Ketua Polis Daerah Bentong menafikan dakwaan yang pihaknya enggan menerima laporan yang dibuat oleh seorang penghantar barang yang mendakwa telah ditikam pada matanya.
Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengesan dakwaan itu yang ditularkan menerusi WhatsApp.
Beliau berkata, berdasarkan imej tangkap layar itu, ia mendakwa polis Bentong enggan menerima laporan daripada seorang penghantar barang berhubung kejadian perselisihan faham antara penghantar barang dan pelanggannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Menurutnya, kandungan WhatsApp yang tular adalah tidak benar kerana pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan menyiasat kes itu.
“Mangsa juga dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu katanya, pada 3.01 petang semalam, satu laporan polis dibuat oleh seorang penolong pegawai penyiasat jenayah IPD Bentong berhubuPDRng dakwaan berunsur fitnah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu yang tidak benar.
“Polis Bentong juga memohon suspek yang menularkan WhatsApp itu tampil ke IPD Bentong untuk siasatan selanjutnya,” katanya.