dalam kelas Moto3, Moto2 dan MotoGP perlu datang dari sumber bahan api lestari.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada menjadikan sukan permotoran sebagai platform penyelidikan dan pembangunan bahan api lestari.

Apatah lagi sukan permotoran merupakan antara pengguna bahan api fosil yang paling besar.

Sementara itu, penggunaan bahan api lestari membolehkan enjin menghasilkan prestasi dan bunyi yang sama seperti menggunakan bahan api fosil sekaligus mewujudkan keterujaan yang sama.

Bagaimanapun, setakat ini pihak MotoGP menerusi Dorna dan FIM belum menyatakan dengan lebih terperinci pihak yang bakal dipertanggungjawabkan dalam membekalkan bahan api lestari tersebut.

Luca Marini dan Marco Bezzecchi telah pun menyempurnakan sesi ujian sulung bagi VR46 Ducati MotoGP di Jerez.

Marini dan Bezzecchi melengkapkan ujian pra-musim di Jerez menggunakan jentera Ducati GP21.

Bagaimanapun, ketika Bezzecchi akan meneruskan saingan musim 2022 nanti menggunakan jentera sama, Marini akan dinaik taraf dengan GP22 terkini.

Namun, meskipun ujian pra-musim telah pun bermula, nama Aramco, yang sebelum ini dikatakan bakal menjadi penaja utama VR46 bermula musim 2022 masih lagi tidak kelihatan.

Nama Aramco selaku penaja utama juga tidak muncul dalam senarai rasmi pasukan yang diumumkan MotoGP, minggu lalu.

Syarikat minyak gergasi Arab Saudi itu sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan media menerusi Tanal Entertainment Sports & Media mengesahkan tajaan yang menjanjikan tajaan berjumlah EUR18 juta namun setakat ini masih tiada sebarang pengumuman rasmi dari pihak VR46 mahupun Aramco.

Apa pun, nantikan pengumuman lanjut dari pihak VR46 sama ada Aramco akan tetap menjadi penaja utama atau ada nama lain yang akan diumumkan.

Sementara itu, ujian pra-musim VR46 akan bersambung di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari nanti.

Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, tidak akan beraksi di Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2022 seperti yang disangkakan sebelum ini.

Perkara tersebut disahkan pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin.

Menurut Zulfahmi ketidaktentuan ekonomi susulan pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap usaha mendapatkan tajaan bagi pelumba berusia 20 tahun itu.

Damok sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai peluangnya untuk ke Moto3 pada 15 Oktober lalu namun senario itu tidak berlaku.

Ini bermakna, musim 2022 bakal menyaksikan ketiadaan wakil pelumba negara di pentas sukan permotoran terbesar dunia itu buat kali pertama sejak 2009.

Damok sebelum ini juga sempat diberikan peluang beraksi bersama Petronas Sprinta Racing Moto3 di Aragon dan berjaya mengutip tiga mata selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-13. – Paultan

Ketika pusingan di Misano World Circuit Marco Simoncelli dibayangi kejayaan Fabio Quartararo yang disahkan juara dunia MotoGP musim 2021, perkembangan menarik turut dipamerkan Marc Marquez.

Ini kerana pelumba Repsol Honda itu berjaya merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dan ketiga keseluruhan selepas 16 pusingan setakat ini.

Dua kemenangan beturut-turut itu juga hadir pada waktu getir ketika perebutan kejuaraan antara Quartararo dan Francesco Bagnaia sedang memuncak sebelum pelumba Yamaha itu disahkan juara dunia di Misano, minggu lalu.

Bukan itu sahaja, selepas empat pusingan termasuk di Misano, Marquez juga muncul sebagai pelumba yang paling banyak mengutip mata dengan 83 mata diikuti Bagnaia (66 mata), Quartararo (62 mata) dan Enea Bastianini (52 mata).

Tiga kemenangan setakat ini juga meletakkan Marquez kedua terbanyak di belakang Quartararo (5).

Apatah lagi kejayaan di Misano merupakan yang pertama baginya di litar yang mengikut putaran arah jam selepas kali terakhir melakukanya 735 hari lalu di GP Jepun.

Marquez juga meluahkan rasa puas hati dengan keputusan tersebut di akhir perlumbaan.

“Memenangi perlumbaan di litar (putaran arah jam) yang sememangnya sukar jadi ini membuatkan saya berasa cukup baik bagi menghadapi musim depan,” jelasnya.

Senario ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa kecederaan tangan kanan yang dialaminya di Jerez musim lalu sudah pun 99 peratus pulih dan tidak lagi memberi kesan meskipun di litar dengan selekoh kanan yang banyak.

Kehebatan Marquez sememangnya tidak boleh disangkal kerana meskipun terlepas hampir keseluruhan musim 2020 dan dua pusingan pertama musim ini, penampilan pertamanya di Portugal berakhir dengan kedudukan ke-7.

Perlu diingatkan, pelumba berusia 28 tahun itu langsung tidak terlibat dengan pembangunan jentera RC213V diawal musim 2021 ekoran kecederaan.

Jadi melakar tiga kemenangan sambil menyesuaikan diri dengan jentera di samping baru pulih dari kecederaan bukanlah satu tugas mudah.

Meskipun senario semasa membuatkan ramai pihak berasa kagum dengan Marquez namun apabila menyemak kembali statistik pelumba itu, 59 kemenangan keseluruhan di kelas premier dibelakang Giacomo Agostini (68) dan Valentino Rossi (89), kita akan kembali sedar bahawa Marquez sememangnya seorang juara dan enam takhta MotoGP sudah cukup membuktikan statusnya.

Tatkala perlumbaan musim 2021 masih berbaki dua pusingan (Portimao dan Valencia), segala yang dilakukan Marquez ketika ini secara tidak langsung melaungkan amaran bahawa dia adalah pelumba yang seharusnya digeruni Quartararo, Bagnaia dan yang seangkatan dengannya memasuki musim 2022.

Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo muncul juara dunia Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2021 setelah menamatkan pusingan di Misano pada kedudukan keempat.

Quartararo sah dinobat juara setelah pencabar terdekat, Francesco Bagnaia kemalangan sewaktu mendahului perlumbaan di Misano meskipun hanya berbaki empat lap.

Ini merupakan kejayaan sulung Quartararo dan yang pertama bagi Yamaha setelah kali akhir melakukannya pada 2015 menerusi Jorge Lorenzo.

Sementara itu, aksi di Misano menyaksikan juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez muncul pemenang diikuti rakan sepasukan, Pol Espargaro kedua dan Enea Bastianini ketiga.

Bastianini berjaya memintas Quartararo di saat akhir lantas melengkapkan podium di tempat ketiga.

Bagnaia pada awalnya dilihat mampu membawa cabaran kepada Quartararo sehingga ke pusingan terakhir namun kegagalan mengawal jentera di Turn 15 membawa padah sekaligus menghadiahkan kemenangan kepada pelumba Perancis itu.

Kejayaan Quartararo turut diraikan Datuk Razlan Razali yang kelihatan bersama-sama kem pasukan factory Yamaha di Misano.

Pada masa sama, pusingan di Misano juga membawa seribu makna buat pelumba veteran, Valentino Rossi, yang membuat penampilan terakhir di laman sendiri sebelum bersara hujung musim ini.

Penampilan terakhir Rossi turut diraikan Luca Marini, yang menyarung warna ikonik milik Rossi sebagai pengiktirafan terakhir pelumba berusia 42 tahun itu.

Pengeluar motosikal Itali, Ducati telah dilantik sebagai pembekal jentera elektrik bagi Piala Dunia MotoE bermula 2023.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali yang turut ditemani CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta ketika sidang media khas yang berlangsung di Misano World Circuit Marco Simoncelli, semalam.

Ini merupakan langkah bersejarah buat kilang Borgo Panigale itu yang bakal mengorak langkah sulung dalam menghasilkan jentera elektrik.

MotoE juga dilihat sebagai platform ujian terbaik bagi Ducati membangunkan teknologi dan inovasi motosikal elektrik yang kemudian harinya membolehkan konsep sama dipindahkan ke peringkat pengeluaran.

Menurut Domenicali, perjanjian ini membuka lembaran baharu bagi Ducati.

“Kami amat berbangga dengan kerjasama ini apatah lagi cukup bersejarah buat syarikat kami.

“Ducati sentiasa pandang ke hadapan dan setiap kali kami memasuki era baharu, fokus kami adalah menghasilkan produk berprestasi tinggi yang terbaik.

“Kami akan berkerja keras bagi memastikan setiap pelumba yang bertanding di MotoE menerima jentera yang berprestasi tinggi dan ringan,” jelasnya.

Sepang Racing Team (SRT) yang dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Team, telah pun menandatangani perjanjian bersama WithU selaku penaja utama pasukan itu bagi menghadapi saingan MotoGP musim 2022.

RNF Racing turut memeterai kerjasama dengan Yamaha Motor Co. sekaligus sah menjadi pasukan satelit rasmi Yamaha bagi kejuaraan dunia MotoGP 2022.

Pada masa sama, RNF Racing turut mengumumkan pelumba Moto3, Darryn Binder, yang ketika ini bersaing bersama Petronas Sprinta Racing, akan sertai Andrea Dovizioso di kelas premier musim depan.

Berita itu sekaligus menyaksikan Binder mengikut jejak Jack Miller yang sebelum ini turut diangkat terus ke MotoGP dari kategori Moto3 pada 2015.

Sementara itu, perjanjian antara RNF Racing dan Yamaha Motor Co turut menyaksikan pasukan kendalian Razlan Razali itu akan beraksi dengan jentera YZR-M1 dengan kerjasama itu akan dilanjutkan hingga musim 2023 dan 2024.

Era baharu bermula bagi pasukan kendalian Datuk Razlan Razali setelah Sepang Racing Team (SRT) kini dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Racing.

Penjenamaan semula ini turut menyaksikan RNF Racing menandatangani perjanjian lima tahun bersama IRTA bagi meneruskan cabaran selaku Independent Team di Kejuaraan Dunia FIM MotoGP.

Meskipun membawa nama baharu, RNF Racing akan terus diterajui oleh Datuk Razlan.

“Pengembaraan kami berjalan dengan cukup pantas.

“Dalam tempoh kurang beberapa bulan, kami telah tetapkan semula segala usaha kemudian dijenamakan semula sebagai sebuah pasukan MotoGP yang lebih kukuh dan segar.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Carmelo (Ezpeleta) atas kepercayaan dan keyakinan diberikan kepada saya untuk memulakan babak kedua dengan pasukan serba baharu di kelas MotoGP untuk lima tahun akan datang.

“Bermula dengan musim depan, RNF Racing akan meneruskan rangka tindakan sama.

“Dengan pengalaman dan pencapaian sebelum ini, kami tidak sabar untuk memulakan kempen 2022 dengan pasukan yang lebih kuat,” jelas Razlan.

Penjenamaan semula ini telah pun dijangka berlaku sebelum ini setelah penaja utama (title sponsor) SRT, Petronas membuat kejutan apabila tidak akan meneruskan kerjasama sebaik tamat musim 2021.

Langkah sama turut diumumkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang tidak lagi bersama SRT dalam apa jua senario memasuki musim 2022.

Sementara itu, RNF Racing akan meneruskan cabaran 2022 bersama Andrea Dovizioso yang telah pun disahkan sebagai pelumba baharu dan akan turut membantu SRT menghabiskan baki saingan musim ini.

Bagaimanapun, belum dikenal pasti siapaka yang bakal diumumkan sebagai rakan sepasukan Dovizioso musim depan.

Pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso kembali ke MotoGP setelah sah diumumkan sebagai pelumba baharu Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Bekas pelumba Ducati itu akan membantu SRT menghabiskan baki saingan musim ini bersama rakan sepasukan, Valentino Rossi.

Dovizioso juga akan turut bersama pengendali, Datuk Razlan Razali dan pengurus pasukan Johan Stigefelt membawa cabaran ke musim 2022.

Menariknya, pelumba Itali itu mengakui dia pernah berhasrat untuk sertai factory Yamaha pada 2013 namun peluang itu terpadam selepas Rossi kembali ke Yamaha susulan bergelut di Ducati musim sebelumnya.

“Selepas musim yang baik pada 2012 (bersama Monster Yamaha Tech3), impian sayan adalah sertai pasukan factory Yamaha. Namun itu tidak berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, Yamaha turut mengumumkan Franco Morbidelli sebagai pelumba baharu pasukan factory menggantikan Maverick Vinales.

Morbidelli telah pun menandatangani kontrak dua tahun sehingga 2023.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube